Isnin, 26 September 2011

Dunia Da'wah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia dan akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah…syukurku pada Mu kerna masih memberi waktu dan kelapangan untuk menulis dalam diari kesayangan nie. Baru terasa sedikit lapang setelah beberapa program telah terlaksana. Sekarang masih cuba untuk bahagi masa antara akademik dan perniagaan online pula. Moga Allah permudahkan, ameen ya robb…(^^,)

Beberapa hari yang lalu, sempat juga ana berbual dengan salah seorang sahabat tentang dunia da’wah. Dan alhamdulillah beliau juga sudah memilih untuk berada dalam dunia da’wah, hatinya terasa bahagia berada pada jalan ini walaupun kadang-kala teruji dengan dugaan yang tidak pernah surut.

Jarang sekali ana menceritakan masalah yang dilalui sepanjang berada dalam dunia da’wah kecuali secara umum. Namun tulisannya melalui mesej pada tempoh hari membuatkan ana sebak seketika kerna tidak menyangka begitu sekali pandangannya kepada insan-insan yang berada pada jalan ini.

“Dah lama akak perhatikan hidup insan-insan yang berjuang nie. Zahirnya insan biasa melihat insan-insan yang berjuang itu keletihan berkejar ke sana ke mari. Bahkan mungkin hidupnya tidak dihiasai dengan kemewahan dan kesenangan, dan mungkin kelihatan susah. Tetapi sebenarnya, disebalik semua itu bagi insan-insan yang berjuang. Mereka letih, sakit, duka, dan kesusahan…tetapi sebenarnya jiwa mereka tenang, bahagia dan gembira dalam perjuangan…”

Sukar untuk diungkapkan bagaimana perasaan ana tatkala membaca mesej yang mengandungi kata-kata tersebut. Hanya insan yang berada dalam dunia da’wah akan merasai apa yang ana rasakan kini…(T_T)

“orang yang melihat, tidak akan sama dengan orang yang merasa…”

Dan dia menyambung kata-katanya, “sakit, duka, susah dan payah sukar diceritakan pada orang, hanya Dia yang tahu sekeping hati itu. Moga terus kuat dan teguh bersama hati yang suci dalam perjuangan.”

Setiap orang meniti pada jalan da’wah pasti akan merasai pahit getir sepanjang perjalanan dalam menegakkan agamaNya. Dan ana ingin bertanya kepada sahabat pembaca.

Siapa yang sanggup berikan harta yang dikumpul dan disimpan dengan hasil titik peluhnya kepada orang lain?

Siapa yang sanggup menghabiskan waktu dan tenaga untuk membantu orang lain dari berusaha untuk kesenangan hidup sendiri?

Siapa yang sanggup untuk menanggung kepahitan dan korbankan keselesaan hidup demi untuk tegakkan kalimahNya?

Mungkin ada yang menjawab, “aku sanggup”. Namun, berapa ramai yang mampu bertahan hingga akhirnya? Kerna dunia da’wah ini perjalanannya cukup panjang dan penuh dengan pelbagai ‘duri’ yang menyakitkan dan penamatnya hanyalah kematian.

Semua orang tahu betapa sukarnya jalan yang bakal ditempuhi sekiranya masuk dalam dunia da’wah. Dan semua orang tahu yang kita perlu korbankan macam-macam benda pada jalan ini. Tetapi sungguh hairan, mengapa masih ada yang tetap mahu berada dalam dunia da’wah?

Bagi ana sendiri, hati terasa begitu puas tatkala dapat melakukan kerja untuk Islam hatta ianya kecil sahaja. Tiada yang lebih bernilai dalam hidup ini melainkan mendapat keredhaan Allah s.w.t…dan tiada perasaan yang cukup indah melainkan melihat orang lain turut merasai dan berubah menuju fitrah Islam yang sebenar.

