Isnin, 25 Jun 2012

Kesedaran


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Kisah Benar.

Satu pesanan masuk dalam kotak inbox telefon.

“Assalamualaikum kak. Saya nak minta nasihat akak. Sejak semester 2 result saya jatuh, semester 3 pun sama. Semester 4 nie pun macam takde harapan boleh naik pointer. Orang kata, kalau semester 4 masih pointer tak okey, bila semester 5 takde harapan dah nak naik pointer. Salah saya juga main-main. Semester 5 lepas nie, memang tertutup ke peluang saya?”.

Saya senyum membaca bait-bait kata yang tertulis.

“Wa’alaikummussalam. Tidak ada erti kekalahan sebelum perjuangan tamat…:) ”

“Entahlah kak. Rasa tersentap terus dengan keadaan sekarang”.

“Eloklah. Syukurlah sedar sekarang dari sedar bila sudah last semester”.

Dia mula senyum. Semangatnya mula kembali.

“Alhamdulillah. Saya pegang kata-kata akak…:) ”

*******************

Saat menerima pesanan tersebut, ana seolah-olah melihat perjalanan hidup ana yang lalu berputar kembali. 

Sudahlah duduk dalam kelas paling hujung. Dapat kedudukan keputusan dalam kelas juga hampir-hampir hujung. Malah keputusan peperiksaan sering bertanda merah. Jika ana ceritakan ini, ada yang percaya ana bekas pelajar matrikulasi yang sering masyarakat anggap sebagai ‘budak pandai’ bila dapat sambung ke matrikulasi?

Masih ana ingat perbualan abah dan ummi selepas ana selesai temuduga untuk masuk ke sekolah agama berasrama ketika darjah 6. 

“Erm..kalau angah tak dapat masuk ke sekolah tu. Kita buat rayuan dekat pihak sekolahlah untuk terima angah sambung belajar kat situ ya…”.

Apa persepsi kalian bila baca kata-kata tu? Ana dapat agak, mesti ada yang berkata keputusan peperiksaan ana teruk dan mungkin juga pelajar paling bodoh….:) 

Alhamdulillah, ana lulus temuduga dan diterima masuk ke sekolah tersebut. Kejadian sama kembali berulang apabila keputusan PMR diumumkan dan abah minta ana tukar ke sekolah menengah biasa kerana bimbang ana tidak mampu untuk kuasai puluhan subjek jika berada di Maahad.

Kata-kata yang keluar dari mulut ana ketika ummi sampaikan hasrat abah untuk ana pindah sekolah, “angah nie bodoh sangat ke sampai nak angah tukar sekolah?”.

Apa yang berlaku setelah ana bertukar sekolah ketika itu? Ana melihat betapa ramai manusia yang lalai dan jauh dari Allah. Budaya couple, gangster, vandalism, ponteng kelas dan banyak lagi. Semua ini berlaku depan mata ana. Hari-hari ana lalui selama dua tahun sepanjang berada disekolah tersebut.

Saat itu ana mula sedar akan sesuatu. Apa dia? Amanah sebagai seorang Muslim untuk ummah. Ana juga sedar, ketika itu Allah s.w.t. mengambil kembali ilmu agama yang ana pelajari hingga hafazan tidak lekat dalam ingatan.

Apabila sudah sedar akan kekhilafan diri dan mula sedar akan tanggungjawab untuk ummah. Ana mula mengatur langkah dan matlamat hidup untuk menjadi mukmin professional. Kuasai pelbagai bidang ilmu walaupun tampak kecil dimata insan lain. 

Saat itu, ana sudah faham maksud dan pesanan para ustaz dan ustazah ketika di Maahad. “Belajarlah kerana Allah, belajarlah demi ummah!”. Ana belajar dan terus belajar.

Satu hari, keputusan SPM diumumkan. Terasa tidak percaya dengan keputusan yang ana terima. Ummi dan abah tersenyum bangga saat ditunjukkan keputusan tersebut. Lagi terasa bersyukur kepada Allah apabila dikhabarkan ana diterima masuk ke matrikulasi. Allahu akbar!

Ini luahan hati ana sendiri tatkala dijemput untuk memberikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah. Ana lebih gemar untuk memilih bersama dengan insan yang dari kelas tercorot atau hujung kerana ana juga dari kalangan mereka dahulunya…:)

Mereka ponteng sekolah, mereka rosakkan harta benda sekolah, mereka kurang ajar kepada para guru, malah ada yang berhenti sekolah kerana salah satu sebabnya mereka merasakan diri sudah tidak berguna dan tidak punya masa depan. 

Pergi sekolah, cikgu asyik marah-marah kerana tidak reti membaca dan menulis serta kerja sekolah tidak disiapkan. Balik rumah, parents asyik membebel itu dan ini. Maka, siapa yang mahu mendengar luahan hati mereka?

Tidak mudah untuk mengawalnya. Tapi bila mereka sedar? Rasailah momentum kejayaannya. Boleh baca kisah yang ana nukilkan disini ya,"Detik Permulaan Langkahku"

Ana teringat kata-kata seorang sahabat ketika ana sedang sibuk mengatur tentatif program, “Untungkan ukhty, muda-muda lagi sudah buat kerja dakwah. Ana terlambat, masa ana belajar sebelum nie, tak sedar pun. Bila dah tua baru sedar…”.

Ana senyum. “ana punya kisah hidup tersendiri. Tidak ada istilah terlambat, anggap sahaja  Allah pilih ana untuk ‘lahir’ dahulu. Itu lebih baik dari tak sedar langsung…”.

*******************

Pernah tak dengar atau baca ayat nie dalam hidup kita atau masyarakat sekeliling?

“Awak sedar tak apa yang awak buat nie boleh bahayakan nyawa sendiri?”
“awak sedar tak apa yang awak buat nie salah disisi undang-undang?”
“Saya dah insaf. Saya sedar saya banyak buat dosa kepada kalian”.

Sedar. Kesedaran.

Samaada diri kita sendiri yang sedar. Atau kita yang sedarkan orang lain. Tidak mudah untuk kita sedar akan kekhilafan diri dan tidak mudah juga untuk kita sedarkan orang lain tentang kesalahannya.

“Apabila seorang wanita sedar dirinya belum menutup aurat dengan sempurna, pasti dia akan cepat-cepat mencari kain untuk menutup bahagian yang terdedah. Apabila seseorang sedar dirinya sering bergelumang dengan dosa, pasti dia akan segera bertaubat kepada Allah s.w.t. Apabila diri sendiri sedar akan amanah dan tanggungjawab terhadap ummah, apakah dia akan bergoyang kaki dan berpeluk tubuh sahaja?”

Cuma satu pesan ana. Sedarlah, kita semua akan mati dan akan diadili di mahkamah Allah. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Sabtu, 23 Jun 2012

Untuk Allah...♥


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

"Hmm...membazir je kak long pakai bedak dan lip balm tu..."

Tangan saya terhenti dari mengikat niqab arab.

"Eh, kenapa pula membazir?"

"Yelah...membazir sebab bukan ada orang nampak pun muka kak long pakai bedak dan lip bam..."

Saya ketawa.

"Adik Leeya sayang. Rugikan kita bila buat sesuatu kerana orang lain dan mengharap pandangan manusia...."

Dia terdiam.

"Kak long pakai bedak dan lip balm sebab nak jaga kesihatan muka. Tak nak muka berminyak dan bibir kering. Untuk diri sendiri dan bukan untuk dipandang manusia. Begitu juga tatkala kita pakai tudung atau baju. Kita pakai sebab mahu nampak cantik atau kerana perintah Allah yang mewajibkan kita menutup aurat?", saya menyambung.

Dia senyum sambil menganggukkan kepala.

                                                                   ***********************
"Hanya insan terpilih dapat memilikinya..."
^^

---------------------------------------------------------------------

Tak mudahkan untuk sentiasa berniat dan istiqomah melakukan sesuatu perkara kerana Allah. Kita mungkin akan terleka seketika saat sedang menunaikan amanah sebagai seorang pelajar, guru, doktor dan banyak lagi dalam kehidupan seharian.

Ana teringat perkongsian yang ditulis dalam laman sosial seorang sahabat ketika membuat usrah bersama adik-adik usrahnya.

“cuba bagitahu abang, apa amalan yang cuba kalian perbaiki dan mahu istiqomah dengannya?”

“kalau saya, saya nak cuba solat berjemaah setiap waktu. Subuh, maghrib dan isya’ sudah mampu istiqomah sebab solat di surau kolej atau masjid. Tapi zohor dan asar susah sikit sebab kuliah.” jawab salah seorang dari mereka.

“kalau saya pula, saya nak kekal baca al-quran satu juzuk dalam sehari dan cuba tak tinggal solat sunat hajat selepas solat maghrib”. jawab yang lain.

Tiba giliran sang naqib pula.

“kalau abang pula. Abang cuba untuk istiqomah dengan yang satu ini iaitu setiap perkara yang abang lakukan dalam kehidupan seharian tidak kira ketika main bola, makan nasi, ulangkaji pelajaran, bantu mak dan banyak lagi dengan sentiasa berniat ‘semua ini adalah kerana Allah’ supaya Allah berkahi setiap apa yang abang lakukan kerana ibadat bukan setakat baca al-Quran, solat, puasa dan sebagainya tetapi ianya meliputi seluruh ruang kehidupan kita”.

Subhanallah~ Ana mula koreksi diri setelah membaca catatan penulisan beliau. Nampak kecil tapi besar kesannya dalam kehidupan kita. Kenapa ana berkata sedemikian? 

Cuba kita renung seketika, setiap permulaan puasa kita mesti dengan niat. Sebelum solat juga perlu niat, sebelum mandi wajib juga perlu niat. Semuanya bermula dengan niat. Dalam hadis 40 nukilan Imam Nawawi Rahimullah tercatat dimana niat diletakkan sebagai hadis pertama iaitu semua amalan bergantung pada niat.

“Melalui niat, ianya boleh membawa kita ke syurga, juga boleh membawa kita ke nereka…”

Ana percaya dan yakin, bila kita berniat untuk melakukan sesuatu dan bersungguh-sungguh dengan niat tersebut. Hidup kita akan terarah kepada niat tersebut. Jadi, sentiasalah berniat untuk sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Disebabkan niat juga, ianya mampu menjaga kita. Bila kita sudah terbiasa berniat untuk lakukan kerana Allah dan bermula dengan basmallah, apakah kita akan berbuat maksiat? sedangkan hati dan mulut berkata kerana Allah.

Cubalah dan lihatlah bagaimana ianya mampu mengubah kita kearah yang lebih baik. Boleh juga rujuk "Segalanya Kerana Niat" untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan niat. wallahua’lam…(^^,)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Ahad, 17 Jun 2012

kelisa Dakwah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya
“empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa” (Riwayat Ibnu Hibban)

Masa 'mandikan' dia semalam...(^^,)

Alhamdulillah wa syukrillah atas anugerah dan nikmat yang telah Allah s.w.t. kurniakan. Ana sudah memperolehi satu daripada hadis tersebut iaitu kereta yang selesa, ‘My Kelisa Dakwah’. Bahagia dengan kehadirannya disisi…(^^,)

Ada kisah disebaliknya dan bila direnungkan semula, rasa nak menangis pun ada…:p Terharu dengan aturan yang Allah s.w.t. tetapkan. Unik dah teratur sekali. Dan ana akui kata-kata ini.

“Penantian bukan suatu yang menyeksakan, tetapi ianya adalah suatu proses tarbiyah”

Ana masih ingat sewaktu di semester pertama, ana suarakan hasrat hati. “Ummi, nanti angah nak beli kereta la sebelum tamat belajar…”. Namun, hasrat ana itu dibalas dengan sindiriran…(^^,). 

Maka, ana lupakan hasrat tersebut. Semester demi semester berlalu hinggalah satu hari ada sahabat berkata kepada ana, “beli keretalah, mudah sikit nak bergerak ke mana-mana”. Ana hanya tersenyum.

Diwaktu yang lain pula, dia bertanya lagi, “bila nak ambil lesen nie?”. Respon ana tetap sama. Jadual harian yang begitu sibuk sejak diberi amanah semasa ditahun pertama lagi membuatkan ana tidak punya waktu yang cukup untuk fikirkan semua itu. 

Mungkin kasihan melihat ana berjalan kaki ke sana ke mari yang ambil masa yang lama untuk sampai. Dari kolej ke dewan kuliah mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit. Dari dewan kuliah mahu ke Pusat Islam UUM jika ada mesyuarat atau program mengambil masa kira-kira 20 hingga 25 minit. 

Ana tidak gemar naik bas untuk ke tempat yang mahu dituju, tidak gemar berhimpit dan berebut-berebut dengan pelajar lain. Lebih rela berpeluh dan berpanas dengan berjalan kaki. Itulah hari-hari ana ketika di kampus.

Mahu tergelak  bila ada sahabat berkata, “kalaulah kaki tu tak pakai kasut, haus macam kasut nie juga agaknya. hehe!”. Masakan tidak begitu, baru satu bulan pakai sudah tercabut tapak sebab kuat sangat berjalan. 

Setelah beli kasut baru, ana minta sahabat pergi kedai kasut untuk jahitkan tapat supaya tahan lebih lama. Tapi terpaksa tukar juga dengan yang baru selepas tiga bulan sebab tapaknya sudah berlubang…:p

Bila balik ke bilik, kepenatan yang teramat sangat dan kaki memang akan terasa kejang dan lenguh. Hampir setiap malam terpaksa urut kaki, apatah lagi lepas ‘kemalangan’ kira-kira 5 tahun dulu. Akhirnya terlena begitu.

Tetapi, selepas kesihatan semakin jatuh menjunam dan selalu kena ‘bebel’…:p ana beransur-ansur naik bas untuk ke dewan kuliah supaya tenaga semasa berjalan kaki dapat dijimatkan bagi digunakan untuk program dan mesyuarat disebelah malamnya.

Aturan Allah, semasa cuti akhir semester 6, Amirah Fasihah bakal menjenguk ke dunia. Maka, ana batalkan program dan kajian yang mahu dilaksanakan ketika itu dan duduk dirumah hampir 4 bulan. Ketika itu ummi minta ana buat lesen kereta bagi memudahkan ana jika ada apa-apa semasa praktikal nanti.

Dengan sikap acuh tak acuh, ana turut sahaja walaupun hati tak sudi pada mulanya…:p Boleh baca kisah ana dapat lesen kereta kat sini ya. Lulus! (^^,)

Sebaik sahaja dapat lesen kereta, ana mula membuat latihan memandu dengan menggunakan kereta ummi. Semasa praktikal di Pusat Islam UUM, ana tidak lagi minta bantuan sahabat untuk pandu kereta, tetapi ana sendiri yang pandu dan bawa sahabat ke tempat program dengan menyewa kereta.

Hasrat untuk miliki kereta sendiri, ana suarakan sekali lagi pada ummi. Kali ini hasrat itu dipertimbangkan dengan sebaiknya setelah berfikir masak-masak tentang bayaran pinjaman setiap bulan dan juga kos sekiranya kereta rosak.

Ketika itu, ana benar-benar perlukan kereta kerana rumah sewa jauh dengan tempat praktikal. Motor teman serumah pula selalu rosak. Keadaan cuaca juga selalu hujan. Duit menyewa kereta mengalir laju bila ada program yang memerlukan ana menyewa kereta. 

Abah kurang yakin dengan ana, tetapi ummi sebaliknya. Ummi kenal anaknya, bila sudah buat satu keputusan, sukar untuk diubah. Setelah berjaya yakinkan abah yang ana mampu untuk membayar pinjaman kereta, maka ummi cadangkan untuk ana ambil keretanya dan ummi beli kereta baru.

Ana bersetuju, maka bermulalah proses pembelian kereta baru ummi dan ana diminta untuk bayar RM2000,00 bagi duit muka kereta tersebut. Sebaik sahaja urusan tersebut selesai, abah dan pak cik hantar kereta ummi kepada ana di Kedah dan mereka pulang ke Kelantan dengan menaiki bas.

'Dating' dengannya...(^^,)
Bermulalah hidup baru ana dengan Kelisa Dakwah. Ada yang bertanya, kenapa kereta nie dinamakan Kelisa dakwah? Banyak sebabnya, hehe!

Satu, ini adalah kereta ummi yang ana ambil secara sah…:p Bila berjauhan dan sibuk dengan program, ana akan duduk dalam kereta nie dan rasai yang ummi sedang pandu kereta nie dan membayangkan gelagat adik-adik ana, dari situ rindu ana akan terubat. Ana akan jaga kereta nie seperti mana ana jaga keluarga ana. Bak kata ustazah ana, ‘kereta warisan’. ngeh3….:p

Dua, duit pinjaman kereta ini ana bayar dengan menggunakan hasil keuntungan dari Bidadari Collection juga sumbangan pihak penganjur dari program yang ana sertai melalui khidmat dan kepakaran yang ana berikan. Ianya hasil gerak kerja dakwah yang ana lakukan supaya kereta ini terus hidup dijalan dakwah…(^^,).

Ketiga, kereta ini selalu dengan ana tatkala ana mahu pergi ke program dakwah. Selalu ada tatkala sahabat-sahabat ana perlukan bantuan. Selalu ada jika berlaku kecemasan yang memerlukan ana dengan segera. Menjadi sebahagian dari ‘teman seperjuangan’ ana.

Keempat, kereta ini juga dijadikan tempat ana dan sahabat-sahabat ‘berusrah’ dan berkongsi cerita kehidupan. Di cermin belakang kereta, ana tampal sticker berkaitan aurat dan save gaza. Juga ada senaskah al-quran terjemahan untuk penumpang baca atau rujuk atau ana sendiri guna. Kereta ini juga ana jadikan tempat rehat jika kepenatan dengan program.

Kelima, peringatan kepada ana supaya kereta ini terus memecut laju ke jalan dakwah dan sentiasa terarah kepada akhirat. Moga ianya menjadi nikmat dan bukannya musibah.

Itu adalah sedikit sebab yang dapat ana berikan kenapa ana berikan nama itu kepadanya. Selebihnya, sila tanya kepada yang sudah naik ya….(^^,)

Ada yang berkata, ‘untunglah ukhty ada kereta’.
 
Ana hanya senyum dan berkata, “untuk apa mahu dibanggakan. Orang lain juga punya kereta, malah lebih besar dan mewah dari ini. Kereta ini milik Allah, ana pemegang amanah. Jika Dia mahu, dalam sekelip mata Dia boleh ambil dengan berlaku kemalangan atau rosak yang tidak mampu dibaiki”.

Sebaik sahaja dapat lesan, Allah izinkan untuk miliki kereta sendiri. Alhamdulillah… Punya kereta sewaktu masih belajar tidak semudah yang disangka. Tapi tidak mustahil jika kalian sudah mula mengatur kewangan ketika permulaan sambung belajar lagi. Cubalah, moga berjaya! ^^

Ana tidak tahu apakah ana mampu membayar pinjaman tersebut hingga habis, tetapi ana tetap akan berusaha semampunya untuk pastikan Kelisa Dakwah sentiasa disisi kerana ianya sudah menjadi sebahagian daripada hidup ana. Moga Allah redha dengannya.

Berdasarkan hadis dipermulaan coretan, ana sudah memperolehi satu dengan izin Allah s.w.t… Masih ada tiga yang perlu diusahakan. Wallahua’lam…

----------------------------------------------------------------

Ada yang menyapa, “bestkan jadi orang kaya?”, sapanya memecah kesunyian.

Saya senyum.

“Orang yang paling kaya adalah bilamana dia merasa cukup dengan apa yang dimiliknya….”

Bahagia itu pilihan…^^


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Sabtu, 9 Jun 2012

Luar Biasa…^^


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat), maka pahalanya dari Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang zalim.”
(Surah Asy-Syura, ayat 40)

 
Beruntunglah insan yang memiliki hati yang sihat dan hidup, kan? Sebab hati itu akan sentiasa disaluti dengan rasa bahagia dan ingin membahagiakan orang lain. Nak tak jadi insan yang luar biasa? Jom ikut akhlak Rasulullah s.aw…^^

Mungkin ada pembaca ingat kisah ini. Ada seorang wanita Yahudi begitu suka dan puas hati sekiranya dapat menyakiti Rasulullah s.a.w.. Setiap hari, ada saja cara yang akan wanita Yahudi ini lakukan untuk membuatkan Rasulullah s.a.w. sakit hati dan terluka.

Hari ini, wanita Yahudi letakkan duri yang tajam di laluan jalan yang sering Rasulullah s.a.w guna menyebabkan kaki Rasulullah s.a.w. terluka. Tetapi tidak sedikit pun Baginda s.a.w. membalas kembali perbuatan wanita Yahudi tersebut.

Esoknya pula, Wanita Yahudi campakkan najis ke arah Rasulullah s.a.w. ketika Baginda s.a.w. melalui jalan yang sama seperti semalam. Tetapi tidak sedikit pun Baginda s.a.w. membalas kembali perbuatan wanita Yahudi tersebut.

Begitulah yang dilakukan oleh wanita Yahudi tersebut sehari-hari, namun tidak sedikit pun perbuatannya itu dibalas oleh Baginda s.a.w. Allahu Allah…

Suatu hari, wanita Yahudi tersebut tidak melakukan hal yang sama sepertimana kebiasaan yang akan dia lakukan. Rasulullah s.a.w. tertanya-tanya ke mana perginya wanita Yahudi ini. Lalu Baginda s.a.w ke rumah wanita Yahudi tersebut untuk mengetahui keadaan sebenar. Rupa-rupanya wanita Yahudi ini jatuh sakit. 

Seringkali ana dengar ada sahabat akan berkata, “kalau ana berada di tempat Rasulullah s.a.w., mesti ana dah cakap ‘padan muka kau, inilah balasan sebab selalu buat jahat dekat aku’…”.

Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak berkata sedemikian, malah menziarahi wanita Yahudi tersebut yang jatuh sakit. Akhirnya, wanita Yahudi tersebut memeluk Islam kerana tertarik dengan peribadi dan akhlak Baginda s.a.w.

Mungkin ada juga yang teringat kisah ini. Ada seorang lelaki tua yang buta dan cacat, dia selalu mencaci Baginda s.a.w. “kamu, jangan percaya dan ikut cakap Muhammad bin Abdullah, dia seorang penipu dan kata-katanya tidak boleh dipercayai langsung…”.

Adakah Rasulullah s.a.w. membalas kata-katanya? Tidak sama sekali. Malah Baginda s.a.w. akan hancurkan sedikit nasi supaya menjadi halus untuk memudahkan lelaki tua itu makan dan barulah Baginda s.a.w. menyuapkan nasi tersebut ke dalam mulutnya. Baginda s.a.w langsung tidak memperkenalkan diri dan menyatakan Baginda s.a.w adalah lelaki yang dicaci itu hinggalah Baginda s.a.w. wafat. Allahu Allah.

Selepas Baginda s.a.w. wafat. Abu Bakar as-siddiq cuba melakukan semua perkara yang telah Baginda s.a.w lakukan, lalu Abu Bakar as-siddiq bertanya kepada anaknya iaitu Saidatina Aishah r.a. “wahai anakku, apakah masih ada perkara yang belum ku lakukan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.?”.

“Masih ada satu perkara yang belum ayah lakukan. Rasulullah s.a.w. selalu suapkan nasi kepada seorang lelaki tua yang cacat dan buta…”. ucap anaknya.

Lalu, Abu Bakar as-siddiq membawa nasi dan menyuapkan ke mulut lelaki tua tersebut. Tetapi lelaki tua itu terasa pelik dan hairan lalu bertanya, “kamu bukan lelaki yang selalu suapkan nasi kepadaku, dimana lelaki yang selalu suapkan nasi kepadaku sebelum ini?”. 

Abu Bakar as-siddiq menjadi sebak dan berkata, “akulah lelaki yang selalu suapkan nasi kepadamu sebelum ini…”.

“Tidak! kamu bukan lelaki itu. Dia akan hancurkan nasi ini terlebih dahulu sebelum menyuapnya ke dalam mulutku. Tetapi kamu tidak melakukan sepertimana dia lakukan…”.

Dengan nada yang hampir menangis, Abu Bakar as-siddiq berkata “lelaki tua itu sudah tiada lagi di dunia ini. Lelaki yang sering kamu kata sebagai seorang penipu dan jangan ikuti ajarannya itu sebenarnya adalah Rasulullah s.a.w.. Dan lelaki itulah yang sering menyuapkan nasi kepadamu…”.

Lelaki tua itu lalu menangis dan meraung serta menyesal dengan kata-katanya. Akhirnya, lelaki tua tersebut memeluk agama Islam kerana tertarik dengan akhlak dan peribadi Rasulullah s.a.w.

Allah……. (air mataku mengalir saat menulis kisah ini. Teringin sekali untuk bertemu dengan mu, wahai kekasih Allah).

--------------------------------------------------------------------

Jika tidak mampu untuk menahan amarah dan rasa geram dihati, cukuplah dengan kita diamkan diri dan kunci mulut dari berkata apa-apa. Ana teringat perkongsian yang dilakukan ketika berada di Penjara Pokok Sena.

“saya masuk sini sebab ada orang menganaiya saya. Dia letak dadah dalam rumah saya. Saya tidak tahu itu dadah, saya ambil untuk lihat apa benda. Tetapi sebaik sahaja pegang, polis sampai ke rumah saya. Maka saya dituduh dan masuk penjara kerana didakwa memiliki dadah…” 

Ana nampak dia selalu menangis sejak dari mula ana dan sahabat yang lain sampai disitu. Ana tahu ada yang tidak kena.

“Lepaskanlah rasa dendam dihati. Itu lebih baik dari menyimpan perasaan ‘sakit’ itu kerana dendam yang paling baik adalah dengan memaafkan insan tersebut.”  

Dia kembali menangis teresak-esak.

“memang saya berniat nak balas balik perbuatan orang yang anaiya saya tu sebab saya tahu siapa yang buat…”.

Ana senyum.

“Mungkin itulah ‘hijabnya’ kenapa Allah belum makbulkan doamu untuk keluar dari sini. Maafkanlah dia, lupakan apa yang telah dia lakukan dan mohonlah kepada Allah moga urusan di mahkamah nanti dipermudahkan. Manalah tahu Allah ‘hadiahkan’ rasa kemaafan dihati itu dengan melepaskan kamu keluar dari sini dengan cepat…”, ana memujuk. Dia masih direman dan menunggu perbicaraan seterusnya untuk menentukan samaada dia bersalah atau tidak. Moga Allah bantu.

Mungkin ada pembaca yang berkata, “mudahlah ukhty cakap, bukan ukhty yang lalui…”.

Ana hanya akan membalas dengan senyuman dan hati akan berkata, “hati yang merasai, pasti memahami dan tetap akan ku katakan, dendam yang paling indah adalah dengan memaafkan…”

Tak percaya? kisah Rasulullah s.a.w. buktinya…^^

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”
(Surah As-syura, ayat 43)


Wallahua’lam……

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Rabu, 6 Jun 2012

Bidadari Collection (1) ^^


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

4 Jun 2011 >>> 4 Jun 2012

Alhamdulillah wa syukrillah…(^^,)

Selamat Ulang Tahun Pertama

.:: Bidadari Collection ::.


Tersenyum sendiri membaca coretan yang pernah dilakarkan dalam artikel nie ♥ Bidadari Collection ♥ . Tidak menyangka, 2 hari lepas genaplah setahun Bidadari Collection beroperasi. Allahu Allah. 

Tidak mudah. Tidak senang seperti yang dilihat. Apatah lagi dalam tempoh satu tahun yang telah dilalui itu merupakan saat sukar sebagai pelajar tahun akhir. Ditambah pula komitmen terhadap tugas dan amanah yang masih berbaki.

Pernah juga ana menyebut mahu berhenti seketika bagi memberi tumpuan kepada gerak kerja dakwah dikampus. Namun, tatkala menerima pesanan dan mesej dari beberapa orang muslimat yang mahu beli tudung kerana itulah kali pertama dia memakainya. Hati ini berbelah bagi.

Akhirnya ana teruskan juga walaupun waktu untuk berehat teramat sempit. Apabila pulang ke rumah, ummi menegur.

“menjahit lagi ke?”, katanya setelah melihat ana pegang beberapa helai kain.

Ana hanya anggukkan kepala.

“Hmm…tak boleh tengokkan Amirah lagi la tu…”.

Ana terdiam. Ada benarnya. 

Ada juga sahabat-sahabat yang bertanya kepada ana bagaimana mahu mulakan perniagaan online seperti yang ana buat sekarang. Jadi, ana kongsikan beberapa tips untuk mulakannya ya…(^^,).

Pertama, niat kerana Allah. Kenapa ana letakkan ianya sebagai yang pertama? Supaya perniagaan yang bakal kalian laksanakan ini menjadi ibadah dan bukan musibah. Kenapa ana katakan sedemikian? Supaya kalian tidak tertarik dengan duit dan kekayaan dunia yang sementara ini serta menjadi kedekut tatkala melihat keuntungan yang banyak.

Niat itu perlu diperbaharui setiap masa. Sayang sekali apabila kita membuat sesuatu hanya kerana mahu mengubah taraf ekonomi diri sendiri tanpa memikirkan untuk turut serta menjadi ‘jutawan akhirat’. 

Kedua, kaji pasaran dan permintaan pelanggan. Kena selalu buat tinjauan terhadap citarasa dan minat orang ramai. Macam ana sendiri, permintaan untuk tudung labuh dan segi tiga serta niqab sering mendapat permintaan yang tinggi berbanding jaket muslimah dan sarung lengan jejari.

Kalau pembaca mahu tahu, sudah banyak perniagaan online yang menjual tudung labuh dan niqab. Jadi, apa yang membezakan kita dari yang lain? Mestilah dibuat inovasi. Contohnya kain tersebut lebih berkualiti dan senang dibentuk, tepi tudung tersebut disulam atau diletakkan manik, harganya jauh lebih murah dan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik. 

Cuma satu peringatan dari ana. Jangan pernah jual barang yang telah rosak dan kita sendiri tak sanggup nak guna. Juga jangan pernah jual barang yang melanggar piawaian patuh syariah.

Contohnya? Jual jubah muslimah bagus dah. Tapi kainnya nipis, terlalu banyak aksesori pada jubah dan terlalu menarik perhatian. Yang jual tudung pula, pastikan kainnya tidak nipis atau jarang, labuh dan menutupi dada serta tidak melekat apabila dipakai. 

Kita mahu perniagaan ini termasuk dalam sebahagian ibadat atau sebaliknya? Kerana itu, niat kerana Allah perlu sentiasa diperbaharui, pandangan Allah dan dari sudut syariat itu perlu diutamakan berbanding keuntungan yang bakal diperolehi. Jadi, berhati-hatilah tatkala memilih barang yang perlu dijual.

Ketiga, modal dan harga. Setiap perniagaan yang baru sahaja bermula, pasti memerlukan modal. Ana guna sedikit simpanan yang ada sebelum ini untuk membeli kain secara borong supaya dapat harga lebih murah berbanding harga biasa. Jadi, berusahalah untuk membuat tinjauan dan mencari pembekal yang bukan sahaja dapat beri harga murah bagi menjimatkan kos, malah senang berurusan dengannya.

Berkaitan dengan harga pula, Islam memberi kebebasan kepada para peniaga untuk meletakkan harga mengikut kesesuaian mereka setelah mengambil kira kos yang telah dikeluarkan, dengan syarat ianya tidak membebankan para pembeli.

Bagi ana sendiri, ana lebih puas hati melihat sahabat-sahabat muslimah memakai tudung dan niqab yang ana jahit berbanding keuntungan yang bakal ana perolehi. Jika kalian berniat mahu melihat lebih ramai muslimat menutup aurat dengan lebih sempurna, maka gunakan kebaikan hati kalian dalam meletakkan harga. Ikut kesesuaiannya, tetap dapat keuntungan dan tetap juga murah.

Keempat, buka akaun perbankkan secara online. Urusan lebih mudah kalau kalian buka akaun perbankkan secara online seperti Maybank2u, CIMB click, Bank Islam. Sekiranya pelanggan sudah bank in atau transfer duit, kalian dapat semak secara online dan tidak perlu selalu semak melalui mesin ATM untuk pastikan duit sudah masuk atau belum.

Cuma perlu lebih berhati-hati kerana banyak penipuan yang cuba dilakukan melalui perbankkan online. Selalu ikut tips dan nasihat yang telah diberikan oleh bank online masing-masing. Jika ragu-ragu, sila bertanya kepada yang sudah biasa melakukan perbankkan online ya.

Kelima, promosi dan iklan. Persediaan perlu dibuat sebelum membuat promosi atau iklan terhadap barang yang hendak kita jual. Lebih baik barang tersebut ada dalam tangan kita dan baru jual. Maksudnya, beli dahulu atau semak samaada barang tersebut masih ada dalam stok pembekal dan jangan sesekali jual barang ‘atas angin’.

Sewaktu iklan atau promosi dibuat, cubalah buat iklan tersebut supaya nampak menarik dan kreatif serta pastikan ianya tidak seindah rupa semata-mata. Berikan maklumat lengkap berkaitan barang tersebut dan pastikan ianya adalah barang yang sama seperti dalam gambar atau video. Jika ada kelainan, jujurlah dengan memberitahu kepada pelanggan. Promosi atau iklan ini mestilah selalu dibuat dari hari ke hari supaya orang ramai tahu kewujudan barang yang kita jual.

Boleh juga buat promosi melalui halaman di facebook, blog dan laman web. Masukkan gambar dan maklumat berkaitan barang yang dijual mengikut jenis-jenis barang. Letakkan apa yang perlu supaya ianya nampak mesra pelanggan.

Keenam, penghantaran melalui pos, Keretaapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bas atau kargo. Penghantaran bolehlah dibuat mengikut kesesuaian tempat yang mahu kita pos. Kalau sekitar Malaysia, pos laju selalu digunakan dan kadar pos yang dikenakan oleh pejabat pos adalah berdasarkan berat sesuatu barang. Sekiranya luar pada Malaysia, lebih baik guna pos biasa (Mel Udara) ataupun kargo.

Cuma, pastikan resit atau borang pos tersebut disimpan dan nombor postage yang tertera pada resit atau borang diberikan kepada pelanggan untuk semakan melalui online. Sekiranya barang tersebut tidak sampai ke alamat yang ditetapkan, peniaga atau pembeli boleh menuntut di pejabat pos berhampiran dan bertanya dimana kedudukan barang tersebut berdasarkan nombor postage.

Ketujuh, perkhidmatan mesra pelanggan. Ada sesetengah peniaga menjual barang yang benar-benar menarik perhatian pelanggan, tetapi disebabkan perkhidmatan yang diberikan tidak memuaskan hati atau bahasa komunikasi yang digunakan tidak sesuai, maka kemungkinan besar pelanggan akan beralih kepada yang lain.

Dalam perniagaan online, kepercayaan terhadap kejujuran seorang peniaga dan kualiti barang amat-amat penting. Ada beberapa orang sahabat ana yang tertipu setelah membeli barang melalui online. Ya…peniaga tersebut mungkin akan dapat untung dengan cara penipuan tersebut, tetapi jangan lupa, akhirat menanti. 

Balasannya? Pelanggan lari dan turut memberitahu sahabat mereka yang lain supaya tidak lagi berurusan dengan peniaga tersebut. Lama kelamaan, perniagaan tersebut terpaksa gulung tikar.

Berbanding pula dengan peniaga yang jujur. Pelanggan yang pernah berurusan dengannya bukan setakat membuat ‘re-order’, malah turut mempromosi terhadap rakan-rakan yang lain.

“Selalu perbaharui niat, moga ianya menjadi ibadat.”

Boleh pula rujuk laman web ini berkaitan Perkara Haram Dalam Perniagaan

Ini sekadar perkongsian ‘asas’ yang dapat ana lakar berdasarkan pengalaman ana sendiri selama satu tahun ini, moga ianya bermanfaat. Ana tidak tahu apa yang bakal berlaku dimasa depan, cuma berharap ‘Bidadari Collection’ tetap istiqomah dalam menawarkan barangan yang menutup aurat buat para wanita Islam…(^^,)

wallahhua’lam.
Produk 'Bidadari Collection' selamat tiba di Jordan...(^^,)

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(^^,)

Sabtu, 2 Jun 2012

Selamat bercinta hingga ke syurga…♥


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukrillah. 26 Mei 2012 yang lalu, sekitar jam 3.30 petang, mereka berdua selamat diijab kabulkan dengan dinikahkah sendiri oleh abah ana. Akhirnya masanya tiba jua setelah bermain ‘teka-teki’ siapa bakal imamnya dalam beberapa tahun ini. 

Sebelum abah serahkan ‘amanahnya’ kepada lelaki yang bakal menjadi menantunya, abah pergi kearah kakak dan berkata sesuatu. Tetapi ana tidak dengar apa yang abah ucap, hanya nampak reaksi kakak yang menganggukkan kepala.


Saat ini,  syahdu sangat rasa. Dada pun terasa sebak. Ana pandang muka kakak dan berkata, “kak, dah ready ke?.

Dia hanya senyum. Dan sekali lafaz yang tidak sampai satu minit, Nur Sakinah Binti Suardi sah bergelar isteri kepada Muhammad Faris Bin Saharuddin. Syukur Ya Allah, bertambah lagi ahli keluarga kami…(^^,)


Jawapan Istikhorohnya,
Jawapan kisah cintanya,
Jawapan siapa imamnya,
Selamat bercinta hingga ke syurga…

Teringat perbualan ana dengan beberapa orang sahabat apabila kad jemputan walimah kakak, ana hulurkan kepada mereka.

“Bakal abang ipar orang mana?”

“orang perak..”

“Perak kat mana?”

“Err…entah..”.

“Kerja apa?”

“Err…entah…”

“Macam mana dorang boleh kenal?”

“Kenal tepi jalan kot…hehe!”.

Sila jangan marah ana ya. ngeh3…sebab ana sendiri tidak sempat dan teruja untuk tahu lebih lanjut siapa bakal abang ipar ana. Cuma ana yakin, dia memang Allah hantar untuk kakak. Sebab apa? Sebab masa kali pertama abang ipar datang rumah, abah boleh cerita pasal kakak masa dia kecil dahulu kala berbanding yang datang sebelum ini.

Orangnya begitu mudah berurusan. Keluarganya juga begitu. Teringat ana saat keluarga abang ipar mahu pulang dan tinggalkan abang ipar bersama keluarga kami. Ada seorang ahli keluarga tarik tangan abang ipar dan mendekati ummi ana sambil berkata.

“Faris nie, kalau dia buat silap. Tegurlah mana yang patut. Kamu, jaga isteri baik-baik. Isteri tak sama macam kami nie…”.

Allah…terharu sangat-sangat bila dengar nasihat seperti itu. Ana pun nampak mata abang ipar macam sedikit berair….:p

Dan apa lagi yang ana mahukan lagi melainkan kakak dapat meraih ‘Syurganya’ di dunia ini. Ana tahu kisah hidupnya sebelum ini. Ana tahu betapa perit hatinya menanggung beban. Ana tahu betapa dalam hatinya terluka. 

Teringat perbualan ana dan kakak dan YM. 

“Kak, antara aku dan mu. Siapa lagi kuat?”, ana cuba menguji.

“Mu….”, jawabnya jujur.
 
Ana senyum. Maka, ana luahkan rasa hati. Walaupun kata-kata ana tidak dibalas secara terang, tapi ana tahu hatinya membalas….

“Kak Nur Qina, selepas ini adik-adik berada dibawah jagaan angah. Akan cuba sedaya upaya menjaga mereka. Usah khuatir, terbanglah ke mana sahaja yang mahu dikau pergi. Kejarlah bahagia yang dikau impikan sebelum ini. Sekarang sudah yakin bahawa Allah sayangkan kamu. Kerna itu Dia menguji mu dulu….:)“

Selepas Majlis Akad Nikah...(^^,)

Simple kan baju yang ana pakai masa majlis akad nikah kakak? Hanya pakai T-shirt labuh sahaja. hehe! 

Ada yang tanya, “kenapa asma’ pakai t-shirt je? Tengah basuh pinggan kat belakang ke?”.

Ana ketawa. Actually, keluarga sebelah pihak perempuan pun kebanyakkan pakai t-shirt je. Ada je gambar kami-kami yang pakai t-shirt. Cuma tak muat nak tunjuk semua dalam blog nie. Nak tengok, datang rumah. Abah dah siap cuci gambar…:p

Kalau para pembaca mahu tahu, hampir kesemua yang ada semasa majlis akad nikah dan majlis kesyukuran adalah homemade. Dan hasilnya lebih kurang sama seperti tempah butik atau perancang perkahwinan. Cuma, penatlah sikit. huhu!

Bersyukur ada orang kampung yang sudi bantu masak dan pinjamkan peralatan untuk memasak. Kebanyakan yang lain semuanya hasil sentuhan tangan ahli keluarga dan kaum kerabat kami. Itulah untungnya ada keluarga besar…(^_~)

Bila tanya kakak, “berdebar tak nak kahwin nanti?”

“Entah, macam takde perasaan je…”, selamba je dia jawab.

Respon saya? Hmm…=_=”

Ana rasa, orang lain je perasan lebih…hehe! Ummi dan abah lagilah gembira. Maklumlah, anak sulung berkahwin dan juga cucu sulung sebelah abah. Abah siap pergi kedai beli baju melayu baru lagi. Ummi plak jahit baju baru untuk dipakai masa majlis kakak. Saya? Mana yang ada je sebab baru selesai praktikal dua hari lepas. Tudung dan niqab pun baru siap jahit, pagi sebelum majlis kesyukuran berlangsung. muahaha~

Mungkin ada yang menyapa. “kak long sudah, kak ngah bila lagi?”.

Ana senyum. “kalau tengok orang kahwin, sweetnya. Bila fikir amanah, gerunnya!. Tunggulah kalau larat sebab ana sendiri tak tahu bila….:p ”.

Ada sesuatu yang membuatkan saya rasa kakak dan abang ipar saya nie memang sweet! hehe…

Malam selepas majlis kesyukuran, kakak kena gasrik. Abang ipar yang tolong masakkan untuk kakak. Abang ipar ana pernah jadi chef. Ummi pun minta abang ipar tolong masakkan, katanya teringin.

Keesokannya masa nak keluar dating, kakak ana yang drive sebab abang ipar ana belum ada lesen kereta. Ada sesuatu yang buatkan abang ipar belum punya lesen kereta. 

“Usah dicari titip perbezaan, tapi carilah titip persamaan. Susah senang, sama-sama.”


Buat bakal Imamnya, pesanan ini ku titipkan buat kamu. Kami sentiasa bersama dari kecil hingga kini. Bergelak ketawa bersama, berkongsi rasa duka yang serata, temanku dalam medan dakwah walaupun berlainan cara. Ku mohon, jadikanlah dia wanita syurga. Sekiranya satu masa nanti kamu sudah tidak suka kepadanya, serahkan semula kepada keluarga kami secara baik-baik sepertimana kamu mengambilnya dengan cara yang baik.
(luahan hatiku. 2 Mei 2012)

Selamat bercinta hingga ke syurga…

wallahua’lam.