Khamis, 23 Februari 2012

Cinta Di Langit Gaza


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Iman, Islam dan Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat kekasih hati yang menjadi ikutan sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Dua minggu yang lepas, ana dan beberapa orang sahabat lagi keluar untuk membeli sedikit barang keperluan untuk mengisi ‘kekosongan’ yang ada. Tidak menyangka Allah s.w.t. pertemukan ana dengan sesuatu yang benar-benar terkesan dihati tatkala pertama kali memandangnya...

Mahu tahu apa dia? Inilah dia…


Sebelum ana nekad untuk menjadikan buku ini sebagai koleksi ana yang seterusnya, ana sudah memegang beberapa buah buku dan sudah bersedia untuk membayarnya. Tetapi Allah gerakkan hati untuk ‘tawaf’ sekali lagi untuk melihat buku-buku yang tersusun rapi diatas rak.

Lantas, mata terpandang sebuah buku dengan tajuk yang membuatkan ana terpaku seketika iaitu ‘Cinta Di Langit Gaza’. Ana melihat nama penulis dibawah kulit hadapan buku tersebut dan tertulis nama ‘Riduan Mohamad Nor’. 

Ana tidak tahu latar belakang penulis ini secara mendalam. Beliau bekerja sebagai apa, berasal daripada mana, siapa ahli keluarganya, latar belakang pendidikannya dan banyak lagi. Yang ana tahu cuma satu sahaja, iaitu beliau seorang aktivis kemanusiaan!

Tanpa berfikir panjang, ana terus ambil buku tersebut dan pergi meletakkan buku lain di tempat asalnya bagi mencukupkan nilai baucer buku RM50 yang telah diberikan oleh ‘rakyat’.

Sebaik sahaja sampai di rumah dan menguruskan diri, ana terus membelek satu persatu dan membaca setiap baris ayat yang tertulis. Hanya Allah yang tahu betapa terujanya ana untuk membaca travelog yang telah beliau lalui sepanjang menyertai misi kemanusiaan.

Masakan tidak begitu, jiwa ana sepertinya! Teringin sekali untuk mengikut jejak langkahnya dan beberapa lagi aktivis yang lain. Tapi ana sedar siapa ana. Ana tidak akan mampu untuk menyertai misi seperti ini sekiranya tahajud masih tidak istiqomah!

Sedangkan Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri langsung tidak membenarkan khemah tenteranya yang bergelap tanpa cahaya lampu turut serta dalam medan peperangan sewaktu pembukaan Kota Konstantinopel. Kenapa? kerana tentera yang berada dalam khemah yang gelap gelita itu tidak melaksanakan solat malam.

Apa mungkin Allah memilih insan yang biasa-biasa sahaja untuk pergi mendapatkan syurga Allah yang begitu mahal dan bernilai ini melalui tiket dan peluang mati syahid tatkala memberi bantuan kepada saudara seIslam kita di Gaza? wallahua’lam.

Muhasabah…muhasabah…

Rupanya dalam buku ini, bukan setakat memuatkan travelog penulis dalam menyertai misi kemanusiaan bersama NGO Muslim Care ke Gaza tetapi juga ke negara lain seperti misi kemanusian kepada mangsa tsunami di Aceh dan Jawa Barat, korban di Kemboja dan Bangladesh, perang di Palestin, gempa bumi di wilayah perbukitan Pakistan dan Kashmir serta banyak lagi.

Tidak kurang dengan itu, buku ini juga sarat dengan pelbagai sejarah dan latar belakang negera yang telah penulis dan sahabat seperjuangan pergi ketika melaksanakan misi kemanusiaan. Penuh dengan fakta dan kisah benar yang dirasainya sendiri.

Kadang-kala, hati ini turut merasai perasaan sedih sebaik sahaja membaca bait-bait ayat yang menceritakan penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh saudara seIslam kita dalam meneruskan kehidupan.

Muhasabah sendiri. Tatkala bangun dari tidur, terdengar suara tangisan bayi dari sebelah rumah. Mata yang memandu arah untuk ke bilik air bagi persiapkan diri. Kaki yang masih berupaya untuk melangkah. Tangan yang masih ada untuk melakukan banyak perkara. 

Bersyukur kerana masih punya anggota dan pancaindera yang masih lengkap ditubuh. Masih punya rumah untuk berteduh dan rezeki untuk mengisi perut berbanding dengan saudara seIslam kita yang mungkin tidak ‘semewah’ kita.

Makin kita selesa dengan hidup kita, makin kita lupa diri. Makin kita mengejar kemewahan dunia, makin kita lupa asal usul kita. Itulah beza rakyat Malaysia dan rakyat Gaza. Mereka bergelut dan berjuang untuk Islam. Tetapi kita pula?  

Membaca buku ‘Cinta Di Langit Gaza’, seolah-olah ana berada bersama para aktivis yang melaksanakan misi kemanusiaan. Itulah beza penulisan antara pengalaman yang dilalui dengan mata kepala sendiri dengan hanya mendengar dan melihat dari jauh.

Membaca buku ini juga membuatkan ana terpanggil untuk turut serta dalam menulis pengalaman sendiri tatkala turun ke lapangan dakwah seperti di pusat hiburan, karaoke, sarang penghidu gam dan penghisap dadah, operasi ketika malam kemuncak dan banyak lagi. Moga Allah izin.

Jadi, kepada para pembaca yang mahu mengetahui dan merasai sendiri pengalaman yang dilalui oleh penulis, bolehlah mencarinya di kedai buku berdekatan ya. Selamat membaca dan mengambil ibrah darinya. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 20 Februari 2012

Bersikap positif!


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukrillah atas segala kurniaan nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada hamba ini juga buat makhluknya yang lain. Selawat dan salam buat manusia Agung yang amat-amat ku rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Beberapa hari yang lepas, ana menerima satu panggilan daripada sebuah syarikat yang ‘memaksa’ ana menerima tawaran yang pekerja tersebut nyatakan dengan pelbagai ganjaran yang bakal ana nikmati.

“Maaflah encik, saya sudah ada semua nie dan saya tak perlukannya”. kata ana padanya.

“Oh…polisi nie berbeza dengan yang cik ambil. Lagi pun kalau cik mahu batalkannya, tahun kedua baru cik dapat batalkannya”, seolah-olah dia cuba memaksa ana.

Dengan lambakan kerja yang masih menunggu ana siapkannya di pejabat dan kebetulan pula hari itu pejabat tutup awal. Maka, ana hanya jawab acuh tidak acuh. Ana bukanlah bodoh untuk mengesan bahawa ejen tersebut sedang cuba ‘menipu’ ana dalam diam.

Dia menyemak nama penuh, kad pengenalan dan alamat untuk penghantaran polisi dalam masa dua minggu dari tarikh tersebut. Ana mengiakan sahaja sambil tangan membuat kerja. 

Dan dia pun berkata, “selepas semakan ini dibuat, pemotongan akan dibuat dalam akaun cik……..”

“Maaflah encik, duit dalam akaun saya tidak cukup dan saya hanya mahu buat semakan dan tidak akan ada pemotongan yang dibuat hari ini” celah ana dengan nada tegas sebelum dia sempat menghabiskan ayat.

Wang memang ada tetapi ana perlu membayar jaket yang telah ana tempah dengan pembekal. Jumlahnya bernilai RM300 lebih. Mungkin ada yang fikir jumlah itu sedikit. 

Tetapi dengan keadaan duit pinjaman yang belum masuk dan kebanyakan duit ana sudah dihabiskan untuk beli barang keperluan dapur dan rumah sewa, membuatkan ana benar-benar mengatur dengan teliti kemana duit itu mesti ‘pergi’.

“Baiklah…cik, sila tunggu sebentar sebelum menerima sambungan dari ketua saya…” jawabnya.

Saat demi saat berlalu, tidak ada juga suara di hujung talian. Yang ada cuma nada deringan sambungan. Terasa mahu matikan talian pun ada sebab kerja begitu banyak di pejabat. 

Setelah itu, terdengar suara seorang wanita menjawab. Dia sekali lagi menyemak nama penuh, kad pengenalan dan alamat ana. Tatkala dia menyebut alamat rumah ana di Kelantan, segera ana menyampuk “maaf puan, saya sudah minta staf puan tukar alamat ke Kedah…”

“err…ya. maaf-maaf…” jawabnya sedikit tergagap.

Sebaik sahaja dia menyebut alamat yang baru, dia berkata lagi, “setelah semakan dibuat, pemotongan akan…..”

“maaf puan, tadi staf puan bagitahu yang hari ini semakan sahaja yang akan dibuat dan tidak akan ada pemotongan dibuat…”, ana berkata dengan tegas. Ana juga terasa sedikit terkejut dengan perubahan ana. Bagaimana aku boleh begitu yakin dan tegas dengan pendirian seperti ini? 

Ana dapat kesan dia sedikit terkejut di hujung talian dan dengan nada tergagap, dia berkata, “err…apa dia ya?”. 

Ana mengulang kata-kata ana tadi, “staf puan bagitahu tadi yang hari ini semakan sahaja akan dibuat dan tidak akan ada pemotongan dibuat…”.

Tanpa sempat mengucapkan kata-kata yang biasa orang lain ucap diakhir perbualan, dia mematikan telefon. Ana menarik nafas lega dan terus menyambung kerja tanpa mengesyaki apa-apa.

Keesokannya, ana terus bersiap-siap untuk ke mesin ATM bagi mengeluarkan duit dan bank-in ke pembekal jaket kerana ana sudah berjanji padanya untuk membuat bayaran pada hari tersebut dan beliau juga sudah siap membungkus jaket dan bersedia untuk pos pada hari itu.

Alangkah terkejut apabila mengetahui baki duit hanya tinggal beberapa puluh sahaja dan tiga perempat dari duit sudah hilang entah ke mana. Minda ana terus diterjah peristiwa panggilan telefon semalam. Tangan terus mengambil telefon dan mahu menelefon ejen yang telefon ana tetapi ana batalkan kerana belum pasti.

Ana segera bergegas ke pantry kolej. Kediaman lama yang punya sambungan internat. Sebaik sahaja tiba, ana buka laptop dan terus membuka akaun bank secara online dan membuat semakan. Ternyata ada pemotongan duit telah dibuat dan memang betul tekaan ana. Syarikat tersebut telah ‘merampas’ duit ana.

Nafas ana turun naik menahan marah. Masakan tidak, syarikat tersebut sudah melanggar ‘arahan’ yang telah ana berikan kelmarin. Tambahan pula ana tidak punya wang lain selain itu sahaja. Untuk minta dengan parents ana, itu mungkin pilihan terakhir yang akan ana buat. 

Lantas tangan mencapai telefon dan mencari nombor ejen tersebut. “Assalamualaikum, nie encik ****** ke?”

“Wa’alaikummussalam, ya saya bercakap. ada apa yang saya boleh bantu cik?” jawabnya.

Terus ana bagi ‘pulangkan’ semua paku, duri, pisau, pedang atas mukanya kerana sudah melanggar ‘arahan’ yang telah ana katakan. Tetapi dia seolah-olah membuat tidak tahu akan hal tersebut.

“maaflah cik, bukankah saya sudah beritahu semalam pasal nie?”

“Mana ada, saya tidak pernah bersetuju pemotongan ini dibuat. Kan saya sudah bagitahu semalam yang duit dalam akaun tidak cukup sebab saya nak guna duit. Takkan encik tak rekod apa yang kita cakap semalam?”

“rekod, nanti saya semak semula…” katanya.

“haaa…baguslah. Semak sekali perbualan saya dengan ketua encik. Saya tidak kira, yang saya tahu, duit tu ada dalam akaun saya semula!” tegas ana.

“Macam mana? nak masukkan semula ambil masa dua hingga tiga minggu…” katanya lagi.

“wah! potong duit saya boleh pula buat dalam satu hari, takkan nak masukkan semula ambil masa dua hingga tiga minggu?!” ana makin naik angin.

 “Manalah saya tahu, itu semua orang atasan saya yang buat. Nanti saya bincang dengan orang atas saya…”, 

“okey! saya mahu benda nie settle hari ini juga!” tegas ana.

Setelah itu, terus ana matikan talian.

(Rasa lawak plak bila ingat semula, hihi…) iklan jap…:p

Siapa ya yang pernah lihat ana marah macam nie? hehe! Boleh ja kalau nak tengok ana naik angin macam nie. Sila la langgar amanah ya! dan boleh tengok ‘drama’ free…:p

Ajaibnya. Setelah suasana ‘ribut’ sebentar tadi, marah ana terus hilang. Jantung ana juga sudah tidak berombak seperti tadi dan semuanya kembali normal seolah-olah sudah tidak ada apa-apa. 

Dengan muka selamba, ana boleh edit artikel yang ana tulis dan update blog. Tatkala itu juga fikiran ana buntu, tidak tahu dimana mahu dapatkan untuk membayar jaket yang sudah ana tempah. Akhirnya ana beritahu pembekal tersebut bahawa ana tidak dapat tunaikan janji sebab berlaku sesuatu yang tidak ana ceritakan kepadanya.

“Maaf ukhty, ada emergency dan ana tidak dapat bank-in duit..” tulis ana dalam mesej.

“erm…macam mana ya? sebab ana mahu pos sekaligus nie. Apa kata ana pos dulu dan ukhty bayar nanti?” pelawanya.

MasyaAllah, ketika itu terasa bantuan Allah tiba. Lalu ana katakan padanya untuk membayar pada hari lain. Tidak kurang dengan itu, ada beberapa orang pelanggan memberi komen untuk membeli tudung labuh dan niqab yang ana jual serta sarung lengan jejari.

Saat itu juga abah sudi untuk memberikan sedikit duit bagi menampung bayaran yang belum dilunaskan setelah ana menceritakan hal yang sedang dialami. Pilihan terakhir!
Allah….terasa mahu sujud syukur disitu.

Setelah semua hikmah ini muncul, ana menelefon buat kali yang kedua tetapi talian dimatikan. Wah! makin nampak yang kamu itu bersalah! Tak mengapa, bukan susah pun nak cari. 

Kan doa orang yang teranaiya itu makbul. Ana pun dah bertanya sahabat yang bekerja dalam bidang yang sama, dan ternyata tindakan ejen itu silap. Jadi, sama-sama kita lihat apa yang terjadi untuk ‘episod’ ini.

Dengan ayat selamba juga ana bagitahu kat abah, “takpe abah, jangan risau. Pandai-pandai la angah buat nanti. Nak kena pergi kat bank tu dulu, nak tanya macam mana pemotongan boleh sewenang-wenangnya dibuat. Nak kesan nombor dia pun bukan susah, boleh pergi kat syarikat telekomunikasi dan minta alamat dia. kan semua nombor berdaftar sekarang nie.”

Pengalaman tau. Bukan senang nak dapat pengalaman macam nie. hehe! Ada sesiapa yang masih nak ‘bertukar’ tempat dengan ana? Jadi diri sendiri yang terbaik, tak perlu nak jadi orang lain….:p

Bagaimana ana atasi suasana genting seperti ini ya? Mudah sahaja. Sebaik sahaja selesai ‘mengamuk’ dengan ejen tadi. Ana menarik nafas sedalamnya dan mencari hikmah disebalik semua ini. Memang benar situasi sungguh tertekan tetapi ana cuba bersikap positif!

Lagi membuatkan ana tersenyum sendiri adalah tatkala membaca kata-kata ini…(^^,)

“kamu tidak patut risau mengenai apa yang mereka rampas daripada kamu. Tetapi fikirkan apa yang patut kamu lakukan dengan apa yang tinggal”
(Hubert Humphrey)

Sungguh bermakna! Dan ana membuat apa yang termampu dengan modal yang masih ada. Alhamdulillah ana tidak menyerah kalah dan terus berusaha menyimpan sedikit demi sedikit duit yang ada untuk membayar jaket yang telah selamat sampai kepada ana pagi semalam.

Moga-moga ianya cukup untuk menampung keperluan ana sehingga pinjaman masuk. Lalu ana pulang ke rumah sewa dan menceritakan apa yang berlaku kepada teman serumah. Dia pun pelik tengok ana.

“kalau saya, dah menjerit meraung-raung kot..hehe”. 

Mana tidaknya. Ana menceritakan kepadanya dengan tenang dan setelah itu membaringkan badan atas karpet dan meneruskan pembacaan buku. 

Siapa kata orang yang punya tubuh yang tegap dan berotot itu kuat? Sedangkan kekuatan sebenar itu terletak pada jiwa…………..kan? (^^,)

Wallahua’lam…

Kita bersabar dengan segala ujian,
Kita bersyukur dengan segala nikmat,
Itulah yang membezakan kita sebagai Mukmin...^^,


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Jumaat, 17 Februari 2012

Kreatif!

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala nikmat Iman, Islam dan Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam kepada pembawa rahmat buat sekalian alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Sesekali ana merenung jauh. Koreksi diri, “apakah aku ini sudah menjadi teman terbaik buat semua sahabatku? Iaitu teman yang membawa ke Syurga.”

Ana tersenyum sendiri tatkala teringat pertanyaan ana kepada seorang wanita yang cukup tabah menghadapi dugaan hidup. 

“Ummi seorang je ke nie?”. Sapa ana apabila melihat beliau berjalan sendirian.

“Eh…taklah. Malaikat Raqib dan Atid ada sekali nie,” jawabnya selamba.

Terus ana tergamam. Mendalam sungguh jawapan yang diberikan. Hati terus dimuhasabah ketika itu juga. Mungkin bagi beliau, itu hanyalah sekadar gurauan. Tetapi gurauan yang benar!

Firman Allah s.w.t. bermaksud, “semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)”
(Surah Qaf: ayat 17 dan 18)

Kisah yang lain pula. Ada seorang staf Pusat Islam yang berubah selera ketika sarapan pagi. Selalunya beliau tidak suka minum kopi di sebelah pagi. Tetapi hari itu dia begitu berselera mengambil sarapan pagi dengan kopi yang dicicah biskut.

“Kak Yan, hari nie saya minum kopi yang akak syorkan tu. Sedap pula kopi nie, hehe!” katanya dalam ketawa.

Lalu ada ustaz berseloroh, “nak mati dah tu…”.

Kami yang mendengar terus ketawa. Ada benarnya kata-kata ustaz tersebut. Siapa dapat jangka bila kematiannya tiba. Apabila disapa sebegitu, tersedar juga dari tidur yang lena. Lalu ‘membasuh’ semula ikrar yang dibaca pada setiap permulaan solat.

“sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah. Tuhan sekelian alam”.

Tidak kurang dengan itu. Ada seorang staf pergi ke meja ustaz tadi dan menyapa beliau. Dan ustaz tadi bertanya satu soalan kepadanya yang  membuatkan ana sendiri tergamam tatkala mendengarnya.

“haa…akhie, bila nak mati nie?” tanyanya dengan senyuman terukir dibibir.

“ Tu dia, soalan…..”, jawab sahabatnya yang juga tersenyum.

Ana hanya senyum memandang gelagat mereka. ‘Soalan muhasabah’ dan siapa yang berani untuk kemukan soalan seperti itu melainkan jika insan tersebut benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan kematian.

Setelah ana merenung gelagat dua individu tadi, barulah ana perasaan bahawa itu merupakan ‘teguran’ buat sahabatnya. Iaitu sentiasa ingat mati!

Ana teringat pertanyaan yang pernah ditanya oleh junior ana ketika dalam perjalanan pulang daripada melaksanakan urusan dakwah. 

“akak, macam mana ya nak tegur seorang kakak senior nie. Dia selalu lewatkan solat dan kadang-kadang tak solat, aurat pun tak terjaga. Sebelum nie saya ada slow talk dengan dia, tapi dia macam marah plak dengan saya. Saya pun ada tampal juga pasal solat dan aurat wanita kat dinding tapi dia macam endah tak endah ja…”.

Ana menjawab persoalannya dengan senyuman. Sememangnya soalan seperti itu sering diajukan oleh kebanyakan sahabat-sahabat lain yang juga punya masalah yang hampir sama.

“mudah ja dik. Pikat hatinya dengan akhlak kita dulu. Caranya bagaimana? Kalau kita tidak suka dia berpakaian ketat dan sendat, maka kita terlebih dahulu perlu berpakaian yang longgar dan menutup aurat. Jika kita tidak suka dia melewatkan waktu solat, kita perlu terlebih dahulu solat di awal waktu”,

“Dan akak lebih suka kalau awak dapat hadiahkan dia satu pakaian lengkap dari tudung, baju muslimah, sarung kaki dan sarung lengan kepadanya. Dan juga ajak dia untuk solat berjemaah dengan awak…”

“Dan kalau dia tak nak macam mana kak?”, tanyanya lagi.

“kalau dia tak nak, kita janganlah putus asa. Cubalah pula dengan cara yang lain. Kalau syaitan begitu kreatif dan berinovasi dalam menyesatkan manusia, kenapa kita tidak boleh?”

“Usahlah merasa letih dan lelah untuk mengajak manusia membuat kebaikan kerana syaitan tidak pernah letih dan lelah untuk menyesatkan manusia”

Dia terdiam seketika. Mungkin berfikir agaknya.

Lalu ana teringat tentang seorang sahabat yang sudah lama ana kenali sejak dimatrikulasi lagi. Ana sudah cuba sedayanya untuk membuatkan hati dia terbuka untuk berhijrah ke arah yang lebih baik dari dulu lagi. Sesekali ana ajak dia keluar bersama, meminta dia memilih t-shirt labuh muslimat yang dia berkenan untuk ana jual. 

Sesekali juga ana belanja dia keluar makan apabila ada rezeki lebih. Berusaha semampunya untuk menunjukkan akhlak yang baik disamping memberikan pandangan terbaik bahawa pakaian dan kehidupan sebagai mukmin adalah yang terbaik.

Saat ana berhijrah dengan memakai niqab secara istiqomah, dia dapat kenalpasti itu adalah ana walaupun hanya nampak dari jauh kerana dia kenal cara ana berjalan macam mana.
Dan disaat-saat akhir sebelum berpisah setelah kami sama-sama berada di semester akhir, ana hadiahkan dua helai tudung labuh segi tiga dan sepucuk surat kepadanya sebagai tanda kasih dan cinta sebagai seorang sahabat untuk sama-sama menuju redha Allah.

Tatkala berjalan pulang ke kolej, ana berdoa moga hatinya terbuka untuk berubah. Dan ternyata doa ana itu dimakbulkan tatkala dia memberitahu, “asma’, aku nangis bila tengok hadiah yang kau bagi. Jujur aku bagitahu, terdetik dihati aku untuk berubah. Terima kasih asma’ sebab kau tak putus-putus nasihatkan aku sehingga ke hari ini. InsyaAllah satu hari nanti hajat kau akan termakbul iaitu untuk lihat aku pakai tudung yang kau hadiahkan nie. Doakan aku ya…”

Tiada kata yang terucap, hanya sujud syukur ana mampu lakukan sebagai tanda terima kasih kepada Allah kerana telah membuka pintu hatinya dan memberinya hidayah untuk berubah. Moga Allah terus menjaga mu wahai sahabat.

Ana tersenyum sendiri tatkala memberi pendapat kepada sahabat ana, “ukhty, bagaimana ya nak kembalikan semula ikatan ukhuwah antara kami sebab sebelum nie kami bergaduh. ana sudah minta maaf darinya tetapi dia seolah-olah belum memaafkan ana”.

“Erm..apa kata ukhty beli coklat dan balut coklat tu dengan pembalut hadiah dan kat atas coklat tu selitkan sekeping kad dan tulislah yang ukhty minta maaf. Lepas tu letak atas meja dia waktu dia tidur. hehe!…”

“hehe! Macam budak-budak pula bila buat macam nie, tapi idea nie macam best ja. nanti ana cuba…”kata sahabat ana.

Itulah psikologi. Seorang da’ie perlu bijak dan kreatif ketika mengolah ayat, menyusun kata, membalas hujah dan tidak kurang juga menjawab persoalan yang diajukan oleh mad’u kita. Skil dan teknik ini tidak akan datang bergolak, tetapi ianya perlu sentiasa ditingkatkan.

Dan ana memang suka ‘menembak’ para mad’u dengan soalan atau jawapan yang mengetuk minda mereka sendiri. Tembak hati! dan pastinya semua itu perlu kena pada tahap individu yang kita dakwah. wallahua’lam.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Sabtu, 11 Februari 2012

Beduk Diketuk


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat kekasih atas yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah wa syukrillah atas keizinanNya untuk hamba ini berkongsi sesuatu dengan pembaca sekalian. Beberapa hari yang lepas, ada beberapa buah buku yang sudah ana khatam.

Dalam keadaan rumah sewa yang tidak punya internat, masa lapang ana kebanyakannya diisi dengan membaca buku disamping menjahit tempahan yang diterima dan membuat kerja rumah.

Jika sebelum ini ana lebihkan waktu untuk membaca tulisan dan artikel yang ada laman web, blog peribadi dan artikel yang bermanfaat dalam facebook. Kali ini, buku-buku yang tersusun rapi dalam mini library dibaca satu persatu. Alhamdulillah.

Baiklah, kali ini ana mahu berkongsi sebuah buku yang begitu bermanfaat dengan pengisian yang mengetuk minda dan mampu membuatkan pembaca koreksi diri disamping tulisan ini digabungkan dengan lukisan kreatif dari seorang kartunis. Hasilnya cukup hebat! (^^,)


Inilah kulit hadapan buku yang ana maksudkan. Buku ini ditulis oleh penulis yang tidak asing lagi dalam kalangan pembaca iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan diselang-seli dengan ilustrasi yang mencuit hati daripada kartunis Nik Wafdi.

Mungkin ada yang beranggapan tajuknya sedikit aneh dan jarang didengar melalui muka hadapan yang kita lihat. Tetapi tatkala membaca sinopsis yang tertulis di kulit belakang buku, pasti tanggapan itu berlaku sebaliknya dan para pembaca akan mengerti mengapa buku ini dinamakan ‘Beduk Diketuk’.

“Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang malah ada kalanya ‘bingit’, namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk. Kita akan mula memberi perhatian, mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu terlalu nyaring, namun cukup sekadar dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan.”

“Nilai tambah dalam buku ini adalah ilustarsi yang penuh makna daripada saudara Nik Wafdi. Ilustrasi mampu mengangkat mesej berbanding ratusan malah ribuan kata-kata. Dan kami yakin pembaca akan teruja oleh usikan nakal namun penuh makna daripada pelukis tersebut. Dengan ini bahagian otak kanan (ilustrasi) dan kiri (kata-kata) para pembaca akan diaktifkan secara optimum bagi memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan.”

Itulah sinopsis yang tertulis di belakang buku tersebut. Ketika tangan menyelak setiap helaian bab yang ada. Mata ana terpandang lukisan yang ada dan kadang-kala ana tersenyum sendiri. Kreatif dan penuh dengan makna tersirat! (^^,)

Buku ini punya nilai tersendiri kerana ianya menggabungkan dua elemen serentak iaitu tulisan dan lukisan. Disamping setiap bab ditulis berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh penulis sendiri sekitar kehidupan yang dilalui oleh beliau dalam sehari-hari bersama ahli keluarga dan masyarakat setempat yang ditemuinya.

Setiap bab, pasti ada sahaja ilmu dan hikmah baru yang ana perolehi tatkala selesai membacanya. Tambahan pula huraian dan kupasan yang ditulis oleh penulis begitu halus dan mampu mengetuk minda yang membacanya.

 Tidak menyangka, hanya melalui buku ini, banyak sekali hikmah yang boleh ana amalkan dalam kehidupan seharian disamping dapat aplikasikannya tatkala berhadapan dengan masyarakat sekeliling apabila turun ke lapangan nanti, insyaAllah.

“Menerusi buku ini, penulis telah memberi kritikan, teguran dan bujukan terhadap masyarakat agar benar-benar komited untuk menegakkan ajaran Islam”

Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang sudah memiliki buku ini dan juga sudah khatam. Jadi, kepada yang belum membaca atau memiliki buku ini, ana sarankan untuk kalian menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi bacaan yang mesti dibaca. 

InsyaAllah, ilmu yang bakal diperolehi pasti banyak dan mantap. Sehebat penulis dan pelukisnya. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)