Isnin, 29 April 2013

Wanita Juga Boleh Berbisnes



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Alhamdulillah atas keizinan Allah. Dapat juga ana luahkan sedikit masa untuk menukilkan sedikit perkongsian berkaitan buku yang sudah lama ana khatam.

Tajuk buku ini berjaya menarik perhatian ana untuk membelinya walaupun ketika itu ‘terliur’ dengan buku yang lain disamping kulit depan buku ini sangat cantik lakarannya.
Tajuk buku ini adalah “Wanita Juga Boleh Berbisnes; Berguru Kepada Khadijah” yang ditulis oleh seorang penulis dari Indonesia iaitu Muhammad Abu Syauqi Banna.


Penulis berasal dari Bogor, Indonesia. Lahir pada November 1975. Minat membaca dan menulis sejak dari kecil hasil asuhan ibubapanya. Tulisan pertama yang dihasilkan adalah pada darjah 5 sekolah rendah.

Pernah menyertai beberapa majalah sebagai wartawan. Kini beliau merupakan ketua editor sebuah majalah Islah. Juga merupakan seorang pendakwah muda yang agresif dalam memberi syarahan di serata Indonesia.

Itu adalah biodata ringkas penulis buku ini yang termuat dalam buku pada helaian kertas yang terakhir. 

Buku ini sangat bagus bagi ana kerana hujah yang diberikan dalam menyokong penulisannya bukan sahaja bersandar pada al-Quran, as-sunnah, kisah para peniaga wanita malah turut diaduan dengan isu yang berkaitan pada masa kini.

Pemulaan buku ini menceritakan bagaimana Islam memuliakan wanita. Kedatangan Islam yang mana permulaannya dibawa oleh Rasulullah s.a.w. mengangkat martabat seorang wanita ke tempat yang sepatutnya dan bukan lagi dipijak dan dihina pada zaman jahiliah.
Penulis juga menerangkan peranan seorang wanita sebagai isteri dan ibu dalam keluarga dan salah seorang anggota masyarakat. Tulisannya sangat terkesan pada hati dan membuka minda ana sendiri.

'Clik' untuk tumbesaran :)

Idea dan ilham untuk menulis bait kata diatas muncul ketika sedang membaca buku ini. Sangat membuka minda sehingga memotivasikan diri ana sendiri untuk menjadi mukminah yang professional dengan menguasi pelbagai bidang dan kemahiran. Allahu Allah.

Tidak kurang dengan itu, penulis juga menerangkan sedikit sebanyak berkaitan selok belok dalam berniaga. Dari segi modal, pengurusan syarikat, barang yang ingin dipasarkan, strategi perniagaan dan banyak lagi.

Ilmu sebegini sangat berguna buat para muslimah yang begitu minat untuk memulakan perniagaan. Maka, ana sarankan agar buku ini dijadikan sebagai rujukan buat para usahawan wanita.

Impian ku :)
Moga peroleh manfaat. Sesungguhnya Allah s.w.t. lebih mengetahui.

“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(^^,)”

Sabtu, 6 April 2013

Kebenaran Yang Terhijab



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Salam kasih sayang buat para pembaca, muslimin dan muslimat sekalian. Moga dalam jagaan dan rahmat Allah s.w.t. selalu.

Beberapa hari yang lalu, ada seseorang menghantar pesanan dalam inbox di facebook berkaitan suatu isu. Permasalahannya tidaklah begitu besar tetapi mengundang ‘perbalahan’ banyak orang.

Individu yang menghantar pesanan tersebut meminta ana ulas berkaitan hal ini di dinding facebook. Namun ana merasakan ianya tidak cukup disitu dan perlu diperhalusi lebih halus. Maka, ana merasakan lebih baik menulis dalam blog sahaja.


Sejujurnya ana katakan, ana ikuti perkembangan berkaitan isu ini dalam diam. Pada mulanya ana biarkan sahaja sebab sudah ramai yang berhujah, tetapi apabila melihat komen disitu mencecah ratusan komen, maka sesuatu perlu dilakukan dengan segera.

Ana minta bantuan seseorang yang begitu dihormati oleh ‘penerbit’ asal isu ini agar ianya dipadam atau ‘diprivate’ supaya isu ini tidak mengundang mudarat yang lebih besar seperti sangkaan buruk antara satu sama lain.

Ana yang membaca segala komen tersebut dari mula sampai habis juga terasa ada sesuatu yang perlu diperbaiki.

 “Kalau setakat nak riak dan takbur dengan ilmu, baik pergi ceramah dekat orang yang tak tutup aurat kat luar sana”,

Gulp! ana telan air liur. 

“pening baca komen agamawan yang berlagak dengan ilmu yang ada…”, komen salah seorang disitu.

Zup! terasa ada benda tajam yang merobek jantung ana.

Allahu Allah,
peritnya terasa dihati membaca komen-komen yang ada kat situ. Masing-masing tidak puas hati. Terus menerus membalas hujah masing-masing hingga mencecah ratusan komen dari puluhan rakan dalam facebook

Si agamawan mengatakan hujahnya benar,
si pemerhati mengatakan caranya silap,
Si agamawan tetap tidak beralah,
si pemerhati makin menyampah.
Apa kesudahannya?

“Istiqomah mempamerkan akhlak yang mulia lebih berkesan dari berkhutbah berkali-kali. Mesej dakwah terhadap kebenaran Islam akan terhijab disebalik penyampaian yang kasar dan bangga diri”.

Akhirnya, kebenaran mula terhijab akibat dari perbuatan sendiri. Kita cuba menyampaikan perihal kebenaran dan keindahan Islam, namun ianya terhijab dek perbuatan dan penyampaian kita yang kasar dan menyakitkan hati individu yang mendengar.

Tegas atau lembut nadanya,
Kuat atau perlahan suaranya,
seandai ianya dari hati,
pasti terkesan jua pada hati.

Kasihanilah mereka

Ada satu kisah yang ana dengar dalam siaran motivasi pagi dalam Ikim.fm berkaitan kasih sayang sesama umat. Betapa mulia dan kasihnya Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya.
Diceritakan, ada seorang Yahudi berjalan dihadapan Rasulullah s.a.w... Apabila melihat yahudi tersebut, Rasulullah s.a.w. menangis. Para sahabat terasa pelik, lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w..

"Wahai Rasulullah, mengapa kamu menangis? Dia hanyalah seorang Yahudi".

Baginda s.a.w. menjawab, "aku menangis kerana aku tahu, sekiranya dia tidak memeluk Islam, dia akan menjadi bahan bakar api neraka buat selamanya. Sedangkan dia adalah sebahagian dari umatku...".

Kasihanlah apabila kita melihat ada perempuan yang belum menutup aurat dengan sempurna. Kasihanlah apabila kita melihat ada individu yang belum solat dengan cukup. Kasihanlah apabila kita melihat ada manusia yang belum memeluk Islam dan bukan menghina dan mencaci mereka.

"Allah mengutuskan aku bukan untuk melaknat dan memberikan kutukan tetapi aku diutuskan sebagai penyeru dan rahmat".
[Rasulullah s.a.w. l Ikon Kasih Sayang]

Berhikmahlah

“Serulah (semua manusia) kepada Tuhanmu dengan hikmah (bijaksana) dan pelajaran yang baik dan bantah (berbahaslah) dengan mereka dengan cara yang paling baik.”
(Surah An-Nahl: Ayat 125)

Tidak dinafikan tuntutan hikmah di dalam berdakwah merupakan satu kemestian yang tidak boleh dilupakan oleh para Daie agar risalah Islam dapat disampaikan dengan baik dan diterima. Walaupun Daie bukan maksum daripada melakukan sebarang dosa tetapi tuntutan hikmah itu amat perlu agar tidak menimbulkan fitnah kepada agama dan diri pendakwah itu sendiri.
(Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah)

“sesungguhnya, Allah lebih mengetahui”.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 1 April 2013

Orang Akhirat



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat.

[Allahyarham 'Ammar l Kalam Puncak l Dalam Jiwa Hamba ]

Ketika menulis artikel ini, ana sedang mendengar nasyid yang di dendangkan oleh bekas penyanyi dan penari dangdut dari Indonesia. Bait kata dan liriknya sangat menyentuh hati. Allahu Allah.

Jika dahulu dirinya sering menjadi perhatian orang ramai terutama kaum lelaki dek lenggokan tubuhnya yang seksi, tetapi kini dia dipandang penuh hormat apabila menutup aurat dan kini menjadi seorang daie yang mengajak dan menyeru orang ramai kembali pada Allah.

“Indahnya tatkala taufiq hidayah datang menyapa. Apa yang dilakukan semata-mata hanyalah kerana Allah…”

Ana banyak ikuti pekembangan dan perjalanan hidup insan yang dahulunya hanyut dan menyimpang jauh dari Allah. Kisah-kisah penghijrah mereka ana jadikan motivasi buat insan lain untuk tetap teguh kembali pada Allah.

Apabila insan seperti ini berbicara dan menyebut nama Allah, bait katanya sentiasa mampu menyentuh hati insan yang mendengarnya. 

“saya pernah merasai hidup tanpa Allah. Kekayaan melimpah ruah, namun tidak pernah bahagia. Populariti makin naik, namun sentiasa tidak tenang. Apabila hidayah masuk dalam hati saya, saya nekad untuk kembali Allah. Tidak mungkin saya sia-siakan peluang ini. Inilah hidup yang saya cari selama ini”.

Ana merenung dan koreksi diri.

Mereka begitu takut dan gerun jika ditarik semula hidayah yang Allah anugerahkan kerana mereka sudah merasai bagaimana perit dan menderitanya hidup tanpa Allah dihati. Mereka begitu hargai hidayah yang Allah beri kerana sudah merasai betapa tenang dan bahagianya hidup berlandaskan syariat Islam berbanding sebelum ini.

Motivasi Orang Akhirat

Sebuah cerita tentang sahabat Rasulullah SAW. Seorang remaja yang berusia 17 tahun yang sering menemani Rasulullah SAW ke mana sahaja Rasulullah pergi. Dia sering diminta oleh Rasulullah untuk mendapatkan barang-barang keperluan baginda. Tsa'labah ibnu Abdurrahman nama diberi.

Pada suatu hari seperti biasa Rasulullah memintanya untuk mendapatkan sesuatu. Lalu pergilah Tsa'labah untuk mendapatkan permintaan Rasulullah tersebut. Dalam perjalanannya Tsa'labah melintasi sebuah rumah. Pintu serta tingkap rumah tersebut hanya ditutupi oleh tirai yang diperbuat daripada guni. Tiba-tiba angin bertiup kencang dan tirai yang menutupi jendela rumah itupun tersingkap.

Saat itu pandangan Tsa'labah sedang dihalakan ke arah rumah tersebut. Lalu dengan tidak sengaja terlihatlah Tsa'labah akan wanita yang sedang mandi. Tsa'labah segera mengalihkan pandangannya dan menyebut, "A'uzubillah!!" "Aku berlindung kepada Allah!"

Tsa'labah dihantui rasa bersalah yang amat sangat kerana telah terlihat aurat seorang wanita yang tidak halal baginya. Di dalam benaknya dia berfikir-fikir tentang dosanya tadi.

"Ya-Allah, aku takut kalau malaikat Jibril turun memeritahu kepada Rasulullah SAW bahawa aku telah melakukan maksiat! Aku takut kalau nanti akan turunnya ayat Al-Quran yang menyenaraikan aku sebagai salah seorang pemaksiat! Ya-Allah sungguh aku telah melihat aurat seorang wanita yang tidak halal bagiku!"

Tsa'labah terus dengan rintihannya sehingga dia terlupa akan tujuan asalnya untuk mencari keperluan Rasulullah. Dia berlari menyembunyikan diri kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah. Terus-terusan dia merintih.

"Ya-Allah, aku tak mahu masuk neraka! Ya-Allah, aku tak mahu diazab atas dosa yang aku lakukan. Ya-Allah ampunkanlah aku!"

Tsa'labah terus berlari sehingga ke kaki bukit di pinggir kota Madinah. Tsa'labah memanjat bukit itu dan bersembunyi di dalam gua di puncak bukit tersebut. Sementara Rasulullah terus menunggu Tsa'labah sehingga berhari-hari. Kerana tidak ada khabar mengenai Tsa'labah, Rasulullah meminta Umar Al-Khattab untuk mencari di manakah Tsa'labah.

Ketika Tsa'labah ditemui, Umar berkata, "Wahai Tsa'labah, marilah bertemu Rasulullah. Baginda mahu bertemu denganmu."

Tsa'labah dengan ketakutan berkata, "Mengapa Rasulullah mahu bertemu denganku? Sudahkan turun ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kemaksiatanku? Jibril sudah beritahu Rasulullah apa yang aku lakukan? Aku tidak mahu masuk neraka! Aku takut!"

Tsa'labah terus berkata-kata dalam ketakutan seperti orang gila. Oleh kerana sudah beberapa hari tidak makan, melainkan beberapa teguk susu kambing yang diberikan oleh pengembala kambing di kaki bukit tersebut, badannya menjadi sangat lemah. Lalu Umar memapah Tsa'labah ke pulang ke rumah.

Setelah mengetahui Tsa'labah telah dijumpai dan berada di rumah, Rasulullah datang menziarahinya. Rasulullah lalu meriba kepala Tsa'labah, namun Tsa'labah mengalihkan kepalanya. Rasulullah bertanya,

"Wahai Tsa'labah, mengapa engkau mengalihkan kepalamu?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di atas ribamu yang mulia itu."

Rasulullah memandang Tsa'labah dengan wajah sayu, dan bertanya,

"Wahai Tsa'labah, apakah yang kau mahukan?"

"Aku mahukan keampunan Allah.." Suaranya semakin lemah.

"Apakah cita-citamu wahai Tsa'labah?" Rasulullah kembali bertanya.

"Cita-citaku adalah untuk menginjaki syurga..Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia mengampunkan dosaku.."

"Wahai Tsa'labah, aku menjadi penjamin di atas kemahuanmu dan cita-citamu itu. Sesungguhnya ini adalah bukti taubatmu."

Akhirnya Tsa'labah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.

Ketika pengebumian Tsa'labah, Rasulullah tiba agak terlambat. Para sahabat telah terlebih dahulu mengerumuni kuburan Tsa'labah. Apabila Rasulullah tiba, para sahabat membuka laluan kepada Rasulullah untuk melihat jenazah Tsa'labah. Namun Rasulullah SAW kelihatan berjalan susah payah bagaikan diasak-asak. Para sahabat bertanya akan keadaan baginda itu. Rasulullah menjawab,

"Sesungguhnya kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang menghantar Tsa'labah ke kuburnya."

Kembalilah

Istimewanya Islam yang kita anuti dan sanjungi adalah Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara manusia dengan Allah. Jika seseorang ingin kembali dan bertaubat kepada Allah, dia boleh minta ampun kepada Allah secara terus tidak kira di mana dan siapa pun dia.

Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Letak tangan pada hati dan berkatalah, “aku ini orang akhirat. Aku bermusafir di dunia ini sebagai pengembara yang mencari bekalan untuk kembali ke perkampungan akhirat. Rugilah aku jika terus menerus melakukan dosa kerana umurku di dunia hanya seketika dan akan kembali ke akhirat bila-bila masa sahaja”.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)