Hati terasa sedih sangat tatkala melihat orang lain jauh dari Islam. Kasihan melihat dia tidak turut serta merasai nikmat kemanisan iman sedangkan kita terasa begitu tenang dan gembira berada dalam kehidupan dan cara hidup Islam yang sebenar.

Mungkin ada yang berkata bahawa ana nie ‘kaki program’, sikit-sikit program, sikit-sikit program, macam hidup untuk program sahaja. Jika ada yang berkata begitu, ana hanya akan tersenyum sahaja seperti ini…

Kalau dilihat pada keadaan ana kini, ana merupakan pelajar tahun akhir dan ramai dalam kalangan sahabat ana yang dahulunya begitu aktif dalam persatuan dan kelab, berundur kerna mahu tumpukan pada akademik dan mula memikirkan soal kerjaya, pasangan hidup dan sebagainya. Cuma tinggal beberapa kerat sahaja yang masih setia.

“jika kamu melakukan sesuatu atas nama program, kelab, persatuan, jawatan atau pangkat dan bukan kerna Allah s.w.t. dan Islam…nescaya kamu akan futur dan berundur dalam dunia da’wah”

Kerna itu ana tidak hairan sekiranya ada sahabat yang mula berubah sebaik sahaja sudah tidak memegang apa-apa jawatan dalam organisasi Islam. Malah dia menjadi lebih teruk dari orang yang cuba dia da’wah dan seru kearah kebaikan sebelum ini.

Kerna apa yang dilakukan semata-mata untuk menaikkan nama kelab atau persatuan yang disertai, kerna mahu mendapatkan penghargaan atau penghormatan dari orang lain.

“bilamana sesuatu itu dilakukan bukan kerna Allah s.w.t….tunggulah saat kejatuhannya…”

Allah s.w.t. sendiri yang akan memilih siapa yang akan menjadi ‘tentera-tentera’ atau orang yang akan menegakkan agamaNya, dan bukan kita yang memilihnya. Dan beruntunglah insan-insan yang dipilih olehNya untuk tetap berada dalam dunia da’wah hingga nafas terakhir.

Masih ana ingat kata-kata seseorang,“ana takkan percaya yang ukhty akan istiqomah dalam dunia da’wah melainkan setelah ukhty kerja dan menikah”. 

Kerna apa? kerna dua medan itu (kerjaya dan rumahtangga) benar-benar akan menguji setakat mana keteguhan hati kita dalam dunia da’wah. Moga-moga diri ini tetap dipilih oleh Allah s.w.t. untuk berada pada jalan ini..ameen…wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Selasa, 20 September 2011

Perkongsian: Motivasi Hidup


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau anugerahkan ini, moga hamba ini menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia dan akhirat, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan untuk menulis sesuatu dalam ‘diari maya’ ini. Seperti hilang rentak untuk menulis setelah dihimpat oleh kesibukan yang tidak pernah surut. Mencuri sedikit masa untuk menulis supaya terus istiqomah. Doakan ana ye sahabat….(^^,)

Semalam, disapa satu soalan oleh adik junior “ Assalamualaikum akak, macam mana kita nak memotivasikan diri kita supaya setiap hari kita bersemangat untuk jalani kehidupan ini?”.

Sejujurnya ana agak terkejut dengan soalan nie kerna setiap kali ana jumpa dia, seolah-olah dirinya tiada masalah. Sentiasa tersenyum dan sabar melayan kerenah rakan-rakan dan teman sekelilingnya. Namun itulah fitrah manusia yang semenangnya tidak terlepas dari diuji dengan pelbagai masalah dan dugaan.

Mungkin orang lain melihat kita ini ‘kebal’ dari pelbagai masalah yang sentiasa mengejar dan menunggu peluang untuk jatuhkan kita. Tetapi hakikatnya tidak begitu kerna kadang-kala kita akan jatuh hingga terduduk dan air mata menjadi peneman setia untuk melegakan apa yang terpendam di lubuk hati.

