Isnin, 1 April 2013

Orang Akhirat



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat.

[Allahyarham 'Ammar l Kalam Puncak l Dalam Jiwa Hamba ]

Ketika menulis artikel ini, ana sedang mendengar nasyid yang di dendangkan oleh bekas penyanyi dan penari dangdut dari Indonesia. Bait kata dan liriknya sangat menyentuh hati. Allahu Allah.

Jika dahulu dirinya sering menjadi perhatian orang ramai terutama kaum lelaki dek lenggokan tubuhnya yang seksi, tetapi kini dia dipandang penuh hormat apabila menutup aurat dan kini menjadi seorang daie yang mengajak dan menyeru orang ramai kembali pada Allah.

“Indahnya tatkala taufiq hidayah datang menyapa. Apa yang dilakukan semata-mata hanyalah kerana Allah…”

Ana banyak ikuti pekembangan dan perjalanan hidup insan yang dahulunya hanyut dan menyimpang jauh dari Allah. Kisah-kisah penghijrah mereka ana jadikan motivasi buat insan lain untuk tetap teguh kembali pada Allah.

Apabila insan seperti ini berbicara dan menyebut nama Allah, bait katanya sentiasa mampu menyentuh hati insan yang mendengarnya. 

“saya pernah merasai hidup tanpa Allah. Kekayaan melimpah ruah, namun tidak pernah bahagia. Populariti makin naik, namun sentiasa tidak tenang. Apabila hidayah masuk dalam hati saya, saya nekad untuk kembali Allah. Tidak mungkin saya sia-siakan peluang ini. Inilah hidup yang saya cari selama ini”.

Ana merenung dan koreksi diri.

Mereka begitu takut dan gerun jika ditarik semula hidayah yang Allah anugerahkan kerana mereka sudah merasai bagaimana perit dan menderitanya hidup tanpa Allah dihati. Mereka begitu hargai hidayah yang Allah beri kerana sudah merasai betapa tenang dan bahagianya hidup berlandaskan syariat Islam berbanding sebelum ini.

Motivasi Orang Akhirat

Sebuah cerita tentang sahabat Rasulullah SAW. Seorang remaja yang berusia 17 tahun yang sering menemani Rasulullah SAW ke mana sahaja Rasulullah pergi. Dia sering diminta oleh Rasulullah untuk mendapatkan barang-barang keperluan baginda. Tsa'labah ibnu Abdurrahman nama diberi.

Pada suatu hari seperti biasa Rasulullah memintanya untuk mendapatkan sesuatu. Lalu pergilah Tsa'labah untuk mendapatkan permintaan Rasulullah tersebut. Dalam perjalanannya Tsa'labah melintasi sebuah rumah. Pintu serta tingkap rumah tersebut hanya ditutupi oleh tirai yang diperbuat daripada guni. Tiba-tiba angin bertiup kencang dan tirai yang menutupi jendela rumah itupun tersingkap.

Saat itu pandangan Tsa'labah sedang dihalakan ke arah rumah tersebut. Lalu dengan tidak sengaja terlihatlah Tsa'labah akan wanita yang sedang mandi. Tsa'labah segera mengalihkan pandangannya dan menyebut, "A'uzubillah!!" "Aku berlindung kepada Allah!"

Tsa'labah dihantui rasa bersalah yang amat sangat kerana telah terlihat aurat seorang wanita yang tidak halal baginya. Di dalam benaknya dia berfikir-fikir tentang dosanya tadi.

"Ya-Allah, aku takut kalau malaikat Jibril turun memeritahu kepada Rasulullah SAW bahawa aku telah melakukan maksiat! Aku takut kalau nanti akan turunnya ayat Al-Quran yang menyenaraikan aku sebagai salah seorang pemaksiat! Ya-Allah sungguh aku telah melihat aurat seorang wanita yang tidak halal bagiku!"

Tsa'labah terus dengan rintihannya sehingga dia terlupa akan tujuan asalnya untuk mencari keperluan Rasulullah. Dia berlari menyembunyikan diri kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah. Terus-terusan dia merintih.

"Ya-Allah, aku tak mahu masuk neraka! Ya-Allah, aku tak mahu diazab atas dosa yang aku lakukan. Ya-Allah ampunkanlah aku!"

Tsa'labah terus berlari sehingga ke kaki bukit di pinggir kota Madinah. Tsa'labah memanjat bukit itu dan bersembunyi di dalam gua di puncak bukit tersebut. Sementara Rasulullah terus menunggu Tsa'labah sehingga berhari-hari. Kerana tidak ada khabar mengenai Tsa'labah, Rasulullah meminta Umar Al-Khattab untuk mencari di manakah Tsa'labah.

Ketika Tsa'labah ditemui, Umar berkata, "Wahai Tsa'labah, marilah bertemu Rasulullah. Baginda mahu bertemu denganmu."

Tsa'labah dengan ketakutan berkata, "Mengapa Rasulullah mahu bertemu denganku? Sudahkan turun ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kemaksiatanku? Jibril sudah beritahu Rasulullah apa yang aku lakukan? Aku tidak mahu masuk neraka! Aku takut!"

Tsa'labah terus berkata-kata dalam ketakutan seperti orang gila. Oleh kerana sudah beberapa hari tidak makan, melainkan beberapa teguk susu kambing yang diberikan oleh pengembala kambing di kaki bukit tersebut, badannya menjadi sangat lemah. Lalu Umar memapah Tsa'labah ke pulang ke rumah.

Setelah mengetahui Tsa'labah telah dijumpai dan berada di rumah, Rasulullah datang menziarahinya. Rasulullah lalu meriba kepala Tsa'labah, namun Tsa'labah mengalihkan kepalanya. Rasulullah bertanya,

"Wahai Tsa'labah, mengapa engkau mengalihkan kepalamu?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di atas ribamu yang mulia itu."

Rasulullah memandang Tsa'labah dengan wajah sayu, dan bertanya,

"Wahai Tsa'labah, apakah yang kau mahukan?"

"Aku mahukan keampunan Allah.." Suaranya semakin lemah.

"Apakah cita-citamu wahai Tsa'labah?" Rasulullah kembali bertanya.

"Cita-citaku adalah untuk menginjaki syurga..Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia mengampunkan dosaku.."

"Wahai Tsa'labah, aku menjadi penjamin di atas kemahuanmu dan cita-citamu itu. Sesungguhnya ini adalah bukti taubatmu."

Akhirnya Tsa'labah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.

Ketika pengebumian Tsa'labah, Rasulullah tiba agak terlambat. Para sahabat telah terlebih dahulu mengerumuni kuburan Tsa'labah. Apabila Rasulullah tiba, para sahabat membuka laluan kepada Rasulullah untuk melihat jenazah Tsa'labah. Namun Rasulullah SAW kelihatan berjalan susah payah bagaikan diasak-asak. Para sahabat bertanya akan keadaan baginda itu. Rasulullah menjawab,

"Sesungguhnya kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang menghantar Tsa'labah ke kuburnya."

Kembalilah

Istimewanya Islam yang kita anuti dan sanjungi adalah Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara manusia dengan Allah. Jika seseorang ingin kembali dan bertaubat kepada Allah, dia boleh minta ampun kepada Allah secara terus tidak kira di mana dan siapa pun dia.

Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Letak tangan pada hati dan berkatalah, “aku ini orang akhirat. Aku bermusafir di dunia ini sebagai pengembara yang mencari bekalan untuk kembali ke perkampungan akhirat. Rugilah aku jika terus menerus melakukan dosa kerana umurku di dunia hanya seketika dan akan kembali ke akhirat bila-bila masa sahaja”.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus