Alhamdulillah Ya Allah atas segala nikmat Iman, Islam dan Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam kepada pembawa rahmat buat sekalian alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Sesekali ana merenung jauh. Koreksi diri, “apakah aku ini sudah menjadi teman terbaik buat semua sahabatku? Iaitu teman yang membawa ke Syurga.”
Ana tersenyum sendiri tatkala teringat pertanyaan ana kepada seorang wanita yang cukup tabah menghadapi dugaan hidup.
“Ummi seorang je ke nie?”. Sapa ana apabila melihat beliau berjalan sendirian.
“Eh…taklah. Malaikat Raqib dan Atid ada sekali nie,” jawabnya selamba.
Terus ana tergamam. Mendalam sungguh jawapan yang diberikan. Hati terus dimuhasabah ketika itu juga. Mungkin bagi beliau, itu hanyalah sekadar gurauan. Tetapi gurauan yang benar!
Firman Allah s.w.t. bermaksud, “semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)”
(Surah Qaf: ayat 17 dan 18)
Kisah yang lain pula. Ada seorang staf Pusat Islam yang berubah selera ketika sarapan pagi. Selalunya beliau tidak suka minum kopi di sebelah pagi. Tetapi hari itu dia begitu berselera mengambil sarapan pagi dengan kopi yang dicicah biskut.
“Kak Yan, hari nie saya minum kopi yang akak syorkan tu. Sedap pula kopi nie, hehe!” katanya dalam ketawa.
Lalu ada ustaz berseloroh, “nak mati dah tu…”.
Kami yang mendengar terus ketawa. Ada benarnya kata-kata ustaz tersebut. Siapa dapat jangka bila kematiannya tiba. Apabila disapa sebegitu, tersedar juga dari tidur yang lena. Lalu ‘membasuh’ semula ikrar yang dibaca pada setiap permulaan solat.
“sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah. Tuhan sekelian alam”.
Tidak kurang dengan itu. Ada seorang staf pergi ke meja ustaz tadi dan menyapa beliau. Dan ustaz tadi bertanya satu soalan kepadanya yang membuatkan ana sendiri tergamam tatkala mendengarnya.
“haa…akhie, bila nak mati nie?” tanyanya dengan senyuman terukir dibibir.
“ Tu dia, soalan…..”, jawab sahabatnya yang juga tersenyum.
Ana hanya senyum memandang gelagat mereka. ‘Soalan muhasabah’ dan siapa yang berani untuk kemukan soalan seperti itu melainkan jika insan tersebut benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan kematian.
Setelah ana merenung gelagat dua individu tadi, barulah ana perasaan bahawa itu merupakan ‘teguran’ buat sahabatnya. Iaitu sentiasa ingat mati!
Ana teringat pertanyaan yang pernah ditanya oleh junior ana ketika dalam perjalanan pulang daripada melaksanakan urusan dakwah.
“akak, macam mana ya nak tegur seorang kakak senior nie. Dia selalu lewatkan solat dan kadang-kadang tak solat, aurat pun tak terjaga. Sebelum nie saya ada slow talk dengan dia, tapi dia macam marah plak dengan saya. Saya pun ada tampal juga pasal solat dan aurat wanita kat dinding tapi dia macam endah tak endah ja…”.
Ana menjawab persoalannya dengan senyuman. Sememangnya soalan seperti itu sering diajukan oleh kebanyakan sahabat-sahabat lain yang juga punya masalah yang hampir sama.
“mudah ja dik. Pikat hatinya dengan akhlak kita dulu. Caranya bagaimana? Kalau kita tidak suka dia berpakaian ketat dan sendat, maka kita terlebih dahulu perlu berpakaian yang longgar dan menutup aurat. Jika kita tidak suka dia melewatkan waktu solat, kita perlu terlebih dahulu solat di awal waktu”,
“Dan akak lebih suka kalau awak dapat hadiahkan dia satu pakaian lengkap dari tudung, baju muslimah, sarung kaki dan sarung lengan kepadanya. Dan juga ajak dia untuk solat berjemaah dengan awak…”
“Dan kalau dia tak nak macam mana kak?”, tanyanya lagi.
“kalau dia tak nak, kita janganlah putus asa. Cubalah pula dengan cara yang lain. Kalau syaitan begitu kreatif dan berinovasi dalam menyesatkan manusia, kenapa kita tidak boleh?”
“Usahlah merasa letih dan lelah untuk mengajak manusia membuat kebaikan kerana syaitan tidak pernah letih dan lelah untuk menyesatkan manusia”
Dia terdiam seketika. Mungkin berfikir agaknya.
Lalu ana teringat tentang seorang sahabat yang sudah lama ana kenali sejak dimatrikulasi lagi. Ana sudah cuba sedayanya untuk membuatkan hati dia terbuka untuk berhijrah ke arah yang lebih baik dari dulu lagi. Sesekali ana ajak dia keluar bersama, meminta dia memilih t-shirt labuh muslimat yang dia berkenan untuk ana jual.
Sesekali juga ana belanja dia keluar makan apabila ada rezeki lebih. Berusaha semampunya untuk menunjukkan akhlak yang baik disamping memberikan pandangan terbaik bahawa pakaian dan kehidupan sebagai mukmin adalah yang terbaik.
Saat ana berhijrah dengan memakai niqab secara istiqomah, dia dapat kenalpasti itu adalah ana walaupun hanya nampak dari jauh kerana dia kenal cara ana berjalan macam mana.
Dan disaat-saat akhir sebelum berpisah setelah kami sama-sama berada di semester akhir, ana hadiahkan dua helai tudung labuh segi tiga dan sepucuk surat kepadanya sebagai tanda kasih dan cinta sebagai seorang sahabat untuk sama-sama menuju redha Allah.
Tatkala berjalan pulang ke kolej, ana berdoa moga hatinya terbuka untuk berubah. Dan ternyata doa ana itu dimakbulkan tatkala dia memberitahu, “asma’, aku nangis bila tengok hadiah yang kau bagi. Jujur aku bagitahu, terdetik dihati aku untuk berubah. Terima kasih asma’ sebab kau tak putus-putus nasihatkan aku sehingga ke hari ini. InsyaAllah satu hari nanti hajat kau akan termakbul iaitu untuk lihat aku pakai tudung yang kau hadiahkan nie. Doakan aku ya…”
Tiada kata yang terucap, hanya sujud syukur ana mampu lakukan sebagai tanda terima kasih kepada Allah kerana telah membuka pintu hatinya dan memberinya hidayah untuk berubah. Moga Allah terus menjaga mu wahai sahabat.
Ana tersenyum sendiri tatkala memberi pendapat kepada sahabat ana, “ukhty, bagaimana ya nak kembalikan semula ikatan ukhuwah antara kami sebab sebelum nie kami bergaduh. ana sudah minta maaf darinya tetapi dia seolah-olah belum memaafkan ana”.
“Erm..apa kata ukhty beli coklat dan balut coklat tu dengan pembalut hadiah dan kat atas coklat tu selitkan sekeping kad dan tulislah yang ukhty minta maaf. Lepas tu letak atas meja dia waktu dia tidur. hehe!…”
“hehe! Macam budak-budak pula bila buat macam nie, tapi idea nie macam best ja. nanti ana cuba…”kata sahabat ana.
Itulah psikologi. Seorang da’ie perlu bijak dan kreatif ketika mengolah ayat, menyusun kata, membalas hujah dan tidak kurang juga menjawab persoalan yang diajukan oleh mad’u kita. Skil dan teknik ini tidak akan datang bergolak, tetapi ianya perlu sentiasa ditingkatkan.
Dan ana memang suka ‘menembak’ para mad’u dengan soalan atau jawapan yang mengetuk minda mereka sendiri. Tembak hati! dan pastinya semua itu perlu kena pada tahap individu yang kita dakwah. wallahua’lam.
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)