Ahad, 11 Ogos 2013

Ziarah Mahabbah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukurillah, semalam Allah izin untuk ana berkunjung ke sebuah rumah. Kunjungan kali ini terasa lain yang teramat sangat. Sukar untuk ditafsir rasa hati ini. Hanya Allah yang dapat memahaminya.

Ana mohon maaf kepada para dermawan dan pengunjung blog ini yang mungkin ternanti-nanti perkembangan selanjutnya berkaitan perjalanan hidup keluarga ini.

Mungkin ada yang masih ingat akan nukilan yang pernah ana paparkan dalam ‘diari maya’ ini. Bagi yang belum berkesempatan untuk membacanya, boleh tekan link nie ya Skuad Kebajikan Bidadari Solehah Enterprise.

Syukur pada Allah atas semua ini. Rumah mereka sekeluarga sudah dibaiki hampir 65% dan masih memerlukan dana kewangan bagi membaiki bahagian rumah yang lain. 



Fasa pertama projek baik pulih ini iaitu membaiki sebahagian rumah yang mana kayunya sudah hampir reput akibat sudah berusia dan dimakan anai-anai hampir siap sekitar 90%. Tingkap dan pintu sudah disiap dipasang, lampu dan kipas sahaja belum kerana dana tidak mencukupi.
 
Semasa melangkah masuk ke rumah ini, hati ana sudah sebak apabila melihat sebahagian rumah ini sudah siap dicat diluarnya walaupun belum siap sepenuhnya. Allahu Allah.

Masih segar dalam ingatan, ana meminta Kak Yah mencari tukang kayu yang boleh membaiki rumahnya. Wajahnya nampak begitu bercahaya. Mungkin tidak menyangka penantian dan kesabarannya selama ini berbalas jua. Allahu Allah.

Ketika ana pergi jumpa tukang kayu yang Kak Yah cari, dalam tangan ana hanya ada RM500 sahaja. Duit itu adalah hasil keuntungan dari perniagaan pakaian muslimah yang ana usahakan sendiri dan bayaran penceramah yang ana hadiri. Hanya itu saja yang tinggal. Tiada lagi duit lain.

Kak Yah bawa tukang kayu masuk ke rumahnya dan ana tanya tukang kayu tersebut berapa anggaran kasar untuk membaiki rumah yang sudah hampir roboh. Apabila dikira semuanya, anggaran kasar adalah RM5,000 dan mungkin lebih lagi.

Ana diam seketika. 

Dari jauh ana pandang wajah Kak Yah dan ahli keluarganya yang lain. Wajah mereka penuh dengan cahaya kegembiraan. Hati ana mula membisikkan doa.

“Allah, hamba teringin benar untuk membantu mereka. Hamba tidak sanggup lagi melihat mereka duduk di rumah yang serba daif dan hampir roboh ini. Hamba sendirian Ya Allah. Hamba tidak punya duit sebanyak itu Ya Allah. Bantulah mereka melalui hamba Ya Allah. Hamba sanggup”.

Sebaik saja selesai membuat pengiraan kasar dan berbincang sedikit dengan tukang kayu, ana pergi dekat Kak Yah dan bagitahu “Kak Yah, saya tak janji dapat baiki rumah nie tapi saya janji akan usaha untuk membaikinya sebaik yang mungkin. Saya ini hanya pengantara, semuanya atas bantuan Allah. Tolong doa untuk saya moga Allah izinkan semua ini berhasil”.

Akhirnya ana buat keputusan untuk umumkan dalam facebook dengan memaparkan kisah hidup mereka dan membuka peluang kepada mana-mana sahabat yang mahu menjadi sebahagian dari kami dengan menyumbangkan dari segi tenaga, kewangan mahupun menyebarkan kepada orang lain.

Dan semalam, hampir bergenang air mata ana apabila ana masuk ke bilik ini dan duduk bersimpuh atas lantai. Ana minta sahabat ambil gambar ana dengan Kak Yah. Allah, sebak tak terkata rasa hati nie.


Selepas berbincang sedikit untuk baiki bahagian dapur, Kak Yah ajak ana dan sahabat menjamu sedikit juadah yang beliau masak sendiri.

Kak Yah bagitahu, ada kawannya datang singgah dan tengok bahagian rumah yang sudah hampir 90% siap. Masing-masing berkata kepada Kak Yah, “syukurlah ada yang sudi bantu mu Yah, aku nie tak tahu nak minta dengan siapa lagi”.

Ana sudah tunduk ke bawah sambil tangan menyuap mee goreng ke dalam mulut.

‘Part’ yang buatkan ana menangis dalam diam bila Kak Yah cerita, ada seorang YB kampung tersebut datang jumpa dengannya. 

YB tersebut bertanya kepada Kak Yah, “Yah, rumah baiki dah ke?”.

“tengah baiki”, jawab Kak Yah.

“Siapa yang baiki?”, tanya YB tu lagi.

“Budak yang datang baiki. Budak yang ada hati dan perasaan. Budak yang masih faham erti perikemanusiaan,” jawab Kak Yah.

Sungguh, ana menangis dalam diam disebalik niqab. Ana bukan menangis gembira, tapi menangis disebabkan manusia yang ‘kaya raya’ dengan harta tapi ‘miskin’ hati budi. 

Entah bagaimana jawapan kalian apabila mengadap Allah nanti. Sudah bertahun-tahun mengetahui ada jiran tetangga daif dan miskin tetapi sedikit pun tidak dibantu.

Untuk pengetahuan umum, Projek Baik Pulih Rumah ini akan diteruskan selagimana yang melakukan masih punya Iman dalam hati. Pihak kami masih memerlukan dana kewangan bagi membaiki bahagian rumah yang belum selesai. 


Pihak kami bukan setakat membaiki rumah ini saja, masih ada rumah lain yang akan dibaiki dan lokasi seterusnya adalah di Machang, Kelantan. Sebaik saja pihak kami merasakan rumah yang keluarga ini sudah selesa untuk didiami berbanding sebelumnya, barulah kami akan mula berbaiki rumah yang seterusnya.

Bagi yang mahu menyumbang, boleh mesej ana di ‘inbox facebook’ atau emelkan kepada ana di bidadari.collection@yahoo.com.

Moga usaha kecil ini mendapat redha dan rahmat dari Allah s.w.t… 

Sesungguhya, Allah s.w.t. lebih mengetahui.

Isnin, 5 Ogos 2013

Usaha, sebelum menyerah!



Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar…

Bermula dua minggu lepas (15 ramadhan), waktu tidur ana sudah tidak teratur sebab perlu kerja lebih masa dan lebih keras. Tempahan pakaian muslimah masuk terlalu banyak melebihi yang ana jangka. Sangat banyak. 

Semasa masukkan maklumat tempahan dalam data, ana telan air liur. Perasaan bimbang dan risau mula timbul sebab bimbang sekiranya tidak dapat siapkan semua tempahan kerana masa yang ada hanya satu minggu lebih saja.



Dalam tempoh itu, ana bekerja dua kali ganda lebih dari biasa. Sudah menyusun perancangan bagi setiap tempahan yang masuk agar semuanya mampu disiapkan seperti yang dirancang.

5 hari sebelum tarikh tutup penghantaran, ana menghantar pesanan kepada para pengedar yang berada di bawah syarikat agar memaklumkan kepada pelanggan yang menempah dengan mereka bahawa tempahan tersebut hanya dapat dipos setelah Aidilfitri sebab ana tahu, tempahan itu memang tidak mampu disiapkan.

Ana sangat berterima kasih dengan Allah sebab mengurniakan pengedar yang sangat memahami situasi dan keadaan ana. Beliau memaklumkan satu persatu pelanggan yang menempah dengannya.

Ada yang setuju untuk terima semasa Aidilfitri.
Ada yang batalkan tempahan dan wang dipulangkan semula.
Ada yang mahu kain saja untuk dijahit sendiri.

Semua itu kami telan dan aturkan bersama-sama. Apa yang kami tahu, kami mahukan yang terbaik untuk semua pelanggan. 

Pernah ana katakan sebelum ini, “tidak ada seorang pengeluar atau tukang jahit pun yang mahukan pelanggan merungut atau tidak puas hati dengan hasilnya. Semuanya mahukan yang terbaik. Jika ada pun, mesti pengeluar atau tukang jahit tu ada ‘penyakit hati’..”.

Tidak kurang dengan itu, ada pengedar ana yang menangis sebab difitnah. Ada pula yang berdukacita sebab pelanggan marah padanya kerana dikatakan tidak tepati janji. Allahu Allah.

Semua itu kami telan bersama.
Ya, tanggung bersama-sama.
Susah senang, sama-sama.

Namun, semua itu tidak sedikit pun melemahkan semangat ana. Ana teruskan usaha dengan menyiapkan tempahan yang masih berbaki. Sungguh, masih terlalu banyak tempahan yang tinggal.

Pernah berlaku dalam satu hari, ana berhajat untuk beli mesin sendiri memandangkan tempahan masih banyak. Hari itu, ana lewat pulang dari membuat penghantaran. Waktu itu juga mesin sudah sampai dirumah dan penjual menunggu ana pulang untuk ana bayar mesin tersebut.

Sebelum pulang, kaki ana terseliuh semasa membuat penghantaran sebab barang terlalu berat dan kaki tersadung. Alhamdulillah bengkak sedikit sahaja dan masih boleh berjalan walaupun tidak seperti sediakala. 

Sebelum pulang juga, kereta ana disaman oleh Polis Traffik kerana dikatakan tempat tersebut tidak boleh ‘parking’. ‘Terbang’ RM150 dengan sia-sia. Kesemua kereta yang ‘parking’ depan-depan pejabat pos tersebut disaman termasuk ana sendiri (langsung tidak tahu tidak boleh ‘parking’ disitu)

Apa yang buat ana bersyukur, kereta itu milik ana sendiri dan bukan lagi atas nama Ummi. Syukur sebab ana buat, ana yang tanggung sendiri. Hari itu berlalu dengan penuh tenang. Allahu Allah…(^^,)

Dan semalam merupakan penghantaran terakhir yang ana buat untuk tempahan yang masih berbaki. Dua malam ana berjaga (mata dah macam mata panda :p ) untuk menyiapkan tempahan sampai abah geleng kepala tengok ana yang ‘terlekat’ dengan mesin jahit.

Menjahit dan terus menjahit tanpa menghiraukan badan yang merenggek untuk minta direhatkan. Bila sudah terlalu letih, ana rehat sekejap dan sambung semula kerana ana sudah berjanji untuk usaha sebaik yang mungkin. 

Sebaik saja semua tudung dan shawl selesai dijahit, ana mahu kelim tepi. Allah uji lagi dengan mesin tiba-tiba ‘rosak’. Benang asyik putus saja dan tidak melekat elok pada kain. Allahu Allah.

Ummi yang lihat ana sedang kalut mula membantu. Ummi berusaha untuk baiki mesin tu sebab ummi Cikgu menjahit yang mengajar di sekolah.

Kalau mesin jahit tu boleh 'rosak' dan meragam selepas banyak kain diproses, cuba bayang betapa penatnya orang yang menjahit tu?

Ana tidak mahu mengalah. Mana yang mungkin tidak dapat disiapkan, ana biarkan dulu. Ada rezeki, siaplah dia nanti. Ana beralih pada tempahan lain dan cuba siapkan yang masih tinggal lagi. 

Menjahit dan terus menjahit.

Sebaik selesai yang boleh disiapkan. Ana tengok mesin jahit tersebut, memang tidak ada harapan untuk pulih. Ummi terus telefon mekanik dan minta beliau datang baiki mesin (hari ini).

Ana pandang tudung yang sempat dikelim tepi sebelum mesin tu rosak. Akal mula ligat berfikir, “Ya Allah…macam mana nak buat nie? Hamba sudah berusaha sebaiknya. Semua kudrat yang ku ada sudah ku curahkan sebaiknya”.

Waktu tu, terus terlintas difikiran untuk pos saja mana yang sempat disiapkan. Sekiranya pelanggan tu tempahan 8 helai, satu helai saja yang dapat disiapkan, satu helai itu saja yang ana pos.

Yang mana sempat disiapkan, ana pos saja. Selebihnya ana akan pos semasa Aidilfitri nanti. Ana tidak mahu mengalah. Cepat-cepat bungkus dan isi borang pos laju. Memang terasa tertekan sangat tapi hati tenang. Tak tahu bagaimana nak jelaskan perasaan ana semalam.

Ummi pandang ana dari jauh. Pandang saja ana yang sibuk bungkus barang.

Betul…ana tidak mudah menyerah. Selagi ada jalan, ana akan usaha. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua.

Usaha sebelum menyerah!

Selepas itu, ana  ajak adik lelaki ikut sekali sebab sekiranya tidak ada parking dalam kawasan pejabat pos, ana mahu dia yang bawa kereta tu pergi tempat lain sudah kejadian saman tidak berulang lagi. Sayang duit tu ‘terbang’ sia-sia, kalau bagi dekat keluarga yang memerlukan, mesti cukup untuk beli barang dapur bagi seminggu.

Alhamdulillah wa syukurillah, barang tersebut berjaya dipos. 

Saat itu ana katakan pada hati. “Allah, hamba redha dengan apa yang telah Engkau hadirkan. Hamba pasrah jika ada pelanggan yang marah, kecil hati dan merungut. Hamba sudah berusaha sebaiknya, ini saja yang mampu hamba lakukan. Hamba sudah berusaha sebelum menyerah! (tawakal)”.

Sungguh, hati ana tenang sangat. Saat itu juga, ana benar-benar memahami makna sebuah tawakal. Terima kasih Allah untuk tarbiyah kali ini…(^^,)

Sungguh, manusia mampu merancang. Namun, perancangan Allah tetap yang terbaik.

Masih meneruskan kerja-kerja menjahit bagi penghantaran ‘by hand’ esok. Tolong doakan ana supaya mesin jahit cepat ‘sembuh’ :p

Kain yang tersadai dan tidak sempat dikelim. Sangat banyak.

Allah lebih mengetahui.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(^^,)