Rabu, 1 Februari 2012

Lulus! (^^,)


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Iman, Islam dan Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini kagumi, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Pagi yang dingin. Badan terasa kesejukan. Matahari pula baru sahaja memulakan ‘tugasnya’. Alhamdulillah masih diberi keizinan dan nafas untuk bertaubat dari dosa lalu dan menambahkan saham akhirat.

Sedang kemas dapur tadi, tiba-tiba teringat ada ‘hutang’ yang belum dilunaskan. ‘Hutang’ yang ana janji buat diri sendiri iaitu untuk menulis tentang kisah dan pengalaman ana tatkala mendapatkan lesen memandu.

“Alhamdulillah, ana lulus! (^^,)….”, sujud syukur ana laksanakan sebagai tanda kesyukuran atas keizinanNya.

Sebelum ini ana selalu minta pertolongan sahabat-sahabat yang ada lesen dan yakin untuk bawa kereta atau motor untuk bawa ana ke destinasi yang mahu dituju. Tetapi kini, alhamdulillah ana sudah boleh bergerak sendiri dan boleh bawa orang lain pula. InsyaAllah.

Lama juga untuk dapatkan lesen nie, ada la dalam 7 bulan sebab terpaksa tangguh dulu untuk sementara apabila masuk semester baru. Ana buat lesen memandu dengan adik lelaki, Iman. Alhamdulillah ada teman. Takut dan segan juga untuk buat sorang-sorang.

Mula-mula tu memang kena ‘paksa rela’ dengan ummi. hehe! Dah berapa kali ummi tanya bila nak buat lesen. Bukannya ana tak nak tetapi asyik bertembung dengan program dan aktiviti di dalam dan luar kampus. 

“buat la lesen tu cepat, semester depan dah praktikal. Susah nanti kalau takde lesen”, kata ummi.

Ana akur dengan ‘arahan’ tu. Dah masuk kelas dan bengkel, barulah teruja nak belajar tu muncul. hehe! 

Waktu buat lesen tu, ummi dan seluruh keluarga ana sedang menunggu kelahiran Amirah Fasihah. Bila takde kelas atau bengkel atau ujian undang-undang, ana bergilir-gilir teman ummi dalam wad. 

Pernah sekali ada cikgu sindir “dah segar mata tu ustazah? Tadi mengantuk”. Ana hanya senyum. Keletihan dan mengantuk yang amat sebab tidur kat hospital malam tu. 

Bila Amirah Fasihah dah lahir. Gilir-gilir pula jaga dia masa ummi berpantang. Memang letih sebab kena buat latihan memandu lagi. Balik rumah kena jaga adik, kemas rumah, memasak, menjahit, dan macam-macam lagi. Tapi best! Sebab ana sukakan cabaran…(^^,)

Allah memang suka ‘test’ ana dengan hadirkan pelbagai kesulitan kepada ana. Kadang-kadang tu sampai terlena sendiri dekat sofa sebab kepenatan yang amat. Waktu ini juga ana batalkan segala program yang ada sebab ana diperlukan di rumah. Bila lagi nak berbakti pula pada keluarga kalau bukan waktu seperti ini kan?

Sebelum ambil kelas memandu, sudah berkira-kira dengan adik dan cikgu yang mengajar untuk dapatkan juga lesen sebelum masuk semester baru. Sudah diatur sebaiknya untuk habiskan jam kredit dan juga test JPJ.

Namun, kita hanya mampu merancang. Yang selebihnya Dia yang akan tentukan. Cikgu yang mengajar ana jatuh sakit dan ditahan di wad beberapa hari. Maka latihan kami dihentikan seketika sementara menunggu cikgu ana sembuh.

Setelah cikgu sembuh, kami teruskan latihan dan mungkin boleh test JPJ di penghujung bulan 8. Tetapi tak dapat sebab ramai sangat orang yang buat test. Lagipun, JPJ buat kerjasama dengan pihak polis untuk mengadakan Ops Sikap sempena Aidilfitri tahun lepas.

Dengan hati yang pasrah, ana dan adik tinggalkan lesen L kepada cikgu untuk dijaga dan diperbaharui sekiranya sudah tamat tempoh serta tempah tarikh untuk dibuat test JPJ apabila cuti finale bulan 1 nanti.

Tepat tekaan ana. Aktiviti ana banyak diluar kampus dan amat-amat menuntut untuk keluar. Agak susah dan menguji kesabaran apabila tidak ada sahabat yang lapang untuk hantar ana ke destinasi yang mahu dituju. Terpaksa tangguh. 

Pengajian kitab dipondok setiap sabtu juga sekali sekala sahaja dapat pergi apabila ada sahabat yang berkelapangan. sahabat yang selalu bawa ana sudah habis belajar. Sudah ada sahabat yang asyik bertanya bila nak buat lesen sejak di semester 3 lagi tetapi ana belum sempat untuk buat. Kursus pra-perkahwinan juga asyik tangguh sebab bertembung dengan program lain. 

Jadi, nasihat ana kepada sahabat-sahabat muslimat yang belum membuat lesen kereta atau motor, sila la buat cepat-cepat ya. Carilah masa walau sibuk macam mana sekalipun sebab ini merupakan keperluan untuk memudahkan kita bergerak. Dah dapat lesen tu, usahlah buat ‘harta pusaka’. Belajarlah bawa kereta selalu supaya kita mahir dan yakin ketika memandu.

Sebelum cuti akhir semester baru-baru ini. Ana dan adik sudah mengatur untuk dapatkan tarikh bagi menjalani test dengan JPJ. Tidak menyangka cikgu ana selalu masuk wad sepanjang ana balik kampus. Dua hari semasa kami buat latihan juga, isteri cikgu yang uruskan dan beliau minta sahabatnya untuk ajar kami.

Sedih pun ada masa nie. Isteri cikgu minta ana dan adik pergi sendiri ke Akademik Memandu Kota Raya untuk buat latihan supaya ingat semula teknik dan skill yang sudah lama tinggal berbulan-bulan. Sebelum ini cikgu yang datang ambil dan bawa kami ke sana.

Hari pertama pergi, ana dan adik sesat. Hampir semua jalan sudah kami lalu tetapi tetap juga tidak jumpa. Akhirnya adik hentikan motor tepi jalan dan tanya orang tentang kedudukan akdemik tu sebab kami sudah lupa jalan ke sana. Alhamdulillah jumpa juga akhirnya setelah hampir dua jam mencari.

Hari kedua pula. Jalan ke sana masih ingat-ingat lupa. Dalam perjalanan ke sana, hujan turun dengan lebat membasahi bumi Kelantan. Kami terpaksa berhenti di sebuah kedai dan tumpang berteduh. Motor yang kami naiki juga asyik mati apabila berhenti di lampu isyarat. Bimbang juga kalau kehabisan bateri dan enjin tidak hidup.

Hari ketiga merupakan hari penentuan samaada ana dan adik lulus atau perlu mengulang test dengan JPJ. Test kami bermula pukul 8.30 pagi. Jadi, kami turun awal dari rumah. Sekitar jam 7 pagi, kami bertolak ke akademik tersebut.

Dalam perjalanan, kami menjadi saksi kemalangan yang berlaku di depan mata. Kemalangan antara dua buah motor yang dinaiki oleh empat orang pelajar lelaki sekolah menengah. Kata adik, kawan yang bawa motor tu sengaja menyiku kawan dia yang bawa motor satu lagi.

Gurauan di jalan raya pasti mengundang musibah. Hasilnya, kawan yang disiku hilang kawalan dan akhirnya dia dan pembonceng di belakang terjatuh dan bergesel atas jalan tar. 

Darah merah mengalir keluar dari kepala dan membasahi baju seragam sekolah yang dipakai. Kakinya juga tertindah dengan motor. Pembonceng di belakang jatuh dari motor dan tergolek hingga ke tepi jalan. Rokok yang dia hisap tidak lepas dari tangan. 

Kawan dia yang bawa motor satu lagi iaitu yang menyiku tadi dan yang menjadi punca kemalangan ini berlaku mendapat flying kick, free of charge (kena sepak) dari kawan yang membonceng di belakangnya. Mereka tidak cedera tetapi yang menyiku nie tangannya terseliuh. Mungkin cuba mengawal motor dari turut terjatuh agaknya.

Kami berhenti di tepi jalan dan adik lelaki ana turun dari motor untuk membantu mengalihkan motor ke tepi jalan. Yang ‘bagusnya’, keempat-empat pelajar ini tidak memakai topi keledar. 

Alhamdulillah hanya ada motor yang melalui jalan tersebut. Sekiranya ada kereta yang laju melalui jalan tersebut, pasti lukanya parah. Kedua-dua pelajar lelaki yang jatuh tadi hanya cedera ringan dan masih boleh berjalan.

Hikmah yang ana dapat disini, Allah s.w.t. sedang ‘berbicara’ dengan ana walaupun kemalangan tu melibatkan orang lain. Mesti berhati-hati selalu dan patuhi undang-undang jalan raya. Jangan hanya kerana kesilapan kita yang hanya sekecil kuman, menyebabkan orang lain menjadi mangsa.

Tanpa disedari, hati ana berbisik mengalunkan doa. “Ya Allah…Engkau mengaturkan semua ini. Aku tahu, apa pun yang berlaku, Engkau mengetahui apa yang terbaik buat hambaMu. Jika aku layak dan bersedia untuk memandu di jalan raya, Engkau izinkan aku untuk lulus ujian ini. Jika sebaliknya, Engkau tahan dulu dan kuatkan hatiku untuk terima kegagalan dalam ujian ini.”

Jika ada yang bertanya kepada ana, “apa persedian yang paling penting dan utama untuk hadapi test JPJ?” dan jika ada yang menjawab, “perlu bertenang terlebih dahulu, ingat skill dan step yang telah dipelajari. InsyaAllah boleh”.

Maka, ini jawapan ana. “Kita begitu mengharap bahawa kita bakal lulus ujian ini. Benar-benar berharap dan berdoa. Maka, perkara yang paling utama adalah alihkan pengharapan dan rasa ingin memiliki lesen itu kepada Allah s.w.t. Kurangkan rasa harapan itu pada pegawai untuk luluskan kita. Sebab makin kita mengharap, rasa kecewa yang teramat akan hadir jika kita gagal.”

“Jadi, tenanglah. Jika Dia izin, hatta sesukar dan sepayah mana pun kita tetap akan lulus. Tetapi jika Dia tidak izin, semudah mana pun kita tetap tidak ana lulus. Sekiranya kita bertenang dan tidak kalut, insyaAllah apa yang kita pelajari akan muncul satu persatu. Tetapi jika kita gopoh, ianya akan hilang atau terlupa.”

Rasa pengharapan dan ingin memiliki lesen itu ana cuba usir walaupun ana benar-benar perlukannya. Dan letakkan kepercayaan dan keyakinan pada Allah bahawa Dia tahu apa yang terbaik buat ana. Waktu itu, ana langsung tidak tahu apakah ana bakal lulus atau gagal. Apa yang ana tahu, ana akan usaha sebaiknya dan selebihnya bertawakal.

Sebaik sahaja sampai ke akademik memandu. Ana lihat kereta sudah disusun dengan teratur mengikut tempat untuk mulakan ujian. Ana dan adik lelaki terus daftar diri dan mengambil nombor giliran. Hati masih berzikir supaya sentiasa tenang.

Isteri cikgu datang dan memberi kata-kata semangat. Dia memeluk ana apabila ana katakan hati terasa takut dan berdebar. Saat itu, terasa sangat tidak mahu kecewakan dia dan cikgu yang masih berada di wad. Setelah itu, dia terus pergi semula ke hospital untuk menjaga suaminya. Moga syurga buatmu wahai sang isteri solehah…ameen.

Setelah menunggu seketika, nombor giliran ana dipanggil. Ana pergi ke kereta yang dimaksudkan untuk membuat ujian di jalan raya. MasyaAllah, sungguh ajaib! Rasa berdebar tadi hilang terus sebaik sahaja masuk ke ‘perut’ kereta. Ana mulakan ujian mengikut apa yang dipelajari.

Ketika itu, satu persatu suara cikgu yang mengajar ana tergiang-giang di telinga. “mula-mula masuk kereta, beri salam terlebih dahulu. Betulkan tempat duduk, cermin sisi kiri kanan dan belakang, tekan lampu isyarat kiri kanan, lampu kecemasan, dan akhir sekali wiper. Jangan lupa semua step ini sebab kat sini ada lima markah”. Ana buat satu persatu dengan terbit dan tenang.

“baiklah, awak pergi ke laluan A”, kata pegawai JPJ yang duduk disebelah ana.

“Allah…! Macam mana nie. Sudahlah aku ingat-ingat lupa jalan tu. Nak berterus terang ke tak nie yang aku tak berapa ingat”. bisik ana dalam hati.

Tak mengapa, aku ada Allah…Dia yang akan bantu aku tunjukkan jalan..”, pujuk ana. Ana betul-betul letakkan keyakinan dan kepercayaan pada Dia. Hanya Dia yang boleh bantu ana ketika itu.

Dengan lafaz basmalah dan doa, ana mulakan perjalanan. Kemalangan yang baru sahaja disaksikan pagi tadi bermain diminda. “aku mesti hati-hati. Bukan setakat mahu lulus ujian tetapi aku juga bawa orang lain. Keselamatannya terletak dibahuku untuk membawanya pulang dengan selamat.”

Jalan yang masih samar-samar dan ingat-ingat lupa tidak menjejaskan tumpuan ana. Apabila tiba dipersimpangan jalan, lampu isyarat diberikan mengikut lintasan hati ana disamping akal ligat berfikir samaada pernah lalu ataupun tidak jalan ini dan tangan melaksanakan tugas untuk menggerakkannya. 

Subhanallah, sekali lagi ana terpegun. “Eh, betul la jalan yang aku lalu”. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah, mahu kau dustai?

Walaupun dua kali kereta mati ketika berhenti di lampu isyarat terakhir dan hampir terlanggar bahu jalan ketika membelok, ana tetap senyum dengan tenang disebalik niqab yang dipakai. Alhamdulillah ana lulus ujian di jalan raya dengan keputusan 18/20. Turun sahaja dari kereta, tangan dan kaki menggeletar habis. alahai…hehe!

Setelah itu, ujian memandu diatas bukit, masuk parking dan tiga penjuru ana laksanakan dan alhamdulillah ketiga-tiganya lulus walaupun kena marah dengan pegawai yang jaga sebab silap masuk lorong. Huhu!

Syukur sangat sebab semuanya sudah selesai. Mahu tahu part yang paling gembira? iaitu apabila ana melihat ummi dan abah tersenyum puas apabila berita itu dikhabarkan kepada mereka. Dan tiada yang lebih gembira melainkan menghambakan diri di tikar sejadah dengan sujud syukur atas anugerah yang diberikan.

Kisah dan pengalaman ini ana lakarkan untuk para pembaca muhasabah sendiri. Ambillah ibrah darinya jika bermanfaat dan tinggalkan mana yang buruk. Moga-moga setiap langkah dan perjalanan kita sentiasa mengingati Allah. 

Mahu tahu setakat mana tahap kesabaran dan akhlak seseorang? Lihatlah ketika dia memandu di atas jalan raya…(^^,). Wallahua’lam.

Kan best kalau dapat laksanakan di Malaysia...^^

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus