Rabu, 27 Mac 2013

Sabar Dan Tabah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah… Alhamdulillah… Allahuakbar…
Selawat dan salam buat kekasih hati, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda s.a.w. Buat para muslimin dan muslimat, moga sentiasa dalam jagaan dan rahmat Allah s.w.t. selalu.

Beberapa hari yang lalu, ana keluar ke Bandar untuk menghantar barang kepada seorang pelanggan yang mahu mengambil ‘by hand’. Ketika sedang menunggu pelanggan tersebut tiba di tempat yang kami janjikan, ana terlihat seorang lelaki buta sedang berjalan sendirian sambil memegang tongkat.

Ana perhatikan tingkah lakunya dari jauh.

Mulanya dia berjalan di tepi jalan sambil mengerakkan tongkat ke kiri dan ke kanan. Lama kelamaan, dia mula beralih ke tengah jalan tanpa dia sedari. Sangat bahaya kerana banyak kereta dan motor lalu lalang disitu.

Dia tetap berjalan di tengah jalan raya, mungkin terasa ‘selamat’ kerana tidak ada satu kereta atau motor pun yang membunyikan hon untuk meminta dia ketepi. Kereta dan motor yang lalu cuba mengelak dari merempuhnya dan dia berjalan dengan aman seolah-olah tiada satu pun yang berjaya takutkan dia.

Allahu Allah…

Ana yang melihat keadaan itu pula yang bimbang. Ketika itu, mahu sahaja segera keluar dari kereta dan memapahnya ke tepi jalan. Tetapi sayangnya terlupa untuk bawa sarung tangan.

Ana tunggu beberapa minit dan jika tidak ada seorang pun yang sudi membantunya, ana nekad untuk membuat sesuatu (mungkin minta lelaki yang ada di situ untuk memapahnya ke tepi).

Selang beberapa minit, ana lihat ada seorang pemuda menghampirinya dan memapahnya ke tepi. Dari pergerakannya, mungkin pemuda itu memberitahu kepada lelaki buta tersebut bahawa dia sedang berada di tengah jalan raya yang penuh dengan kenderaan yang lalu lalang.

Dari jauh, ana tersenyum sendiri. Sempat juga mengalunkan doa moga Allah redha atas kebaikan hati pemuda tersebut yang sudi membantu.

Sebaik sahaja selesai urusan dengan pelanggan, ana segera memandu ke tempat lain kerana masih ada beberapa urusan yang perlu diuruskan. Sangat terkejut apabila melihat lelaki buta tadi masih meneruskan langkahnya dalam keadaan sendirian tanpa bantuan sesiapa.
Allahu Allah…

Apa yang dilihat oleh mata ini sangat membuka mata hati ana yang sudah sedia celik. Lelaki buta ini sabar dan redha atas ‘tarbiyah’ yang Allah aturkan melalui matanya yang tidak dapat melihat dunia.

Namun, Allah anugerahkan sebuah ketabahan melalui mata hatinya yang begitu celik hingga mampu meneruskan kehidupan. Terasa Iman ini ‘ditampar’ berkali-kali kerana masih tetap merungut walaupun sudah diberikan nikmat penglihatan.

Kisah Wanita Buta

Teringat satu kisah yang diceritakan kepada ana.

Ada seorang wanita buta yang hidup sendirian di rumah. Atas faktor keselamatan dan kemudahan buat dirinya, dia dimasukkan ke dalam sebuah rumah kebajikan.

Ketika di bawa ke rumah kebajikan itu buat kali pertama, seorang pekerja wanita memapahnya ke bilik. Dalam perjalanan, wanita buta ini memberitahu pekerja yang memapahnya sambil tersenyum, “cantiknya tempat nie, bilik saya pun cantik…”.

Pekerja wanita itu mulanya hanya mendiamkan diri sahaja dan terus memapah wanita buta ini ke biliknya. Namun, apabila wanita buta itu asyik mengulang kata-kata yang sama, pekerja wanita ini membalas kata-katanya, “kamu buta, bagaimana kamu tahu tempat ini cantik?”.

Wanita buta tidak menghiraukan pertanyaan pekerja wanita tersebut dan terus memuji kecantikan dan keindahan rumah kebajikan. Apabila tiba di biliknya, pekerja wanita tadi memberitahunya, “Ini bilik kamu. Bilik ini kecil sahaja, hanya ada katil dan almari pakaian. Bilik ini buruk dengan dinding yang berlubang di sana sini, malah tidak ada juga kertas dinding yang berwarna warni. Tiada apa-apa yang yang cantik dan indah pun di sini”.

Wanita buta tersebut mengukir senyuman. Lalu dia berkata, “cantik atau tidak, tiada bezanya kerana ke mana sahaja saya pergi, mata saya hanya melihat kegelapan. Yang membezakannya adalah bagaimana kita mengatur dan melihat sisi kehidupan kita. Jika hati dan minda  kita mengatakan sesuatu yang positif, pasti kehidupan yang bakal kita lalui juga positif walau sebanyak mana pun masalah atau cabaran itu menyapa”.

Sabar dan tabah

Masih tergiang-giang perkongsian ilmu yang dikongsi oleh pensyarah yang pernah mengajar ana ketika belajar di kampus dulu.

Ketika itu ana baru sahaja selesai memberikan perkongsian ilmu dan pengalaman bersama pelajar perempuan dalam program ‘Indahnya Hawa Dimata Adam’ dan dijemput untuk menjamu sedikit makan malam.


Semasa sedang menjamu selera, ada beberapa AJK program yang mengambil kesempatan dan ruang untuk bertanya soalan kepada ana berkaitan niqab iaitu sejak bila ana mula berniqab dan bagaimana penerimaan insan sekeliling.

Dari matanya, ana dapat lihat dia mempunyai keinginan dan hasrat untuk turut berniqab. Cuma masih belum ada kekuatan.

Maka, ana ceritakan sedikit demi sedikit perjalanan hidup sebagai muslimat berniqab sepertimana yang ditulis dalam dua artikel yang termuat dalam blog nie. AJK dan pensyarah turut mendengar bicara yang ana luahkan.

“Ianya bukan hal yang mudah sebenarnya. Memilih untuk menghijabkan muka dari pandangan umum memerlukan mujahadah dan keteguhan yang kukuh kerana kita mahukan istiqomah. Banyak hal yang perlu dilalui untuk kekal istiqomah”.

Pensyarah ana mula berbicara, menambah ‘perasa’ dalam jawapan yang ana berikan, “Orang asyik kata perlu sabar. Sabar, sabar dan sabar. Selepas sabar, apa lagi yang perlu dibuat?”.

“sabar lagi…”, jawab AJK.

“Selepas sabar?”, tanya pensyarah ana lagi.

“sabar lagi..”, jawab AJK.

“Yelah, selepas sabar apa lagi? Tabahlah. Sabar dan tabah dua hal yang berbeza. Kita sabar dengan ujian yang tidak henti-henti datang menyapa. Jika sudah tidak mampu untuk bersabar, cubalah pula untuk tabah iaitu bertahan dengan ujian yang ada”, jelas pensyarah ana.

Ana senyum. Ada benarnya. Ilmu baru, Ilham baru.

Pura-pura tabah, lama-lama kuat.

Ramai manusia yang hipokrik. Sangat ramai. Dan ana juga termasuk dalam golongan ini. Kuat pada pandangan umum, tetapi lemah di mata sendiri.

Bila diri terasa begitu lemah, Allah aturkan insan lain untuk menyedarkan ana termasuk kisah lelaki buta yang ana lihat sendiri cebisan perjalanan hidupnya. Adakah semua itu kebetulan?

Tiada istilah kebetulan dalam kamus orang mukmin kerana hati mereka yakin ianya adalah aturan dan izin dari Allah s.w.t… Setiap inci kehidupan pasti ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Hadirkan mata hati agar minda kita celik untuk melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus