Khamis, 25 Februari 2010

Kesenangan VS Ketenangan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…ku panjatkan rasa syukur kerna masih diberi kesempatan untuk terus beribadat kepada_NYA. Selawat & salam buat Imam Umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat & tabi’in sekalian.
Alhamdulillah..menjadi “pencuri” waktu buat seketika kerna masih banyak urusan yang perlu ana uruskan. Minggu yang amat-amat sibuk bagi ana, tapi insyaAllah akan cuba istiqomah untuk menulis.
Ana ingin kongsikan pengisian yang telah diberikan oleh murobbi ana. sebelum mula kuliah, ustaz khadafi masuk dan memberikan sedikit pengisian sebelum kumpulan lain membentangkan kerja mereka. Insan yang tidak jemu-jemu mendidik, memberi nasihat jua berkongsi ilmu.
Katanya,“ Cuba kamu lihat situasi sebentar tadi, sebelum Ustaz masuk. Kamu berada dalam kegelapan tetapi bila Ustaz masuk kelas dan letak kad, sistem bilik kuliah nie terus berfungsi dan terus kamu berada dalam cahaya. Ini bermakna ustaz bawa cahaya kepada kamu untuk menuju jalan yang lurus. Jadi, Cuba kamu merenung sejenak, apa yang kamu cari sebenarnya dalam hidup ini?”
“kebanyakan manusia hari ini mengejar kekayaan. Siapa yang tidak mahu kaya, dengan duit yang melimpah ruah kita mampu membuat apa sahaja. Apa yang kita mahukan pasti akan berada di depan mata. Tapi jangan kita lupa, adakah mereka bahagia dan tenang dengan kehidupan sebegitu? Sibuk mengejar kekayaan hingga lupa pada yang Maha Memberi Rezeki. Terpesona dengan kehidupan duniawi yang sementara Cuma.”
“dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui”
-Surah al-Ankabut ayat 64-
“sebenar-benar kekayaan adalah bilamana seseorang itu mampu mengunakan harta yang dimilikinya itu untuk mendapat ketenangan hidup”
Ana stuju bila Ustaz mengatakan begitu, cuba kita lihat. Berapa ramai Umat Islam_Melayu yang sanggup berkongsi kekayaan yang mereka ada dengan orang ramai? Berapa ramai orang Islam pada hari ini dapat mengikut jejak langkah Uthman Bin Affan, Abu Bakar As-siddiq, Khadijah Binti Al-Khuwalid yang sanggup menyerahkan semua kekayaan yang dimiliki untuk melihat Umat Islam terus maju.
 Bila ditanya pada Sahabat Rasulullah s.a.w. ini, cukupkah harta yang kamu ada selepas memberi semua harta yang dimiliki? Jawapan Sahabat, cukuplah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. bagiku. Subhanallah..
Jadi, apa sebenarnya yang manusia kini cari dalam hidup? Jika ditanya pada ana, sudah tentu ana akan jawab…“ketenangan”..
Benar, ketenangan ini hanya akan diperolehi bilamana hidup kita berada di naungan Allah s.w.t.. Mencari dan mengejar cahaya ketenangan, keredhaan dan rahmat Allah s.w.t… apa yang sahabat Nabi lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. dan mendapat ketenangan didunia & juga akhirat.
Ana ingin kongsikan juga kisah saudagar kaya. Renungkan..
XXXXXXXXXX
sejak dari kecil lagi, Iqbal sudah menikmati kemewahan dan kesenangan hidup sehinggakan susu tepung yang diminumnya sewaktu masih bayi dulu ditempah khas dari New Zealand. Sudah bermacam makanan mewah dari dalam dan luar negara dimakannya. Sebut sahaja makanan apa, masakan Itali, Jepun, Thai, Arab, Melayu, Cina? Semuanya sudah dirasa oleh lidahnya.
Sehingga suatu masa, ibu dan ayahnya melihat anaknya Iqbal begitu kurus kerna anaknya itu tidak mahu makan. Ibunya begitu risau lalu berkata kepada anaknya,“anakku, badanmu begitu kurus sekali berbanding dahulu. Kenapa kamu tidak mahu menjamah apa-apa makanan yang ibu belikan?. Sayang mahu apa, katakan sahaja. Akan ibu tunaikan, mahu makan masakan laut? Masakan Itali?”
Lalu anaknya menjawab, “tidak ibu, Iqbal sudah jemu dengan semua makanan itu. Iqbal mahukan makanan yang lain dari apa yang Iqbal sudah makan
Maka, ibu dan ayahnya menawarkan hadiah yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang mampu membuatkan anaknya makan. Hari demi hari, tidak ada seorang pun yang berjaya kerna kebanyakan dari tukang masak yang hadir memasak makanan mewah.
