Ahad, 31 Januari 2010

“Gugurnya” Sang Pejuang…


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…syukur ke hadrat ilahi kerna masih diberi nikmat untuk menghirup bayu malam. Selawat & salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat & anbiya’ yang amat ku rindui.
Alhamdulillah Ya Allah…hanya itu mampu ku ucapkan betapa bersyukurnya hamba MU ini kerna ari nie ana baru dapat laptop selepas 3 minggu dihantar ke “klinik” untuk dibaiki…Alhamdulillah…insyaAllah lepas nie, tak de dah terbantut niat untuk menulis lagi…insyaAllah dengan izin dariNYA…Alhamdulillah….
Hati ini begitu rindu yang amat-amat untuk menulis, hanya Allah yang tahu…maaflah duhai sahabatku yang sudi datang menziarahi blog ana tetapi tidak ada artikel yang baru untuk dibaca…asif ya…
Sebenarnya, hati ini merasa suka dalam duka. Baru sahaja dikhabarkan tentang “gugurnya” pejuang yang amat ku kagumi suatu masa dulu. Walaupun diri dan jasadnya berada didepan mata, namun jiwanya sudah mula menerima bisikan syaitan laknatullah sehingga imannya jatuh merudum. Nauzubillah….
Dahulunya, diri itulah yang amat ku kagumi. Laungan jihad tidak pernah lekang dibibirnya…namun kini, semua itu hanya tinggal kenangan. Dirinya sudah tidak seperti yang ku kenal dahulu. Sudah jauh berubah, bak kata orang…hipokrik!
Melakukan ibadah semata-mata mahu orang merasa kagum kepadanya, tidak ubah seperti orang munafik. Bilamana, berada di khayalak ramai dialah yang paling wara’. Namun, jika di belakang orang dialah yang paling penderhaka.
“Gugurnya” bukan kerna mati syahid tapi hanyut dibawa arus dunia. Tenggalam tika belayar di tengah lautan. Terlalu egois untuk mengaku dirinya sudah melakukan kesilapan kerna menurut kehendak syaitan laknatullah. MasyaAllah..
Teman…
Aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan,
Dari melihatmu gembira dalam kelalaian…
Aku bangga mendengar tangisanmu kerna pengorbanan,
Dari mendengar tawamu dalam pengkianatan..
Aku bangga andai dikau mati di medan kebenaran,
Dari hidup dalam kesesatan..
Kerana jangan lupa wahai teman,
Mulianya mu bukan kerna pangkat dan nama,
Tapi kerna ISLAM….
Diri ini “menangisi” pemergiannya, sungguh menyedihkan bilamana pejuang yang menerima tarbiyah tidak mampu untuk menghiasi dalam kehidupannya. Benarlah, iman manusia itu ada turun dan ada naiknya serta hidayah itu milik Allah s.w.t. Bukan kali pertama ana melihat pejuang “gugur” didepan mata, sudah berkali-kali. Ada yang mampu bangun dari kesilapan silam dan ada juga yang masih hanyut dibuai “hiasan” dunia…Nauzubillah…
“Ya Allah…hamba ini benar-benar takut sekiranya diri ini menjadi seperti mereka. Janganlah Engkau cabut hidayah setelah Engkau berikan kepadaku. Kukuhkanlah imanku Ya Allah, matikanlah aku dalam iman Ya Allah. Lindungilah daku dari bisikan syaitan laknatullah. Berikanlah hidayah kepada hambaMU yang telah lalai Ya Allah supaya mereka kembali kepadaMU…”
“Tidak ada upaya, tidak ada kekuatan melainkan pertolongan dariMU Ya Allah…sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan sekelian alam”…amen…
Wassalam…

Ahad, 24 Januari 2010

Bukan Mudah Untuk Istiqomah..


“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah, syukur ku panjatkan ke hadrat ilahi kerna masih diberi peluang untuk bernafas dan mengembara mencari bekalan ke destinasi yang pasti. Selawat dan salam buat kekasih yang amat ku rindui Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat & anbiya’ yang amat ku ingati…
Alhamdulillah juga kerna masih diberi keizinan olehNYA untuk menulis. Keinginan untuk menulis membuak-buak, namun apakan daya diri ini dihambat kesibukan yang amat sangat dengan amanah sebagai seorang pelajar juga sebagai pejuang agamaNYA. Maafkan daku duhai pembaca sekalian kerna ternanti-nanti artikel yang baru dariku.
Ikhlas ana katakan, bukan mudah untuk istiqomah dalam menulis nie. Sejak blog ini “bernyawa”, ana cuba untuk memasukkan artikel yang memberi manfaat sebagai peringatan dan pesanan untuk kebenaran jua kesabaran buat diri dan juga para pembaca sepertimana firman Allah s.w.t.:
“ kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”
(Surah Al’Asr ayat 3)
Walaupun dihambat dengan kesibukan yang tiada titik noktahnya, insyaAllah ana akan cuba untuk terus istiqomah dengan berkat doa dari sahabat-sahabat jua pembaca sekalian…insyaAllah…
Bagi ana, menulis juga merupakan satu amanah iaitu amanah dalam menyampaikan serta menyebarkan risalah yang telah dibawa sejak dulu lagi oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan berkongsi ilmu yang kita ada kepada saudara kita yang tidak mengetahui supaya kita sama-sama dapat merasai nikmat iman dan Islam.
Hati ini juga semakin tenang tiap kali menziarahi blog-blog yang berunsurkan Islam kerna dari situ jugaklah ana kutip sedikit sebanyak ilmu yang tidak diketahui untuk diamalkan serta dihiasi dalam kehidupan seharian. Sewaktu menulis juga, apa yang dipelajari dapat diluahkan melalui penulisan supaya ilmu itu tidak “lupus” begitu sahaja kerna tiap kali menulis mesti dirujuk pada buku atau kitab serta al-Quran supaya tidak menyampaikan sesuatu yang tidak betul.
Ana juga mengharapkan sahabat-sahabat yang mempunyai amanah yang berat seperti ana untuk terus istiqomah dalam menulis kerna ini juga merupakan suatu medan da’wah walapun kita hanya mengenali pembaca melalui maya sahaja. insyaAllah….doa2kan ye…amen..

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)


Rabu, 20 Januari 2010

Bersangka Baik…


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…syukur ke hadrat ilahi kerna masih diberi kesempatan untuk terus bernafas menghirup udara malam. Selawat & salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat & anbiya’ yang amat ku ingati…
Segala Puji Bagi Allah kerna masih punya kesempatan untuk menulis. Rindunya untuk terus menulis selepas beberapa hari menyibukkan diri dengan berbagai aktiviti, tambahan pula laptop ana masih di “klinik”. Nie pinjam laptop sahabat baik ana..syukran ye ukhti…“Doktor” yang merawatnya bagitahu kritikal juga “sakitnya”…rindunya kat laptop….(“,)

Ana ingin kongsikan sesuatu dengan pembaca tika usrah dengan barisan kepimpinan minggu lepas. Bagi ana, usrah dengan wakil-wakil pemimpin tidak sama dengan usrah yang lain kerna pada sesi tersebut perlu diadun dengan ramuan ukhuwah + kepimpinan disamping menyerapkan dalam jiwa mereka dengan semangat jihad.
Ana memang amat menggalakkan persatuan atau kelab Islamic untuk mereka mengadakan usrah sesame mereka kerna disitulah saat manis untuk mengenali rakan seperjuangan kita dengan lebih mendalam selain sewaktu program ingin dijalankan. Dan perkara yang ana tekankan di permulaan usrah sebelum ke step yang seterusnya adalah BERSANGKA BAIK.
Nampak mudah, namun sukar untuk dilaksanakan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada diantara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang”
(Surah Al-Hujurat, ayat 12)
Inilah masalah dalaman yang amat sukar untuk diselesaikan sekiranya wujud konflik antara pimpinan iaitu sifat prasangka buruk terhadap sahabat seperjuangan. Bermula pada wujudnya “penyakit” syak wasangka inilah, diri seseorang itu akan mula merasakan tidak senang dengan sahabat yang lain. Ada sahaja kesalahan yang akan dicari dan diungkit sehinggakan hal yang kecil itu akan dibesar-besarkan malah mula meniti dibibir orang lain.
Inilah juga punca perpecahan dan perbalahan dalam kepimpinan jika tidak ditangani dengan baik. Semuanya bermula hanya dengan berprasangka buruk kepada orang lain. Kerna itulah, di permulaan usrah ku mulakan dengan bab bersangka baik kepada sahabat-sahabat sebelum menyebut hal-hal yang lain.
Ada beberapa tips yang disyorkan oleh Syeikh Abdulkadir Al-Jailani supaya hati kita sentiasa bersangka baik kepada orang yang kita temui. Ana ambil nie dari blog akak sulung ana.
1.      Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Maka, ucapkanlah (dalam hatimu):
“Mungkin kedudukannya disisi Allah s.w.t. jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”
2.      Jika bertemu dengan anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“anak ini belum bermaksiat kepada Allah s.w.t., sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada_NYA. Tentu anak ini lebih baik dariku”
3.      Jika bertemu dengan orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“dia telah beribadat kepada Allah s.w.t. jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku”
4.      Jika kamu bertemu orang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“orang ini memperolehi kurnia yang tidak akan ku perolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah ku capai, mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan dia mengamalkan ilmunya. Tentu dia lebih baik dariku”
5.      Jika kamu bertemu dengan seorang yang bodoh, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“orang ini bermaksiat kepada Allah s.w.t. kerana dia bodoh (tidak tahu) sedangkan aku bermaksiat kepada_NYA padahal aku mengetahui akibatnya dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku”
6.      Jika bertemu dengan orang kafir, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“aku tidak tahu bagaimana kelak, mungkin dia diakhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh dan mungkin boleh jadi diakhir usia diriku kufur dan berbuat jahat”
Ana juga ada menyelitkan beberapa kisah di zaman para sahabat yang sudah ditulis dalam catatan yang lepas untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat seperjuangan ana. Alhamdulillah, permulaan usrah ini diterima baik oleh mereka. Kami juga mula mengenali hati budi masing-masing kerna salah satu rukun usrah adalah memahami iaitu saling memahami antara satu sama lain.
Ana teringat kata-kata seorang sahabat pada meting semester lepas. “walaupun sahabat kita tidak dapat hadir meting atau apa-apa program yang dianjurkan, mungkin dia mendoakan kita supaya segala urusan kita semua dipermudahkan oleh_NYA”.
Itulah pentingnya bersangka baik supaya hati kita tidak termakan bisikan syaitan laknatullah sehingga menyebabkan hubungan kita dengan sahabat seperjuangan menjadi renggang.
Semoga perkongsian ana pada kali ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian setelah lama meyepikan diri dari menulis… cubalah bersangka baik pada orang yang kita temui dan tidak terus menilainya dengan mata kasar. insyaAllah hati kita akan sentiasa disinari dengan cahaya iman….selamat beramal…(“,)



Rabu, 13 Januari 2010

Ustazah Tengok Awk Nie Bahagia je..


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…syukur ke hadrat ialhi kerna masih diberi kesempatan kepada insan kerdil ini untuk terus menghirup udara_NYA. Selawat & salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Juga kepada Para Sahabat Baginda & Para Anbiya’ yang sentiasa dirindui.
Ana ambil masa sebenarnya untuk menulis, terasa begitu sunyi blog ana tanpa artikel terbaru. Kalu dilihat dari tajuk artikel kali nie, mungkin berbagai persoalan terbit di benak fikiran para pembaca.
Semalam, selepas ke kuliah pengajian Kitab Ihya Ilamuddin yang diadakan di dewan kuliah Pusat Islam. Ana berkejar ke kelas pabila jam menunjukkan beberapa minit lagi pukul 11 pagi. Nasib ana baik pagi tu, ada ustazah yang sudi tumpangkan ana ke kelas..kebetulan sama laluan.
Ana dengan pegawai dan staf Pusat Islam memang rapat, termasuk juga ustazah yang tumpangkan ana nie. Kami berbual panjang, dan tiba di satu part. Ustazah berkata,“Ustazah tengok awk nie bahagia je..”.
Ana hanya mampu tersenyum dengan kata-katanya sedangkan dalam hati hanya Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui.
Bahagiakah ana selepas menerima berita kematian ayah kepada salah seorang pegawai Pusat Islam? Bahagiakah ana selepas menerima berita dari teman ana menyatakan dua sahabat seperjuangannya juga meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya? Bahagiakah ana diuji pula, laptop ana rosak menyebabkan segala kerja-kerja yang disimpan di Dekstop musnah begitu sahaja? Bahagiakah ana bilamana amanah yang ana pegang semakin berat ibarat dua buah gunung diletakkan di kedua bahu ana?
Bahagiakah ana???
Hanya Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui betapa terasa lemahnya kaki ini untuk terus melangkah, belum reda dengan dugaan yang baru diterima, diberi pula dugaan yang lain ibarat bertih jagung yang terus masak tanpa sempat diletak dalam bekas..air mata ana mengalir saat menulis artikel ini……………………………………..
Ya…orang melihat ana, sentiasa tenang…sentiasa tersenyum…sentiasa ceria…masih mampu bergurau..tapi dalam hati ini……………………………………..
Ana teringat satu kisah yang pernah dibaca suatu masa dulu. Seorang wanita wajahnya cukup berseri-seri, terpancar Nur Cahaya ketenangan di wajahnya. Apabila ditanya bagaimana wajahnya cukup bahagia bila dipandang orang lain, begitu menampakkan cahaya ketenangan dan berseri-seri. Wanita itu pun berkata:
XXXXXXXXXXXXXXX
Selepas suaminya selesai menunaikan solat Dhuha, suaminya terus ke tempat sembelihan untuk menyembelih haiwan peliharaannya untuk dimakan. Anaknya yang sulung melihat apa yang dilakukan oleh ayahnya. Dia pun ingin mencubanya juga, lalu dipanggil adiknya serta menceritakan apa yang telah dilakukan oleh ayah mereka.
Anaknya yang sulung terus membaringkan anak keduanya di atas tempat sembelihan yang dilakukan oleh suaminya tadi. Lalu terpotonglah leher adiknya itu, maka terkorbanlah anaknya yang kedua. Melihatkan adiknya tidak bernyawa lagi, si abang ini lari ke dalam hutan kerna takut dimarahi oleh ayahnya.
Suaminya yang baru menyedari apa yang berlaku terus memanggilnya, menangislah wanita tadi melihatkan anak keduanya meninggal dunia. Suaminya terus berlari ke dalam hutan untuk mencari anaknya yang sulung tadi.
Sementara wanita tersebut diluar rumah menunggu kepulangan suami dan anaknya yang sulung. Anaknya yang masih bayi merangkak ke dapur dan tertarik bekas air yang baru sahaja masak, akibat melecur dengan teruk. Anaknya yang ketiga itu juga turut meninggal dunia. Bertambahlah sedih wanita itu tadi.
Sedang dalam kesedihan, datang pula orang kampung memberitahu suaminya meninggal dunia akibat dibaham binatang buas sementara anaknya yang sulung lemas dalam sungai kerna tergelincir sewaktu sedang berlari. Pengsanlah wanita tersebut kerna kehilangan kesemua ahli keluarganya dalam masa satu hari sahaja.
Akhirnya, wanita tersebut redha dengan ketentuan Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan sepanjang perjalanan hidupnya didunia ini. Semakin kuatlah ibadatnya kepada Allah s.w.t. supaya jiwanya sentiasa terikat dengan_NYA.
XXXXXXXXXXXXXXX
Bila kisah ini muncul kembali dalam fikiranku, diri ini kembali kuat. Sebelum ini hanya menyatakan teori dari Rukun Iman iaitu Beriman dengan Qada’ dan Qadar tapi kali ini, sedang menjalani praktikalnya. Betapa diri ini perlu redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
“kita sebagai hambaNYA, terima sahaja kerna masakan mungkin Allah s.w.t. berikan sesuatu tanpa hikmahnya tersendiri”
Benar, firman Allah s.w.t.
“Allah s.w.t. tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya…”
(surah al-Baqarah, ayat 286)
Walaupun hati terasa teramat sedih, air mata terus mengalir, badan menggeletar tika diuji sebegini hebat. Ana redha diatas segala yang ditetapkan oleh_NYA, mungkin ini anugerah yang Allah s.w.t. berikan kepada hamba_NYA yang beriman kerna bersabar dan redha serta bersangka baik dengan apa yang DIA berikan.
Anugerah suatu ketenangan jiwa yang tidak mampu dibeli dimana-mana kerna hakikat bahagia itu adalah suatu ketenangan dan seterusnya terpancar di wajah menyebabkan orang yang disekeliling kita turut merasa kebahagiaannya.
Kepada teman yang amat ku sayangi, ku tahu dirimu membaca artikel ini. Bangkitlah semula, teruskanlah perjuangan yang telah sahabat kita tinggalkan. Teruskanlah melangkah walau berjuta halangan dihadapan, engkau tidak bersendirian wahai temanku…ana disisimu untuk sama-sama meneruskan perjuangan yang telah arwah tinggalkan buat kita semua.
Ana doakan moga pejuang Allah s.w.t. yang syahid ini yang telah banyak berjasa kepada Umat Islam dan kehilangannya dirasai oleh sahabat seperjuangan yang lain dirahmati rohnya serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Kepada yang masih tinggal, teruskanlah perjuangan kalian. Arwah mengharapkan kita untuk terus menyambung perjuangannya.
Al-Fatihah…


Ahad, 10 Januari 2010

Ku Melihat “Tarbiyah” Itu Hadir..


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kepada Yang Maha Kuasa…Allah s.w.t… kerna masih diberi kesempatan untuk meneruskan kaki ini melangkah dibumiNYA. Selawat & salam buat kekasih tercinta Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda, juga buat para sahabat & para anbiya’ yang amat ku ingati…
Ana masih tersenyum saat ini bila mengenangkan peristiwa yang berlaku semasa di kedai fotostat petang tadi…(^_^)…ana tersenyum kerna ana melihat “tarbiyah” yang Allah s.w.t. turunkan supaya ana kembali mengatur langkah menyahut “ujian” yang DIA berikan.
Mungkin agak simple bagi orang lain, tapi cukup “berhikmah” bagi ana. Petang tadi ana sibuk menguruskan akaun kelab kerna satu program terdekat akan dilaksanakan tetapi bajet kewangan tidak mencukupi. Bila sampai di pejabat Dekan, ada satu paperwork yang masih tidak di claim duitnya. Jadi, ana ke kedai fotostat untuk fotostat salinan SIRA yang ada.
Sedang menunggu kertas tu siap di fotostat, ada seorang pelajar perempuan datang ke kaunter dan bertanya samaada juru fotostat tersebut ternampak salinan kertas kad pengenalannya. Alhamdulillah, masih ada. Ana tersenyum tika itu kerna ana selalu juga tertinggal barang di kedai fotostat tu…(^_^)..
Lantas akal ana berfikir hikmah kejadian yang berlaku sebentar tadi. Ana letakkan diri ana di posisi pelajar perempuan tadi. Bayangkan ana kehilangan sesuatu, hati jadi resah dan fikiran berserabut memikirkan dimana hilangnya barang tersebut ibarat seperti sebelum ini.
Hati ana jadi resah, fikiran berserabut memikirkan tugas dan amanah serta kerja-kerja yang masih belum terlaksana, semangat terus “down”, langkah kaki jadi tidak tersusun dan gerak kerja jadi perlahan kerna ana “kehilangan” sesuatu iaitu “ketenangan dan ketenteraman jiwa”. Selalunya bila jiwa ana tenang, setenangnya air dilaut, datanglah berbagai ribut dan petir, Alhamdulillah ana mampu lagi kukuh berdiri dan tersenyum.
Pabila sudah kehilangan barang tersebut, sudah tentu ana akan cari jejak atau kembali memikirkan dimana tempat yang memungkinkan ana kehilangan barang tersebut. Ya..selepas berfikir dan menjejak, akhirnya baru teringat tertinggal di kedai fotostat tersebut. Terus ke kedai tersebut dan mengambilnya semula, hati secara automatic akan kembali tenang dan jiwa akan kembali tenteram serta bersyukur kepadaNYA.
Begitu juga dengan diri ana, perlu mencari semula dimana punca ana kehilangan “ketenangan dan ketenteraman jiwa” tersebut. Selepas memuhasabah diri, merenung hikmah disebalik kehilangan serta memikirkan bagaimana cara dan jalan untuk mendapat kembali “ketenangan dan ketenteraman jiwa”. Akhirnya ana tersenyum puas, mengambarkan ana sudah menemui tempat untuk mendapatkan kembali rasa “kehilangan” tersebut iaitu hanyalah Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati itu menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
Ya…hanya dengan mengingatinya…air mata ana bergenang, lantas tumpah membasahi pipi..terasa Nur KasihNYA hadir dalam jiwa ana. Maha Hebat perancanganNYA, hanya dengan sedikit “sentuhan”…sudah mampu mengetarkan jiwa ana.…Subhanallah (Maha Suci Allah)…Alhamdulillah (Segala Puji Bagi Allah)…Allahuakbar (Allah Yang Maha Besar)……….
InsyaAllah..langkah ana akan kembali tersusun dengan panduan dariNYA…dengan tarbiyah dariNYA…kerna..
“Sesungguhnya, solatku dan ibadatku dan hidupku dan matiku…hanyalah untuk Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam” ..ameen
Doakan, moga ana tidak gugur selagi perjuangan ini belum sampai ke titik akhirnya. Doakan juga moga semangat ini lebih berkobar-kobar dari sebelumnya. Juga doakan moga Cinta DIA kepada ana tidak pernah kurang walau sekecil zarah sekalipun dan redhaNYA bersama ana…insyaAllah…amen…
Wassalam..

JOM KITA MENCARI LAGI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)

Jumaat, 8 Januari 2010

AKU JATUH, NAMUN HARUS BANGKIT SEMULA..


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah..syukur ke hadrat ilahi kerna masih diberi nikmat kehidupan untuk terus menghirup udaranya. Selawat & salam buat kekasih yang amat ku cintai sepenuh jiwa, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda juga buat para sahabat dan anbiya’ yang sentiasa diingati..
Kondisi badanku tidak berapa bagus saat ini, tiba-tiba sahaja diserang selsema. Mungkin tidak cukup tidur dan rehat dengan kerja yang ada serta yang masih menungguku dengan setia supaya segera menyiapkannya.
Ya, minggu ini juga berbagai berita yang ku terima, berbagai dugaan yang cuba melunturkan semangat ku hadir tanpa memberi apa-apa isyarat atau petanda. Namun, semua itu harus ku terima dengan hati yang redha kerna ku tahu Allah s.w.t. sedang menguji diriku untuk ditarbiyah.
Saat kesibukan diriku menguruskan tugasan dan amanah yang diberikan, ku menerima panggilan dari adik kepada sahabat seperjuanganku menyatakan kakaknya berada di hospital kerna mengalami kemalangan jalan raya. Ana sudah tahu berita itu dari seseorang cuma tidak tahu keadaannya yang sebenar.
Saat adiknya menceritakan apa yang berlaku, ana sedang berkejar ke kelas yang seterusnya selepas mengutip duit buku pelajar perempuan yang telah diamanahkan. Tidak sempat mengira jumlahnya juga siapa yang membayarnya ana terus berlari ke kelas yang berada di tingkat 3 bangunan.
Bila berada dalam kelas, fikiran ana melayang seketika mengenangkan sahabat ana namun cepat-cepat diusir kerna takut ilmu yang hadir ibarat mencurah ke daun keladi. Habis sahaja kelas, ana terus ke bilik pensyarah untuk menyerahkan duit tadi. Selepas mengira, berlaku ketidakpastian jumlah yang membayar. Dengan rela hati, ana mengambil senarai nama pelajar dengan pensyarah untuk disemak semula dibilik.
Sampai sahaja dibilik, ana cuba tahan namun air mata gugur jua. Ya, semangat ana down waktu tu tapi harus bangkit semula kerna masih ada tugas yang perlu diselesaikan. Selepas solat zohor, ana bukak video berkaitan dengan rakyat Palestin. Air mata ini gugur lagi, betapa kerdilnya dibandingkan dengan mereka. Terlalu mudah rasanya diri ini “jatuh” jika dibandingkan dengan mereka. Malu sungguh menangis hanya kerna dugaan yang sedikit cuma jika nak dibandingkan dengan mereka di Palestin.
Semangat ana harus pulih dengan segera kerna pada sebelah malamnya ada meting, ana tidak boleh lakukan dalam keadaan jiwa tidak tenteram dan hati yang sedang dilanda “kesakitan”. Alhamdulillah, Allah s.w.t. mengizinkan semangat ana pulih walaupun tidak seperti sedia kala.
Ana rindukan sahabat ana, apa yang adiknya khabarkan. Keadaanya parah dan mungkin mengambil masa 2 bulan untuk sembuh. Ana mengenalinya dengan lebih rapat tika sama-sama menguruskan Minggu Suai Kenal semester lepas, sama-sama memberi semanagat walaupun berhadapan dengan berbagai kritikan dan kesulitan sewaktu menjalankan tugas.
Pernah ana melihat air matanya gugur kerna sudah tidak tahan dengan keadaan yang menekannya waktu itu. Melihatkan keadaannya itu, ana bersamanya tiap masa. Terus memberi semangat dan melawan arus orientasi sehinggakan nama ana menjadi bahan umpatan kerna selalu membangkang hal-hal yang tidak kami setujui.  Di akhir orientasi, ana demam teruk kerna terlalu letih menguruskan Minggu Suai Kenal. Disitulah hubungan kami semakin erat, tiap kali bersua muka pasti banyak cerita yang akan dikongsi.
Kini, ana benar-benar ingin berjumpa dengannya. Ingin memberi semangat kepadanya seperti waktu itu juga ingin melihat senyumannya lagi. Namun sehingga saat ini, hanya doa yang mampu ana kirimkan moga dia cepat sembuh dan kembali semula berjuang bersama-sama dengan ana kerna ana masih tidak punya waktu untuk bertemu dengannya.
Ana juga tidak mahu dia melihat ana dalam keadaan lemah begini, harus lebih kuat darinya supaya “aura” yang ada pada ana mengalir dalam dirinya.
“Ya Allah, bantulah hambamu ini…aku terlalu lemah untuk menerima semua ini, berikanlah kekuatan kepadaku untuk ku terus bangkit semula. Temukan jalan penyelesaian kepada tiap dugaan yang telah Engkau titipkan dalam perjalanan hidupku serta pertemukanlah aku dengan sahabatku ini juga sembuhkanlah dia Ya Allah s.w.t….hanya kepada Engkau aku mengadu dan hanya kepada Engkau aku memohon pertolongan…amen…”


Rabu, 6 Januari 2010

KASIH SEORANG SAHABAT..


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah..syukur ku panjatkan kepada Tuhan sekalian alam, pemilik dunia dan akhirat, pemilik syurga dan neraka juga pemilik ke atas segala-galanya kerna masih memberi kepada insan kerdil ini untuk terus mengembara dibumiNYA. Selawat & salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat baginda yang amat ku cintai jua kepada para sahabat dan para anbiya’ sekalian.
Ana ingin  kongsikan satu kisah dengan para pembaca sekalian. Moga-moga sahabat pembaca sekalian dapat mengambil iktibar dan pengajaran darinya. Selamat membaca…..(^_^)
XXXXXXXXXXX
Suatu masa dahulu, ada dua orang sahabat baik belayar di lautan untuk mempelajari suatu ilmu dengan seorang Tok Guru yang arif dalam bidangnya. Sedang dalam perjalanan ke destinasi tersebut, kapal yang mereka naiki ditimpa ribut yang kuat sehingga menyebabkan kapal tersebut karam dilautan.
Akhirnya, dua orang sahabat tadi terdampar disebuah pulau yang kecil serta tidak punya apa-apa untuk dimakan dan yang ada hanyalah sebuah pokok untuk berteduh. Setelah lama duduk memikirkan jalan penyelesaiannya, salah seorang daripada mereka iaitu Saiful memberikan cadangan supaya membahagikan pulau tersebut kepada dua bahagian.
macam nie, ana dapat satu akal..apa kata kalau kita bahagikan pulau nie kepada dua, anta ambik bahagian sana dan ana ambik bahagian nie, untuk menguji doa siapa yang lebih mustajab dan ditunaikan oleh Allah s.w.t. apabila kita berdoa kepadaNYA sementara kita menunggu orang datang menyelamatkan kita, stuju?”..kata Saiful sambil duduk di kawasannya.
baik, ana stuju”, kata Luqman pula.
Mereka berdua terus menunggu di kawasan masing-masing sambil memandang ke laut, mana la tahu ada orang yang akan datang menyelamatkan mereka berdua. Selang beberapa jam, Saiful berasa teramat lapar kerna masih belum menjamah apa-apa makanan.
Lalu, dia berdoa supaya Allah s.w.t. memberikannya makanan supaya perutnya tidak berasa lapar lagi. Beberapa minit selepas itu, muncullah makanan dihadapan matanya. Saiful memandang Luqman sambil hatinya berkata,“Allah s.w.t. makbulkan doaku, ini bermakna doaku lebih mustajab darinya”. Luqman hanya tersenyum tika melihat munculnya makanan tersebut.
Tiba masuk waktu solat Asar, Saiful berdoa lagi supaya diberikan pakaian yang lebih baik dari apa yang dia pakai walaupun pakaian tersebut tidak kotor. Seperti juga tadi, selang beberapa minit muncul pula pakaian yang diminta olehnya. Dia memandang kearah Luqman dan mendapati sahabatnya tidak mendapat apa-apa lagi sejak dari tadi sedangkan sudah dua kali doanya dimakbulkan. Dia terus menukar pakaian dan menunaikan solat asar.
Selama dua hari terdampar di pulau tersebut, apa sahaja yang diminta oleh Saiful pasti dimakbulkan doanya. Dia mula berfikir,“kenapa aku tidak berdoa kepada Allah s.w.t. supaya ada orang datang menyelamatkan aku di pulau ini?”, dia terus menadah tangan dan berdoa.
Selang 1 jam, ada sebuah kapal datang menghampiri pulau yang mereka berdua diami. Saiful berasa sungguh gembira kerna doanya kali ini turut dimakbulkan olehNYA. Dia terus naik ke kapal tersebut tanpa mempelawa Luqman untuk turut menyertainya kerna dia merasakan orang seperti Luqman yang tidak dimakbulkan doanya walau sekali tidak layak untuk berada bersamanya.
Luqman hanya tersenyum tika sahabatnya naik ke kapal tersebut dan tidak berkata apa-apa walaupun sepatah. Saiful terus melangkah masuk ke dalam “perut” kapal tanpa menghiraukan Luqman. Tiba-tiba, dia mendengar satu suara yang kuat dari arah belakang.
kenapa kamu tidak menjemput sahabatmu itu naik sekali kapal ini…?!” kata suara itu dengan lantang.
Saiful menjawab pertanyaan suara itu dalam keadaan ketakutan,“eerr..seebab, dia tidak layak untuk bersama denganku kerna satu doa dia pun tidak dimakbulkan
Tahukah kamu, dia hanya pinta satu doa sejak terdampar di pulau ini tetapi kamu pula sebaliknya” kata suara itu lagi.
satu doa? Doa apa?” tanya Saiful kehairanan.
Dia hanya berdoa supaya kesemua permintaamu dimakbulkan oleh Allah s.w.t. tanpa meminta sedikit pun untuk dirinya”sejurus selepas itu, tidak kedengaran lagi suara misteri tersebut.
Air mata Saiful terus mengalir deras, malu berbaur kekesalan dihatinya kerna tidak pernah menghiraukan sahabatnya apatah lagi berkongsi apa yang dia perolehi semasa berada di pulau tersebut. Sahabatnya berjasa kepadanya dalam keadaan tiada sesiapa pun tahu melainkan Allah s.w.t.  Rasululallah s.a.w. bersabda:
Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Saiful segera meminta pengemudi kapal yang dinaiki berpatah balik ke pulau tersebut, dalam perjalanan ke sana dia melihat sahabatnya Luqman sedang berjalan diatas permukaan air. Semakin bertambah keinsafan dalam dirinya tika memandang keadaan yang berlaku didepan matanya, segara dia memanggil dan mempelawa Luqman untuk menyertainya.
XXXXXXXXXXX
Kisah yang cukup memberi pengajaran dan pedoman kepada semua, hargailah sahabat kerna walaupun dia seperti tidak menghiraukan kita, jarang berjumpa apatah lagi untuk bersua muka. Namun, dia mengingati kita dalam doanya.
Ana mohon maaf kiranya tidak sempat untuk membalas kunjungan sahabat-sahabat yang sudi melawat ke blog ana, juga sahabat-sahabat yang sudah jarang dihubungi apatah lagi bersua muka kerna diri ana sudah semakin sibuk dalam menunaikan amanah sebagai pelajar juga sebagai pejuang agamaNYA.
Walau apa pun, doa ana sentiasa ada buat kalian semua. Moga-moga tiap langkah kalian sentiasa dipayungi rahmat Allah s.w.t. juga doakan moga ana sentiasa bersemangat “besi” supaya kaki ini tidak lemah longlai tika diuji dan istiqomah dalam menjaga amalan ibadah serta dalam perjuangan menegakkan syiar Islam…insyaAllah…amen…
-Salam Jihad penuh kasih sayang-

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)

Isnin, 4 Januari 2010

PUSAT "SERVIS" HATI..


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…syukur ku panjatkan kepada Tuhan Sekelian Alam kerna masih diberi kesempatan untuk mengembara dibumiNYA. Selawat & salam buat insan yang amat ku cintai, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda, juga kepada para sahabat Baginda serta para anbiya’ yang amat ku rindui.
Ana tertarik dengan tajuk “servis hati” bilamana ada Exco yang mengajukan pendapat untuk membuat ceramah servis hati sewaktu meting antara barisan kepimpinan. Sekiranya difikir menggunakan akal fikiran manusia yang mahir dari segi teknikal dan peralatan, mungkin dia akan berfikir di mana punca kerosakan tersebut dan apa peralatan yang perlu digunakan untuk membaiki kembali tempat-tempat yang sudah rosak serta perlu diganti supaya ianya kembali berfungsi dengan baik atau lebih baik dari sebelumnya.
Dalam kehidupan seharian kita, adakalanya barang-barang yang kita beli dan guna bagi memudahkan kerja seharian kita gagal berfungsi walaupun barang tersebut baru sahaja dibeli. Sebagai contoh, suri rumah. Untuk memudahkan kerjanya, sudah tentu periuk nasi, vacum, mesin basuh, dan peralatan laen diperlukan bagi memudahkan dia menyelesaikan tugasnya. Tetapi sekiranya peralatan tersebut gagal berfungsi, sudah tentu dia akan menghantar barang tersebut ke pusat servis atau mencari sesiapa yang mahir untuk diperiksa dan dibaiki kerosakannya.
Begitu juga dengan “Hati” yang rosak atau gagal berfungsi, ianya perlu dihantar kepada orang yang mahir untuk diteliti kerosakannya. Setelah dikaji, diselidik, diteliti dan sebagainya, barulah teknikal tersebut mengetahui apa punca kerosakan “hati” tersebut dan situlah bermulanya kerja-kerja menservis bahagian-bahagian yang rosak supaya “hati” itu kembali pulih seperti sediakala.
Itulah hakikatnya, hati juga perlu diservis bukan sahaja benda mati boleh diservis. Banyak kedai yang menawarkan perkhidmatan menservis barangan yang rosak seperti kedai membaiki motosikal, mesin basuh, televisyen, klinik telefon hatta gigi sekali pun punya perkhidmatan menservis gigi sekiranya ada yang rosak. Tetapi bagaimana pula dengan hati, adakah juga punya pusat servisnya???
Sudah tentu hati juga ada pusat servisnya yang induk…



Ya…tiga tempat itulah pusat servis induknya. Kenapa tiga tempat itu??? Kerana disitulah hati dan iman kita dapat ditemui untuk dicaj semula supaya berada di kedudukan yang tinggi dan selesa tanpa diugut oleh hawa nafsu yang merosakkan.
Pertama, carilah hatimu ketika mendirikan solat. Sabda Rasulullah s.a.w.,
Sesungguhnya solat itu adalah ketenangan dan merendahkan diri”
(Riwayat Tirmidzi dan Nasa’i)
Apabila hatimu diservis tika solat, maka ianya dapat menjauhkan diri dan hati kita daripada terjebak dengan perkara keji dan mungkar sepertimana Firman Allah s.w.t.
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan buruk dan mungkar”
(Surah al-Ankabut ayat 45)
Kedua, carilah hatimu tika membaca al-Quran. Firman Allah s.w.t.:
“Wahai Umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi nasihat dan pengajaran dari tuhanmu serta menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dadamu. Ia juga menjadi pentunjuk bagi keselamatanmu dan membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”
(Surah Yunus, ayat 57)
Ya…ayat suci al-Quran di atas sudah cukup memberi gambaran dan tafsiran yang sejelasnya bahawa hati kita dapat diservis tika membaca mukjizat teragung ini. Namun sekiranya kerosakan dihati kita masih tidak dapat dibaiki sewaktu membaca al-Quran maka, hantarlah hati kita ke pusat servis yang ketiga.
Ketiga, carilah hatimu ketika mengingati mati. Sepertimana hadis Rasulullah s.a.w.:
“Cukuplah kematian itu sebagai penasihat”
(Riwayat Thabrani dan Baihaki)
Benar, sebagai penservis dan penasihat yang mahir untuk membaiki hati yang rosak. Dengan mengingati mati juga ia dapat meleburkan dosa dan manusia yang cerdik adalah mereka yang membuat persiapan untuk membawa bekalan ke alam barzah.
“Secerdik-cerdik manusia ialah yang banyak ingatannya kepada kematian serta yang banyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka inilah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi kealam baqa dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat”
(Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abu Dunya)
Itulah 3 pusat servis induk yang menawarkan perhidmatan menservis hati bagi mereka yang punya masalah kegagalan untuk berfungsi kerana hati adalah kerajaan dalam tubuh badan. Rosak hati, musnahlah kerajaan maka binasa la diri seseorang manusia. Hati yang mati akan mengikut segala perintah nafsu kerna sudah tidak ada lagi iman yang mampu untuk menjaga segala tindak tanduk hatinya.
Namun, sekiranya hati dan jiwa seseorang itu dibaiki, diisi, dan ditarbiyah di 3 pusat servis induk tadi…insyaAllah, hawa nafsunya dengan mudah dapat ditundukkan serta dikawal supaya menurut kehendak iman dalam hati.
Jadi, apa tunggu lagi sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian, hantarlah hati anda ke pusat servis tersebut. insyaAllah anda tidak akan dikenakan caj yang mahal malah akan diberi pahala diskaun pula. Perkhidmatannya juga amat memuaskan hati pelanggan.
Pusat servis hati tersebut juga ada membuka cawangan servisnya, insyaAllah ana akan khabarkan mengenai cawangannya pula untuk menjemput sahabat-sahabat kesana pada artikel yang akan datang…Jadi apa tunggu lagi..! jom sahabat-sahabat….(“,)

-Selamat Beramal-

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)