Rabu, 6 Februari 2013

Skuad Kebajikan: 1.2.2013



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Syukur atas segala nikmat yang telah diberikan, hanya pada Mu, Allah ku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih hati yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Buat kaum muslimin dan muslimat, moga sentiasa dalam dakapan iman dan hidayah Allah.

Alhamdulillah wa syukrillah atas izin Allah, perancangan untuk melakukan satu aktiviti kebajikan terlaksana jua. Mungkin ada pembaca yang ternanti-nanti untuk mengetahui kisah selanjutnya berkaitan artikel yang ana tulis pada minggu lepas iaitu Kisah kehidupan.

Sebaik sahaja pulang ke rumah setelah selesai urusan penghantaran kain, ana tak dapat nak lelapkan mata. Entah mengapa, setiap kali mata terpejam, asyik terfikir apakah Kak Yah sekeluarga juga dapat tidur lena malam itu. Apabila mahu makan, terfikir apakah Kak Yah sekeluarga juga punya makanan untuk mengisi perut.

Ana jadi tidak senang duduk setelah mengetahui perjalanan hidupnya yang sebenar. Keadaan itu membuatkan ana demam dan suhu badan naik mendadak menyebabkan ana asyik terjaga dari tidur.

Ana tidak tahu bagaimana orang lain boleh terasa tenang, damai dan seolah-olah tiada apa-apa berlaku walaupun mengetahui ada saudaranya yang serba kekurangan dan daif hidupnya di luar sana. Allahu Allah…

Maka, ana merancang sesuatu seperti yang ditulis pada artikel lepas iaitu mahu pergi semula ke rumah Puan Kamariah Bt Husin atau lebih mesra dipanggil Kak Yah dengan membawa sedikit bekalan makanan mentah dan sumbangan kewangan dari orang lain.
 
Sangat berterima kasih buat insan yang sudi memberikan sumbangan kewangan kepada Kak Yah. Alhamdulillah, duit itu telah ana serahkan kepada Kak Yah sendiri. Terima kasih juga buat sahabat pembaca yang sudi menyebarkan kisah hidup Kak Yah.

Untuk pengetahuan umum, hikmah daripada tersingkapnya rahsia hidup Kak Yah sekeluarga, ianya menjadi detik permulaan bilamana satu unit telah ditubuhkan yang diberi nama Skuad Kebajikan Syarikat Bidadari Solehah Enterprise yang bernaung di bawah syarikat Bidadari Solehah Enterprise.

Skuad Kebajikan ini memainkan peranan dalam menyalurkan bantuan kebajikan dengan kadar segera buat mereka yang memerlukan. Skuad Kebajikan ini masih dalam proses permulaan, moga Allah permudahkan semuanya.

Jadi, pada Jumaat yang lalu, ana dan beberapa orang sahabat muslimat telah singgah ke Giant di Kota Bharu bagi membeli sedikit barang makanan mentah untuk diberikan kepada Kak Yah sekeluarga.

Malam sebelum hari Jumaat, Kak Yah bertanya kepada ana melalui mesej, apakah ana akan pergi ke rumahnya pada keesokan hari dan berapa orang yang akan turut serta. Apabila ana mengatakan dalam lima orang yang akan ikuti, dari ayat yang dia balas, berbaur kerisauan. 

Sebaik sahaja ana sampai ke rumahnya, barulah ana mengetahui yang rumahnya langsung tidak menyimpan bekalan stok makanan. Apabila mahu makan baru pergi beli di kedai dan masak sendiri. Allahu Allah.


Aktiviti dalam memilih barang mentah

Antara barang yang dibawa ke rumah Kak Yah

Sebaik sahaja ana dan sahabat ke rumahnya dengan membawa bekalan makanan mentah, ana dapat lihat wajahnya yang seolah-olah mahu menangis. Anak perempuannya juga begitu, cuma mereka tahan dari air mata mengalir keluar.

Mungkin tidak menyangka bantuan itu tiba setelah hampir 13 tahun berusaha meminta pertolongan dari badan kebajikan yang akhirnya langsung tidak membuahkan hasil. 

Kami di hidangkan dengan bihun goreng dan keropok, ditambah pula dengan sirap limau. Nampak serba kekurangan tetapi ahli keluarganya menghargai apa yang disediakan. Benar, orang miskin dan susah lebih tahu apa itu erti syukur.

Ini latar belakang serba sedikit berkaitan Kak Yah.

Nama: Kamariah Binti Husin
Tempat tinggal: Wakaf Bharu, Kelantan.
Umur: 57 Tahun 
Status: Janda (kematian suami)
Kerja: Jurujual kain 
Gaji: RM650 sebulan.
Bilangan anak: 4 orang (2 lelaki dan 2 perempuan)
Tinggal dengannya: 3 orang anak, seorang menantu dan 3 orang cucu

Kak Yah sudah mempunyai dua orang menantu dan 7 orang cucu. Hidup anaknya juga susah, anak sulungnya hanya mengambil upah mengacau sambal daging di pasar. Manakala seorang lagi anak perempuannya yang sudah berkahwin adalah suri rumah (yang tinggal dengan Kak Yah).

Diceritakan, menantu yang tinggal dengannya dianaiya sehingga dibuang kerja akibat ada yang dengki dengannya dan baru sahaja dapat kerja sebagai buruh kasar. Sangat kesian sebab sebelum nie dapat kerja tetap tetapi dibuang kerja menyebabkan isteri dan anak-anak turut terheret dalam masalah ini.

Dibawah ini adalah gambar yang ana ambil sendiri untuk didedahkan kepada umum. Biarkan gambar pula yang berbicara dan menjelaskan perihal yang sebenar. Moga terbuka mata hati insan yang melihat dan sudi untuk menghulurkan bantuan.

Ruang Tamu

Bumbung di ruang tamu. Anak panah menunjukkan paip yang menakung air dan atap tidak ditutup rapi

Dinding rumah yang sudah pecah. Lantainya juga sudah tidak kukuh dan tidak boleh dipijak lagi.

Ruangan dapur.
Anak panah menunjukkan pintu bilik air yang sudah tercabut dan singki dapur

Singki dapur yang mana airnya terpaksa ditadah dalam bekas tiap kali mahu membasuh di singki dibsebabkan air tidak dapat mengalir keluar dan kadang-kala membasahi lantai rumah

Bilik tidur dan ruangan ini sudah pun tidak kukuh dan hanya bergantung pada satu tiang. Menunggu masa untuk roboh.

Lantai bilik yang hampir roboh.

Halaman depan rumah

Tepi rumah.

Tepi rumah

Belakang rumah

Sempat juga anak bertanya berkaitan bil utiliti dirumahnya. Amat terkejut apabila dikhabarkan dua hari sebelum kami ke rumahnya, dia dan ahli keluarga terpaksa bergelap semalaman kerana tidak punya duit untuk menjelaskan bil eletrik kira-kira satu tahun yang lalu.

Majikan menantunya yang berbangsa cina mendapat tahu keadaan mereka dan terus menghulurkan RM300 untuk jelaskan tunggakan lama yang berjumlah RM500 lebih tanpa memotong sedikit pun gaji menantunya walaupun diminta kerana majikannya itu suka bantu orang susah. Kita yang Muslim ini bagaimana pula ya?

Jika tidak mampu membayar bil eletrik hingga tunggakan bil hampir satu tahun, ana tidak dapat bayangkan bagaimana hidup mereka sekeluarga dalam tempoh itu. Allahu Allah. Ajarkan hamba erti syukur melalui kisah ini.

Ketika ini ana cuba untuk membantu keluarga Kak Yah bukan setakat cuba perbaiki rumahnya yang hampir roboh, malah cuba untuk membantu mereka memulakan perniagaan sendiri. Bukan semua gambar dipaparkan dalam blog nie. Bagi yang ingin mengetahui lebih banyak, boleh buka album nie ya 'Skuad Kebajikan Bidadari Solehah Enterprise'.

Katanya mahu cuba berniaga jual kuih-muih secara kecil-kecilan. Ana perlu buat survey dan kajian pasaran terlebih dahulu. Sangat bersyukur apabila ana ditakdirkan mengambil bidang Muamalat ketika belajar Ijazah dulu. Banyak sangat ilmu yang dipelajari semasa kuliah dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Pendapat ana sendiri, golongan miskin masih miskin walaupun bantuan diberikan setiap bulan kerana mereka sering diberikan ‘ikan’ berbanding diajar untuk ‘memancing’ bagi mendapatkan ikan sebagai bekalan menghadapi hidup yang mendatang.

Bagi sahabat pembaca yang mahu menghulurkan sedikit sumbangan, hatta RM1 sahaja, kami tetap terima dengan sejuta penghargaan. Bagi yang mahu berikan sumbangan, boleh email ana di bidadaribesi09@yahoo.com. atau PM ana di inbox facebook Asma' Suardi.

Mohon maaf kerana Skuad Kebajikan Bidadari Solehah Enterprise masih dalam proses permulaan, jadi masih belum punya akaun sendiri. Doakan moga usaha kecil ini sentiasa dipermudahkan urusan dan menggapai redha Allah.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)