Isnin, 28 Januari 2013

Kisah Kehidupan



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Allah. Pemilik segala isi dunia dan akhirat, hanya pada Mu ku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih hati, pembawa rahmat kepada seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w. Tidak lupa jua buat saudara seIslamku.

Semalam, ada dua kisah kehidupan berbeza yang membuatkan hati ini muhasabah sendiri. Betapa banyaknya rahmat dan anugerah yang telah Allah berikan kepada hamba ini. Teringat perbualan dengan sahabat dua minggu lepas.

“Akak buat bisnes jelah ye? Tak minta kerja kat mana-mana?”, luahnya.

Ana senyum. “Sebenarnya, banyak yang tawarkan kerja dekat akak. Pegawai dekat bank, cikgu sekolah rendah Islam, Staf untuk consultant yang bakal ditubuhkan dan banyak lagi. Tapi semuanya akak tolak sebab hati sudah berniat untuk bebas tanpa terikat dengan mana-mana syarikat. Bila akak kerja sendiri, akak dapat pergi ke mana Iman mahu pergi. Sudah berniat mahu membantu ummah”.

Empat tahun pengajian di UUM yang bergelumang dengan paperwork sampai rasa nak muntah tengok lambakan paperwork program, bergaul dengan banyaknya orang yang pelbagai ragam, mengikuti program yang mampu membina asset dan kemahiran diri dan semua itu bukan sia-sia kerana ana punya misi hidup sendiri. Hasilnya, alhamdulillah wa syukrillah atas izin Allah.

Semalam merupakan hari yang sangat sibuk buat ana sampai tak sempat nak sentuh nasi sedikit pun sebab mengejar masa untuk pos barang pelanggan. Dalam perjalanan balik selepas selesai urusan di pejabat pos, ana terpandang susuk tubuh seorang wanita tua dalam lingkungan umur 70-an yang berjalan sendirian di tepi jalan sambil memegang beg kertas.

Mulanya ana teragak-agak untuk berhenti kerana masih ada urusan lain yang belum selesai. Tapi ana tahu, ana tidak akan balik dengan aman tanpa dekatinya dulu. Ana segera pusing kereta dan berhenti dekat dengannya dan bertanya mahu kemana, ketika itu ana rasakan dia mahu ke stesen bas memandangkan ada pakaian dalam beg kertas yang dia pegang.

Ana minta dia masuk dalam kereta dan tanya sekali lagi dia mahu ke mana. Dia tunjuk ke satu arah dan ana segera bawa dia ke tempat yang dia tunjuk tetapi lama kelamaan dia sendiri tidak ingat dia mahu ke mana.

Ayat yang dia selalu ulang, “mak cik nak pergi cari orang yang hutang dengan mak cik, nak minta balik duit dengan dia. Anak mak cik menangis kat rumah sebab dia lapar.”

Kami berdua hanya pusing-pusing sekitar Bandar Tumpat tanpa arah tujuan yang pasti. Sekejap masuk lorong nie, lepas tu pusing ikut jalan nie, semuanya mengikut arah yang dia tunjuk tanpa jalan yang pasti kerana dia sendiri tidak ingat ke mana dia mahu pergi.

Ana tengok jam. Hampir tiba untuk ambil adik di sekolah, makanan untuk tengahari belum siap untuk dimasak lagi, masih ada urusan mustahak perlu diuruskan selepas itu. 

Dalam diam, hati berdoa. “Ya Allah, hamba ini lemah. Hamba hanya ingin membantu nenek ini, bantulah hamba untuk menemui tempat yang dimaksudkan. Permudahkanlah Ya Allah, gerakkah hati hamba untuk mengikut arah jalan yang betul”.

Ketika itu, hampir sahaja mahu ke balai polis kerana buntu dan tidak tahu mahu ke mana. Ana berhenti di satu tempat nak bertanya kepada nenek tersebut apakah dia punya alamat rumah atau apa-apa yang boleh bagi petunjuk di mana rumahnya. Dia geleng kepala dan asyik ulang, “mak cik nak jual baju yang ada dalam beg nie, anak mak cik lapar”.

Ana ambil dan tengok samaada ada apa-apa yang dapat membantu tetapi sayangnya tiada apa yang boleh bagi petunjuk di mana rumah mak cik tersebut. 

Tiba-tiba, dia terpandang seorang wanita melalui satu jalan dan minta ana ke sana. Ana pusing kereta dan pergi ke arah jalan yang dimaksudkan. Dia cakap terus lagi. Bila masuk satu lorong, dia suka sangat sambil cakap “Syukur Ya Allah, terima kasihlah adik…”.

Ana dapat agak yang rumahnya berdekatan lorong tersebut. Ana turun dari kereta dan bertanya kepada jurujual di kedai apakah dia kenal nenek nie. Alhamdulillah wa syukrillah jurujual tersebut kenal dan mengatakan, “belakang lorong nie rumah dia, dia memang selalu nyanyuk. Syukur dia jumpa dengan adik dan sudi hantar balik”.

Ana turunkan dia disitu dan segera pulang ke rumah sambil bersiap untuk masak tengahari kerana abah, ummi dan adik-adik akan pulang ke rumah tak lama lagi. Selesai sahaja, terus sambung menjahit sampai terlena kerana kepenatan yang amat.

