Rabu, 30 September 2009

SAHABAT...

SUMBER: www.iluvislam.com


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku .
.
"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.
.
"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.
.
Pada hari yang Pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.
.
Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.
.
Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya. Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya . Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka , sama seperti ini.
.
Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya . Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada . Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal . Sahabat adalah permata yang sukar dicari.
.
Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.
.
"Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda."
.
"ALLAH did not promise that life would be easy,but HE did promise to go with you..every step of your life,with HIM by your side.

Sabtu, 19 September 2009

SALAM AIDILFITRI

KISAH SANG PENGEMBARA

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah, syukur kepada ilahi ku sampai jua ke kampung halaman selepas satu minggu berjuang menyiapkan kerja-kerjaku sebelum pulang bertemu keluarga tercinta…Alhamdulillah.

“senyumlah dikala gembira kerana itulah sebaik-baik utusan menggambarkan ketenangan di hati & senyumlah dikala berduka kerana itulah menggambarkan kerelaan hati menempuh dugaan Allah s.w.t. demi Redha-NYA…”

Hati ku berasa teramat tenang tika kaki melangkah turun dari bas pagi tadi. Suatu perasaan yang sukar di gambarkan oleh kata-kata saat bertentang mata dengan umi dan abahku yang datang mengambilku. Bermacam perasaan menyelubungi hatiku. Mana tidaknya, sebelum balik ku mesti menghadapi kuiz, assignment dan dua projek yang mesti ku lunaskan. Bukanku sengaja tangguhkan semua itu sehingga terpaksa menghadapinya dalam masa seminggu sahaja, tetapi keadaan kesihatanku yang tidak mengizinkan menyebabkan aku terpaksa menghentikan semua kerja sehingga kesihatanku pulih sepenuhnya.

Alhamdulillah, Allah s.w.t. memberikanku kekuatan untuk ku hadapi semua itu kerna ku percaya dengan firman Allah s.wt. yang bermaksud:

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”

-Surah al-Baqarah ayat 286-

Benar, melainkan sesuai dengan kemampuanku. Allah s.w.t. mengujiku tika mental dan fizikal ku berada di tahap yang cukup kuat untuk ku hadapinya. Ku juga mohon maaf kerana tidak punya waktu untuk meneruskan artikel yang seterusnya seperti yang ku khabarkan pada catatan yang lalu. Syukran kerna masih sudi menziarahi blog ini. Namu Ku ingin menebusnya dengan berkongsi sesuatu yang menarik sepanjang satu minggu pengembaraanku itu di bumi Allah s.w.t. ini.

Kisah pertama

“SAMPAIKANLAH WALAUPUN SEPOTONG AYAT”. Itulah kata-kataku kepada sahabatku diakhir meting yang kedua untuk projek pertamaku di DPP bila melihat dia teragak-agak untuk memberi tazkirah kerana ku berpesan pada semua AJK, sesiapa yang datang meting lambat akan di denda untuk memberi tazkirah. Jadi ayat itulah yang ku guna untuk menguatkan semangatnya untuk tetap melangsaikan denda tersebut. Alhamdulillah, dia berjaya melakukannya. Sehingga ada sahabat mengusiknya “lepas nie dah boleh bagi tazkirah la..”. Ayat Itu jugalah tarbiyah yang ingin ku bawa n yang ku pegang tiap kali melaksanakan sesuatu tidak kira dalam bersahabat, perjuangan, pelajaran mahupun tika berada di hadapan orang ramai. insyaALLAH..

Kisah Kedua

“perjuangan yang punya halangan barulah di namakan perjuangan yang sebenar”. Itulah kata-kata seorang ustaz yang ku hormati tika aku dan seorang sahabat lagi berjumpa dengannya untuk bertanya pendapat dan meminta pertolongannya bagi menjayakan program yang akan berjalan selepas raya nanti. Berbagai kesulitan yang kami hadapi bagi melaksanakan program tersebut sehingga tertangguh dari tarikh yang asal iaitu pada awal semester, tetapi hanya dapat dilaksanakan pada akhir semester. Alhamdulillah, Allah s.w.t. memudahkan kerja kami pabila ustaz tersebut sudi membantu kami..

Kisah ketiga

Pada siang hari sebelum ku bertolak pulang ke kampung halaman pada malamnya, itulah merupakan saat genting bagiku bilamana senarai nama perserta dan poster program mesti disiapkan juga pada hari itu, juga tarikh akhir assignment yang mesti ku hantar. Kesabaranku sedikit teruji waktu itu yang menyebabkanku hampir mengalah bilamana poster tetap tidak dapat disiapkan pada waktu tersebut. Ku mengambil sedikit masa untuk memulihkan kembali semangat yang seakan pudar bagi menyiapkan assignment pula. Aku mendapat pertolongan dari sahabat seperjuanganku bilamana dia sudi meminjamkan motornya untuk ku guna bagi menghantar assignment ke bilik pensyarah.

Pada mulanya motor tersebut susah untuk dihidupkan, sudah banyak kali kami mencuba tetapi tetap tidak dapat dihidupkan. Betul-betul mengujiku, aku memberitahunya yang aku mahu membinding kertas assigment sambil menunggu dia menghidupkan motornya. Dalam perjalanan ke tempat sahabatku tadi selepas membinding assigment, aku mesej kepadanya. “motor dah boleh hidup ke?”. Sahabatku membalas, “dah, tadi tak baca basmallah. Tu sebab tak hidup”. Hatiku lega bila membaca mesej tersebut. Sebelum memecut motornya ke bilik pensyarah, ku sempat berkata kepadanya, “kalu motor tu tak hidup lagi, ana panggil gi sana nanti”. Dia tersenyum.

Ayat terakhir yang ku beritahunya tadi betul-betul berlaku, bilamana motor tersebut tidak dapat dihidupkan bila aku matikan sekejap motor tersebut untuk berjalan kaki ke bilik pensyarah. Ingin saja aku menghubunginya dan meminta dia ke tempatku untuk menghidupkan kembali motor tersebut. Tetapi tak tergamak pula kerna terlalu jauh. Aku berhenti mencuba dan bertenang untuk seketika. Dengan menyebut nama Allah s.w.t. dan yakin bahawa Allah s.w.t. akan memudahkanku, aku mencuba lagi dan untuk entah ke berapa kali motor itu berjaya ku hidupkan. Alhamdulillah….(“,)

Ku ceritakan apa yang berlaku sebentar tadi kepadanya. Dia tersenyum sambil berkata,“sebenarnya hidup dalam kesusahan dan kesulitan betul-betul membuatkan kita kuat dan berusaha untuk teguh berdiri walau apa pun yang berlaku berbanding hidup dalam kesenangan dan kemewahan tanpa kesulitan. Inilah yang ana alami sekarang”. Aku membalas dengan berkata,“itulah hidup ana, dari kecik hingga sekarang” dan tersenyum sendirian sambil hatiku berkata “nampaknya dia sudah semakin mengerti erti kehidupan”

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(“,)

Rabu, 16 September 2009

SUATU KERINDUAN

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"

Kerinduan diriku untuk menulis coretan semakin menebal, namun kekangan masa menyebabkan aku masih tak punya waktu untuk meneruskan coretan seterusnya. Maafkan diri ini andai ada sahabat2 yang tertunggu-tunggu untuk membaca coretanku yang seterusnya. banyak urusan yang perlu ku uruskan sebelum pulang beraya ke kampung. maafkan diri ini sekali lagi..wassalam...(",)

Selasa, 8 September 2009

"HUKUM MASA"

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Minggu ini aku sibuk menguruskan paperwork bagi program yang akan dijalankan selepas raya. Akalku ligat berfikir dimana tempat yang sesuai untuk membuat meting kali pertama dengan ahli jawatan kuasa, maklumlah ini kali pertama aku handle projek di DPP. Akhirnya, aku dapat membuat keputusan tempat yang sesuai untuk dibuat meting selepas bertanya kepada sahabat yang selalu membuat program di DPP.

Sebelum menutup perbualan kami, dia sempat bertanya kepadaku soalan yang tiada kaitan dengan apa yang aku tanya,“kelas pukul 8 tu kata mana?”, aku membalas mesej tersebut dengan menjawab,“kat DKG 2, nape?”. Dia bertanya lagi,“selalu gi kelas lambat macam tu ek?”, dengan acuh tak acuh aku menjawab,“kalu gi awal pun, mula lambat jugak kelas”. Dia respon kembali mesejku dengan menjawab, “owh, gitu ek…”.

Pada mulanya aku buat tak kisah je pada perbualan akhir tadi, tetapi entah kenapa semasa dalam perjalanan ke kelas pagi tadi perbualan itu bermain di fikirkanku. Selalunya aku akan mengasah pemikiranku dengan berfikir tentang hikmah kejadian alam ini bila melihat sesuatu tika dalam perjalanan ke kelas. Tapi kali ini, perbualan itu yang membuatkan aku berfikir. Walaupun sikit sahaja ayatnya, aku tersenyum sendirian bila memahami hikmah disebalik perbualan tersebut. Hatiku berbisik, “tarbiyah dari Allah s.w.t…..”……(“,)

Hikmah disebaliknya adalah diri ini ibarat “bapa borek anak rintik”, mana tidaknya. Sekiranya pensyarah lambat tiba atau memulakan kelas, pasti aku juga akan lambat. Adakah kita juga seperti “pensyarah” tersebut dalam menguruskan kehidupan seharian?

Kadang-kadang diri ini ibarat “pensyarah” tersebut dalam menguruskan sesuatu projek. Akibat hadir lambat beberapa minit dalam meting membuatkan AJK yang lain terpaksa menunggu lama untuk memulakan meting. Akibat lambat hadir dalam sesuatu perbincangan tugasan membuatkan sahabat yang lain tertunggu-tunggu. Akibat naqib atau naqibah lambat hadir membuatkan adik-adik usrah ternanti-nanti. Atau sebaliknya, akibat AJK lain yang lambat hadir membuat kita tertunggu-tunggu ketibaan mereka. Akibat sahabat yang lain lambat hadir dalam perbincangan tugasan membuatkan kerja kita tertangguh untuk sementara. Akibat adik-adik usrah yang lambat tiba membuatkan silibus disingkatkan untuk hari itu. Semuanya kerana diri kita yang gagal untuk memenuhi “hukum masa”, membuatkan orang lain juga terkena tempiasnya. Sehingga ada dikalangan kita memberi gelaran “janji Melayu” bukan “janji Islam”.

Kuteringat sewaktu di Matrikulasi, tiap pelajar wajib mengikuti kursus kokurikulum selama satu semester dan aku memilih untuk menyertai Kelab Bola Jaring serta dilantik sebagai leader untuk memimpin kelab tersebut. Kami menjalani latihan pada sebelah petang bagi menghadapi perlawanan dengan pasukan dari matrikulasi lain. Hari pertama latihan, ramai anak buahku tiba lambat menyebabkan latihan kami tergendala. Hatiku panas dengan sikap mereka yang membuatkan orang lain menunggu untuk memulakan latihan. Sebelum balik hari itu, aku menegaskan “esok sesiapa yang lambat, saya denda dia berlari 5 pusingan padang nie!”. Aku terus balik ke bilik tanpa mempedulikan “umpatan” anak buahku kerana kata-kataku tadi.

Keesokan harinya, ku lihat anak buahku ramai yang turun awal dari semalam cuma hanya beberapa orang sahaja yang tidak menghiraukan kata-kataku. Dengan muka yang serius, aku mengatakan.“lari 2 pusingan sekarang!”. Anak buahku yang lain hanya memandang sahabatnya didenda olehku. Selepas itu, aku memulakan latihan yang tergendala semalam sehinggalah lewat petang. Sebelum balik, aku meminta anak buahku berkumpul kerana ada sesuatu yang ingin aku sampaikan.

Dengan menyebut nama Allah s.w.t. aku mengatakan,“saya mohon maaf diatas ketegasan dan hukuman yang saya lakukan sekiranya ada sahabat-sahabat yang berasa tidak selesa dengan sikap saya. Saya pun tidak selesa untuk melakukannya dan bukan untuk menunjuk kuasa atau terasa diri hebat, tetapi kerana amanah yang telah cikgu dan sahabat-sahabat berikan kepada saya.” Aku menyambung lagi,“saya amat pantang sekiranya ada mereka yang tidak menepati masa, membuat orang lain yang datang awal tertunggu-tunggu kerana kelewatan kita. Bagaimana sekiranya kita ditempat mereka yang datang awal? Pasti marah dan geram bukan?. Jadi, selepas ini diharap semua boleh datang awal seperti yang dijanjikan.” Mereka mengangguk sebagai janji untuk datang awal pada esok hari.
Selepas itu, anak buahku datang tepat seperti yang dijanjikan. Sekiranya ada yang lewat, mereka akan memaklumkan terlebih dulu. Alhamdulillah…amanahku terlaksana waktu itu. Mendidik diri ini dan orang lain supaya “menghormati” masa. Ku berdoa moga diri ini sentiasa mematuhi “hukum masa” dalam kehidupan seharian. InsyaAllah….

“amalan guru, mendahului kata-katanya”
(Junaid al-Baghdadi)

Bagiku, masa adalah suatu yang amat bernilai kerna tiap saat yang berlalu tidak akan dikembalikan. Hanya dalam 1 saat, Allah s.w.t. boleh menarik nikmat yang diberikan kepada kita. Hanya 1 saat sahaja kita boleh berada di alam barzah.. Hanya 1 saat sahaja hidup seseorang boleh berubah .Semuanya dalam “1 saat”. Tapi adakah diri ini dan insan yang lain menangisi masa yang berlalu pergi tanpa membuat “pelaburan” untuk dunia dan akhirat??? Hanya diri yang mampu menjawabnya….

“Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan megerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”
(surah al-Asr ayat 1-3)

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(“,)

Jumaat, 4 September 2009

ANGAH, ADA UBAT RAJIN STUDY X?

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Selepas menunaikan solat sunat terawih semalam, aku menerima satu mesej daripada adik perempuanku yang dihantar sebelum isya’ dan dia bertanya kepadaku “salam, angah. Ada ubat biar rajin study tak?” nak tergelak juga bila membacanya, namun adikku mengerti yang kakaknya punya “ubat” itu. Aku membalasnya selepas menunaikan solat sunat terawih, aku membalas mesej dia dengan soalan “baca tak artikel yang aku tulis dalam blog?”, adikku membalas kembali, “baca, mu ada letak gambar umi dan abah. Mu pun cite jugak Sirajuddin belajar nak puasa”. Jawapan yang dia berikan agak mengecewakanku, namun aku cepat-cepat berfikir positif dan menyedapkan hati, “sekurang-kurangnya dia buka blog aku dan baca apa yang aku tulis, daripada tak baca langsung”.

Aku kecewa dengan jawapan yang diberikan itu disebabkan adikku hanya memandang artikel yang ku tulis hanya untuk seronok dibaca dan blog yang ku isikan dengan berbagai hiasan hanya untuk nampak cantik dipandang sahaja. Tetapi tidak berfikir disebaliknya, apa yang aku ingin sampaikan melalui penulisanku dan juga hiasan yang terdapat dalam blog. Apa yang aku lihat dan merasai dalam mengembara di bumi Allah s.w.t. bermain diminda dan aku terjemahkan serta meluahkan melalui penulisanku supaya orang yang membacanya mendapat iktibar, manfaat dan pedoman daripadanya untuk mempertingkatkan diri mencari bekalan ke “destinasi” yang pasti. Itu yang aku harapkan dan itu yang aku doakan tiap kali aku menulis, kerna itu aku mulakan tiap penulisanku dengan menyebut nama Allah s.w.t. supaya beroleh keberkatan. Renungkanlah kembali, adakah kita melihat sesuatu dan berfikir hikmah disebalik sesuatu kejadian?

Adik perempuanku akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini dan masanya akan menjelma tidak lama lagi, jadi tak hairanlah sekiranya perasaan malas meresap ke dalam dirinya dan itu adalah ujian yang paling hebat bagi tiap insan termasuk dirinya. Kerana malas bisa menghancurkan apa sahaja sekiranya tidak di “ubati”. Sudah banyak kali dia meminta aku memberikan kata-kata semangat kepadanya supaya tekun belajar. Tetapi hanya dia yang boleh mengubahnya.

Adikku, “ubat” itu sebenarnya terletak pada dirimu sendiri. Hanya kamu yang boleh menghasilkan “ubat” itu supaya tekun dan rajin belajar. Tapi bagaimana untuk menghasilkan “ubat” itu??? Ya, bagaimana…???

Aku mengenang kembali sewaktu di zaman persekolah dulu. Aku juga sepertinya, malas! Malas nak mengadap buku yang bertimbun, malas nak siapkan homework yang diberikan oleh guru, malas nak pergi kelas tambahan dan semuanya malas! Satu “penyakit” yang terdapat pada setiap insan, namun hanya diri sendiri yang mampu “mengubatinya”. Sepertiman firman Allah s.w.t:

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya”

Akibat daripada perasaan malas itulah, aku tidak mendapat keputusan yang baik dalam UPSR, PMRU, mahupun PMR. Bukannya, aku tidak pernah “dibasuh” oleh abah dan umi dan bukan juga aku tidak pernah “dipaksa rela” oleh pihak pentadbiran sekolah untuk menghadiri kem motivasi. Namun semua itu ibarat “mencurah air ke daun keladi” kerana bila aku bersemangat untuk tekun belajar, datanglah berbagai ujian. “rajinnya baca buku, mesti dapat markah tinggi dalam kelas kan”, “jom kita gi main nak?”, “malam nie ada cerita best, rugi tak tengok”. Kata-kata itu terus mematikan semangatku tadi dan akhirnya aku mengambil sikap sambil lewa semasa belajar dan mengamalkan sikap study last minute pabila peperiksaan tinggal beberapa minggu lagi. Hasilnya, keputusan yang aku dapat hanya cukup-cukup makan sahaja.

Namun, semua sikap itu mula terhakis bilamana abahku mengambil keputusan untuk menghantar aku ke sekolah biasa selepas mendapat keputusan PMR dan bukan menghabiskan pembelajaran di sekolah agama sehingga SPM. Aku marah bila mendengar keputusan tersebut sehingga aku berkata kepada umiku “angah nie bodoh sangat ke sampai nak suruh gi blaja kat sekolah biasa?”. Umiku menjawab, “bukan gitu, umi ngan abah nak angah tumpu betul-betul masa belajar. Lagipun tu sekolah tempat abah belajar dulu dan ramai kawan-kawan abah yang mengajar kat situ, jadi boleh tengok-tengokkan angah”. Aku juga mendapat tahu yang abahku pernah menjadi best student di sekolah tersebut dulu. Aku menerima sahaja keputusan abahku, bukannya aku tidak mahu ke sekolah biasa tapi bila memikirkan bagaimana pula dengan imanku? Adakah aku akan berubah daripada pakai tudung labuh ke freehair? Mana tidaknya, sejak dari berumur 5 tahun lagi umi dan abahku sudah menghantar aku dan kakak ke sekolah yang punya aliran agama sehinggalah aku diminta ke sekolah biasa. Aku juga memikirkan, adakah abah mahu pertaruhkan iman anaknya semata-mata untuk melihat masa depan anaknya penuh gemilang? Semua persoalan tidak terjawab waktu itu.

Januari 2005, bermulalah lembaran baru dalam hidupku. Sebuah kembara dan perjalanan yang berjaya mengubah hidupku kearah yang lebih baik membuatkan aku mengenal erti kehidupan juga berjaya mematangkan diri dan pemikiranku. Disitulah aku terdidik dengan dunia keilmuan, kepimpinan, dan perjuangan da’wah. Tika aku melangkah masuk ke sekolah tersebut, aku merasakan diri ini terlalu asing. Mana tidaknya, jika di Maahad kami diasingkan daripada bercampur muslimin dan muslimat bukan sahaja dalam kelas tapi juga di kantin, koperasi, dan perpustakaan serta semua pelajarnya berkopiah dan bertudung labuh, pergaulan dijaga serta baik tutur katanya.

Tapi di sekolah ini, lain pula suasananya. Namun aku gagahkan juga meneruskan persekolah di dunia baru yang ku gelarnya sebagai “dunia kegelapan” iaitu gelap daripada cahaya ilmu hadis, tasawuf, tafsir Quran, sirahnabawiyah dan seangkatan dengannya. Satu minggu berada di sekolah tersebut, aku menjadi insan yang cukup tegas dan garang dengan lelaki. Pantang ada lelaki yang cuba duduk disebelahku atau duduk berhampiran denganku pasti mendapat “hadiah” daripadaku. Sehinggalah aku menamatkan pengajian di tingkatan 5, tidak ada sorang pun lelaki yang berani duduk disebelahku dek peristiwa seorang lelaki yang pernah ditengking olehku kerana duduk disebelahku. Kelakar juga bila memikirkan…(“,)

