Rabu, 6 Jun 2012

Bidadari Collection (1) ^^


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

4 Jun 2011 >>> 4 Jun 2012

Alhamdulillah wa syukrillah…(^^,)

Selamat Ulang Tahun Pertama

.:: Bidadari Collection ::.


Tersenyum sendiri membaca coretan yang pernah dilakarkan dalam artikel nie ♥ Bidadari Collection ♥ . Tidak menyangka, 2 hari lepas genaplah setahun Bidadari Collection beroperasi. Allahu Allah. 

Tidak mudah. Tidak senang seperti yang dilihat. Apatah lagi dalam tempoh satu tahun yang telah dilalui itu merupakan saat sukar sebagai pelajar tahun akhir. Ditambah pula komitmen terhadap tugas dan amanah yang masih berbaki.

Pernah juga ana menyebut mahu berhenti seketika bagi memberi tumpuan kepada gerak kerja dakwah dikampus. Namun, tatkala menerima pesanan dan mesej dari beberapa orang muslimat yang mahu beli tudung kerana itulah kali pertama dia memakainya. Hati ini berbelah bagi.

Akhirnya ana teruskan juga walaupun waktu untuk berehat teramat sempit. Apabila pulang ke rumah, ummi menegur.

“menjahit lagi ke?”, katanya setelah melihat ana pegang beberapa helai kain.

Ana hanya anggukkan kepala.

“Hmm…tak boleh tengokkan Amirah lagi la tu…”.

Ana terdiam. Ada benarnya. 

Ada juga sahabat-sahabat yang bertanya kepada ana bagaimana mahu mulakan perniagaan online seperti yang ana buat sekarang. Jadi, ana kongsikan beberapa tips untuk mulakannya ya…(^^,).

Pertama, niat kerana Allah. Kenapa ana letakkan ianya sebagai yang pertama? Supaya perniagaan yang bakal kalian laksanakan ini menjadi ibadah dan bukan musibah. Kenapa ana katakan sedemikian? Supaya kalian tidak tertarik dengan duit dan kekayaan dunia yang sementara ini serta menjadi kedekut tatkala melihat keuntungan yang banyak.

Niat itu perlu diperbaharui setiap masa. Sayang sekali apabila kita membuat sesuatu hanya kerana mahu mengubah taraf ekonomi diri sendiri tanpa memikirkan untuk turut serta menjadi ‘jutawan akhirat’. 

Kedua, kaji pasaran dan permintaan pelanggan. Kena selalu buat tinjauan terhadap citarasa dan minat orang ramai. Macam ana sendiri, permintaan untuk tudung labuh dan segi tiga serta niqab sering mendapat permintaan yang tinggi berbanding jaket muslimah dan sarung lengan jejari.

Kalau pembaca mahu tahu, sudah banyak perniagaan online yang menjual tudung labuh dan niqab. Jadi, apa yang membezakan kita dari yang lain? Mestilah dibuat inovasi. Contohnya kain tersebut lebih berkualiti dan senang dibentuk, tepi tudung tersebut disulam atau diletakkan manik, harganya jauh lebih murah dan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik. 

Cuma satu peringatan dari ana. Jangan pernah jual barang yang telah rosak dan kita sendiri tak sanggup nak guna. Juga jangan pernah jual barang yang melanggar piawaian patuh syariah.

Contohnya? Jual jubah muslimah bagus dah. Tapi kainnya nipis, terlalu banyak aksesori pada jubah dan terlalu menarik perhatian. Yang jual tudung pula, pastikan kainnya tidak nipis atau jarang, labuh dan menutupi dada serta tidak melekat apabila dipakai. 

Kita mahu perniagaan ini termasuk dalam sebahagian ibadat atau sebaliknya? Kerana itu, niat kerana Allah perlu sentiasa diperbaharui, pandangan Allah dan dari sudut syariat itu perlu diutamakan berbanding keuntungan yang bakal diperolehi. Jadi, berhati-hatilah tatkala memilih barang yang perlu dijual.

Ketiga, modal dan harga. Setiap perniagaan yang baru sahaja bermula, pasti memerlukan modal. Ana guna sedikit simpanan yang ada sebelum ini untuk membeli kain secara borong supaya dapat harga lebih murah berbanding harga biasa. Jadi, berusahalah untuk membuat tinjauan dan mencari pembekal yang bukan sahaja dapat beri harga murah bagi menjimatkan kos, malah senang berurusan dengannya.

Berkaitan dengan harga pula, Islam memberi kebebasan kepada para peniaga untuk meletakkan harga mengikut kesesuaian mereka setelah mengambil kira kos yang telah dikeluarkan, dengan syarat ianya tidak membebankan para pembeli.

Bagi ana sendiri, ana lebih puas hati melihat sahabat-sahabat muslimah memakai tudung dan niqab yang ana jahit berbanding keuntungan yang bakal ana perolehi. Jika kalian berniat mahu melihat lebih ramai muslimat menutup aurat dengan lebih sempurna, maka gunakan kebaikan hati kalian dalam meletakkan harga. Ikut kesesuaiannya, tetap dapat keuntungan dan tetap juga murah.

Keempat, buka akaun perbankkan secara online. Urusan lebih mudah kalau kalian buka akaun perbankkan secara online seperti Maybank2u, CIMB click, Bank Islam. Sekiranya pelanggan sudah bank in atau transfer duit, kalian dapat semak secara online dan tidak perlu selalu semak melalui mesin ATM untuk pastikan duit sudah masuk atau belum.

Cuma perlu lebih berhati-hati kerana banyak penipuan yang cuba dilakukan melalui perbankkan online. Selalu ikut tips dan nasihat yang telah diberikan oleh bank online masing-masing. Jika ragu-ragu, sila bertanya kepada yang sudah biasa melakukan perbankkan online ya.

Kelima, promosi dan iklan. Persediaan perlu dibuat sebelum membuat promosi atau iklan terhadap barang yang hendak kita jual. Lebih baik barang tersebut ada dalam tangan kita dan baru jual. Maksudnya, beli dahulu atau semak samaada barang tersebut masih ada dalam stok pembekal dan jangan sesekali jual barang ‘atas angin’.

Sewaktu iklan atau promosi dibuat, cubalah buat iklan tersebut supaya nampak menarik dan kreatif serta pastikan ianya tidak seindah rupa semata-mata. Berikan maklumat lengkap berkaitan barang tersebut dan pastikan ianya adalah barang yang sama seperti dalam gambar atau video. Jika ada kelainan, jujurlah dengan memberitahu kepada pelanggan. Promosi atau iklan ini mestilah selalu dibuat dari hari ke hari supaya orang ramai tahu kewujudan barang yang kita jual.

Boleh juga buat promosi melalui halaman di facebook, blog dan laman web. Masukkan gambar dan maklumat berkaitan barang yang dijual mengikut jenis-jenis barang. Letakkan apa yang perlu supaya ianya nampak mesra pelanggan.

Keenam, penghantaran melalui pos, Keretaapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bas atau kargo. Penghantaran bolehlah dibuat mengikut kesesuaian tempat yang mahu kita pos. Kalau sekitar Malaysia, pos laju selalu digunakan dan kadar pos yang dikenakan oleh pejabat pos adalah berdasarkan berat sesuatu barang. Sekiranya luar pada Malaysia, lebih baik guna pos biasa (Mel Udara) ataupun kargo.

Cuma, pastikan resit atau borang pos tersebut disimpan dan nombor postage yang tertera pada resit atau borang diberikan kepada pelanggan untuk semakan melalui online. Sekiranya barang tersebut tidak sampai ke alamat yang ditetapkan, peniaga atau pembeli boleh menuntut di pejabat pos berhampiran dan bertanya dimana kedudukan barang tersebut berdasarkan nombor postage.

Ketujuh, perkhidmatan mesra pelanggan. Ada sesetengah peniaga menjual barang yang benar-benar menarik perhatian pelanggan, tetapi disebabkan perkhidmatan yang diberikan tidak memuaskan hati atau bahasa komunikasi yang digunakan tidak sesuai, maka kemungkinan besar pelanggan akan beralih kepada yang lain.

Dalam perniagaan online, kepercayaan terhadap kejujuran seorang peniaga dan kualiti barang amat-amat penting. Ada beberapa orang sahabat ana yang tertipu setelah membeli barang melalui online. Ya…peniaga tersebut mungkin akan dapat untung dengan cara penipuan tersebut, tetapi jangan lupa, akhirat menanti. 

Balasannya? Pelanggan lari dan turut memberitahu sahabat mereka yang lain supaya tidak lagi berurusan dengan peniaga tersebut. Lama kelamaan, perniagaan tersebut terpaksa gulung tikar.

Berbanding pula dengan peniaga yang jujur. Pelanggan yang pernah berurusan dengannya bukan setakat membuat ‘re-order’, malah turut mempromosi terhadap rakan-rakan yang lain.

“Selalu perbaharui niat, moga ianya menjadi ibadat.”

Boleh pula rujuk laman web ini berkaitan Perkara Haram Dalam Perniagaan

Ini sekadar perkongsian ‘asas’ yang dapat ana lakar berdasarkan pengalaman ana sendiri selama satu tahun ini, moga ianya bermanfaat. Ana tidak tahu apa yang bakal berlaku dimasa depan, cuma berharap ‘Bidadari Collection’ tetap istiqomah dalam menawarkan barangan yang menutup aurat buat para wanita Islam…(^^,)

wallahhua’lam.
Produk 'Bidadari Collection' selamat tiba di Jordan...(^^,)

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(^^,)
blog comments powered by Disqus