Jumaat, 26 Mac 2010

MATAKU JADI SAKSI...


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada insan kerdil lagi hina ini untuk terus beribadat kepada_NYA. Selawat & salam buat kekasih tercinta yang sentiasa dirindui sepenuh hati, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat dan tabi’in skalian.
Detik cemas pagi semalam masih terbayang dimataku. Mata ini yang menjadi saksi atas peristiwa kelmarin. Ya Allah….sungguh menakutkan, sungguh menginsafkan juga amat memberi pengajaran…
Sebelum perasmian Karnival Konvokesyen UUM lagi ana dah pertikaikan, kenapa mesti mewajibkan pelajar yang mengambil kelas kokurikulum ini untuk melihat perarakan yang sedikit pun tidak mendatangkan faedah sehingga diwajibkan sedangkan waktu itu kuliah masih ada. Ana terpaksa ponteng kelas hari tu kerna diwajibkan atas markah untuk kelas kokurikulum.
Terasa nak marah pun ada, ini ke yang dinamakan universiti. Benda yang tak berfaedah nie boleh diwajibkan sedangkan program Islamic tak pula diwajibkan. Dunia-dunia….apa nak jadi la..
Awal pagi sekitar jam 8 lebih, tika sampai di padang kompleks sukan. Ustaz yang turut mengajar kelas kerohanian tegur ana, “ukhty, nak gi mana tu?”.
Ana jawab, “nak mai sini la ustaz”.
Ustaz pun balas balik, “wat pe mai sini, dengar lagu suka ria. Tak de faedah”.
Ana pun gelak, faham maksud disebaliknya. Lepas tu ana jawab la “dah tu ustaz, nak wat macam mana”.
XXXXXXXXXXX
Selepas itu, ana dan sahabat-sahabat sekelas pun masuk ke dalam stadium kompleks sukan untuk menyaksikan perarakan dari pasukan palapes, suksis, kontinjen tiap dpp juga kontinjen pancaragam jemputan Kolej Pengurusan Perniagaan.
Selepas majlis perarakan dan perasmian selesai, kami dihiburkan pula dengan kontinjen pancaragam dari dua buah sekolah di Alor Star, dari Tentera Diraja Malaysia juga dari UUM sendiri. Ana pun pelik knapa hati nie nak tengok diaorang buat persembahan pancaragam sedangkan ana tak minat langsung apatah lagi benda hiburan macam nie.
Rupanya ada sesuatu yang Allah s.w.t. nak tunjukkan depan mata ana dan ratusan pelajar yang ada di stadium kompleks sukan. Sewaktu pesawat yang dipandu arwah terbang dari arah belakang ana, beberapa orang pelajar menjerit kerna terkejut sebab pesawat tu terbang rendah sangat dengan asap yang tebal.
Dalam masa yang sama, waktu tu pancaragam dari Tentera Udara Malaysia tengah buat persembahan dan diudara mungkin sahabat mereka. (ana x sure). Ana rasa tak sedap hati saat arwah buat pertunjukan akrobik sebab pesawat yang dipandunya terbang rendah sambil memusingkan pesawatnya.
Orang lain bersorak gembira tika memandang pertunjukan tersebut. Selepas itu, pesawat yang dipandunya naik dalam 5 saat ke udara dan terus menjunam ke bawah. Kami semua yang memandang tertunggu-tunggu untuk melihat pesawat tersebut naik semula hinggakan ada pelajar yang duduk pada mulanya bangun untuk melihat.
Sekitar 30 saat, ana terdengar letupan kecil dan terus nampak kepulan asap hitam naik ke udara. Saat itu, berbagai persoalan bermain diminda kami. Ada yang menyatakan itu hanyalah gimik semata-mata sempena pembukaan Karnival konvokesyen dan tidak kurang juga ada yang terus berlari ke tempat kejadian untuk melihat apa yang terjadi.
Tidak sampai 10 minit, keadaan yang pada mulanya penuh dengan gelak ketawa dan sorakan bertukar menjadi cemas dengan tiba-tiba. Hanya Allah s.w.t. yang tahu perasaan ana saat tu. Pengacara majlis yang tidak tahu menahu meminta kami bertenang, namun tidak seorang pun menghiraukannya. Masing-masing berkejar ke lokasi kejadian termasuk la ana.
Ada yang menyatakan pesawat tersebut terhempas di Kolej Penginapan Pelajar Telekom. Kepala ana ligat memikirkan bagaimana pula pelajar disana, selamatkah?. Namun semua itu tidak betul kerna saat ana tiba di lokasi, pesawat tersebut terhempas dalam dusun yang teramat dalam bersebelah dengan Kolej Penginapan Pelajar Telekom.
Masih kedengaran bunyi beberapa letupan juga berbau asap dari pesawat tersebut. Hampir 20 minit, pasukan keselamatan cuba masuk ke dalam dusun yang tebal tersebut dan masih tercari-cari dimanakah juruterbangnya. Ana cuba juga untuk masuk ke dalam hutan tersebut tetapi patah balik sebab terlalu dalam hutan tempat pesawat tersebut terhempas. Bagi sesiapa yang pernah ke UUM, mesti tahu yang kawasan sekitar kampus nie semuanya hutan tebal.
Dari jauh ana masih dapat lihat asap hitam kesan kebakaran pesawat tersebut, pihak keselamatn UUM tiba untuk mengawal lalu lintas kerna orang ramai mula mengerumuni  lokasi kejadian. Selepas itu, tiba helicopter unit keselamatan di udara. Beberapa kali helicopter tersebut pusing kawasan tersebut untuk mencari tempat yang sesuai mendarat kerna hutan terlalu tebal, sukar untuk mendarat.
Makin banyak pula kenderaan tiba, beberapa buah ambulans dan bomba, selepas itu Unit Perubatan Tentera Diraja Malaysia, Unit Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, juga helicopter Tentera Udara Diraja Malaysia. Tapi sayang, mereka tetap sukar untuk masuk kerna ditengah lokasi kejadian ada sungai yang cukup dalam. Ana dapat lihat pasukan bomba mengangkat paip air yang besar berserta enjin ke lokasi kejadian untuk menyedut air di sungai berdekatan bagi memadamkan kebakaran.
Saat itu, ana tetap dapat rasakan yang pesawat tersebut masih terbakar kerna terdengar beberapa letupan lagi juga asap hitam diudara dari arah lokasi kejadian. Kami semua risau, macam mana la keadaan juruterbang tersebut. Sempat keluarkah? Kalu sempat keluar pun, mungkin sudah parah kerna bantuan lewat tiba akibat lokasi tersebut menyukarkan bantuan keselamatan untuk menghulurkan bantuan.
Berbagai persoalan keluar dari mulut sahabat-sahabat ana, macam mana la dengan family dia bila dapat tau…kesian kat anak dan isteri dia kalu dia dah kahwin. Tak kurang juga mendoakan moga dia selamat. Sahabat ana yang masuk ke lokasi kejadian bagitahu yang pesawat tu tinggal sayap je, yang lain semua hancur. Yang menjadi persoalan kami, adakah juruterbangnya selamat? kerna pihak bomba masih lagi tidak menjumpai mangsa.
Sebaik sahaja ada yang bagitahu juruterbangnya selamat, ana dan sahabat pun balik ke kolej untuk meneruskan tugasan yang perlu disiapkan. Akibat keletihan, ana terlelap. Bangun je dari tidur, ana dapat mesej menyatakan juruterbangnya meninggal. Al-fatihah……
XXXXXXXXXXX
Terus terang ana katakan. Selama ini hanya melihat di televisyen sahaja, tapi semalam…mata ini saksikan segalanya…reality…bukan fantasi atau mimpi… segalanya berlaku dengan begitu pantas. Apabila ajal datang menjelma, tidak ada seorang pun yang mampu menghalangnya.
Terdetik dihati, bagaimana pula keadaan ku tika dijemput menghadap ilahi nanti…Ya Allah…
Takziah ana ucapkan kepada keluarga arwah Mejar Muhammed Zulrihan Jusoh, moga rohnya berada dalam kalangan orang-orang yang beriman..ameen..
Wassalam………
 JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",) 

BERITA TERGEMPAR..


Penuntut UUM rakam detik terhempas

KUALA LUMPUR: Detik akhir pesawat Pilatus PC-7 MK II milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejurus sebelum terhempas di kawasan hutan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mengorbankan juruterbangnya, Mejar Muhammed Zulrihan Jusoh, pagi semalam, disaksikan ratusan pelajar yang menghadiri Karnival Konvokesyen Ke-23 universiti itu.

Rakaman video menggunakan telefon bimbit yang diperoleh Berita Harian Online daripada seorang pelajar UUM, menunjukkan pesawat kendalian Allahyarham Muhammed Zulrihan menjunam sambil berpusing-pusing di luar kawalan selepas melintas ruang udara Kompleks Sukan UUM dan melakukan aksi aerobatik pendakian menegak. Pelajar berkenaan yang pada mulanya bersorak gembira kerana menyangka aksi itu sebagai sebahagian daripada pertunjukan udara, tergamam apabila pesawat berkenaan tidak muncul selepas melewati perdu pokok di kawasan hutan itu, diikuti beberapa letupan dan kepulan asap hitam di udara.

Ketika kejadian, pengacara majlis masih lagi membacakan butiran pertunjukan udara itu manakala sebilangan pelajar yang menyedari pesawat malang itu sudah terhempas mula bergegas ke kawasan nahas.

Suasana yang sebelum itu ceria lantas bertukar cemas apabila ramai pelajar, khususnya wanita, menyedari mereka baru saja menyaksikan tragedi yang mengorbankan nyawa juruterbang TUDM.

Saksikan rakaman detik akhir sebelum nahas itu di Berita Harian Online htttp://www.bharian.com.my.

Tak sangka pesawat terhempas



Oleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my

GAMBAR kiri menunjukkan pesawat Pilatus yang stabil sebelum ia terbang menjunam (gambar kanan) dan terhempas di kawasan hutan berhampiran UUM di Sintok, Kedah semalam. 
 

SINTOK - Tidak terfikir langsung pesawat yang sedang membuat pertunjukan udara sempena Karnival Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-23 bermula semalam terhempas dan mengorbankan juruterbangnya.
Mohd. Amin Ahmad, 21, berkata, semasa kejadian dia yang berada di tapak pesta UUM nampak jelas bagaimana pesawat itu menjunam ke arah hutan kira-kira 200 meter dari tapak pesta.
"Pesawat itu telah membuat dua pusingan di tapak pesta dengan terbang rendah sebelum pada pusingan ketiga ia terbang tinggi mencapai 90 darjah.
"Secara tiba-tiba pesawat itu menjunam ke bawah dengan laju di samping mengeluarkan asap putih sebelum terhempas," cerita Mohd. Amin.
Pertunjukan udara oleh TUDM itu adalah sebahagian daripada persembahan dalam upacara perasmian Karnival Konvokesyen Ke-23 Sidang Pertama UUM yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 Mac ini.
Pesawat tersebut berlepas dari Kolej Tentera Udara Alor Setar pada pukul 10.03 pagi untuk membuat pertunjukan namun ia terhempas 12 minit kemudian.
Mengikut atur cara UUM, selepas upacara gimik perasmian oleh Naib Canselor UUM, Datuk Seri Nordin Kardi, pertunjukan udara TUDM adalah yang pertama memulakan persembahan diikuti persembahan pancaragam dan penyerahan replika cek penaja utama karnival konvokesyen tersebut.


Rabu, 24 Mac 2010

2 S : SYUKUR & SABAR


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…syukur ke hadrat ilahi kerna masih memberi peluang kepada insan kerdil lagi hina ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Yang Maha Esa, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga para sahabat dan tabi’in skalian..
Alhamdulillah Ya Allah..diri ini menulis artikel ini dalam keadaan hati yang tenang juga ikhlas dalam berkongsi perjalanan hidup bersama para pembaca. Moga-moga diri ini sentiasa bersyukur atas kurniaan nikmat Iman & Islam ini. insyaAllah…amen…(^_^)
Dua hari lepas, waktu ke Pusat Islam menguruskan paperwork program seterusnya, ana dipelawa oleh staf untuk makan. Slalu murah rezeki bila ke masjid, mesti akan ada makanan..alhamdulillah..ana dengan staf Pusat Islam ibarat saudara kandung, memang rapat..inilah ukhuwah fillah..bersulamkan keimanan kerna Allah s.w.t… kalu tak jumpa, rindu sangat..mesti contact lepas tu..(“,)
Kebetulan, ana tak bawa air minuman. Tanya kak dakina,“akak, ada air masak kosong tak?”. Ustazah yang duk sebelah ana pandang ana sambil dahi dia berkerut,“erm…air masak…lepas tu….kosong…macam mana tu ek?”. Ana pun gelak, sambil hati berbisik,“a’aaa..kan….macam mana la ayat aku tu”.
Lepas tu, terkeluar la bab air nie..ana dan staf lain dengar la cerita dari Ustazah Madihah…katanya…………..
XXXXXXXXXXXXX
suatu masa dulu, ada seorang perempuan yang cukup cantik dan baik akhlaknya tinggal bersama suaminya dipadang pasir yang punya tempat takungan air bersih. Tika suaminya tidak ada dirumah kerna pergi berdagang barang dagangan, datang la beberapa orang pemuda yang mengawal laluan untuk keselamatan para pedagang ke rumah perempuan tersebut.
Mereka sudah kehabisan air dah terasa amat dahaga sekali kerna cuaca terlalu panas. Lalu salah seorang pemuda dari mereka menyatakan hajat kedatangan mereka ke tempat perempuan tersebut. Pemuda itu meminta jasa baik perempuan tersebut supaya memberikan mereka sedikit air untuk di minum kerna seharian suntuk mereka tidak minum.
Perempuan tersebut merasa serba salah kerna dia perlu meminta izin dari suaminya kerna telaga takungan air tersebut adalah milik suaminya dan diamanahkan kepadanya untuk dijaga dengan baik. Atas belas kasihan melihat keadaan mereka yang benar-benar kehausan, perempuan tersebut mengizinkan mereka minum dengan hanya untuk menghilangkan dahaga sahaja.
Selang beberapa minit, jauh di satu tempat debu berterbangan di udara menandakan suaminya akan pulang. Melihatkan keadaan itu, perempuan tadi menunggu kepulangan suaminya seperti selalu.
Sebaik suaminya tiba dihalaman rumah, perempuan tadi terus dimaki hamun dan ditengking oleh suaminya yang panas baran kerna memberi air minuman kepada pemuda-pemuda tadi tanpa izin darinya. Perempuan tadi hanya tersenyum sambil mencium tangan suaminya serta memimpin suaminya masuk ke dalam rumah serta menyiapkan segala persiapan untuk suaminya membersihkan diri.
Pemuda-pemuda tadi yang melihat kelakuan wanita tadi kehairanan lalu bertanya kepada perempuan tersebut, “saudari, wajahmu sungguh cantik jelita dan baik hati tetapi kami tidak mengerti kenapa kamu tidak memilih suami yang lebih baik darinya sedangkan wajahmu itu sudah cukup membuatkan ramai orang lain terpesona denganmu?”
Lalu perempuan itu menjawab, “Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya dua benda iaitu syukur dan sabar. Ya..aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerna DIA mengurniakan wajah yang cantik kepadaku. Jadi, aku juga perlu bersabar dengan sikap suamiku. Aku sudah bersyukur jadi aku mahukan kesabaran, jadi aku bersabar. Walau apa pun, dia tetap suamiku..”
XXXXXXXXXXXXX
Subhanallah…bukan mudah untuk melakukannya terutama sabar. Mudah diucap dengan kata-kata tapi sukar untuk dilaksanakan. Pagi tadi sahabat ana mesej, tanya macam mana nak sentiasa rasa gembira or happy. Ana jawab la, ada dua benda yang boleh buatkan kita sentiasa rasa gembira iaitu syukur dan sabar.
Macam mana syukur dan sabar tu? Bagi ana, antara syukur dan sabar. Sabarlah yang agak sukar diperolehi kerna itu Allah s.w.t. bersama-sama dengan mereka yang bersabar sepertimana Firman Allah s.w.t.:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. menyertai orang-orang yang sabar”
(Surah Al-Baqarah, ayat 153)
Dan jika kita bersyukur atas segala nikamat yang telah DIA berikan kepada kita. Allah s.w.t. akan tambahkan lagi kurnianya kepada mereka yang bersyukur sepertimana Firman Allah s.w.t.:
“Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahkan nikmatku kepada kamu”
(Surah Ibrahim, ayat 7)
ana ada baca satu kisah sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Saidina Ali r.a…Dalam suatu peperangan yang disertainya, ada seorang musuh Islam berlawan dengannya, masing-masing menunjukkan kehebatan tersendiri. Dia menggunakan taktik dengan meludah ke muka Saidina Ali r.a. dan seterusnya menghilangkan diri setelah berpuas hati dapat berbuat demikian.
Satu ketika, Saidina Ali r.a. terserempak kembali dengan musuh Islam tadi. Akhirnya dia tewas ditangan Saidina Ali r.a…pedang Saidina Ali r.a. betul-betul berada dileher musuh islam tersebut. Tetapi Saidina Ali r.a. berkata sambil mengangkat pedangnya, “aku tidak akan membunuhmu kerna aku takut aku membunuhmu akibat perasaan marahku diatas perbuatanmu tadi dan bukan niat kerna Allah s.w.t.”
Subhanallah, diri ini juga tidak sesabar Saidina Ali r.a..tapi tidak mustahil untuk mentarbiyah diri kearah yang lebih baik..insyaAllah..sama-sama kita maju selangkah ke hadapan dalam mengejar cinta ialhi..
XXXXXXXXXXXXX
Dalam kehidupan seharian kita, yang kaya dan yang miskin. Bagi orang kaya, mereka mendapat apa yang mereka inginkan dan mereka bersyukur kepada Allah s.w.t…bagi orang miskin pula, mereka hanya mendapat apa yang benar-benar perlu sahaja dan kadang-kadang tidak cukup dan mereka bersabar.
Begitu juga dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara cuma ini. Apabila kita mendapat apa yang kita hajati, kita berasa begitu gembira dan bersyukur kepada Allah s.w.t. atas kurniaan nikmat yang diberikan kepada kita.
Tetapi pabila kepala kita berserabut, banyak benda yang berlaku membuatkan kita rasa seolah-olah tidak mampu untuk menghadapinya dan membuatkan kita jatuh terduduk. Namun, kita bersabar dengan ketentuan yang telah ditetapkan akan terbit perasaan tenang dan happy…insyaAllah..
“bersyukur pabila memperolehi apa yang dihajati…alhamdulillah…
&
Bersabar tika diberi ujian olehNYA..innalillah wa innailaihirojiun…”
Jom Tingkatkan iman kita..(^_^)
Wassalam…….
 JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)