Petangnya pula, ana keluar ke Kota Bharu kerana sudah janji dengan seorang kakak untuk teman dia hantar kain yang ana borong, di stesen bas. Kain itu terlalu banyak dan perlu dihantar menggunakan perkhidmatan bas yang menghala ke Melaka.

Sangat bersyukur dapat berurusan dengannya, suka memudahkan kerja orang lain, ringan tulang dan tidak mudah merungut. Walaupun kain itu ana yang punya tetapi dia sudi bantu untuk menguruskan penghantaran melalui bas. Allahu Allah.

Sambil menunggu, ana ambil peluang untuk kenal kakak nie lebih dekat dan banyak perkara yang kami bualkan. Untuk pengetahuan, ana sudah berurusan dengannya selama dua tahun hingga dia anggap ana ini seperti adiknya. Alhamdulillah…

Setelah urusan selesai dengan pihak bas, ana segera hantar dia balik ke rumah. Dalam perjalanan, kami singgah untuk beli makan malam kerana ana tahu dia lapar cuma tidak diluahkan disebabkan tidak mahu menyusahkan ana (walhal ana yang susahkan dia).

Ketika menunggu makanan siap dimasak. Ana terdengar perbualan dua orang ahli politik yang berbeza parti sedang berbahas berkaitan itu semasa. Masing-masing dengan hujah sendiri mempertahankan tindakan pimpinan parti.

Ana cakap dekat kakak nie, “akak dengar tak dorang bincang pasal apa”.

Dia senyum. “dengar, cuma buat tak tahu. Ikutlah nak sokong yang mana pun tapi jangan sampai nak hina dan mencaci orang lain. Akak dah tak kisah semua tu, dua-dua sama je”.

Dari situ, tersingkaplah kisah hidupnya yang serba daif. “Kalau asma’ nak tahu, akak usaha cari makan sendiri, penat dah nak pergi minta bantuan kat mana-mana. Akak pergi buat rayuan dekat jabatan kebajikan untuk baiki bumbung rumah yang menunggu masa untuk roboh sahaja tetapi tidak diluluskan sebab belum cukup umur 60 tahun lagi”.

“Akak pergi dekat pejabat kerajaan negeri pun tak dapat. Pergi dekat jabatan kerajaan pusat pun tak dapat. Yang duk bercakap tu, sepupu akak tu. Dia tahu akak hidup susah, sepatutnya dia bantulah mana yang patut sebab dia ada kuasa. Rumah akak tu tunggu masa nak roboh je, bila hujan je habis air masuk dalam rumah. Berjalan dalam rumah pun asyik bunyi sebab kayu lantai dah tak kukuh”.

“Akak nak baiki sendiri pun takda duit. Kalau akak tak kerja tiga hari, tak berasap dah dapur, alhamdulillah masih ada orang nak ambil akak kerja. Akak pun takda anak yang bekerja untuk sara kita, nak minta kat anak sulung yang dah kawin pun, dia sendiri tak cukup. Anak kedua terlantar sakit. Anak bongsu plak duduk jauh, belajar lagi. Semuanya nak pakai duit, akak jelah yang sara diaorang”.

“Kat badan akak takda seurat emas pun. Mana pernah pakai cincin ke apa-apa. Akak pun tak pernah beli barang dapur banyak-banyak macam orang lain. Tiap-tiap malam akak pergi beli beras 1kg kat kedai tu. Tak percaya, tanya ustaz kat situ”.

Masa tu. Ana tak terkata. Hati dah sayu. Terasa tak sanggup lagi nak dengar apa yang terpendam dalam hatinya. Tak sangka setelah 2 tahun kenal, baru ana tahu betapa susahnya hidup yang dia lalui hampir 13 tahun. Allahu Allah.

Hikmah yang Allah aturkan supaya ‘rahsia’ hidupnya tersingkap depan ana. Boleh sahaja dia cerita dekat ana betapa susah hidupnya sebab ana selalu beli kain kat tempat dia kerja tetapi dia bukan jenis insan sebegitu. Tidak suka minta simpati, selagi ada kudrat dan tenaga, selagi itu dia akan berusaha.

Ana pergi ke rumahnya. ketika masuk lorong melalui rumahnya, ana lihat rumah disekitarnya besar-besar belaka hingga ada yang dua tingkat. Hati terdetik, “tak terfikirkah manusia dalam rumah nie untuk ambil peduli tentang jiran yang dekat dengan rumahnya”.

Sampai sahaja ke rumahnya, dibahagian luar nampak biasa-biasa sahaja tetapi apabila lihat di bahagian dalam rumah, nampak serba kekurangan. Saat itu terdetik dihati mahu membantu sedayanya. Allahu Allah…

Buat para pembaca yang membaca tulisan ini dan sudi untuk membantu dia dengan menghulurkan sedikit bantuan kewangan bagi membaiki bahagian rumahnya yang rosak, boleh hantar pesanan dalam inbox di facebook ana atau hantar mesej ke alamat emel ini bidadaribesi09@yahoo.com .

Sebarang perkembangan berkaitan dua wanita dalam penulisan ini, ana akan cuba update berkaitan. Hajatnya mahu bekalkan sedikit barang mentah seperti beras, gula, telur, bawang, sayuran, buah dan sebagainya kepada kakak tadi Jumaat ini.  Wallahua’lam…

Ku tahu, bertemu dengan mereka pasti aturan Allah,
Ku juga tahu, hadirnya mereka untuk sedarkan kita,
Syukurilah apa yang ada, hidup adalah anugerah.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus