Sabtu, 27 Ogos 2011

Buah Hatiku…♥


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala pemberian yang telah Engkau berikan ini, moga hamba ini menjadi hamba yang bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi keizinan untuk ku mencoret lagi dalam “diari” kesayangan ku. InsyaAllah kali ini coretannya santai sahaja. Memenuhi permintaan seorang adik yang mahu membaca kisah “si comel” dengan adik beradiknya yang lain…(^^,)

Hari ini, genaplah 2 bulan 17 hari Amirah Fasihah lahir ke dunia. Dia sudah pandai “bertegur” sapa dengan orang yang berada di sekelilingnya. Tidak lagi hanya makan, tidur..makan, tidur…huu~(dah nama pun baby, mesti la macam tu kan…hihi)

Comel tak saya? Mesti la comel kan..hee~

Masa Amirah Fasihah lahir hingga 1 bulan, memang tak nampak rupa perempuan pun. Sama je mukanya dengan bayi-bayi yang lain, tapi bila dah nak masuk 3 bulan nie, barulah nampak rupanya yang makin cubby…hee~

Siapa kata ada adik beradik ramai nie mudah…? best tu memanglah bestkan, sebab setiap sorang ada ragam masing-masing termasuk la ana sendiri…huu~

Yang paling ana nak tergelak adalah bila disapa oleh kebanyakan orang, “adik beradik berapa orang?”,

“Erk…10 orang…”

“wow….ramainya… adik anak keberapa?”

“saya anak ke-2”

Lepas tu orang tu pandang ana dari atas sampai bawah, confius kot..hee~ Mana taknya, dah la ana paling kecik, paling pendek antara semua yang besor-besor plak tu. Bila jalan ramai-ramai, mesti ingat ana nie anak yang ke-5 or ke-6. Erk…ana kak ngah tau…! huu~

Nie plak gelagat hero dan heroin dengan “si comel”. Gambar Amirah Fasihah dengan abang Sirajudin takde lagi setakat nie sebab dia buat kerja “professional”, tak main la dukung or buai adik nie…hee~

Ragam mereka...(^^,)

Sebab kerja abang Sirajudin, “Din…buat susu kat adik Mirah”.
 
“Okeeyyy….”

“Eh…pandai ke buat susu…?” Umie tanya.

“Pandai…kak ngah dah ajar…” jawab Sirajudin sambil tersengih-sengih.

“owh…ada cikgu rupanya…hee” Umie gelak.

Kalau dia pandai buat air susu or air vico sendiri dalam gelas, mesti la kena pandai buat susu untuk adik jugakkan. Tak tahu tu cuma alasan, yang penting mesti kata mahu belajar! (^^,)

Ana teringat satu peristiwa, bila ingat balik rasa nak gelak guling-guling…(hahaha). Al-kisahnya, lepas balik dari beli kain kat Kota Bharu, balik tu terus “pengsan” sebab penat sangat. Lepas tu nampak Tajudin menangis-nangis sambil melompat-lompat.

“kak ngah! adik nangis tu…”

Ana pun confius, betul ke tak adik aku sorang nie. 

“kak ngah! adik tu…cepat la…” sambil meraung-raung, terjerit-jerit panggil ana.

Dah la tengah mamai masa tu, bila dengar suara Amirah Fasihah menangis, baru la sedar…Oohh..betul la tu, lepas tu terus bangun gi kat buaian Amirah. Agak-agak kalau ana buat-buat tak bangun, mesti “banjir” bilik ana kan? kih..kih..

Itu la…masa Amirah Fasihah nak tidur, dia duk bising dengan Abang Din. Dalam hati cakap, “sayang jugak kat adik dia rupanya…” huu~

Yang paling ana seronok tengok adalah gelagat dua orang nie, 

kak Anis Wa Dik Mirah...(^^,)

Mula-mula tak perasan, tapi bila adik lelaki ana ke-5 cakap, “kalau dengan kak Anis dia(amirah) tegur, tapi kalu dengan orang lain tak nak plak…”. Ana diam je la sebab tak pernah lagi tengok dua beradik tu “berbual”.

Lepas tu, saja je nak test betul ke tak adik ana cakap. Ana letak Amirah Fasihah atas katil dan Anis pun duduk kat sebelah Amirah sambil duk pegang adik dia. Dan memang betul dorang “berbual”!

Dua-dua tak boleh dan tak reti bercakap, sorang bercakap dengan bahasa “istimewanya” dan sorang lagi bercakap dengan bahasa “bayinya”. Sungguh unik sekali…subhannallah… tapi sayangnya ana tak faham satu pun dorang cakap apa…hee~

Umie cakap semalam, “kak ngah nak tau, tadi kak Anis tidurkan dik Mirah dalam kerusi malas…”. Ana senyum, dalam hati cakap “ada perkembangan nie…”.

Mana taknya, ana ingat lagi masa Amirah Fasihah lahir. Punya la Anis menangis meraung-raung kat hospital sebab takut tengok adik dia dan bayi yang lain. Bila bawa dik Mirah balik rumah pun, dia tengok dari jauh je. Sadis tul drama kat hospital tu, rugi tak rakam dengan kamera…huu~

Sekarang nie, tiap kali letak dik Mirah kat atas tilam dia, Anis la duk sibuk-sibuk duduk tepi dia. Sampaikan berebut-berebut dengan adik beradik dia yang lain. Dik Mirah lagi la suka sebab Anis je faham apa dia cakap…huu~

Erk...sapa punya kerja nie?? huu~

Kali nie, part ana dengan dik Mirah plak (nak jugak tu…huu~). Disebabkan terlalu sibuk dengan tempahan tudung labuh & niqob, itulah jadinya (macam dalam gambar kat atas). Alhamdulillah tak banyak meragam, sebab setakat nie ana yang diberi kepercayaan oleh umie untuk jaga dia…hee~

Tiap kali dik Mirah nangis, kak ngah dia nie la yang umie cari. Ana ingat lagi, adik perempuan ana pegang dia. Dah kasi susu botol pun tapi dik Mirah stil nangis-nangis, siap meraung lagi. Ana buat tak tahu je la sebab nak tengok setakat mana adik perempuan ana tu berjaya “lembutkan” si comel tu. Sampai ke sudah “si comel” tu menangis…huu~

Bila ana ambik je, then letak atas riba, diam plak dia…siap lena lagi… sampai adik lelaki ana cakap, “asal duk dengan angah je, mesti diam dik Mirah”. Hmm…elok la, bila si comel tu senyum melebar, ambik main. Bila si comel tu dah menangis meraung-raung, baru kasi kat kak ngah dia nie…bagus2…huu~

Ana perasan sesuatu tiap kali jaga dik Mirah. Bila alunan zikrullah meniti di bibir ana, dia diam je. sambil mulutnya juga terkumat-kamit, seolah-olah mengikut apa yang ana kata. Patut la bila nenek ana ambik dia dan baca ayat suci al-Quran, dia diam je. Dengan orang lain, dia meragam plak.

Bila ana renung balik, Tajudin nie teramat-amat “gila” buku. Dia boleh duduk dengan buku berjam-jam tanpa jemu, kalah kak ngah dia. Masa umie nak beranakkan Tajudin, ana masih dalam mood exam, sampai bawa sekali buku add-math pergi hospital untuk buat ulangkaji.

Maklum la, kakak sulung ana berada di Matrikulasi Perak, jadi ana lah paling tua. Bila umie dalam pantang, ana yang jaga Tajudin. Letak Tajudin atas riba, dan ana study sebab exam SPM dah nak dekat. Macam tu lah hari-hari. Jadi, ana buat teori yang Tajudin tu “gila” sangat dengan buku sebab masa dia kecik-kecik dulu, selalu tengok ana study kot.

So…dik Mirah. Mungkin pandai menulis dan menjahit bila dah besar nanti kan sebab dah selalu tengok kak ngah dia menulis dan menjahit. Oppss…mesti jadi hafizah jugak ye dik…ameen..insyaAllah…(^^,)

Ilalliqo'...(^^,)
 Baiklah…setakat itu saja coretan ana, panjang lebar dah tu…hee~ harap-harap yang rindu dan “geram” dengan dik Amirah Fasihah terubat juga ye lepas baca kisah dia dengan kakak-kakak & abang-abangnya. Juga untuk ana lepaskan rindu takkala baca coretan ini semula sebab dua minggu lagi ana dah balik kampus…wallahua’lam.

Jumaat, 26 Ogos 2011

Perkongsian: Hati


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus beribadat kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda.

Semalam disapa seorang sahabat yang menghantar mesej dalam telefon, takkala itu sedang pegang Amirah Fasihah yang begitu sukar untuk “dilembutkan”, asyik minta di dukung. 

Satu yang ana perasan, setiap kali alunan zikrullah meniti di bibir ana, seolah-olah Amirah Fasihah cuba mengikut apa yang ana kata dengan bahasanya tersendiri. Moga-moga dirimu menjadi sehebat namamu dik…ameen.

Baiklah, berbalik pada persoalan yang diajukan “Assalamualaikum ukhty, apa khabar? Akak nak tanya bagaimana pandangan  seseorang yang bertudung labuh terhadap seseorang lain yang bertudung labuh? Adakah masing-masing merasakan mereka lebih baik daripada yang lain? Maaf mengganggu. Akak harapkan sedikit penjelasan supaya tak tersilap.”

Sebelum ana jawab, ingin ana katakan bahawa segala jawapan yang ana berikan ini adalah berdasarkan pengalaman sekeliling dan kefahaman ana terhadap ilmu yang dipelajari selama ini. 

Ana sudah mengenakan tudung labuh seawal usia 12 tahun sehingga kini, pengalaman hampir 10 tahun ini pasti memberikan pelbagai reaksi takkala berdepan dengan mereka yang sama fikrah dengan ana atau berbeza kefahaman.

Dan pastinya empunya diri yang bertanya sekarang dilemma takkala melihat orang yang bertudung labuh sendiri tidak mampu mentarbiyah hatinya sedangkan kebanyakan masyarakat memandang si pemakai tudung labuh ibarat Malaikat yang kalis dosa.

Ana ceritakan sedikit pengalaman ana sendiri beberapa tahun memakai tudung labuh. Diawalnya ana begitu teruja untuk bertudung labuh kerna turut terpengaruh dengan umie dan mak saudara ana yang lain kerna mereka juga bertudung labuh. Juga kerna ana bakal memasuki sekolah menengah agama berasrama yang sememangnya mewajibkan pelajarnya bertudung labuh.

Ketika itu, hati memang ikhlas untuk menutup aurat dengan sempurna. Berada dalam suasana biah(persekitaran) solehah sememangnya adalah “syurga dunia” yang begitu indah…subhanallah…

Namun, setelah bertukar sekolah ke Kelantan. Keadaan jadi berubah, kami sekeluarga berpindah rumah dan persekitaran tempat tersebut memang teruk. Persekitaran tempat tersebut adalah sarang maksiat hingga ada seorang keluarga yang anaknya mengandung luar nikah…nauzubillah..

Dari situ, hati mula jadi kotor. Terasa bangga bertudung labuh dan memandang hina mereka yang bertudung singkat dan tidak menutup aurat, apatah lagi yang free hair. Kebetulan pula Maahad betul-betul berada di hadapan sekolah biasa. 

Mata yang seringkali melihat pergaulan bebas mereka, terjerit-jerit dan pakaian yang tidak cukup kain terus mengutuk dalam hati dan kadang-kala mengumpat perbuatan mereka dengan sahabat yang lain. Moga Allah s.w.t. ampunkan kesilapan ku pada masa itu.

Pergaulan di Maahad memang terjaga kerna kami diasingkan dari bercampur dengan ikhwah(lelaki) dari segi kantin, koperasi, bilik kelas, perpustakaan dan banyak lagi. Namun, hati itu memang tidak dapat di duga.

Ada juga dalam kalangan kami yang dengki sesama sendiri, tidak senang duduk sekiranya ada yang lebih sikit dari orang lain, mengumpat orang lain dalam diam, apatah lagi sering bersangka buruk kepada orang lain yang akhirnya menjadi fitnah yang benar-benar menyakitkan.

Takkala ana berpindah dari Maahad ke sekolah biasa, barulah ana sedar tentang sesuatu. Tiap orang dari kita semua memang berbeza cara hidup, latar belakang diri dan keluarga. Kerna yang membezakan kita semua adalah taqwa disisi Allah s.w.t…

Di sekolah biasa itulah ana belajar dari kesilapan, ana bersyukur dimasukkan dalam sekolah tersebut walauapun ana memberontak pada mulanya kerna takut iman tipis. Walaupun ilmu yang ana dapat takkala belajar di sekolah agama dan Maahad kebanyakan hilang ditarik oleh Allah, tapi ana peroleh sesuatu yang teramat berharga iaitu pengalaman.

Pada tahun 2005 ketika berumur 16 tahun, ana mula sedar tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Dari situlah ana mula atur matlamat hidup dan perjalanan ana yang seterusnya. Dunia da’wah, kepimpinan, dan perniagaan semuanya bermula dari situ. Jika ana boleh sedar dan mengubah hidup ana, kenapa tidak kalian yang membacanya?

Dan ana pernah berkata kepada seorang sahabat, ana lebih hargai belajar di sekolah biasa berbanding di Maahad kerna kebanyakan orang di sekolah biasa yang tamat belajar di sekolah lebih MENJADI berbanding yang belajar di Maahad. Lihatlah sekeliling kalian sekiranya tidak percaya dengan kata-kata ana.

Tidaklah ana katakan bahawa belajar di Maahad itu teruk, tidak sama sekali. Sekiranya yang habis belajar di Maahad istiqomah dengan jalannya, InsyaAllah…mereka-mereka itulah yang bakal mewarisi ulama’ masakini. itu doa ana buat kalian…ameen.. istiqomahlah.

Selasa, 23 Ogos 2011

Kekuatan Disebalik Ujian


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih diberi keizinan untuk menulis. Kali ini, kondisi hati dan iman berada dalam keadaan yang baik dari sebelumnya…insyaAllah…

Tersenyum sendiri takkala membaca mesej dari seorang sahabat seperjuangan, “dengar-dengar tengah sedih, dah kuat ke nie?”

Ana membalas mesej tersebut, “seperti yang enta kenal…(^^,)”

Dan tidak kurang juga ada yang memberi komen di facebook, “baru nampak akak tulis “hee~”, lepas ada berita arwah kawan akak meninggal dah tak baca dah tulisan tu..huu”

Alhamdulillah…terima kasih semua atas doa, kata-kata semangat dan motivasi buat diri ana. Sememangnya sebaik sahaja mendapat berita sahabat ana telah dijemput ilahi pada malam tersebut, ana seolah-olah hilang arah. Terasa mahu segera terbang ke sana pada ketika itu juga.

Sebelum mendapat berita tersebut, ana tengah bersiap-siap untuk menjahit tempahan yang perlu dihantar segera sebelum pejabat pos menamatkan khidmat penghantaran pos sempena cuti Aidilfitri yang bakal tiba.

Namun semua itu tidak mampu ana teruskan kerna hati terlalu sebak, sudah ana cuba untuk teruskan menjahit tetapi jahitannya tidak menjadi kerna kondisi hati berada ditahap yang teramat kritikal! Akhirnya ana berhenti dan berlalu mencari kekuatan.

Ana duduk disatu sudut, “Allah….ujian apa ini. Tempahan perlu disiapkan segera sebelum pejabat pos tutup, masih ada berpuluh-puluh kain perlu dijahit, tetapi tangan ini tidak ada kekuatan untuk menjahit… Allah…pinjamkan aku kekuatan itu, bantulah hambaMu yang lemah ini…”

Minda cuba dialih supaya memikirkan harapan orang yang teringin berubah untuk bertudung labuh dan berniqob dengan memakai tudung yang ana jahit, hati cuba ditenangkan dengan mengingati Allah…juga Iman yang cuba bersangka baik dengan setiap aturan dariNya.

Dan alhamdulillah…setelah beberapa ketika, kekuatan itu datang. sesekali jari tercucuk jarum, tetapi sakitnya kurang terasa kerna hati lebih parah. Di cuba juga dan alhamdulillah ana berjaya siapkan dalam masa 2 hari. Tempahan berjaya dihantar sebelum khidmat penghantaran pos ditutup.

InsyaAllah ana akan coretkan pengalaman ana sepanjang menjalankan bisnes online ini, bertemu dan berkongsi cerita dengan insan yang mahu berubah ke arah lebih baik demi redhaNya.

“Tidak Allah menarik sesuatu nikmat melainkan digantikan nikmat tersebut dengan sesuatu yang lebih baik…”

Kerna diri yang seringkali diuji dan diduga, ana sentiasa yakin pasti ada hikmah disebalik musibah kerna Allah s.w.t. ini penuh dengan pelbagai “kejutan” dengan syarat….hati itu mesti redha, ikhlas dan berbaik sangka denganNya.

Dan Dia juga pandai “pujuk” hati ana. Setiap kali ana bersedih, terasa lemah dan tidak kuat. Pasti Allah akan hantar orang yang perlukan ana. Pasti akan ada yang perlukan bantuan dari ana.

Ana berikan mereka kata-kata semangat, sama-sama mencari solusi terhadap masalah yang dihadapi. Semua itu akhirnya berpaling kepada ana.

“orang yang memberikan motivasi kepada orang lain sebenarnya dia memberikan motivasi buat dirinya”

Untuk memahami orang lain mudah sekali. Bagaimana? Pastikan hati itu turut merasa berada ditempatnya, bukan hanya menjadi pendengar setia. Hati yang turut merasai kesedihan orang lain pasti akan lebih memahami.

“sekiranya hati itu turut merasa, pasti dia akan turut mengalirkan air mata. Sekiranya hati itu turut merasa, pasti dia tidak akan tinggalkan temannya bersedih sendirian…”

Musibah itu hadir, bukan untuk menjatuhkan kita, bukan untuk melemahkan, dan bukan juga untuk memadamkan senyuman yang terukir di bibir. Allah s.w.t. tidak sekali-kali kejam kepada hambaNya. Kerna apa?

“Allah s.w.t. tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya……”
(al-Baqarah, ayat 286)

Sakit? sedih? terluka? mesti la….sebab apa terasa seperti itu? sebab hati itu belum ikhlas…sebab hati itu belum redha…cuba ikhlas, cuba redha…insyaAllah tenang dan mampu mengukir senyuman lagi…(^^,)

Takkala ana bawa Amirah Fasihah ke halaman rumah awal pagi tadi. Terasa alam memujuk dan membelai hati ini. Allah…..hati jadi begitu tenang. Alam “berbicara” dengan ana.

Seperti biasa…ana akan pejamkan mata dan cuba mentafsir dan mendengar “bicara” mereka. Alhamdulillah…ketenangan itu hadir sedikit demi sedikit. Dan pastinya kekuatan yang diperolehi setelah diuji bertambah dua kali ganti dari sebelumnya. Maka, sujudlah syukur kerna berjaya laluinya. Berterima kasihlah kepadaNya kerna diuji…

Kata seorang sahabat,“jari jemari ukhty itu ada aura”. Sebenarnya bukan jari jemari ini kerna semuanya adalah dari hati. Bila hati tenang, itu tandanya kondisi Iman berada dalam kondisi mumtaz…wallahua’lam.

.::Hati Merasa, Akal Mentafsir & Tangan Mencoret::.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(",)

Ahad, 21 Ogos 2011

Dalam kenangan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan mu memberi peluang kepada hamba ini untuk tetap menghirup udara Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Subhanallah…alhamdulillah…allahuakbar.. hanya pujian layak buatNya kerna masih meminjamkan hamba ini kekuatan untuk menulis tentang sesuatu. Semalam sudah ku cuba untuk menulis, tetapi air mata mendahului tanganku untuk mencoret.

Sudah ku cuba untuk kuatkan hati, sudah ku cuba untuk ku kukuh berdiri, sudah ku cuba untuk memujuk hati, sudah ku cuba untuk menghilangkan kesedihan ini…dan akan ku terus mencuba demi redhaNya…insyaAllah…

Mungkin ada sahabat yang sudah mengetahui berita ini setelah ana menulis dalam wall facebook beberapa hari yang lalu. Dan tidak kurang juga ada yang menghantar pesanan di inbox dan mesej di telefon supaya terus kuat menghadapi semuanya. syukran sahabat, ana hargai semua itu…(“,)

Hampir 10 tahun terpisah dengan sahabat di sekolah rendah, masakan tidak terjadi begitu kerna ana sudah masuk ke sekolah berasrama di peringkat menengah dan sebaik sahaja memasuki awal tingkatan 2. Kami sekeluarga berpindah negeri dari Pahang ke Kelantan. Kembali ke negeri kelahiranku.

Ditambah pula tok ayah dan nenek juga turut sama berpindah setelah beberapa tahun kami di Kelantan. Terputus hubungan dengan semua teman-teman sekolah rendah tanpa apa-apa khabar berita.

Dan di satu hari, ada yang menyapa ana di facebook.

“Assalamualaikum asma’, apa khabar? lama tak dengar berita…hee~”

ana tatap nama yang menulis di wall facebook, terasa seperti kenal nama dan wajah tersebut. setelah diamati seketika, mulut melafazkan pujian buatnya. Terasa seperti mimpi, sahabat lama menyapa di facebook!

Hanya Allah s.w.t. yang tahu betapa bersyukur dan gembiranya hati dikala itu, masih terasa seperti mimpi, sememangnya seolah-olah tidak percaya itu sahabat ana sewaktu di zaman sekolah rendah dulu…alhamdulillah, aturanNya tetap yang terbaik.

Kami bertanya khabar masing-masing dan bertukar cerita. kami memang rapat sebab masa kecik dulu, rumah kami duduk berhadapan satu sama lain. Selalu pergi dan balik sekolah sama-sama.

Dan takkala diberitahu ada sahabat yang lain membuat perjumpaan semula dengan sahabat sekolah lama, hampir mengalir air mata ini kerna terlalu gembira. Memori lalu berputar kembali, terasa mahu mengeledah almari mencari foto-foto lama sewaktu di alam sekolah rendah dulu.

Atas keizinanNya, ana bertemu juga dengan sahabat-sahabat yang lain walaupun hanya menyapa di facebook. Dan itu sudah cukup mengubat rindu yang telah lama terpendam. 

Ana rancang untuk menghadiri perjumpaan tersebut yang diadakan buat pertama kali di rumah seorang sahabat. Walaupun jauh dan hanya beberapa hari, hati nekad untuk redah sahaja. Rasa rindu yang teramat sangat membuatkan ana nekad buat keputusan sebegitu.

Namun, sebaik sahaja berbincang dengan keluarga. Hasrat hati terpaksa dipendam begitu sahaja. Kata umie, “Iman nak daftar masuk ke UIAM setelah tamat matrik, farhah pula masuk semester baru, kakak kerja dan adik-adik ana masih kecil" hanya ana sahaja paling tua yang masih ada dirumah, ditambah pula denga kelahiran ahli baru dalam keluarga kami”.

Setelah membuat pertimbangan semasaknya, ana mengkhabarkan pembatalan untuk ke perjumpaan tersebut walaupun hati teringin sangat untuk bertemu dengan sahabat lama yang sudah hampir 10 tahun terpisah tanpa apa-apa berita. Itulah pengorbanan, moga Allah s.w.t. redha…

Ana selalu update berita sahabat-sahabat lama, singgah di wall mereka sambil membaca coretan yang tertulis di wall masing-masing. Itu sahaja sudah cukup buat ana walaupun tidak turut serta dalam acara tersebut.

Hati mula terusik takkala seorang sahabat memberitahu bahawa ada sahabat yang meninggal dunia. Terasa seperti tidak percaya, hati terus menjadi sebaik. Tidak terkata, mulut terkunci, air mata cuba ditahan dari mengalir keluar…namun ana tidak mampu untuk menahannya…(T_T)

Baru sahaja sebulan lebih dapat berhubung kembali dengan sahabat lama yang hampir 10 tahun terpisah, Allah s.w.t. menguji pula dengan perpisahan buat selamanya. Hati mana yang tidak pilu, hati mana yang tidak sedih dan manusia mana yang dapat menahan air mata dari mengalir jika dia berada di tempat ana….(T_T)

Sudahlah 10 tahun tidak bersua, tidak dapat juga melihat wajahnya buat kali terakhir, apatah lagi berada di hari pengebumiannya. Ana juga tidak dapat menziarahi kuburnya takkala teman-teman lama berkumpul nanti… Allah….hebat sungguh Engkau menguji ketabahan, keikhlasan dan keredhaan hati ini…(T_T)

Kata sahabat ana, “arwah sememangnya paling istimewa dikalangan kami semua…”.

Benar…ana akuinya. Dirinya sudah begitu lama diuji dengan penyakit yang dihidapnya. Takkala orang lain gembira bermain, arwah hanya duduk dari jauh memerhati gelagat kami. Takkala orang lain sibuk dengan kerja sekolah dan belajar, arwah pula terpaksa berulang-alik ke hospital…tabahnya mu sahabat. Moga ada ganjaran disisiNya…ameen…

Buat sahabat ana yang lain, maafkan diri ini kerna tidak dapat bersama kalian tika majlis tersebut berlangsung walaupun diri ini nekad untuk turut serta, masih ada keperluan di rumah yang membuatkan ana tidak mampu untuk ke sana. Sampaikan salam ana buat keluarga arwah, katakan dari sahabat yang jauh.

Hanya doa yang mampu ana berikan agar acara perjumpaan tersebut berjalan dengan lancar, juga doa buat arwah…moga dirimu bahagia di alam sana. Kami juga akan turut serta bersama mu nanti takkala masa itu tiba.

Dan hanya gambar ini yang mampu ana berikan untuk tatapan kalian. Moga tidak ada yang kekok nanti takkala bersua dengan ana. Inilah diri ana yang kini setelah hampir 10 tahun terpisah jauh.


Ku titipkan kata-kata ini untuk dirakam dalam diari mayaku yang mencatat sedikit sebanyak tentang kisah perjalanan hidupku, “Kembara Sufi Di Bumi Tuhan”… wallahua’lam…
*********************************


Takkala menerima berita tentang pemergiaannmu,
hati ini sebak sekali, air mata cuba ku tahan...
namun ia tetap mengalir deras.

Memori lalu berputar kembali,
masih ku ingat saat kita dan sahabat yang lain dibangku sekolah,
masing-masing mengejar cita-cita sendiri,
bersama mengorak langkah menuju masa depan,
tapi kini...semua itu tinggal kenangan...

sahabat...
air mata ini mengalir tidak bererti ku tidak redha dengan pemergianmu,
cuma diri ini terkilan,
baru saja ku dapat menjejaki semula teman-teman sekolah,
merancang untuk sama-sama berjumpa semula,
dikau yang pergi dahulu sebelum sempat majlis itu bermula.....

ku bersyukur kerna dikau pergi di bulan yang penuh barakah,
di malam penghulu segala hari,
menamatkan segala penderitaan kesakitan yang selama ini kamu tanggung,

Ku berdoa moga segala urusan mu disana dipermudahkan,
ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh....ameen

Al-Fatihah~

Dalam kenangan....
Arwah Izrul Nezreen
(1989-2011)

Dari sahabatmu,
Asma' Bt Suardi,
Sek. Keb. Kampung Sertik,
bentong, Pahang.
(1996-2002)

Jumaat, 19 Ogos 2011

Pengumuman pemenang Contest! [^_^]


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah, syukur ku padaNya atas segala nikmat yang telah Engkau kurniakan. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda, tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Ana rasa, mungkin la kot..hee~ ada beberapa orang yang asyik bukak diari Kembara Sufi Di Bumi Tuhan untuk mengetahui siapa pemenang Contest “Diari Sang Bidadari” tetapi blog plak yang tak dapat dibuka…huu~

Ana sudah umumkan pemenangnya dalam facebook semalam sebagai alternative terbaik ketika kerna blog masih tidak dapat mengupdate apa-apa catatan kerna sudah terlewat 1 hari dari tarikh pengumuman dan akhirnya ana buat keputusan untuk private blog ini untuk sementara waktu….(“,)

Dan alhamdulillah, hari ini masalah itu sudah dapat diselesaikan dan ternyata ianya berpunca dari servis blogger itu sendiri. Baiklah…di bawah ini merupakan artikel pemenang Contest “Diari Sang Bidadari”, dan dengan lafaz “Bismillahhirrohmanirrahim…” ana mengumumkan pemenangnya bagi yang belum mengetahuinya, semoga peroleh manfaatnya…[^_^]

**************************************
Bismillahirrahmanirrahim

Salam buat sahabat bidadari..

1) Sila nyatakan bahagian atau artikel yang berbentuk apa dan macam mana yang kalian paling suka baca dan memberi inspirasi serta nyatakan sekali ulasan kenapa.
Contoh: slot motivasi, tazkirah, coretan family, perjuangan hidup & lain-lain.

Suri menyukai "Cerpen Tutup Itu Indah" dan ia mengingatkan Suri pada blog suri cahayacinta.com dalam pembahagian slot "bertutup itu tetap indah"  tapi sayang blog itu tidak boleh dibuka akibat diserang virus malaware beberapa bulan yang lalu dan sehingga ke saat ini.

Setiap yang bertutup itu indah sebenarnya dari apa yang terpamir di depan mata. Kerana yang bertutup tidak berupaya dijamah oleh pandangan mata yang jahat, berbanding dengan  yang terbuka telah disapa dosa dan terbuka pintu neraka.

Setiap orang perlu ada penghijrahannya pilihan ada ditangan sendiri selagi di beri ruang untuk mentafsir dengan segala kudrat yang ada maka pergunakanlah segala peluru-peluru yang ada pada kita sampai kehujung nyawa nescaya kita tidak akan rugi walau sekelumit pun..

2) Sila nyatakan komen, cadangan, penambahbaikan atau apa-apa sahaja untuk meningkatkan lagi mutu penulisan ana dan cara ana menulis.

Suri cadangkan agar Bidadari  menambahkan satu coading "pembaca setia" di blog tersebut. Dengan cara ini Insyallah kita akan tahu berapa orang yang berminat pada penulisan kita. Bukan itu sahaja malahan ia juga menunjukkan bahawa blog bidadari juga ada pengikut yang setia dimana mereka tidak mahu ketinggalan di setiap entri dalam blog bidadari.

Sekiranya "pembaca setia" diwujudkan maka secara automatik artikel bidadari yang terbaru akan dapat mereka baca menerusi email pembaca setia. Bukan itu sahaja malahan entri yang lepas-lepas pun mereka boleh membaca. Menarik bukan ;).

3) Kongsikan kisah, pengalaman atau diari hidup sahabat yang dapat beri pengajaran dan pedoman kepada pembaca. Sekiranya ada kata-kata semangat, dorongan atau sokongan, kalian juga boleh nyatakan sekali.

Ia bermula saat blog cahayacinta menyelitakn entri bertutup itu tetap indah. Pada mulanya banyak komen-komen yang dicadangkan untuk mewujudkan slot itu namun ia mengambil sedikit masa untuk wujud sebab dikhuatiri sebahagian pembaca blog cahayacinta.com tidak menyenanginya. Ialah sudah tentu pembaca setia blog suri ada yang bertudung, yang tidak bertudung..perempuan persis lelaki dan sebagainya tutut suri kenali. Namun hakikatnya takut juga jika diketengahkan slot tersbut akan menyebabkan blog cahayacinta kurang pembaca setia or visitor yang tetap.

Langhkah diambil setelah mendapat respon yang terbaik dari rakan-rakan bloger dan facebook. Entri permulaan memanglah agak janggal tapi lama kelamaan ia mula diterima setelah menyatakan bahawa setiap enti yang dihasilkan bukan untuk mengherdik, dan menunjukkan diri suri adalah yang terbaik..atau suri ini ustazah tapi niat suri ingin menarik rakan-rakan bloger bertudung sahaja. 

Bertudung tu cantik dan indah di pandang mata. Itu sahaja niat suri untuk berdakwah melalui ruang maya. Moga-moga semua pembaca akan mendapat memahami apa yang ingin Suri sampaikan pada mereka.

Lama juga untuk mengambil masa menyelesekan diri dalam slot tersebut sebab banyak respon yang diperolihi banyak tentangan, sokongan terhadap slot "bertutup tetap indah. Namun Suri kuatkan hati dan Suri ambil jalan istaqamah setiap teguran Suri terima dengan hati yang terbuka. Lama Suri mendiamkan diri sampai ada pembaca bloger kata cara Suri tu salah.

Apa yang salah? Suri cuba selongkar, cuba mencari makna apa itu "bertutup tetap indah" Oh malunya Suri setelah 4 entri dihasilkan barulah Suri sedar cara Suri salah. Hajat dihati ingin menbetulkan semula posting-posting yang lepas namun saat ini tidak kesampaian akibat blog bermasalah agak kritikal.

Ya, memanglah salah cara Suri ambil gambar google. memanglah gambar itu bertutup tapi sayang sekadar bertutup. Bila dikaji suri sebenarnya lupa bahawa pakaian muslimah yang terbaik adalah memakai tudung labuh, longgar, berstokin, lebih manis berpurdah. Subahanallah mujur Suri ingat maka Suri berniat jika blog cahayacinta sudah pulih suri berjanji untuk membuang gambar-gambar tersebut.

Namun niat dihati memang nak mengajak orang bertundung pun. Sebab suri tahu, suri sendri takutkan apai neraka tu. Jika sebut dosa lagilah gerun dan kaki menggeletar keseluruhannya..

Saat blog cahayacinta diam dan sepi dalam hati bermacam rasa tertipu pada diri sendir. masih suri ingat semasa hamilkan anak sulong memang terdetik hati suri untuk memakai tudung labuh dan jubah. Namun hasrat terhenti disitu. Satu pagi yang indah entah dimana cahaya itu datang Suri search lama google tentang burqah. Cara-cara pakai burqah. Lama Suri meneliti caranya nyata ia membuatkan suri jatuh hati. Memang minat tapi Suri pendam dahulu dalam hati.

Agak lama bertelekuk di medan google suri cari pula perihal tudung labuh. Lalu suri terjumpa laman web sahabat nur ain. Sungguh indah cerita dia sehingga membutakan hampir keseluruhan entri dia suri membaca. Dalam diam hati turut kagum dengan seorang sahabat ini. Syukur dalam mengenali dia dalam masa 2 hari suri berjalan kaki mencari tudung labuh. Walaupun baki duit simpanan kian menyusut namun suri tegarkan hati untuk membeli. Sebab suri yakin kalu dah niat mengapa kita terus lengahkan sahaja.

Sahabat ain pun mudah bertukar cerita dengan suri. syukur suri pula di kenalkan oleh sahabat bidadari dimaya. Saat itu boleh kata nak borong semua tudung bidadari namun sikit-sikit dahulu kata orang pakailah dengan apa yang ada lama-kelamaan bila dikumpul banykalah ia. Terima kasih cik bidadari atas hasil jahitanmu memag amat mengagumkanku.

Blog beautiful love terus tenggelam sejak Suri mula asyik dengan tudung labuh. Khayal dengan dunia labuhnya sehingga teman -teman bloger kata suri merajuk dengan blog cinta maka blog love is beautiful tidak di update seperti biasa. Syukur dalam masa yang lama ada juga perubahan yang suri bawa pada diri sendiri.

mungkin inilah yang dikatan hikmah disebalik rentetan blog cahayacinta kena serang virus..hikmah jua mugkin keikhlasan mengajak orang bertudung menutup aurat maka itu Tuhan permudahkan Suri berubah kepada sebegini sekarang. Bertutup dengan sebaik-baiknya.

Kisah memakai tudung labuh satu cabaran yang kuat malah suri takutkan pada hukum Tuhan. Pakai tudung tapi tak ikut lunas islam kelak dosa kita akan ditanggung oleh suami, ayah ..abang kita. Suri sayangkan mereka maka itu suri bertindak sekarang. suri tidak tergamak melihat keadaan suri begini lalu disebabkan daifnya suri bab-bab pakaian menyebabkan mereka tersangkut di akhirat kelak. Suri tidak mahu. 

Cukuplah ia sampai saat ini suri berhenti. Suri malu pada diri sediri. Ayah suri iman, mandikan jenazah, mengajar mengaji tapi anak alpa dengan pakaian. Subahanallah ia benar-benar buat suri menangis tidak berlagu. Ayah ibu jenuh nasihat suri tetap bertudung cara wardina, bila pakai tudung selit bunga sana -sini. Pakai kebaya, skirt labuh namun nampak susuk tubuh.Allah malunya bila diimabs bak membuka pekung didada sendiri. Hati sebak menahan malu seolah-olah Tuhan berada didepanku..

Tanggal 8/8/2011 Suri menghantar ayah dan emak ke kila untuk mengerjakan umrah. Dalam hati berdegup kencang entah apa yang berirama sendu atau gembira hati tidak pasti membaca rentaknya.Manakan tidakknya seorang pun tidak tahu akan perubahan suri. Mana umie ..mana ummu? haaa...semua orang kenal sapa suri. Saat sampai ketemu ayah ada riak senyum dilekuk bibir mereka. Mungkin syukur melihat perubahan suri.

Saat ayah dan mak pergi suri memeluk mereka bagai nongoi anak kecil tidak mahu melepaskan mereka pergi. Mohon maaf atas segala dosa-dosa yang lalu. Saat melepasi pemeriksaan ada nada sendu di tabir hati.

Bagi suri inilah hadiah ramadhan buat mereka. Adakah ini pertemuaan yang terakhir dengan mereka suri tidak pasti. Yang suri yakin suri telah mencapai hajat mereka sebab mereka mengginkan suri begini.

Terima kasih Tuhan kerana memberika diriku cahaya hidayah. 

Terima kasih Ya Rabbi keran pertemukanku dengan insan-insan yang benar-benar sayang akan islam dan cintakan dakwah-dakwah dan ajaran Rasulnya..

Terima kasih Yang Maha Kaya kerna mempertemukan jiwa-jiwa sebaik sifat-sifat serikandi islam kerna kehadiran mereka membawakan daku agar selalu dekat padaMu selalu.

Kerana aku tahu aku tidak bersendirian di dunia ini..

**************************************
Alhamdulillah…akhirnya persoalan sudah terjawab siapa pemenangnya dan pasti ada dalam kalangan kalian yang bertanya mengapa dia yang ana pilih sebagai pemenangkan?

Pertama, sudah pastinya beliau memenuhi segala syarat yang telah ana tetapkan. Komen dan cadangan untuk penambahbaikan blog ini juga adalah yang terbaik antara semua.

Kedua, pengalaman hidupnya yang dilaluinya sendiri. Hatinya tulus berbicara dan menyusun kata bukan sekadar untuk menang sebaliknya untuk menyampaikan kepada orang lain supaya tidak membuat kesilapan yang sama sepertinya.

Ana membaca kesemua artikel yang dihantar oleh peserta dan artikel inilah yang paling terkesan di hati ana hingga ana hampir mengalirkan air mata. Bukanlah ana mengatakan artikel peserta lain tidak bagus, namun inilah yang terbaik antara semua.

kerna apa? kerna beliau menulis dengan hati yang tulus ikhlas. Dengan itu, beliau layak untuk menerima hadiah misteri…(“,)

Beliau akan menerima 3 helai tudung labuh bidang 60 dan 2 pasang sarung lengan jejari mengikut warna yang beliau suka serta satu kotak coklat yang direka khas oleh ana iaitu Kotak coklat rama-rama cinta…[^_^]


Dan kepada 7 lagi peserta, kalian semua juga akan menerima kotak yang direka khas oleh ana dan coklat hasil tangan ana sendiri. Kesemua hadiah ini akan dipos selepas Hari Raya Aidilfitri...insyaAllah...

Ana berharap lebih ramai perserta yang akan turut serta dalam contest yang mungkin akan diadakan lagi seterusnya…wallahua’lam…