Walaupun berada dalam “dunia kegelapan”, aku bersyukur kerana dapat mempelajari ilmu baru iaitu ilmu pengiraan atau angka dan inilah permulaanya aku mula meminati subjek perakaunan, matematik moden dan matematik tambahan. Aku bagaikan “gila” dengan angka, pantang ada soalan yang berkaitan dengan pengiraan pasti aku akan menjawabnya. Namun, untuk mempelajari ilmu itu dengan guru bukan sesuatu yang mudah sepertimana di Maahad. Aku berkata begitu kerana sikap beberapa kawan sekelasku yang kurang ajar dan biadap terhadap guru yang mengajar kami. Itulah dugaan yang perlu aku hadapi, aku bimbang dan takut sekiranya tidak mendapat keberkatan dan cikgu tidak redha dengan ilmu yang diajarnya natijah daripada perbuatan kawan sekelasku yang membuat cikgu kami terasa hati. Bukan seorang dua cikgu yang terasa, lebih kurang empat orang cikgu yang berkecil hati. Mereka bersorak sekiranya cikgu membatalkan kelas kerana masih terluka dek perbuatan anak muridnya. Masyaallah….

Tiap kali ada cikgu yang terasa hati dengan perbuatan kawan sekelasku, aku dan beberapa sahabat yang lain pergi ke biliknya untuk meminta maaf diatas apa yang berlaku dan menebalkan muka terus menerus memohon maaf dan meminta cikgu tersebut masuk ke kelas dan mengajar semula kami sekiranya ada cikgu yang hilang mood untuk masuk ke kelas kami kerana tidak tahan dengan kerenah anak didiknya. Pada mulanya, aku dapat bersabar dengan situasi yang berlaku. Lama-kelamaan, kesabaranku sampai ke kemuncak tiap kali melihat sikap tidak beradap kawan sekelasku terhadap cikgu.

Teringat peristiwa yang memuncakkan kesabaranku, waktu itu subjek matematik moden. Cikgu masuk dengan membawa kertas soalan tahun-tahun lepas untuk diulangkaji bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Dengan susah payah cikgu tersebut mengangkat kertas yang banyak dari biliknya ke kelas kami dan ada suara dari seseorang yang menghilangkan mood cikgu tersebut untuk mengajar, “masuk kelas je, wat latihan. Masuk kelas je, wat latihan. Tak de benda lain ke nak buat, boring la!”, aku cukup kenal dengan suara itu, suara yang sudah banyak kali menyakitkan hati cikgu-cikgu kesayanganku. Dan aku sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku selepas ini. Seperti yang di jangka, cikgu tersebut memandang kearah suara tersebut dan terus berlalu keluar tanpa berkata apa-apa dan terus menghilang dari pandangan kami.

Kesabaranku hilang pagi itu, aku bangun dari tempat dudukku dan ke depan kelas dengan muka yang marah sambil berkata, “puas hati engkau sekarang?! Bersorak la, macam yang selalu engkau buat sebelum nie!” Dia bangun dan bersorak seolah-olah mengejekku, tapi kali ini tidak seperti selalunya kerana “geng-geng” dia tidak turut serta bersorak. Melihat keadaan itu, dia terus duduk. Mungkin hilang keberanian kerana tidak ada pengikut yang menyokong ditambah pula dengan mukaku seperti singa yang mahu menerkamnya. Aku berkata dengan nada yang sinis, “nape duduk, takut?!”. Dia mahu menjawab, tapi terdiam bila melihat aku merenung tajam ke arahnya. “mata kalian semua buta?!, akal kalian semua beku?! Hati kalian semua mati?!” aku bertanya dengan suara yang lantang. “mata kalian tak nampak, cikgu susah payah bawak kertas soalan yang banyak ke sini. Akal kalian tak fikir, cikgu sanggup bersusah payah demi masa depan kita semua. Hati kalian tak rasa terharu diatas pengorbanan yang cikgu curahkan kepada kita. Dan ini balasan kita terhadapnya?!”. Aku menambah lagi.

