Ahad, 25 November 2012

Mutiara Muhasabah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

 “Pada saya, tiada tahun baru untuk azam baru kerana setiap hari adalah hari baru, azam baru dan misi baru”.
(Prof. Dr. Muhaya/ Ikim.fm)

Alhamdulillah wa syukrillah atas nafas ini. Semoga nafas yang masih berbaki ini digunakan untuk taubat dari dosa lalu dan memperbaiki amalan kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda.

Mungkin ada yang membuat tafsiran atau pendapat berbeza dari Prof. Dr. Muhaya setelah mendengar kata-kata tersebut kerana setiap orang punya pendirian dan kemampuan berbeza. Bagi ana, huraian tersebut adalah dari ayat ini. Pastinya setiap hari punya misi dan visi hidup yang perlu diperbaharui saban hari.

“Hari ini lebih baik dari semalam”.

Saat mendengar bait-bait kata dari siaran Ikim.fm., ana dalam perjalanan pulang ke rumah setelah bermalam satu hari di rumah mak saudara (kakak Ummi). Sudah banyak kali tertangguh untuk lihat apa masalah yang dihadapi oleh blognya. 

Pada mulanya mahu batalkan janji yang telah dibuat sebab ana tidak sempat untuk pos barang pada hari sebelumnya dan ada beberapa lagi tempahan yang tidak dapat disiapkan, tetapi aturan Allah tetap yang terbaik. Ana dapat selesaikan setelah balik dari bermalam rumah mak saudara. 

Teringat niat yang sentiasa dihati apabila melakukan sesuatu, “Ya Allah, aku mahu lakukan ini supaya aku temui manfaat dan faedahnya untuk diamalkan pada diri dan dikongsi bersama orang lain. Permudahkan urusanku”. Alhamdulillah Allah izin walaupun hanya seketika dan terlalu banyak manfaat yang dapat.

Satu malam yang terisi di rumah mak saudara, banyak perkara yang kami bualkan. Dari satu topik ke topik, ibarat dari hati ke hati…(^^,)

Dan pastinya bicara itu sentiasa sarat dengan ilmu dan perkongsian pengalaman. Maklumlah, bukan selalu ada peluang seperti ini. Tambahan pula mak saudara ana seorang nie gemar sungguh pergi melancong ke merata tempat. Ini pun ana sudah rancang dengan beliau untuk ke Acheh bagi melihat kesan Tsunami yang berlaku beberapa tahun lepas.

Cuma, ada dua perkara yang sangat terkesan di hati semasa berbicara dengannya. Baliau sempat mendengar kuliah dari Syeikh Nuruddin Al-Banjari dalam siaran Ikim. fm ketika sedang memasak sarapan pagi.

Katanya, “syeikh kongsi, kita mesti taat perintah Allah s.w.t. dan dalam masa yang sama kena perangi syaitan laknatullah. Sebab syaitan nie walau macam mana sekalipun dia akan cuba sesatkan umat Islam supaya sama-sama ikut dia masuk neraka”.

Ketika itu, ana terus cakap “kalau kak ngah, nak dekat dengan Allah nie, cara paling berkesan adalah dengan zikir. Buatlah apa pun, dengan zikir je dapat tenteramkan hati. Tapi tak tahulah orang lain macam mana”.

Terus ana teringat Tasbih digital yang ana baru beli minggu lepas. Selalunya, ikan yang ana pelihara dalam bilik akan selalu ingatkan ana supaya sentiasa berzikir sebab teringat kata-kata sang murobbi saat terpandang ikan dalam balang.

“Manusia nie macam ikan. Ikan tak dapat hidup tanpa air. Begitu juga dengan manusia yang hatinya akan mati tanpa zikirullah”.

Dengan mengingati Allah, hati jadi tenang.

Ana terlupa perkongsian ini dari kuliah ilmu atau terbaca dalam buku. Syaitan laknattullah tidak gemar kepada manusia yang suka kepada kebaikan. Maka dia akan cuba cari jalan atau teknik apa pun untuk goda dan hasut supaya ikut dia.

Bila kita solat, kita rasa tak kusyuk. Bila kita nak baca Quran, kita rasa malas. Bila nak berzikir, kita rasa malas. Tetapi bila mengadap cerita cintan cintun dan hal yang lagha, badan terus jadi segar bugar dan bersemangat.

Mesti kita pernah dengar, kalau tak boleh tidur, berzikir. Mesti akan lena selepas itu. Sebab apa? Sebab syaitan laknatullah tak suka orang tu terus berzikir. Maka syaitan laknatullah akan bergayut atas kelopak mata dan buatkan kita tidur.

Ana lebih gemar guna tasbih digital. Sebelum nie dah cuba buat kiraan guna tangan dan biji tasbih tetapi tak ingat berapa kiraannya. Bila sudah guna tasbih digital, hanya perlu tekan untuk tiap zikir dan dia yang akan kira. Dari situ dapat lihat berapa kali kita berzikir. Kalau kurang, cuba tambah untuk keesokan harinya. Kalau lebih, lagi semangat nak buat…(^^,)

Yang keduanya semasa sedang makan bersama. Mendengar perkongsian dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi, sangat terkesan dihati. Beliau membuat perumpaan, katanya

 “ada seekor burung yang duduk atas dahan. Ketika hujan lebat dan ribut petir melanda, burung tersebut begitu kuat berpegang pada dahan hingga langit cerah dan tidak jatuh ke tanah. Tetapi ketika mana datang angin sepoi-sepoi bahasa, burung tadi sedikit demi sedikit mula merasa selesa dan terlena, akhirnya jatuh ke tanah”.

Mahu dikatakan di sini, bersyukurlah saat diuji. Itu tanda Allah ingat kepada kita. Allah letakkan kita dalam posisi yang sentiasa dilanda musibah, ujian dan kesusahan bukan kerana mahu ‘mendera’ mental dan fizikal kita. Tetapi untuk menjaga kita dari terus hanyut dengan kesenangan duniawi.

“Ironinya, ramai yang menjadi pahlawan ketika susah.
Tetapi lemah ketika senang”.

wallahua’lam….


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Jumaat, 23 November 2012

Apa Peranan Kita?



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Alhamdulillah wa syukrillah atas nafas yang masih berbaki ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda s.a.w. Pembawa rahmat buat seluruh alam.

Merenung. Muhasabah. Koreksi diri.

Setiap hal dan inci hidup pasti ada hikmahnya. Pasti! Mana mungkin Allah aturkan sesuatu dengan sia-sia. Antara kita sedar atau tidak bahawa Allah s.w.t. sedang ‘mendidik’ kita. 

Sekarang ini, tumpuan dunia mula beralir pada isu di Gaza, Palestin. Jika sebelum ini ianya hanya mendapat perhatian dari umat Islam, tetapi kini minda masyarakat sudah terbuka, ianya bukan semata-mata berkaitan isu keagamaan. Bahkan ianya berkaitan dengan isu kemanusiaan!

Maka, ramailah yang tampil untuk beri bantuan dan membuat bantahan tidak kira negara atau individu tersebut Islam atau bukan Islam. Yang menjadi keutamaan, tindakan kejam Zionis laknatullah mesti dihentikan dengan segera. 


Apabila Gaza kembali berdarah, ana melihat satu hikmah yang sangat besar. Ini ana rasai sendiri. Ada yang hantar pesanan dalam inbox facebook. 

“akak, saya nak berubah. Akak boleh bantu saya tak?”.

Kepedihan dan perjuangan penduduk Gaza mampu membuka minda dan mata hati umat Islam dan bukan Islam. Walaupun kepedulian masyarakat dunia bermusim tetapi ianya mampu membuatkan umat Islam cuba berubah ke arah lebih baik.

“aku nie, kata nak berjuang. Tapi bangun subuh pun lewat”.

“Cantiknya beg nie, teringinnya nak beli. Tapi penduduk Gaza lebih perlukan duit nie berbanding keinginan hati aku. Aku derma jelah dekat tabung Gaza”.

Ada jua yang hantar pesanan dalam inbox facebook dan bertanya apa yang boleh dia buat untuk bantu penduduk Gaza. Tidak cukup sekadar hulurkan bantuan kewangan tetapi usaha untuk sedarkan masyarakat dalam memboikot barangan Yahudi juga cuba dilakukan.

Manusia punya hati.
Hati itu penuh dengan pelbagai rasa.
Rasa itu yang membuatkan manusia bertindak.

Untuk membuatkan hati itu merasai bukan mudah. Untuk buatkan hati itu sedar bukan senang. Untuk buatkan hati itu menangis juga tidak mudah. Tetapi apabila hati itu sudah tersentuh, manusia akan bertindak apa yang dia rasa.

Jadi, apa yang kita boleh buat untuk bantu penduduk Gaza?

1) Boikot barangan keluaran Yahudi.

Sekarang ini ramai yang mula sedar akan kemampuan yang dapat dilakukan melalui usaha boikot ini. Bidang yang ana belajar ketika menuntut di kampus berkaitan perniagaan dan ekonomi. Bila ditanya, “ini barangan keluaran siapa?”.

“Negara Israel…”. jawabnya. Ana diam. (Eh, Israel ada negara ek?). 

Pensyarah Jabatan Muamalat begitu bersungguh-sungguh mengajar kami berkaitan ilmu ekonomi dan perniagaan. Isu boikot amat bermakna buat ana sebab apabila permintaan barangan sudah berkurang, ianya pasti akan jejaskan pendapatan pengeluar. 

Mahu atau pun tidak, mereka terpaksa buat penawaran walaupun ianya bakal membuatkan syarikat tersebut kerugian sedikit. Lihat sahaja apa yang telah McDonald’s Malaysia buat apabila melihat kebangkitan masyarakat mula memboikot barangan mereka. McDonald’s Malaysia memberikan Burger percuma, tidak menyangka ada yang sanggup menukarkan darah para syuhada dengan sebiji burger percuma. Ada yang termakan ‘umpan’.

McDonald's di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.

Lihat pula mereka yang sudah menang. MasyaAllah, sangat bagus. Tindakan yang dilakukan berjaya menaikkan semangat orang ramai untuk terus boikot walaupun ada yang beratur panjang untuk dapatkan burger percuma.

Teruskan usaha ini ya! Sila tekan link nie Boycott Israel.

2) Sumbangan Dana Kewangan


Sila klik untuk tumbesaran.

Masih ada beberapa Badan Kebajikan Islam lain yang menghulurkan bantuan kewangan dan aktivis ke sana. Jadi, fahamlah kalian kenapa kita memerlukan Jutawan Islam seperti Saidatina Khadijah, Saidina Uthman bin Affan? Kerana saat seperti ini, kita sangat-sangat perlukan sumbangan kewangan.

Dermalah setakat yang mampu.

3) Penghijrahan diri & Doa.



Ana pasti. Sangat pasti! Saat ini, ramai yang mula koreksi dan muhasabah diri. Ramai yang sudah mula mengaudit tahap keimanan dan amalan diri termasuk ana sendiri.

Jika subuhnya lewat, maka akan dicuba untuk segera bangkit bila dengar azan kerana Yahudi cukup takut apabila melihat ramai umat Islam berjemaah di Masjid dikala Subuh.

Jika sebelum ini banyak menonton cerita Korea, sekarang ini lebih gemar untuk melihat video dan mendengar info terkini dari Gaza untuk muhasabah diri.

Jika dulu susah nak angkat tangan dan berdoa, sekarang bila teringat atau hati merasai penderitaan penduduk Gaza, cepat sahaja doa dikirim buat mereka.



4. Sampaikan dan ‘share’.

Facebook, blog, twitter dan banyak lagi medium melalui media yang cuba menyampaikan informasi berkaitan keadaan di Gaza. Apa saja yang dirasakan mampu membangkitkan semangat orang ramai untuk turut membantu penduduk di Gaza, pasti akan segera dikongsi dengan umum.

Orang lain pula mula copy & paste dan segera sebarkan di status sendiri. Ada yang menangis apabila melihat kanak-kanak dan wanita dibunuh tanpa belas kasihan. Ada yang rasa geram dan marah dengan kebiadapan tentera Zionis. Ada pula yang semangat jihadnya mula membakar untuk pergi dan membantu di Gaza. 

Kita menulis, kita sebarkan, kita sampaikan. Semua itu memberi kesan pada hati kita sendiri. Bak kata para pelajar di UNIMAS, “Anda senyap, Anda bersubahat”.

Pelajar UNIMAS

 Teruskan usaha!
*****************
Sebenarnya banyak lagi yang mahu ana tulis dan kongsi di sini tetapi terasa seperti panjang pula artikel ini. Banyak yang ana kongsi dalam facebook dan sudah masukkan sedikit penulisan tersebut dalam album ‘In Solidarity With GAZA’. kebanyakan status dan perkongsian ilmu di facebook juga sudah diubah sistemnya menjadi umum. Bagi pembaca yang tidak termasuk dalam senarai sahabat di facebook juga dapat baca, komen, ‘like’ dan share apa yang saya tulis. 

Semoga ianya memberi manfaat. wallahua’lam…(^^,)

Berdoalah untuk Gaza, Syiria, Rohingya, Selatan Thai & seluruh umat Islam di Seluruh Dunia.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Khamis, 15 November 2012

Padanya Ada Keberkatan



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah atas nikmat Islam, Iman dan Ehsan yang telah Engkau anugerahkan pada hamba ini, semoga ianya terus kekal subur. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w kaum kerabat Baginda s.a.w. Tidak lupa jua buat para sahabat, dan umat Islam yang setia mengikutinya.

Ana teringat satu kisah yang dilalui sepanjang pengembaraan di bumi Allah s.w.t. Ianya berlaku semasa mengikuti kem di Kuala Kangsar, Perak pada semester 7. Pada mulanya, tertanya juga kenapa yang sudah ‘tua’ dan senior perlu dipanggil untuk ikuti kem kepimpinan sedangkan masih ramai yang muda-muda dan junior yang perlu diasah bakat kepimpinan.

Tidak dinafikan jiwa lebih sukai aktiviti lasak, masuk hutan adalah aktiviti yang paling ana suka. Mungkin sudah ‘terdidik’ dengan abah dan ummi kerana mereka merupakan penasihat kadet polis dan ummi juga bekas pengakap semasa di maktab dan sering masuk hutan.

Cuma satu ini yang kekal dalam ingatan ana sampai sekarang. Ianya mampu mengetarkan hati dan jiwa tatkala mengingatinya semula. Mungkin nampak kecil pada pandangan manusia lain, tapi bagi ana ianya mampu membuatkan ana mengalirkan air mata keinsafan.

Untuk ‘tembak’ iman sendiri dan membuat survey kepada orang lain, maka ana tulis di dinding facebook untuk melihat respon sahabat facebook.


Ramai sangat yang memberi komen dan juga hujah berdasarkan ilmu dan pendapat masing-masing. Yang ‘like’ dan baca dalam diam pun ramai. hehe! Jadi, siapa kata facebook nie hanya untuk suka-suka je? :p

Ana ada cakap yang nak letak semua komen tu dalam blog. Tetapi bila diambil dari facebook ke dalam program, terasa macam panjang sangat. Jadi, ana ambil komen yang sangat ilmiah dari yang lain. 



Ana senyum dan kembali koreksi diri. Tercari-cari juga video semasa ikuti kem tersebut tetapi sayangnya tidak jumpa. Ana yakin masih simpan video tu, moga Allah izin untuk ana jumpa video tersebut kembali.

Kisahnya begini. Ada satu slot, seorang fasilitator meminta kami senaraikan apa yang akan kami lakukan dahulu apabila mahu membuat sesuatu. Maka, banyaklah pendapat dan hujah yang para peserta berikan.

Fasilitator senaraikan kesemua pendapat dan hujah yang ada diatas papan putih. Ianya berkaitan perancangan kerana kesemuanya dari kami dari pelajar pengurusan. Maka, fasilitator padam apa yang perlu dan kekalkan isi penting. Antara sebahagian isinya, ana tulis seperti di dinding facebook tu.

Daripada isi tersebut, kami dibahagikan dalam kumpulan. Seingat ana, dalam 10 kumpulan. Dalam kumpulan tersebut ada ketua dan kami perlu berdebat dan berhujah dengan kumpulan lain bahawa pendapat kami itu betul.

Fuh~ memang panas sebab masing-masing tidak mahu mengalah. Setelah itu, untuk menghangatkan lagi keadaan, fasilitator kecilkan lagi skop dan kumpulan. Jadi, tinggallah lima kumpulan sahaja. Kami berdebat lagi untuk pertahankan pendirian. 

Tersenyum sendiri bila ingat balik kerana dalam kumpulan ada yang ubah pendirian dan ‘lompat’ masuk ke kumpulan yang lain setelah koreksi hujah-hujah yang kumpulan lain berikan. 

Fasilitator minta kami buat satu pilihan saja, yang manakah akan kami lakukan dahulu apabila mahu membuat sesuatu. Tetapi sayangnya masing-masing berkeras dengan hujah masing-masing dan tidak mahu mengalah.

Akhirnya, fasilitator minta dua orang wakil dari setiap kumpulan untuk keluar dari dewan dan buat keputusan mewakili semua peserta untuk pilih satu saja. Ketika itu barulah nampak rasionalnya, walaupun mahu pertahankan hujah masing-masing. 

Kami mula berhujah dan ‘komen’ pendapat setiap kumpulan. Buntu juga ketika itu kerana belum jumpa solusi dan kami semua berdiam diri. Saat itu, ana dapat satu idea dan mula buka bicara.

“Bismillahhirrahmanirrahim. Okey baik, macam nie…..”, masa nie ana terhenti seketika, hati terus terdetik “Allah…!”. Air mata nak mengalir dah, tak sangka ‘solusi’ Allah hadir ketika dalam kekalutan. Ana ambil beberapa saat untuk bertenang dan teruskan bicara. 

“Saya pilih kumpulan doa. Jika korang perasan, saya ada sebut basmallah diawalnya. Itu perkara yang saya cuba buat terlebih dahulu tidak kira dalam apa hal sekalipun, dan korang tahu apa maksudnya dan apa yang saya harapkan? Saya berharap semua yang saya lakukan kerana Allah dan bagi saya, itu adalah doa. Ya, doa!”. 

Mereka semua diam. Ada seorang membuka bicara, “baik, saya setuju”. Akhirnya ramai yang berkata, “Ya, saya juga setuju” dan yang lain turut anggukkan kepala. Alhamdulillah, kami jumpa solusinya setelah hampir satu jam berdebat.

Fasilitator minta salah seorang wakil dari kami untuk bentangkan solusinya dan mereka sepakat untuk ana bentangkannya. Masa nie, jantung berdegup kencang. Berdebar sangat-sangat.

Mana tidaknya, kem nie kebanyakan tidak punya fikrah Islam dan ana tidak pasti apakah mereka akan mengerti apa yang bakal ana katakan. (Fikir negatif, terukkan? :p ).

Perkara pertama yang ana buat sambil kaki melangkah ke hadapan dewan. Tarik nafas dan muhasabah diri sambil hati berkata, “ini dakwah, sampaikanlah walaupun sepotong ayat. Moga mereka makin dekat dengan Allah…”.

Ana ambil mikrofon dari fasilitator dan mulakan bicara dengan basmallah. Ana terjemahkan maksud basmallah dan kenapa kami sepakat untuk memilih kumpulan doa. Sebaik sahaja ana katakan kami setuju untuk meletakkan kumpulan doa di tempat pertama, kumpulan yang dimaksudkan terus bersorak tanpa ana sempat habiskan bicara. 

Entah mereka mengerti atau tidak maksud sebenar yang ingin ana katakan. Tapi ana lega kerana sudah menyampaikan apa yang sepatutnya. Islam tetap dijulang! :)

Bermula dari hari itu, ana cuba istiqomah dengan basmallah kerana ana tahu padanya ada keberkatan. Dari kalimah yang secebis itu punya berjuta hikmah. Beruntunglah mereka yang sentiasa ingat Allah dalam setiap hal yang mereka lakukan. MasyaAllah.


Awal Muharam sudah pun tiba dan ramai yang membuat azam baru untuk berhijrah ke arah lebih baik. Masing-masing sudah senaraikan apa yang mahu dilakukan sepanjang dalam tempoh satu tahun ini.

Jika ditanya kepada ana, apakah azam baru. Banyak sangat rasanya ingin diperbaiki dan ingin dicapai dalam tempoh satu tahun.  Mahu segera sambung master, terbitkan buku sendiri, kembangkan perniagaan online, tambahkan hafazan al-quran dan banyak lagi.

Tetapi kali ini ana mahu minta satu sahaja dan berazam supaya terus kekal dalam hati. Iaitu kalimah basmallah, selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w. sentiasa meniti dibibir dan bergetar dihati supaya segenap kerja dan perkara menjadi ibadat dan kebaikan untuk ummah. Simple tetapi sukar untuk dilakukan. Wallahua’lam.

.:: Salam Maal Hijrah ::.

Tasbih Digital. Azam baru!

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)