Bagi ana sendiri, saat motivasi hilang dari dalam diri adalah permulaan ‘kejayaan’ syaitan laknatullah untuk menjauhkan kita dari Allah s.w.t. Kerna apa ana katakan sedemikian? Kerna ketika itu iman kita lemah hingga tidak mampu menangkis rasa hati. Dan kita dengan mudahnya mendengar bisikan halus dari Syaitan Laknatullah.

“Saat kekalahan itu bermula apabila kamu berasa lemah dalam perjuangan dan saat kemenangan itu bermula apabila kamu melawan rasa lemah itu”
(Syed Qutb)

Jadi, persoalannya disini adalah bagaimana kita mahu terus bermotivasi dan bersemangat hatta diuji dengan pelbagai dugaan, masalah, tomahan, tekanan dan kritikan?

Bagi ana sendiri, semua itu terpulang pada diri sendiri. Ayuh kita renung seketika manusia Agung iaitu Rasulullah s.a.w…

Perjalanan hidupnya cukup-cukup penuh dengan pelbagai dugaan. Ketika masih dalam kandungan bondanya, Baginda s.a.w. sudah menjadi anak yatim. Ketika usia masih terlalu muda, kehilangan pula bonda dan datuk tercinta. Sejak kecil belajar berdikari dan bekerja sebagai pengembala kambing.

Seterusnya berkahwin dengan Khadijah dan diangkat menjadi Nabi. Sebelum itu Baginda s.a.w. disayangi oleh masyarakat sekeliling dan kaum kerabat Baginda s.aw… namun sebaik sahaja Baginda s.a.w diangkat menjadi Nabi, dirinya dipulau, disakiti, dihina, dicerca, malah mahu dibunuh.

Saat dalam tekanan, kehilangan pula isteri tercinta dan bapa saudaranya. Tekanan yang dialami semakin hebat ketka itu. Walaupun Baginda s.a.w. adalah kekasih Allah s.w.t., Baginda s.a.w. tetap menerima ujian hidup seperti manusia lain malah dugaan yang dilalui lebih hebat dari kita.

Namun kerna keyakinan Baginda s.a.w. terhadap Allah s.w.t. bahawa semua itu ada hikmahnya dan sentiasa bersangka baik dengan setiap aturanNya, Baginda s.a.w. tetap berlapang dada menerima semua itu.

Lihat….betapa besarnya pengorbanan Baginda s.a.w. kepada umat Islam hingga kita sendiri tidak mampu untuk membalasnya. Namun, kenapa kita masih tidak mahu menghargai Islam yang kita anuti kini dan membalasnya dengan maksiat kepada Allah s.w.t…? (T__T)

Apa yang dapat ana simpulkan dari perjalanan hidup Baginda s.a.w. adalah, Baginda s.a.w sentiasa positif dan optimis dalam setiap dugaan hidup yang dilaluinya dan sentiasa bersangka baik dengan orang lain hatta orang tersebut mahu membunuhnya.

Hidup adalah perjuangan

Perjuangan dalam hidup tidak akan selesai selagi denyutan nadi dan nafas tidak terhenti. Perjuangan hidup yang menentukan dimanakah kedudukan kita, samaada disyurga Allah (alhamdulillah) atau pun dineraka Allah (Nauzubillah).

Bohonglah kalau ana katakan ana tidak pernah merasa lemah tatkala menghadapi dugaan hidup yang tiada noktahnya. Hidup sebagai kak ngah yang punya adik beradik ramai, pelajar di sebuah universiti tempatan, pemimpin dalam organisasi, aktivis dalam pertubuhan luar, usahawan perniagaan online dan juga tempat luahan sahabat-sahabat dan masyarakat sekeliling.

Tekanan itu pasti akan sentiasa hadir, pasti akan ada. Apatah lagi melayan kerenah manusia yang punya berjuta ragam dan langsung tidak mahu memahami orang lain. Hinggakan tidak punya waktu yang cukup untuk diri sendiri.

Namun kerna ana yang memilih jalan ini, ana cuba ‘mengharamkan’ mulut ini untuk merungut dengan segala dugaan dan tekanan yang hadir. Jadi, apa yang ana lakukan supaya sentiasa bermotivasi?

Pertama, ikatan hati dengan Allah s.w.t. Kalau yang nie tak selesai, yang lain-lain pun akan ada masalah. Allah akan tolong atau bantu ke orang yang buat maksiat kepadaNya? Mungkin ada sesetengah orang cakap “ala…yang tak cukup solat dan tak tutup aurat pun boleh berjaya, nampak relax je hidup”.
 
Baik…kalau macam tu, pergi tanya kat dia sendiri. Tenang tak dengan hidup yang dilalui sekarang? kerna pandangan kita yang melihat dan orang yang melalui adalah berbeza. Dan tengok setakat mana dia boleh nampak relax dalam keadaan bergelumang dengan dosa.

Sedangkan orang mukmin akan sentiasa tenang dan tersenyum dalam segenap keadaan kerna hatinya sudah dipegang oleh Allah s.w.t…Dia tidak akan sesekali gentar dengan sesiapa pun kecuali Allah s.w.t…kerna apa? Kerna pemilik dunia dan akhirat serta tentera-tenteranya ada disisi kita dan membantu tanpa kita sedari.

Pengalaman ana sendiri, ada satu program yang susah sangat nak dapat kelulusan. Ketika itu azan zohor berkumandang, ana ambik wuduk dan solat. Hati terus merintih.. “Ya Allah…terima kasih atas teguran ini. Jika Engkau izin projek ini dilaksanakan, permudahkanlah urusankan ku. Namun jika sebaliknya, Engkau tabahkan hati ini untuk melaluinya”. Air mata mengalir deras kerna terasa seperti putus asa.

Namun, sebaik sahaja selesai solat, ana pergi sekali lagi untuk dapatkan kelulusan. Subhanallah, tidak sampai 10 minit projek itu akhirnya diluluskan. Ibrahnya, yakinlah Dia ada untuk membantu orang mukmin.

Keduanya adalah syukur dan sabar. Tatkala usrah dengan adik-adik ana, mereka menceritakan pengalaman yang dilalui. Dan ternyata setiap orang punya kisah hidup dan dugaan yang berbeza tetapi tetap ada masalah.


Ketiganya adalah positif, bersangka baik dan berhenti merungut. Semua itu ada kaitan dengan hati. Positif dengan masalah yang melanda, bersangka baik dengan orang yang berikan masalah dan mencari solusi masalah tersebut dan bukan merungut.

Kita seringkali menyalahkan keadaan atau orang lain sekiranya masalah melanda tetapi sayangnya jarang sekali muhasabah diri sendiri. Jari kita yang satu menuding jari kepada orang lain tetapi sedarkah kita bahawa lagi 9 jari menuding ke arah kita?

Hikmahnya apa? semak diri kita dulu sebelum menuduh orang lain. Adik usrah ana ada berkata, “akak…saya rasa saya jadi macam nie sebab saya pernah buat kat orang lain kot dulu…tapi saya tidak sedar benda tu…”

Dan ana mengangguk tanda mengiayakan apa yang dikatakan. Dunia ini adil kerna hakimnya adalah Allah s.w.t dan orang mukmin sentiasa percaya bahawa setiap perbuatan akan ada balasannya.

Jika kamu mengaibkan atau prasangka buruk dengan orang lain, suatu hari nanti kamu juga akan kena. Jika kamu sumpah seranah orang lain, kamu juga akan kena suatu hari nanti…tak percaya? cubalah buat..hee~

Tidak kiralah apa yang orang buat, mengata, kritik atau fitnah kita. Tetapi sekiranya kita tenang, memandang masalah dari sudut positif, bersangka baik bahawa orang itu tidak tahu keadaan sebenar dan berhenti merungut dengan itu ini dengan orang yang mengutuk kita. InsyaAllah….hidup kita akan sentiasa dalam senyuman.

Sekiranya kita marah atau sakit hati. Ia hanya membuatkan hidup kita pada hari itu akan dalam kemurungan kerna kita sentiasa fikirkan kata-katanya. Maka, usirlah semua itu dengan cepat dan gantikan dengan minda yang positif. Usah bazirkan hari-hari indah kita dengan kata-kata ‘busuk’ itu…(^^,)

“Carilah satu dunia asing..untuk kamu keluar dari diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah s.w.t., samaada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan Zikrullah…”

“carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya buat anak muda berjiwa da’ie, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi…”
-Ustaz Hasrizal Abdul Jamil-

XXXXXXXXXXXX

Tatkala berhadapan dengan manusia yang penuh dengan pelbagai ragam, hati sentiasa memujuk, “sabar itu indah…kamu berurusan dengan manusia dan bukan dengan para malaikat…tenanglah…”

Tatkala hati terasa sakit dengan pelbagai kritikan dan tomahan, hati sentiasa memujuk, “Alhamdulillah…kritikan lebih baik dari pujian kerna jika diuji aku boleh bersabar, jika dipuji aku takut akan riak.”

Tatkala dilanda masalah, hati sentiasa memujuk “alhamdulillah, Allah s.w.t. hadirkan masalah ini supaya aku lebih kuat dan kenal erti kehidupan serta lebih berdikari…”

Tatkala terasa lemah dan mahu berundur, hati sentiasa memujuk “aku sudah bertahan hingga ke saat ini, jadi aku mahu tetap dijalan ini hingga nafas dan denyut nadi yang terakhir…”

Dan tatkala ana perolehi sesuatu nikmat, sujud syukur dilakukan sebagai tanda berterima kasih kepadaNya. Dan tatkala ana lulus ujian kehidupan, pasti akan ada penghargaan buat sendiri seperti belanja diri sendiri makan ais-krim..hee~ 


Kata-kata yang sering ana katakan pada diri… “Tidak ada sesuatu apa pun yang dapat kalahkanku melainkan diriku sendiri dan tanpa izin dari Allah s.w.t… trust Allah and trust your self….I THINK I CAN…”
Wallahua’lam…

Rabu, 14 September 2011

Penapis Iman


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabagt Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih mengizinkan hamba ini untuk terus istiqomah dalam menulis. Catatan pertama ana setelah tiba di kampus. Ya Allah….teramat sibuk walaupun baru empat hari kuliah bermula. Mencuri masa sedikit untuk berkongsi sesuatu buat para pembaca.

Ana sujud syukur setelah urusan kelas, kuliah dan tempat praktikal dipermudahkan olehNya. Masih berada dalam biah solehah kerna hampir kesemua pensyarah punya fikrah Islam dan hati seringkali dimuhasabah. Terasa tidak sabar pula untuk mula belajar ilmu baru yang bakal ana pelajari…(^^,)

Ketika masuk dalam satu kelas, hati jadi sebak sangat. Apatah lagi pensyarah tersebut seringkali menceritakan tentang Rasulullah s.a.w… Beliau juga menceritakan pengalaman sendiri berhadapan dengan masyarakat kini yang jauh sekali dari fikrah Islam yang sebenar.

Apa yang buat ana terkesan adalah disaat dia menyebut, “apakah nikmat yang kalian perolehi sepanjang bergelar muslim?”.

Allah….tak terhitung dek jari kerna terlalu banyak. Tetapi mengapa masih ramai yang kufur nikmat, tak reti bersyukur dan tidak mahu sujud kepada yang Maha Pemberi Nikmat?

Beliau juga ada menyebut tentang betapa hebatnya tentangan yang diterima oleh umat Islam diluar Malaysia jika dibandingkan dengan kita. Kita merasakan seolah-olah bergelar Muslim itu adalah suatu yang biasa.

Tidak menutup aurat, tidak menunaikan solat, bergaul bebas tanpa batasan dan banyak lagi, semua itu sudah menjadi kebiasaan dan tidak pelik. Tetapi apabila melihat orang yang berkopiah dan berserban, bertudung labuh dan berniqob serta menjaga batasan, orang menganggap semua itu pelik dan janggal.

Mengapa semua ini terjadi? Adakah kita mahu negara kita ini menjadi seperti negara Arab di Palestin, baru kita mahu mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya? Atau adakah kita mahu negara kita menguatkan akta pengharaman memakai tudung seperti di negara Eropah, baru kita mahu mula bertudung?

Apabila kita sudah selesa dengan kedudukan yang ada, pasti sukar untuk mengubahnya…hanya insan terpilih sahaja yang akan melakukan perubahan tersebut. Dan mahukan kita menjadi insan yang biasa-biasa sahaja sedangkan syurga itu tinggi martabatnya dan mahal nilainya?

Semalam, ana sempat membuat sedikit survey di facebook untuk melihat setakat mana pemikiran dan pandangan masyarakat dengan bertanya soalan yang sama yang ditanya oleh pensyarah ana.

Dan ramai sekali yang menjawab, “nikmat paling besar adalah nikmat Iman dan Islam”.

Lalu ana bertanya, “Dimanakah nikmat Ihsan? adakah ditolak tepi?”

Dan tidak ramai yang mampu menjawab. Ana tertarik dengan komen dari seorang sahabat tentang ini. Katanya…

Ihsan adalah sebahagian dari Nikmat Islam, sama seperti Nikmat Iman itu sendiri adalah sebahagian dari nikmat Islam. Merujuk kepada hadis 40 (imam An-Nawawi) (hadis no2) Jibril minta Nabi saw jelaskan tentang Islam, Iman dan Ihsan. Ini kerana ketiga nikmat ini adalah dalam satu nikmat yang besar iaitu Islam. Yg membezakan ketiga nikmat ini ialah level/tahap/ kedudukan seseorang hamba di sisi Allah swt”

“Huraian ana : (seseorang/sesiapa sahaja yang ingin mencapai tahap ihsan mesti beriman kepada rukun iman dan rukun Islam atau dengan lebh mudah perlu mengimani semua rukun iman dan Islam. manakala untuk memperolehi nikmat Iman, mereka perlu kepada nikmat Islam. seseorng yang dikatakan beriman semestinya dia Islam dan belum pasti orang yang beriman, dia bersifat Ihsan.”

“Manakala, seseorang yang Islam, belum pasti dia beriman dan mustahil dia bersifat ihsan. Adapun seseorang yang ihsan, wajib dan mesti dia Islam dan Beriman..Kerana level inilah yg membezakan kedudukan seseorang hamba di sisi Allah swt.”

 “sebagai contoh, seseorang yang beriman kepada Allah swt sbg Tuhan seluruh alam, tidak semestinya dia beriman kepada Nabi Muhammad saw. Tetapi jika dia beriman kepada Nabi Muhammad saw, wajib dia juga beriman kepada Allah swt. Begitu juga dengan tahap ubudiyyah seorang hamba..ada hamba yang beribadah kerana balasan pahala dan syurga, ada juga yang beribadah kepada Allah swt mengharapkan keredhaannya”

untuk mudah faham...Ihsan terkumpul dalam Iman dan Iman terkumpul dalam Islam. Jika dia orang Islam, belum pasti dia beriman (sebab itulah banyak maksiat yang berlaku). Jika dia Islam dan beriman, belum pasti dia Ihsan (sebab tu banyak ibadah yang tidak ikhlas) Dan jika dia seorang yang ihsan, mesti dia Islam dan beriman.

Mungkin ada yang bertanya, apakah itu Ihsan? Baiklah, Ihsan dari segi bahasanya adalah membuat sesuatu yang baik. Tetapi dari segi syara’ pula adalah peribadatan insan terhadap Allah  seolah-olah dia melihat Allah. Seandainya dia tidak melihat Allah, maka yakinlah bahawa Allah melihat dirinya, peribadatannya dan mengetahui isi hatinya.

“Ihsan itu apabila engkau beribadat kepada Allah, seakan-seakan engkau melihat Allah. Jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”
(Riwayat Muslim)

Nah….inilah solusinya kepada masalah riak, bangga diri, kufur nikmat, dengki, prasangka buruk, mengumpat, mencuri, merompak, dan banyak lagi gejala sosial yang melanda dalam masyarakat Islam kini.

Kerna apa ana katakan ini solusinya? Kerna dia tahu Allah melihat apa yang dia lakukan tidak kira dimana dia duduk. Malah ada dua malaikat penjaga yang mencatit segala perbuatan yang dilakukannya setiap detik dan saat…Allahuakbar.

Seperti kisah yang seringkali kita dengar ini. Ada seorang guru yang mahu menguji anak muridnya. Lalu beliau berikan setiap seorang seekor ayam dan sebilik pisau untuk disembelih. Dan tuan guru tadi berkata, “sembelihlah ayam ini ditempat orang yang tidak melihat kamu”.

Maka berjalanlah setiap anak muridnya mencari tempat tersorok supaya tidak dilihat oleh orang lain. Dan masing-masing pulang dengan tangan yang berlumuran darah serta ayam yang sudah disembelih di tangan masing-masing kecuali seorang dalam kalangan mereka yang tidak menyembelih ayam tersebut.

Lalu, tuan guru tersebut bertanya kepada anak murinya, “mengapa kamu tidak menyembelih ayam tersebut seperti sahabat-sahabatmu yang lain?”

Maka anak murinya itu menjawab, “wahai tuan guruku, bagaimana saya mahu menyembelih ayam ini sedangkan semua tempat yang saya pergi dilihat oleh Allah. Saya menyorok di bawah rumah, Allah juga melihat. Saya menyorok dalam semak, Allah juga melihat. dan Saya menyorok dalam perigi lama juga, Allah melihat.” 

“Sudah banyak tempat saya pergi, tetapi Allah tetap melihat apa yang saya lakukan sedangkan tuan guru memberitahu supaya menyembelih ayam ini ditempat yang orang yang tidak nampak apa yang kita lakukan….”

Maka benarlah tekaan tuan guru tersebut bahawa anak muridnya ini bakal menjadi ulama’ yang terkemuka suatu hari nanti kerna peribadinya sentiasa takut kepada Allah s.w.t…

Jadi, terjawablah teka teki tajuk artikel kali ini. Ihsan adalah penapis Iman yang cukup-cukup hebat dan berkualiti. Mampu menapis tudung-tudung yang tidak ikut syariat, mampu menapis filem-filem atau cerita yang tidak senonoh dipandang mata, mampu menapis kata-kata yang lagha dan sia-sia, mampu menapis hati dari ego, buruk sangka dan dengki terhadap orang lain. Dan banyak lagi.

Tetapi bagaiman untuk mendapatkan penapis Iman ini? Ana ada cara, setiap hari dan setiap detik, katakan pada diri…

“Allah sentiasa bersamaku, Allah sentiasa melihatku, Allah sentiasa menjadi saksiku”

Buat para da’ie, para murobbi, para ibu bapa, para kaunselor dan kesemuanya. Didiklah masyarakat kita supaya takut dengan Allah s.w.t…dan pasti masalah gelaja sosial yang semakin rumit ini dapat diatasi sedikit demi sediki…insyaAllah… wallahua’lam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)