“engkau!”, aku menuding jari kearah orang yang melukakan hati cikgu tadi. Semua pelajar memandangku, menunggu ayat seterusnya yang bakal keluar dari mulutku. “nie last engkau buat cikgu kelas kita terasa hati, sekali lagi engkau buat. Aku tak kan teragak-agak halau engkau keluar dari kelas nie!”. Kali ini, suaraku lebih kuat dari tadi. Dia diam seribu bahasa. Penolong kelasku bangun dan mengajakku ke bilik cikgu tersebut untuk meminta maaf dan meminta supaya menyambung kembali pembelajaran dek kerana peristiwa tadi.

Semasa dalam perjalanan ke biliknya, aku melihat cikgu duduk di lorong ilmu. Tempat yang dipenuhi maklumat berkaitan universiti yang terdapat di Malaysia serta risalah berkaitan dengan kerjaya tertampal di dinding lorong. “cikgu” aku memanggilnya. Tapi tiada sahutan, mungkin masih “panas” dengan peristiwa tadi. Aku meminta penolong kelasku kembali ke kelas supaya aku dapat bersendirian untuk memujuknya. “cikgu, saya minta maaf atas sikap biadap Lat (bukan nama sebenar) tadi”, juga tiada sahutan. Aku mula rasa serba salah. “cikgu, saya tahu cikgu dah hilang sabar dengan perangai dia. “Kalau cikgu yang hanya masuk bila masa kelas boleh terasa hati dengan dia, kami yang hari-hari terpaksa bersabar dengan kerenahnya lagilah”. Suaraku mula bergetar menahan air mata yang bertakung bila melihat tiada juga respon dari cikgu kesayanganku. “cikgu, kalau cikgu benci dan tak suka dengan dia. Janganlah cikgu biarkan saya dan sahabat yang lain turut menerima “hukuman” nie. Kalau cikgu tak nak ajar dia, ajar kami yang dahagakan ilmu dari cikgu. Kalau cikgu tak suka tengok muka dia, cikgu pandang la muka kami yang penuh harapan untuk berjaya nie cikgu”. “cikgu masuk mengajar kami balik ye”, aku cuba memujuk lagi. “ saya nak belajar dengan cikgu, sahabat-sahabat saya pun ramai yang nak belajar dengan cikgu, cikgu masuk mengajar ye”. Aku sudah kehilangan kata bila melihatkan cikgu tetap tidak respon kata-kataku, air mataku mula mengalir di pipi. “tak pe lah cikgu, saya pergi dulu. kalau cikgu rasa nak mengajar kami. Cikgu masuklah, kami tunggu”. Aku terus berlalu ke tandas dan menangis sepuas-puasnya.

Hatiku berkata,“Ya, Allah. Ujian apa yang engkau berikan padaku ini. Engkau letakkan aku di kalangan mereka yang mempermainkan agamamu, engkau memadamkan cahaya ilmu agamamu ke atasku, engkau menduga imanku dengan melihat berbagai maksiat disini, engkau juga menguji kesabaranku dengan berbagai ragam dan kerenah manusia disini.” “Ya, Allah. Aku tidak kuat menghadapi semua ini sendirian ya Allah”. Air mataku semakin laju mengalir membasahkan tudung yang ku pakai. Inikah balasan ke atasku akibat tidak menghargai ilmu yang engkau berikan dulu? Inikah balasan ke atasku diatas sikap leka dan lalaiku sehingga engkau menarik nikmat ilmu keatasku?

“Ya Allah, baru sekarang aku sedar hikmah engkau mentakdirkan aku bersekolah disini. Jauh dari suasana Islam, jauh dari ilmu-ilmu agama, jauh dari nasihat-nasihat ustaz, ustazah dan sahabat-sahabatku. Supaya aku sedar dan memuhasabah diri sendiri diatas “pembaziran” waktu yang aku lalui sewaktu di sekolah agama dan Maahad dulu. Hanya belajar ilmu agama tetapi tidak menghargai dan mempraktikkannya serta membiarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa manfaat.”

Akhirnya aku sedar hikmah disebalik apa yang aku lalui. Bermula saat itu, aku berjanji pada diri untuk tekun belajar dan menebus masa yang lalu. Aku membasuh muka dan terus masuk ke kelas, beberapa minit selepas itu. Cikgu masuk kembali ke kelas dan meneruskan pembelajaran walaupun hanya tinggal 30 minit lagi. Alhamdulillah…ku panjatkan syukur. Pengalaman yang aku lalui inilah yang memberikan aku kekuatan untuk terus menuntut dan menghargai ilmu yang dipelajari. Selepas keputusan peperiksaan pertengahan tahun diumumkan, aku mendapat tempat yang kedua bagi keseluruhan kelas Perakaunan. Alhamdulillah….aku balik ke rumah dan mengkhabarkan berita gembira kepada umi. Terukir senyuman dibibirnya bila melihat buku rekodku, teruja agaknya kerana inilah kali pertama aku mendapat keputusan yang cemerlang…Alhamdulillah…. Aku teringin melihat umi dan abahku senyum lagi seperti itu. Jadi, aku berusaha untuk mengekalkan keputusan peperiksaanku sehingga ke SPM supaya aku dapat melihat lagi senyuman kegembiraan itu.

Selepas itu, aku turut melakar sejarah dalam perjalanan hidupku. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan diterima masuk ke matrikulasi. Walaupun aku tidak terpilih sebagai best student sepertimana abah dan kakakku kerana ada subjek yang aku dapat C tapi aku berjaya membuka mata pihak pentadbiran sekolah dan pelajar aliran sains bahawa pelajar yang mengambil jurusan perakaunan juga mampu ke matrikulasi dan setaraf dengan pelajar aliran sains bukan second class! Kerana di sekolah itu, sesetengah pelajar sains tidak sudi berkawan dengan kami kerana menganggap kami bodoh dan lemah dalam pelajaran. Tapi aku berjaya membuktikan tanggapan mereka salah. Cikgu memberitahu, sudah beberapa tahun tidak ada seorang pun pelajar jurusan perakaunan dapat ke matrikulasi. Tahun itu, hanya aku seorang sahaja yang berjaya ke matrikulasi dalam bidang perakaunan. Alhamdulillah…selepas pada tahunku, makin ramai yang berjaya masuk ke matrikulasi kerana pihak pentadbiran mula memberi perhatian kepada pelajar perakaunan.

Aku dapat melihat lagi senyuman kegembiraan yang terukir dibibir umi dan abah takkala mendengar keputusan SPM ku. Aku suka melihat senyuman itu, jadi aku berusaha keras untuk melihat lagi senyuman itu. Umi memberikan hadiah duit RM50 kepadaku dengan ini:

Walaupun sampul duit dibuat hanya daripada kertas yang sudah diguna, aku tidak kisah. Yang penting kata-kata ini. Sudah 3 tahun aku menyimpannya, inilah salah satu “ubatku” tika terasa malas belajar.

Adikku, kakakmu ini menceritakan semua pengalaman yang diri ini lalui dulu bukan hanya untuk seronok didengar dan dibaca. Tapi untuk kamu berfikir dan menilai sendiri bagaimana untuk menghasilkan “ubatmu” sendiri. Menambahkan kekuatan dan semangat dirimu sebagai “antibody” untuk melawan “penyakit” malas.

“ingin melihat senyuman kegembiraan umi dan abah, ingin membuktikan kepada dunia bahawa Islam masih punya pewaris ilmuan Islam, pengalaman silam, kata-kata semangat dari orang sekeliling, juga motivasi adalah “ubatku” untuk membuatku rajin belajar. Kamu pula bagaimana? Adakah kamu mahu mengalami kesusahan dulu seperti Nik Nor Madihah baru kamu akan tekun belajar? Adakah kamu mahu mengalami pengalaman sepertiku baru kamu mahu tekun belajar? Fikir-fikirkanlah adikku…

Hanya kamu yang boleh menghasilkan “ubat” rajin itu….semoga berjaya adikku… juga kepada semua pelajar Maahad Muhammadi Tumpat, Kelantan. Ukhti ucapkan selamat berjuang dalam peperiksaan PMRU, PMR, SMU, SPM, STAM, dan STPM. Maafkan ukhti kerana tidak dapat membuat program yang seterusnya kerana kekangan masa. Moga mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. dalam melalui bahtera ilmu. Buktikan pada dunia bahawa pewaris ilmuan Islam masih ada. Semoga berjaya dalam hidup, insyaALLAH….

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(“,)