Suatu ketika, datang seorang lelaki yang berpakaian yang cukup bersederhana dan lusuh. Melihat keadaan itu, terdetik dihati ibu dan ayahnya. “boleh ke dia nie buat anak aku makan sedangkan yang datang dengan berbagai ramuan dan resepi masakan yang berkualiti pun tidak mampu”.
Dengan keadaan serba tak kena, ibunya membenarkan juga lelaki tadi memasak. Setelah itu, dipanggilkan anaknya Iqbal untuk merasa makanan tersebut. Saat Iqbal masuk sahaja ke ruang dapur, dia terus duduk di meja makan lantas mengambil sudu dan garpu untuk makan.
Lelaki itu segera menahan Iqbal dari meneruskan niatnya lantas berkata,“letakkan sudu dan garpu mu, basuh tanganmu dan makanlah dengan tangan kanan”.
Iqbal terasa janggal kerna selama ini, dia tidak pernah menggunakan tangan bila makan. Setelah dibasuh tangannya, Iqbal mahu menjamah makanannya. Sekali lagi, lelaki itu menahan Iqbal dari meneruskan niatnya lantas berkata,“sudikah tuan sekiranya menjemput saya untuk makan sepinggan dengan tuan kerna saya belum menjamah apa-apa makanan lagi pada hari ini?
Iqbal tersentak kerna selama ini belum ada sesiapa pun yang berkongsi apa-apa kepunyaannya. Dengan keadaan acuh tak acuh, Iqbal mengangguk. Lelaki itu pun berkata,“kalau begitu, kita berdoa memohon keberkatan dan syukur kepada Allah s.w.t. diatas rezeki yang telah diberikan”.
Saat Iqbal menjamah makanan tersebut, dia berasa begitu berselera lagi. Ditambah pula disaat lelaki itu menyuapkan nasi ke mulutnya dan Iqbal jua melakukan hal yang sama. Ibu dan ayahnya yang melihat kejadian tadi dari awal hingga akhir, tertanya-tanya bagaimana lelaki tadi mampu membuatkan anaknya makan.
Setelah itu, dipanggil lelaki tersebut untuk mengetahui apa ramuan dan resepi yang digunakan dalam masakannya. “Tuan, puan..saya hanya masak nasi goreng biasa sahaja, mengunakan perencah ini.. juga cara penyediaan yang telah ditulis dibelakangnya”. Kata lelaki tersebut sambil menunjukkan perencah nasi goreng yang digunakan tadi.
 “maaf sekiranya kata-kata saya ini bakal mengguris hati tuan dan puan. Nasi yang saya masak tadi terdapat di seluruh dunia dan boleh dimasak oleh sesiapa sahaja tidak kira yang kaya mahupun miskin serta  dimakan oleh kebanyakan orang tetapi disebabkan anak tuan dan puan diasuh makan masakan mewah, dia jadi jemu. Sebanyak mana pun harta dimiliki oleh seseorang itu, dia tetap manusia dan juga perlu makan untuk terus hidup.
Anak tuan dan puan tidak diajar untuk mensyukuri nikmat Yang Maha Pemberi berikan sehinggakan lidahnya tidak dapat merasai kelazatan makanan yang masuk dalam mulutnya kerna dia berkongsi makanan dengan syaitan dan hilang keberkatannya. Anak tuan dan puan begitu gembira saat makan bersama dengan saya walau pada mulanya dia tidak berapa setuju kerna dalam harta orang kaya ada hak untuk orang miskin dan yang meminta.
“Sesiapa yang berpaling daripada ajaran Tuhan yang Maha Pemurah (Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya,”
-Surah az-Zukhruf, ayat 36-
Tidak ada seorang pun yang mampu membeli “ketenangan hidup” walau sebanyak mana pun duit yang dimilki kerna “ketenangan” itu hanya akan diperolehi bilamana Allah s.w.t. redha dengan apa telah dilakukan oleh hamba_NYA. Hidup di dunia ini hanyalah sementara Cuma, jadi…binalah syurga di dunia sebelum kita benar-benar merasai syurga akhirat.
“(iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram”
-Suran ar-Ra’d, ayat 28)
Tidak ada satu pun cara hidup yang dimuliakan selain daripada Islam. saya doakan moga tuan sekeluarga mendapat cahaya ketenangan hidup dengan mensyukuri nikmat kekayaan yang diberikan serta menggunakan dengan seadilnya.
“wahai orang yang beriman, janganlah harta-harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang yang rugi”
-Surah al-Munafiqun, ayat 9-
XXXXXXXXXX
Tidak kira manusia itu kaya mahupun miskin, dia tetap tidak dapat lari daripada lima perkara ini iaitu makan & minum, pakaian, tempat tinggal, dan kenderaan. Kesenangan yang diperolehi belum tentu dapat menjamin ketenangan jiwa.
Namun, sekiranya tiap insan yang bergelar manusia mendapat ketenangan jiwa…insyaAllah, dia akan mendapat kesenangan hidup di dunia dan akhirat..
Wassalam..
blog comments powered by Disqus