Khamis, 31 Januari 2013

Di Hamparan Shamrock



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w.. Tidak lupa jua buat kaum muslimin dan muslimat yang lain.

Alhamdulillah wa syukrillah, baru sahaja selesai membaca sebuah buku dari seorang penulis yang amat ana minati penulisannya. Bukunya yang lain juga sudah ana khatam membacanya. 

Buku hasil penulisan darinya tidak pernah mengecewakan para pembaca seperti ana yang sentiasa dahagakan tarbiyah. Selalu juga ana baca tulisan beliau melalui blog yang dikendalikan oleh beliau sendiri. Sentiasa istiqomah dalam menulis walau sepadat dan sesibuk mana jadual sehariannya. Moga Allah berkati umur mu yang sentiasa diberikan untuk ummah.

Penulis yang ana maksudkan adalah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Ini pula kulit muka depan buku tersebut iaitu ‘Di Hamparan Shamrock; Ku Seru Nama-Mu’.


Setiap kita ada mimpi ngeri yang tersendiri.
Mimpi ngeri yang pada mengenangnya,
kita boleh terbangun pada tengah malam,
berpeluh-pelu, ada kalanya sesak nafas,
dan malu untuk ia diketahui orang.

Dia tidak terkecuali.

Namun, di celah perjalanan itu, ada kesepian yang belum terungkap.
Sepi yang memerlukan masa yang panjang untuk dia bangkit dengan sebuah keyakinan.
Keyakinan untuk jujur kepada diri.
Akur kepada liku-liku skrip kehidupan, yang menyampaikan ustaz ini kepada di mana dia berada, pada hari ini.

Dengan linangan air mata, dia ucapkan, “Alhamdulillah… Di Hamparan Shamrock, Ku seru nama-Mu”.

Itulah catatan yang tertulis di kulit belakang buku ini. Buku ini tebal dan sarat dengan ilmu yang pelbagai membuatkan ana tidak sabar untuk khatam. 

Membaca buku ini membuatkan jiwa ana terusik sendiri. Masih teringat permulaan langkah sejak di tingkatan 4, ‘tercampak’ ke dunia yang begitu jauh dari tarbiyah Islam sebenar. Melalui liku kehidupan yang banyak berendam dengan air mata.

Alhamdulillah wa syukrillah, tiap musibah hadir bersama hikmah. Ujian kehidupan itulah yang menjadikan ana seperti yang ada kini.  

Membaca buku ini juga membuatkan air mata ana turut mengalir apabila penulis menceritakan kesedihan yang beliau alami. Tidak kurang juga membuatkan ana senyum dan ketawa sendiri apabila penulis menceritakan keceriaan yang beliau alami. Buku ini seolah-olah membuatkan ana turut ‘mengembara’ bersama dengan beliau ketika membacanya! MasyaAllah…(^^,)

Seperti buku yang lain, buku ini ana banyak habiskan pembacaannya ketika menunggu giliran di pejabat pos, depan lampu isyarat, dan sebelum tidur kerana itu sajalah masa yang ‘tepat’ untuk bermain dengan emosi ketika membacanya.

Maka, ana sarankan kepada para pembaca sekalian, jadikanlah buku ini sebagai salah satu koleksi buku tarbiyah yang ada dalam simpanan kalian. InsyaAllah tidak rugi membacanya. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 28 Januari 2013

Kisah Kehidupan



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Allah. Pemilik segala isi dunia dan akhirat, hanya pada Mu ku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih hati, pembawa rahmat kepada seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w. Tidak lupa jua buat saudara seIslamku.

Semalam, ada dua kisah kehidupan berbeza yang membuatkan hati ini muhasabah sendiri. Betapa banyaknya rahmat dan anugerah yang telah Allah berikan kepada hamba ini. Teringat perbualan dengan sahabat dua minggu lepas.

“Akak buat bisnes jelah ye? Tak minta kerja kat mana-mana?”, luahnya.

Ana senyum. “Sebenarnya, banyak yang tawarkan kerja dekat akak. Pegawai dekat bank, cikgu sekolah rendah Islam, Staf untuk consultant yang bakal ditubuhkan dan banyak lagi. Tapi semuanya akak tolak sebab hati sudah berniat untuk bebas tanpa terikat dengan mana-mana syarikat. Bila akak kerja sendiri, akak dapat pergi ke mana Iman mahu pergi. Sudah berniat mahu membantu ummah”.

Empat tahun pengajian di UUM yang bergelumang dengan paperwork sampai rasa nak muntah tengok lambakan paperwork program, bergaul dengan banyaknya orang yang pelbagai ragam, mengikuti program yang mampu membina asset dan kemahiran diri dan semua itu bukan sia-sia kerana ana punya misi hidup sendiri. Hasilnya, alhamdulillah wa syukrillah atas izin Allah.

Semalam merupakan hari yang sangat sibuk buat ana sampai tak sempat nak sentuh nasi sedikit pun sebab mengejar masa untuk pos barang pelanggan. Dalam perjalanan balik selepas selesai urusan di pejabat pos, ana terpandang susuk tubuh seorang wanita tua dalam lingkungan umur 70-an yang berjalan sendirian di tepi jalan sambil memegang beg kertas.

Mulanya ana teragak-agak untuk berhenti kerana masih ada urusan lain yang belum selesai. Tapi ana tahu, ana tidak akan balik dengan aman tanpa dekatinya dulu. Ana segera pusing kereta dan berhenti dekat dengannya dan bertanya mahu kemana, ketika itu ana rasakan dia mahu ke stesen bas memandangkan ada pakaian dalam beg kertas yang dia pegang.

Ana minta dia masuk dalam kereta dan tanya sekali lagi dia mahu ke mana. Dia tunjuk ke satu arah dan ana segera bawa dia ke tempat yang dia tunjuk tetapi lama kelamaan dia sendiri tidak ingat dia mahu ke mana.

Ayat yang dia selalu ulang, “mak cik nak pergi cari orang yang hutang dengan mak cik, nak minta balik duit dengan dia. Anak mak cik menangis kat rumah sebab dia lapar.”

Kami berdua hanya pusing-pusing sekitar Bandar Tumpat tanpa arah tujuan yang pasti. Sekejap masuk lorong nie, lepas tu pusing ikut jalan nie, semuanya mengikut arah yang dia tunjuk tanpa jalan yang pasti kerana dia sendiri tidak ingat ke mana dia mahu pergi.

Ana tengok jam. Hampir tiba untuk ambil adik di sekolah, makanan untuk tengahari belum siap untuk dimasak lagi, masih ada urusan mustahak perlu diuruskan selepas itu. 

Dalam diam, hati berdoa. “Ya Allah, hamba ini lemah. Hamba hanya ingin membantu nenek ini, bantulah hamba untuk menemui tempat yang dimaksudkan. Permudahkanlah Ya Allah, gerakkah hati hamba untuk mengikut arah jalan yang betul”.

Ketika itu, hampir sahaja mahu ke balai polis kerana buntu dan tidak tahu mahu ke mana. Ana berhenti di satu tempat nak bertanya kepada nenek tersebut apakah dia punya alamat rumah atau apa-apa yang boleh bagi petunjuk di mana rumahnya. Dia geleng kepala dan asyik ulang, “mak cik nak jual baju yang ada dalam beg nie, anak mak cik lapar”.

Ana ambil dan tengok samaada ada apa-apa yang dapat membantu tetapi sayangnya tiada apa yang boleh bagi petunjuk di mana rumah mak cik tersebut. 

Tiba-tiba, dia terpandang seorang wanita melalui satu jalan dan minta ana ke sana. Ana pusing kereta dan pergi ke arah jalan yang dimaksudkan. Dia cakap terus lagi. Bila masuk satu lorong, dia suka sangat sambil cakap “Syukur Ya Allah, terima kasihlah adik…”.

Ana dapat agak yang rumahnya berdekatan lorong tersebut. Ana turun dari kereta dan bertanya kepada jurujual di kedai apakah dia kenal nenek nie. Alhamdulillah wa syukrillah jurujual tersebut kenal dan mengatakan, “belakang lorong nie rumah dia, dia memang selalu nyanyuk. Syukur dia jumpa dengan adik dan sudi hantar balik”.

Ana turunkan dia disitu dan segera pulang ke rumah sambil bersiap untuk masak tengahari kerana abah, ummi dan adik-adik akan pulang ke rumah tak lama lagi. Selesai sahaja, terus sambung menjahit sampai terlena kerana kepenatan yang amat.

Petangnya pula, ana keluar ke Kota Bharu kerana sudah janji dengan seorang kakak untuk teman dia hantar kain yang ana borong, di stesen bas. Kain itu terlalu banyak dan perlu dihantar menggunakan perkhidmatan bas yang menghala ke Melaka.

Sangat bersyukur dapat berurusan dengannya, suka memudahkan kerja orang lain, ringan tulang dan tidak mudah merungut. Walaupun kain itu ana yang punya tetapi dia sudi bantu untuk menguruskan penghantaran melalui bas. Allahu Allah.

Sambil menunggu, ana ambil peluang untuk kenal kakak nie lebih dekat dan banyak perkara yang kami bualkan. Untuk pengetahuan, ana sudah berurusan dengannya selama dua tahun hingga dia anggap ana ini seperti adiknya. Alhamdulillah…

Setelah urusan selesai dengan pihak bas, ana segera hantar dia balik ke rumah. Dalam perjalanan, kami singgah untuk beli makan malam kerana ana tahu dia lapar cuma tidak diluahkan disebabkan tidak mahu menyusahkan ana (walhal ana yang susahkan dia).

Ketika menunggu makanan siap dimasak. Ana terdengar perbualan dua orang ahli politik yang berbeza parti sedang berbahas berkaitan itu semasa. Masing-masing dengan hujah sendiri mempertahankan tindakan pimpinan parti.

Ana cakap dekat kakak nie, “akak dengar tak dorang bincang pasal apa”.

Dia senyum. “dengar, cuma buat tak tahu. Ikutlah nak sokong yang mana pun tapi jangan sampai nak hina dan mencaci orang lain. Akak dah tak kisah semua tu, dua-dua sama je”.

Dari situ, tersingkaplah kisah hidupnya yang serba daif. “Kalau asma’ nak tahu, akak usaha cari makan sendiri, penat dah nak pergi minta bantuan kat mana-mana. Akak pergi buat rayuan dekat jabatan kebajikan untuk baiki bumbung rumah yang menunggu masa untuk roboh sahaja tetapi tidak diluluskan sebab belum cukup umur 60 tahun lagi”.

“Akak pergi dekat pejabat kerajaan negeri pun tak dapat. Pergi dekat jabatan kerajaan pusat pun tak dapat. Yang duk bercakap tu, sepupu akak tu. Dia tahu akak hidup susah, sepatutnya dia bantulah mana yang patut sebab dia ada kuasa. Rumah akak tu tunggu masa nak roboh je, bila hujan je habis air masuk dalam rumah. Berjalan dalam rumah pun asyik bunyi sebab kayu lantai dah tak kukuh”.

“Akak nak baiki sendiri pun takda duit. Kalau akak tak kerja tiga hari, tak berasap dah dapur, alhamdulillah masih ada orang nak ambil akak kerja. Akak pun takda anak yang bekerja untuk sara kita, nak minta kat anak sulung yang dah kawin pun, dia sendiri tak cukup. Anak kedua terlantar sakit. Anak bongsu plak duduk jauh, belajar lagi. Semuanya nak pakai duit, akak jelah yang sara diaorang”.

“Kat badan akak takda seurat emas pun. Mana pernah pakai cincin ke apa-apa. Akak pun tak pernah beli barang dapur banyak-banyak macam orang lain. Tiap-tiap malam akak pergi beli beras 1kg kat kedai tu. Tak percaya, tanya ustaz kat situ”.

Masa tu. Ana tak terkata. Hati dah sayu. Terasa tak sanggup lagi nak dengar apa yang terpendam dalam hatinya. Tak sangka setelah 2 tahun kenal, baru ana tahu betapa susahnya hidup yang dia lalui hampir 13 tahun. Allahu Allah.

Hikmah yang Allah aturkan supaya ‘rahsia’ hidupnya tersingkap depan ana. Boleh sahaja dia cerita dekat ana betapa susah hidupnya sebab ana selalu beli kain kat tempat dia kerja tetapi dia bukan jenis insan sebegitu. Tidak suka minta simpati, selagi ada kudrat dan tenaga, selagi itu dia akan berusaha.

Ana pergi ke rumahnya. ketika masuk lorong melalui rumahnya, ana lihat rumah disekitarnya besar-besar belaka hingga ada yang dua tingkat. Hati terdetik, “tak terfikirkah manusia dalam rumah nie untuk ambil peduli tentang jiran yang dekat dengan rumahnya”.

Sampai sahaja ke rumahnya, dibahagian luar nampak biasa-biasa sahaja tetapi apabila lihat di bahagian dalam rumah, nampak serba kekurangan. Saat itu terdetik dihati mahu membantu sedayanya. Allahu Allah…

Buat para pembaca yang membaca tulisan ini dan sudi untuk membantu dia dengan menghulurkan sedikit bantuan kewangan bagi membaiki bahagian rumahnya yang rosak, boleh hantar pesanan dalam inbox di facebook ana atau hantar mesej ke alamat emel ini bidadaribesi09@yahoo.com .

Sebarang perkembangan berkaitan dua wanita dalam penulisan ini, ana akan cuba update berkaitan. Hajatnya mahu bekalkan sedikit barang mentah seperti beras, gula, telur, bawang, sayuran, buah dan sebagainya kepada kakak tadi Jumaat ini.  Wallahua’lam…

Ku tahu, bertemu dengan mereka pasti aturan Allah,
Ku juga tahu, hadirnya mereka untuk sedarkan kita,
Syukurilah apa yang ada, hidup adalah anugerah.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Khamis, 24 Januari 2013

Saya Gemar HIJAB



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukrillah atas nafas yang masih berbaki ini. Moga hari ini lebih baik dari semalam. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w.. Juga buat kaum muslimin dan muslimat sekalian.

Petang semalam, ana dah ahli keluarga berkesempatan untuk keluar bersama setelah masing-masing sibuk dengan urusan sendiri (adik-adik pergi sekolah, abah dan ummi pergi mengajar, ana pula dengan kerja menjahit). Kami pergi beli barang dapur dan terus makan malam disitu.

Ketika sedang beratur untuk membayar barang yang diambil, azan maghrib berkumandang. Abah minta kami (anak-anak) pergi solat maghrib dahulu sementara abah bayar barang dapur.

Sebaik sahaja masuk ke surau muslimat, MasyaAllah… sangat ramai orang hingga nak ambil wuduk dan solat juga perlu beratur. Seperti biasa, ana akan perhatikan tingkah laku dan gelagat manusia yang berada dihadapan ana.

Ana melihat kebanyakan muslimat yang mahu solat tercari-cari kain telekung yang terletak di rak ruang belakang surau. Ada juga yang menunggu di belakang yang sedang solat, menunggu giliran untuk gunakan kain telekung agaknya. 

Tiba-tiba sahaja teringat kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat, “awak, kat sini takda kain telekung la. So, tak boleh nak solat. Kita solat kat rumah lah ya”. Terngaga sahabat ana mendengar perbualan mereka.

Ketahuilah, kain telekung itu bukan WAJIB dipakai ketika solat. Solatlah dengan pakaian yang kamu pakai jika diyakini menutup aurat dan suci dari najis. Cuba bayangkan berapa banyak masa yang dapat dijimatkan jika solat dengan pakaian yang kita pakai.

Masih ramai yang belum solat dan menunggu untuk menggunakan ruang tersebut bagi menunaikan kewajipan kepada Allah. Persoalan disini, pakaian yang dipakai pun belum menutup aurat, bagaimana mahu solat dengan pakaian tersebut?

Mahu tahu pakaian itu benar-benar menutup aurat, kita yakin untuk solat dengan pakain tersebut. Jika tidak, sila semak dibahagian mana yang belum ditutup.
Teringat pula kata-kata ini :


Semalam, ada seorang pelanggan ‘Bidadari Solehah Enterprise’ bagi pesanan dalam inbox untuk tempah kain labuh. Beliau antara pelanggan tetap yang sering berurusan dengan ana. Masih ingat kali pertama dia meluahkan hasrat untuk bertudung labuh.

Ana sarankan supaya beliau mencuba tudung segi 3 bidang 55. Alhamdulillah beliau beli lagi tudung yang sama setelah mendapat sokongan dari suaminya yang mengatakan beliau semakin cantik apabila memakai tudung labuh tersebut. 

Untuk pengetahuan umum, tudung tersebut hanya satu warna tanpa ada labuci, manic, sulam dan sebagainya. Apa yang membuatkan beliau semakin cantik sedangkan tudung beliau sebelum ini mempunyai sulam, manic, labuci dan sebagainya. Cantik kerana tudung labuh tersebut menutup aurat yang sepatutnya ditutup. Benarlah, tertutup itu indah…(^^,)

"Hidup yang hanya memikirkan kecantikan diri, adalah falsafah hidup burung merak. Cantiknya lebih, manfaatnya tidak setara. Daging tidak dimakan, burung lain enggan berkawan. Terbang tidak setinggi mana, lagaknya mendabik dada. Merak hanya ada kecantikan yang dimodalkan untuk dibanggakan..."

"Jika harga diri merak adalah pada cantiknya semata, apakah harga diri seorang insan juga bergantung kepada paras rupanya? Insan lebih mulia dari itu".

[Ustaz Hasrizal Abdul Jamil l Di Hamparan Shamrock]

Fitrah wanita sangat sukakan kecantikan. Sangup menghabiskan ratusan ringgit untuk membeli barang kosmetik, produk pelangsingan badan, pencuci muka dan sebagainya tetapi tidak sanggup untuk membeli pakaian yang menutup aurat.

Lagi membuatkan ana teramat kesian adalah ‘mangsa fesyen’ yang diperdayakan atas nama ‘fesyen muslimah’. Walhal, pakaian tersebut langsung tidak menutup aurat, malah sekadar membalut aurat dan cukup syarat iaitu asalkan tutup dan tidak dihiraukan apakah pakaian tersebut nipis, jarang atau melekat pada tubuh. Allahu Allah.


Ketika ini, satu Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan sedang mempromosikan kempen menutup aurat yang diberi nama ‘Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa’ (GEMAR) yang berlangsung samaada di dalam atau luar Malaysia yang bakal dilaksanakan secara serentak pada 14 Februari 2013.

Rakan-rakan Blogger, ana mengalu-alukan kalian semua menyertai kami dalam menjayakan kempen 1000 orang GEMAR Hijab sempenan 14 Februari : Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa.. untuk maklumat dan status semasa kalian boleh lihat di fan page rasmi GEMAR Malaysia.

Apa yang kalian boleh lakukan:-

1. Cetak mana-mana poster yang terdapat didalam page ini. eloknya dalam keadan berwarna
2. Cari kawasan yang mempunyai monumen/tanda nama kawasan/ bangunan yang menarik dan dikenali.
3. Ambil gambar anda memegang poster ini dengan bangganya.
4. Poskan gambar tersebut kedalam fanpage ini.

#Alhamdulillah, anda telah membantu dalam kempen ini. pihak kami akan cuba untuk mengumpul 1000 keping gambar bagi membantu menyebarkan kempen ini.

Pensyariatan Hijab dalam Islam adalah memberikan perlindungan secara total kepada para wanita Islam. Islam hadir sebagai penyelamat umat. wallahua’lam.

 ♥ Wanita Solehah, Bidadari Dunia


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 21 Januari 2013

Berilah peluang



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Moga umur yang telah berlalu dan bakal berlalu sentiasa berada dalam jagaan dan rahmat Allah s.w.t.. Selawat dan salam buat kekasih yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda s.a.w. Jua buat para muslimin dan muslimat.

“Geram ana tengok dia tadi. Nada bercakap nampak ego dan riak. Rasa nak bagi penampar je!”, marah seorang sahabat. Wajahnya berubah menjadi kemerah-merahan.

Ana senyum. Tidak diakui, ana juga setuju dengan kata-katanya. 

“Sabarlah sahabat. Kita juga sepertinya dulu ketika diawal memegang jawatan dalam organisasi. Darah muda kan cepat panas. hehe…”, pujuk ana.

Dia diam.

Begitulah juga dengan ana diawal permulaan memasuki dunia kepimpinan. Ada saja yang mahu dikritik, cepat saja mulut membantah jika ada yang tidak kena, emosi juga turun naik.

“Bergaul dengan masyarakat membuatkan kita cepat matang”.

Lama-kelamaan, ana mampu mengukir senyuman dan tanganinya dengan rasional apabila timbul masalah. Tidak lagi membalas hujah dengan menyalahkan orang itu atau ini. Hanya tunjukkan jalan solusi dan berikan pesanan tanpa sindiran.

Memang ada insan yang hadir dengan sikap yang begitu cerewet dan merumitkan keadaan. Tidak kurang juga perwatakannya yang serba tidak tahu dan ‘malas’ bagi komitmen, semuanya mahu disuap depan mata.

Apabila bertemu dengan insan sebegini, terus pujuk hati, “sabarlah…aku juga seperti ini diawalnya. Bermula dari kosong hinggalah mampu menguruskan program sendiri”.


Begitu juga dengan mereka yang jauh dari fitrah Islam sebenar dan yang baru sahaja berhijrah. Berilah mereka peluang untuk perbaiki diri sepertimana Allah s.w.t. berikan peluang kepada kita saban waktu untuk bertaubat dari dosa lalu.

Belajarlah untuk memaafkan dan senyum. Mereka ibarat anak-anak kecil yang masih cuba untuk bertatih dan belajar untuk terokai dunia baru. Sedarlah, kita berurusan dengan manusia yang mempunyai pelbagai sikap dan perwatakan yang unik.

Hadis daripada Ibnu Umar r.a. menyebut, "Seorang Mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu".
[Riwayat Tirmizi dan Majah]

Ana teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat ketika mana ana merasa lelah dan letih dengan pelbagai mehnah dan ragam manusia yang langsung tidak di duga kehadirannya. Ketika itu, terasa mahu lari jauh dari bertemu dengan banyak orang.

“Ada sebuah kampung. Penduduknya begitu jauh dari fitrah Islam yang sebenar. Minum arak, berjudi, berzina, merompak, membunuh dan sebagainya dianggap juara dan menjadi lumrah hidup. Bagi mereka yang tidak melakukan itu dianggap lemah dan ketinggalan zaman.

Satu hari, Allah s.w.t. perintahkan para Malaikat untuk turunkan bala dan musnahkan kampung tersebut diatas perbuatan maksiat yang mereka lakukan. Malaikat berkata, “Dihujung kampung, tinggal seorang alim yang tekun melakukan ibadat, mengikuti perintah dan menjauhi larangan Mu. Jika kampung itu dimusnahkan, dia turut akan terkena balanya.

“Jika begitu, hempapkan dahulu gunung diatas kepalanya kerana dia tidak melakukan amar makruf nahi mungkar”.

Allahu Allah.

Pengajaran dari kisah ini, perlu ada dalam golongan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Usah pentingkan diri sendiri dengan menjalani kehidupan seolah-olah kita seorang diatas muka bumi ini tanpa bergaul dengan masyarakat.

Ana diam sambil muhasabah diri sebaik sahaja mendengar kisah ini. Mampu memotivasikan diri sendiri untuk tetap teguh pada jalan dakwah dan sabar dalam menghadapi manusia yang pelbagai ragam.

Manusia dan dunia ini
pasti mempunyai kekurangan
yang tidak sedap dipandang mata
atau kelemahan yang mencemari kemulusannya.
Tidaklah adil jika engkau
menginginkan teman yang bersih di dunia ini
sedang engkau sendiri tidak bersih.
[Akhawat Medic]

Berilah peluang, belajarlah untuk memaafkan dan sudilah untuk membimbang dengan hikmah kerana kita juga seperti mereka dahulunya dan masih dalam proses untuk belajar. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)