Sabtu, 20 Mac 2010

SUMBER KEKUATANKU…


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah….syukur ku ke hadrat ilahi kerna masih diberi kesempatan untuk menghirup udara_NYA. Selawat dan salam buat Imam seluruh Umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. & kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat dan tabi’in skalian…
Alhamdulillah…inilah hujung minggu kali ke-2 untuk semester nie ana ada dibilik sepanjang hari menghabiskan assignment juga paperwork yang perlu disiapkan, selalunya menghilangkan diri dengan berbagai program dan kuliah. Ada masanya sang da’ie juga perlukan masa untuk mengumpul kekuatan diri kerna mereka juga punya kehidupan sendiri…Alhamdulillah…(^_^)
Ana ingin kongsikan pengalaman ana seperti yang dijanjikan pada catatan yang lepas. Moga-moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua, insyaAllah…
Kembara Sufi Di Bumi Tuhan, bermula………………(^_^)
XXXXXXXXXXXXX
Satu minggu yang lepas, hari sabtu. Ana dan 2 orang lagi sahabat dijemput untuk menjadi fasilitator bagi program “Semarak Budi Jalinan Kasih” di Asrama Akhlak Perempuan Jitra, Kedah. Waktu tu ada kelas kerohanian tetapi atas keizinan Ustaz, kami diberi pelepasan untuk menyertai program nie.
Hati ini berdebar tika sampai disana, memandang wajah-wajah yang pernah berada dalam dunia kegelapan tetapi dipilih oleh Allah s.w.t. untuk kembali semula ke jalan yang benar dengan diselamatkan oleh insan yang prihatin terhadap remaja yang bermasalah. Alhamdulillah…
Saat tiap dari mereka dibahagikan kumpulan untuk slot latihan dalam kumpulan (LDK) bagi sesi ice breaking juga ‘setenang air dikali’ dan ‘indahnya hidup bersyariat’. Ana dan sahabat-sahabat diberi amanah untuk memegang satu kumpulan tiap seorang dengan dibantu oleh ajk program.
Kami diamanahkan untuk mengajarkan kepada mereka berkaitan wuduk dan solat. Tetapi sebelum acara itu tiba, sempat juga kami berta’ruf satu sama lain. Mereka semua dalam lingkungan belasan tahun. Rupanya-rupanya baru ana tahu, kebanyakan dari mereka tinggal di luar Kedah. Ada dari Timur, Selatan juga disemenanjung Borneo. Terasa pelik kenapa dari jauh dihantar ke Utara Malaysia.
Ajk program yang bersama ana meminta beberapa orang dari kalangan mereka menceritakan berkaitan pengalaman sepanjang berada di rumah akhlak ini juga di luar secara sukarela. Dan ada seorang dari kalangan mereka sanggup menceritakan pengalamannya setelah keluar dari rumah akhlak ini.
Dia memulakan bicaranya,“saya nie anak bongsu dalam keluarga, umur 18 tahun, masuk sini sebab terlalu sosial hingga tak dapat dikawal. Lepas keluar dari rumah akhlak nie, semua orang ejek saya. Diaorang cakap saya nie runtuh akhlak dan macam-macam lagi. Sebab malu dan tak sanggup berdepan dengan diaorang saya mintak untuk masuk sini balik
Berdesing telinga ana saat dia sebut, “Lepas keluar dari rumah akhlak nie, semua orang ejek saya. Diaorang cakap saya nie runtuh akhlak dan macam-macam lagi
Hati ana berbisik,“Ya Allah, apa nak jadi la ngan masyarakat sekarang. Patut la gejala sosial nie makin teruk, salah satu penyumbangnya inilah. Masyarakat memandang seorang kepada mereka yang sudah ‘kotor’, walhal mereka sudah insaf”.
Lepas dengar luahan salah seorang dari mereka, ajk yang mintak diceritakan pengalaman adik-adik nie cepat-cepat ubah topic serta meminta ana teruskan slot yang seterusnya. Ana faham kenapa dia berbuat demikian.
Segala ilmu yang ana pelajari dari Murobbi ana, ana curahkan kepada mereka. Sabar melayan segala pertanyaan mereka berkaitan wuduk dan solat nie. Bermula dari amali hinggalah ke praktikalnya. Nampak kesungguhan mereka mencatat segala yang keluar dari mulut ana. Alhamdulillah..moga-moga mereka mengamalkannya…
Selepas selesai slot tersebut, masa yang masih berbaki ana bentukkan mereka dalam halaqah. Ana katakan ada sesuatu yang ingin ana pesankan sebelum mereka makan tengahari.
adik-adik akak, akak harap kamu semua dapat amalkan apa yang akak berikan kepada kamu. Solat inilah yang akan menjaga dan mencegah kamu daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Rasailah kehadiran Allah s.w.t. tika kamu rukuk dan sujud kepada_NYA… Allah s.w.t. itu amat dekat sekali dengan adik-adik sekalian, DIA Maha Pengampun juga Maha Penyayang kepada hamba-hamba_NYA
akak sedih bila mendengar kawan adik ceritakan pengalamannya, tak sanggup untuk mendengar kawan adik yang lain ceritakan pengalaman sendiri. Mungkin adik rasakan kami ini tidak memahami apa yang kamu rasakan , kamu silap jika fikirkan sedemikian. Akak juga punya adik sebaya dengan kamu.”
“ Percayakah kamu jika akak katakan, akak pernah lihat orang yang sedang mabuk minum arak, orang yang sedang khayal tika hisap gam, remaja punk dengan pakaian yang tak senonoh, pernah ke pusat karaoke melihat anak-anak melayu Islam melepak tanpa hala tujuan hidup, pernah ke sarang maksiat dengan dipenuhi gambar-gambar lucah serta tinggalan barang penagih dadah, penghisap gam, peminum arak?”. Mereka semua memandang ana dengan muka yang terkejut termasuk ajk program yang bersama ana.
“tetapi sedikit pun tidak terdetik di hati akak menyatakan mereka yang terjebak dengan gejala sosial nie “kotor” atau sampah masyarakat. Akak turun ke tempat-tempat yang disyaki dengan niat untuk membawa mereka semua ke jalan kebenaran, menyedarkan mereka bahawa semua masalah yang mereka hadapi tidak akan selesai dengan memberontak seperti itu malah hanya membinasakan diri”
Ana tanya kepada mereka,“adik-adik kenal Rasulullah s.a.w.?
Mereka semua mengangguk, “tidak pernah sekali Baginda s.a.w. melupakan umatnya hatta disaat kematiaannya juga. Bibirnya menyebut ummati…ummati…ummati.. sehingga Baginda s.a.w. meminta ditimpakan semua kesakitan sakaratul maut umatnya keatas dirinya. Renunglah betapa kasihnya Baginda s.a.w. kepada umatnya, kepada adik-adik…tapi…adakah adik-adik ingat Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. tika buat maksiat??”
Mereka semua tunduk memandang lantai surau dengan diam seribu bahasa. Hati ana sebak untuk meneruskan bicara, tiap kali teringat kasih Rasulullah s.a.w. kepada umatnya.
“masih belum terlambat untuk adik-adik semua berubah, Allah s.w.t. itu Maha Pengampun adik-adik, bertaubatlah kepada_NYA. Teruskanlah perjalanan adik-adik yang tertangguh buat seketika, pedulikan apa yang masyarakat katakan kepada adik-adik…buktikan kepada mereka bahawa orang seperti adik-adik juga berguna untuk Islam”.
XXXXXXXXXXXXX
Diakhir program, kami semua bersalam dengan mereka. Terasa berat dihati untuk meninggalkan mereka, ingin sahaja ku minta untuk tinggal bersama-sama mereka. Membimbing mereka ke jalan yang benar, menjadi pendengar setia segala masalah yang mereka alami. Namun apa daya, ana juga masih perlu meneruskan kehidupan sebagai pelajar juga da’ie.
Saat bersalaman dengan mereka, tiap dari mereka ana titipkan pesanan ditelinga mereka. Ana katakan, “akak nak adik janji ngan akak yang adik akan berubah, kejar semula cita-cita dan impian yang tertangguh, adik kena bantu akak tarik kawan-kawan adik yang masih hanyut ke jalan kebenaran” mereka mengangguk sambil berkata,“akak doakan kami ye”…
Ana jawab,“akak sudah doakan kamu semua sejak akak jejak kaki kesini dari pagi tadi lagi”…ana lap air mata tiap dari mereka. Mahu mereka rasakan bahawa masih ada yang sayang dan prihatin terhadap mereka.
XXXXXXXXXXXXX
Ya Allah…memori bersama dengan mereka masih segar diminda ana walaupun sudah seminggu berlalu. Ana nak letak gambar saat bersama dengan mereka tapi semua gambar ana tak dapat ambil lagi dari sahabat ana memandang minggu nie teramat sibuk.
Mereka sumber kekuatan ana, tiap kali teringat kenangan bersama mereka rasa lemah semangat dengan apa yang berlaku sepanjang minggu nie terus hilang. Hati yang resah dan kepala yang berserabut kembali aman sambil hati berkata, “Allah s.w.t. memilih aku untuk berada dijalan da’wah ini, macam mana aku boleh terfikir untuk mengalah sedangkan mereka semua memerlukan aku…”
Tidak henti-henti ana menyatakan kesyukuran kepada Allah s.w.t….. Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah Ya Allah….(^_^)
~IKLAN~
Selamat Pengantin Baru Buat
Kak Khalidah dan suami,
Sahabat seperjuangan ana,
Mantan Timb. President Rakan Masjid Imam as-Syafie.
Ana doakan moga kekal hingga ke syurga, insyaAllah akan lahir generasi acuan Al-Quran menyambung perjuangan da’wah umie dan abinya nanti..ameen..
Wassalam…..
 JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(",)

Khamis, 18 Mac 2010

UJIAN MEMATANGKAN KITA….


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah..syukur ku ke hadrat ilahi kerna masih memberi peluang kepada insan kerdil lagi hina ini untuk terus beribadat kepada_NYA. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. & kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat & tabi’in skalian…
Alhamdulillah…baru punya kesempatan untuk menulis.. asif ya semua…ana terlalu sibuk minggu nie, banyak sangat benda yang berlaku hinggakan empunya badan pun tidak cukup rehat. “tarbiyah” yang ana terima minggu lepas seperti catatan yang lepas membuatkan ana terus teguh untuk melalui apa yang berlaku dalam minggu nie..
Betul…hati ini terasa tenang sekali…seolah-olah segala masalah dapat diatasi dengan mudah walaupun akal fikiran yang waras menyatakan tidak… Alhamdulillah Ya Allah..
Ana teringat kata-kata seorang sahabat tika menghantar paperwork yang ana minta untuk program semester depan:
hidup tidak akan indah jika tiada sebarang ujian..kerana ujian mematangkan kita dan dengan ujianlah akan mengertikan sebuah kehidupan...Ujian tidak akan menima jika kita tidak mampu memikulnya...kadang-kadang orang yang hebat adalah kerana hebatnya ujian...”
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya….”
-Surah al-Baqarah ayat 286-
Benar..sungguh mendalam maksudnya..tapi ana mengerti apa yang ingin dia sampaikan… sepertimana juga ana pernah coretkan pada artikel yang lepas. Segala sesuatu yang berlaku ada hikmahnya, kita merasakan hal itu adalah yang terbaik sedangkan Allah s.w.t. lebih mengetahuinya. Setelah hal itu berlalu barulah kita menyedari hal itu terbaik buat kita atau tidak.
Sepertimana Firman Allah SWT bermaksud:
“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah, barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”
(Surah At-Taghaabun ayat 11)
Alhamdulillah…ana mula mengerti dan mengetahui hikmah tersebut…syukur Ya Allah…Engkau memberikan apa yang aku perlukan, bukan apa yang aku mahukan kerna Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik  buat diriku….
“Apabila hambaku bertanya kepadamu(wahai Muhammad) berkenaan aku, sesungguhnya aku amat dekat. Aku memperkenankan permohonan yang berdoa apabila dia berdoa kepada Aku, hendaklah mereka itu memenuhi (perintah_ku) dan beriman kepada_ku, agar mereka memperoleh kebenaran”

(Surah Al-Baqarah ayat 186.)

Doa itu adalah senjata orang Mukmin dan merupakan kekuatan buat diri ana. ana tahu DIA Maha Mendengar juga Maha Melihat segala yang berlaku. Tika ujian melanda, hati ana sentiasa rindu untuk sujud dan mengadu kepada_NYA. Memohon doa moga segala yang berlaku dipermudahkan juga tarbiyah buat diri ini.
Hidup dalam perjuangan menegakkan hak bukannya mudah, tidak semudah yang diungkapkan oleh kata-kata. Apatah lagi ada “sesuatu” yang cuba untuk merebahkan kita secara halus atau kasar. Namun jika jiwa sudah digenggam oleh_NYA, tidak ada satu pun yang mampu menjatuhkannya.
Ana teringat kata-kata seorang ustaz bila mana menghuraikan tentang keyakinan diri dalam majalah solusi. Beliau menyatakan,“tidak ada satu pun yang mampu menjatuhkannya melainkan dia dikalahkan atau dijatuhkan oleh dirinya sendiri”.
Betul, jika hati berkata ingin berundur dari dunia da’wah..lawan hingga hati berkata mahu meneruskan jihad. Jika hati berkata malas nak study, lawan hingga hati punya mood untuk study. Semua bergantung pada diri kita sendiri dan bukannya orang lain.
Alhamdulillah…walaupun hati ini pernah menyatakan mahu berundur tapi Allah s.w.t. masih mahukan ana berada dalam dunia perjuangan da’wah ini. Doakanlah moga hati ana ditetapkan dalam perjuangan da’wah ini juga tabah dan sabar tika diuji oleh_NYA sepertimana Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Dan sungguh, kami benar-benar akan menguji kamu sehingga kami mengetahui orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan kami uji perihal kamu…”
(Surah Muhammad, ayat 31)
Ana juga berdoa moga Allah s.w.t. memudahkan segala urusan para pejuangnya, membantu kami dalam menyambung perjuangan yang telah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tinggalkan buat umat masa kini..insyaAllah..
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
(Surah Muhammad, ayat 7)
Ana mendapat sedikit kekuatan tika menyertai program di suatu tempat pada sabtu yang lepas…insyaALLAH akan ana coretkan pada artikel yang akan datang supaya ianya menjadi sumber inspirasi juga kekuatan buat sahabat-sahabat pembaca sekalian…insyaAllah…(^_^)
Wassalam…
 
 JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)

Khamis, 11 Mac 2010

REDHAKAH AKU….???


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah..syukur ku kehadrat Allah s.w.t. kerna masih memberi kesempatan kepada hamba ini untuk terus beribadat kepada_NYA. Selawat & salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat & tabi’in..
Sebelum para pembaca sekalian meneruskan pembacaan, ikhlas ana katakan. Apa yang bakal dibaca ini adalah untuk dijadikan pedoman dan pengajaran buat kita semua. Bukan untuk menyatakan bahawa diri terlalu mulia atau hebat, jadikanlah kisah ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Allah s.w.t. dengan ikhlas.
Dalam satu minggu nie, pengembaraan ana seolah-olah menjadi begitu perlahan. Terasa seperti kepenatan yang amat sangat dengan perjuangan ini. Seperti hati ini mahu “berehat” di alam sana. Namun, cepat-cepat istiqhfar…astaghfirullahhalazim… moga Allah s.w.t. mengampunkan apa yang ku fikir dan rasakan itu..
Kembara Sufi Di Bumi Tuhan, bermula………….
XXXXXXXXXXX
Ana dan sahabat-sahabat sekuliah mengikuti Kegiatan Luar Kampus (KLK) yang wajib disertai oleh semua pelajar Kokurikulum mengikut subjek yang diambil. Dan ana mohon pada pensyarah untuk diberi 1 slot kerna ada sesuatu yang ingin ana kongsi kepada sahabat-sahabat ana memandangkan ini adalah semester akhir untuk kami mengikuti subjek nie.
Beberapa hari sebelum kejadian, ana bertungkus lumus menyiapkan slide untuk dibentangkan disaat banyak meting dengan barisan kepimpinan serta exam pertengahan semester dan assignment yang perlu dihantar. Semua itu ana telan sendirian semata-mata mahu menyiapkan slide tersebut. Memang tak cukup tidur sebab perlu buat kajian yang lebih mendalam serta perlu mengetahui banyak hal.
Disebabkan badan tidak mampu menampung keadaan yang terlalu keletihan juga tidak cukup tidur, akhirnya ana demam lagi. Pada malam sebelum program dalam keadaan suhu badan yang panas mendadak, ana siapkan jugak slide tersebut dan mengedit apa yang perlu.
Tika dalam perjalanan ke tempat program, ana terus lena kerna terlalu keletihan yang amat. Alhamdulillah, Allah s.w.t. permudahkan urusan ana walau banyak benda yang berlaku.
Hendak dijadikan cerita, entah macam mana. Masa yang ada terlalu suntuk dan peruntukan masa yang diberikan memang tidak mencukupi ditambah pula dengan LCD yang tidak berfungsi. Akhirnya, ana berbincang dengan pensyarah untuk membatalkan pembentangan ana.
Saat itu, ana redha dengan apa yang berlaku. Ada hikmahnya, yang penting ana sudah berusaha cuma DIA yang tidak mengizinkannya dan ana yakin pasti ada sesuatu yang ingin DIA ajarkan kepada ana.Akhirnya, kami balik awal dari aturcara sebenar kerna slot ana dibatalkan.
Dikala diuji itu, ana tenang sangat, terasa ada kedamaian yang masuk dalam sanubari ana. sahabat-sahabat yang memandang ana pula yang risau kot-kot ana jadi lemah sebab mereka tahu, tiap sesuatu yang ana buat bukan sia-sia tapi ada sebabnya.
XXXXXXXXXXX
Beberapa hari selepas itu pula, ana diuji lagi. Kakak ana serta sahabat seperjuangannya disana mengadakan satu program besar-besaran anjuran Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dengan kerjasama Islamic Propagation Society International (IPSI) di USM, jadi dia jemput ana untuk kesana iaitu hari nie.
Ana katakan padanya, untuk kesana tu boleh tapi nak balik tu akan ada masalah sebab kawalan keselamatan di pintu utama Universiti semakin diperketatkan. Tambahan pula akan sampai ke kampus semula lewat malam. Jadi, ana cadangkan untuk bawa sahabat-sahabat ana untuk turut serta seramai 1 bas.
Nak balik hari Jumaat, ana ada program juga diluar kampus. Akhirnya, ana bincang dengan sahabat-sahabat untuk mohon kelulusan dari pihak atasan untuk kesana dengan ditanggung sedikit kos pengangkutan bas.
Pada hari ana nak minta kelulusan tu, kelas ana full dari pagi sampai petang dan hanya ada rehat untuk waktu tengahari sahaja. Dalam masa yang sama juga sedang menguruskan untuk mintak kelulusan untuk mengadakan forum perdana.
Nak jimat masa, ana beli nasi dan makan dalam bilik kuliah sementara tunggu pensyarah masuk. Ada je jarak, ana terus ke Pusat Islam untuk print surat kelulusan ke USM. Memang kalut saat tu, lepas settle. Ana balik semula ke kelas, Alhamdulillah…ustaz batalkan kelas. Ana terus jumpa pegawai atasan untuk minta kelulusan tu. Tapi sayang, beliau menolak untuk kami kesana.
Ana terkedu, lidah jadi kelu saat tu. Tak mampu berkata apa-apa, ana terus keluar lepas ucapkan terima kasih. Ana cuba tahan rasa sebak dan terkilan dihati dengan menyatakan ada hikmah dan “tarbiyah” yang DIA ingin ajarkan kepada ana.
Tapi, ana tak mampu menanggungnya. Air mata terus mengalir untuk mengurangkan rasa “sakit” dihati sambil mulut tak henti-henti istiqhfar supaya hati tak bersangka buruk dengan sesiapa mahupun Allah s.w.t.
Bayangkan, disebabkan tak berhenti jalan ke sana ke mari dengan cuaca yang teramat panas di sini menyebabkan kaki ana merekah dengan teruk sehinggakan rasa pedih untuk pijak lantai. Ana kepenatan sangat saat tu, hanya Allah s.w.t. yang tahu. Ana sampai bilik terus bersihkan diri dan solat asar. Saat sujud kepada_NYA, ana berdoa moga hati ini menerima dengan redha dalam keadaan air mata tak berhenti mengalir.
Amat sukar untuk menerima kerna ana benar-benar berharap untuk berada disisi kakak ana, menyokongnya dari belakang sebab ana tahu cabaran yang diterimanya hebat. Kami sama-sama pejuang, juga da’ie…ana memahaminya..kerna itu ana berharap untuk bersamanya..itu mungkin programnya yang terakhir sebelum tamat pengajian tahun nie.
Yang membezakan antara kami adalah, kakak ana memilih untuk berda’wah kepada non_muslim dan ana pula memilih untuk mengislahkan yang sudah muslim. Dan bila kami bersatu, team kami akan jadi kuat…insyaAllah..
Namun apa daya, hanya doa mampu ku iringinya supaya dia terus kuat dan cekal menempuhnya…ameen..
XXXXXXXXXXX
Dua kisah yang berbeza, juga punya dua rasa yang berbeza…betul tak wahai pembaca sekalian..???
Tapi punya satu persoalan…redhakah aku..???
Ya..adakah kita semua redha menerima ketentuan yang diberikan oleh Allah s.w.t. buat hamba_NYA yang mengaku beriman kepada_NYA. Kita merasakan pilihan yang dibuat itu adalah terbaek buat kita..tetapi..hanya DIA mengetahuinya..sepertimana Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“…..Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
-surah al-Baqarah, ayat 216-
Setakat mana kita memahami ayat diatas. Selalunya, setelah masa berlalu barulah kita mengetahui keputusan yang dibuat itu samaada baik atau buruk dalam hidup kita kerna itu kita disarankan supaya berserah diri dan tawakal kepada_NYA setelah berusaha bersungguhnya.
Jom muhasabah diri…..(^_^)
Wassalam…
 
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(",)