Rabu, 25 Januari 2012

Kaca Mata Seorang Mukmin

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah atas keizinan nafas dan nadi ini untuk terus hidup. Moga masa yang di anugerahkan ini digunakan sebaiknya. Selawat dan salam buat utusan terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, ana mampu kembali untuk menulis setelah hampir kehilangan separuh jiwa dan kekuatan sebaik sahaja mendapat berita tentang kehilangan sahabat seperjuangan di kampus.

“aku akan bangkit semula. Bangkit dengan kekuatan luar biasa”

Apa khabar Iman mu wahai pembaca sekalian? Semoga ‘Khalifah’ hati kalian meletakkan Iman sebagai penasihat dan nafsu mu sebagai hamba. InsyaAllah…

Ana terpandang sesuatu, lantas ana tersenyum sendiri. Ilham datang menyapa tatkala ana mencari idea untuk menulis. Tidak menyangka itulah hikmah disebaliknya walaupun selalu memakainya…(^^,)

“kamu, kamu dan kamu. Sekiranya kalian semua diletakkan dalam jabatan pengurusan sumber manusia nanti. Letakkan kaca mata Islam dihadapan dan barulah letak kaca mata sebagai pengurus sumber manusia”.

“Sekiranya kalian semua diletakkan dalam jabatan perakaunan nanti. Letakkan kaca mata Islam dihadapan dan barulah letak kaca mata sebagai akauntan”.

“Sekiranya kalian semua diletakkan dalam jabatan pemasaran nanti. Letakkan kaca mata Islam dihadapan dan barulah letak kaca mata sebagai pengurus pemasaran”. 

“Kalau yang sudah pakai kaca mata tu, tambah satu lagi kaca mata Islam dihadapan dalam segenap aspek. Dan yang masih tidak punya kaca mata Islam, silalah belajar untuk memakainya ya…”


Itulah pesanan yang telah diberikan oleh pensyarah ana ketika dalam kelas. Pesanan tersebut sentiasa diulang dan terus diulang supaya tersemat kukuh dalam minda dan hati anak didik yang berada dihadapannya. Kerana dia tahu, insan yang berada dihadapannya itu bakal ‘menerbangkan’ sayap menuju ke puncak.

Itulah analogi yang digunakan oleh pensyarah ana supaya pelajar yang berada dihadapannya faham dan mengerti apa yang ingin beliau sampaikan. Mungkin ada yang sengaja bercanda.

“macam pula kalau kaca mata tu ‘tertinggal’ di rumah atau bilik ya?”

“pergi dapatkan semula kaca mata tersebut tidak kira walau dalam keadaan apa sekalipun. Jika ‘power’ kaca mata tersebut kurang, sila segera ke ‘kedai’ dan minta pakar optometrist tambahkan ‘power’ supaya kaca mata Islam kamu berfungsi dengan baik.”

Ana tersenyum sendiri. Ibarat ‘tertinggal’ atau ‘tercicir’ iman ketika melalui perjalanan kehidupan sebagai hamba Allah pasti bakal mengundang musibah dan kemurkaanNya.

‘Power’ kaca mata pula diibaratkan sebagai tarbiyah untuk refresh iman tersebut supaya berfungsi dengan mantap. Dan ‘kedai’ yang dimaksudkan pula umpama sang murobbi yang mampu menyedarkan si pemakai supaya kembali bertaubat kepada Allah s.w.t.

 “Untuk apa tambah dosa lagi sedangkan untuk mendapatkan pahala dalam kehidupan seharian pun sikit. Entah-entah dosa kita dalam sehari lebih banyak daripada ganjaran pahala. Nauzubillah!”

************************
“wah! jubah nie cantiklah ukhty…” kata Ina dengan nada teruja.

Tangannya terus mengambil jubah yang tersangkut di rak butik tersebut. Lalu dia ambil dan melihat saiz jubah tersebut.

“Padanlah dengan ana, hehe!”. 

Sumaiyah memandang sahabat baiknya dengan senyuman yang terukir di bibir. Lucu melihat gelagat sahabatnya. 

“kalau dah namanya perempuan, macam nielah gayanya walaupun tegas dalam urusan kerja, hehe…”. seloroh Sumaiyah.

Tetapi jauh disudut hati Sumaiyah, ada sesuatu yang tidak kena pada jubah tersebut. Lalu dia menarik tangan sahabatnya itu dan berhenti betul-betul depan cermin.

“Ina, cuba tengok dekat cermin nie. Tapi letak kaca mata mukmin dulu ya dihadapan dan barulah letak kaca mata fitrah sebagai seorang perempuan yang sukakan kecantikan dan jawab soalan ana nie”. 

“apakah jubah ini memenuhi etika pemakaian wanita mukminah?” soal Sumaiyah kepada sahabatnya.

Ina membelek jubah tersebut satu persatu. Kain yang digunakan terlalu jarang walaupun dua lapis. Hiasan yang ada pada jubah tersebut pula terlalu banyak dan menyerlah. Jubah itu juga mengikut potongan badan dan mungkin nampak ketat dan melekat apabila pakai.

“Tidak. Ini bukan pakaian wanita mukminah”. jawab Ina dengan jujur.

“jadi?” Sumaiyah sengaja menduga sahabatnya.

“Tidak akan ku gadaikan maruah dan kehormatan diriku semata-mata untuk kelihatan cantik  di dunia yang akan pudar kecantikannya” katanya sambil melangkah ke tempat dia mengambil jubah tersebut dan meletakkan semula ditempat asalnya.

Dia berpaling ke arah Sumaiyah dan mengukirkan senyuman.

“alhamdulillah….” kata Sumaiyah dengan nada yang penuh kesyukuran.

“Mungkin ramai yang perasan dan tidak perasan, godaan baru kepada hawa nafsu serakah lelaki hari ini ialah melalui wanita yang memakai jubah fancy berlabuci dan bermanik indah, berpurdah menyembunyikan wajah, mata bermaskara untuk menjadikannya bulat menyerlah, memakai contact lense berwarna, bulu mata ditebal dan dilentik, kemudian merenung manja.”

Gayanya seperti berkata, "aku the muslimah, pandanglah aku, datanglah kepadaku!"

(Ustaz Hasrizal Abdul Jamil )

*********************
Wahai manusia yang bergelar hamba kepada Allah s.w.t…..

Tidak ada sebaik-baik kehidupan, tidak ada sebaik-baik ketenangan, tidak ada sebaik-baik kebahagian, tidak ada sebaik-baik kekayaan jiwa melainkan dikau temuinya dalam Islam. 
Letakkan kaca mata seorang mukmin dimatamu supaya kita semua suka dan minat untuk melihat kehidupan mukmin ‘bernafas’ dibumi ini. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Sabtu, 21 Januari 2012

T.a.m.a.t.


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah atas keizinan dan peluang kehidupan yang telah Allah s.w.t. kurniakan, moga masa yang masih ada ini digunakan sebaiknya. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

19 Januari 2012 adalah suatu tarikh yang mungkin tidak mampu ana lupakan kerana ada sesuatu disebaliknya. Detik-detik hari tu berlalu dengan penuh debaran.

Manusia hidup atas izinNya,
Bernafas juga atas kasihNya,
Melalui umur dan masa yang ada,
lakarkan kisah hidup sebaiknya.

Siapa sangka,
mungkin hari esok tiada lagi,
menamatkan segala cerita,
saat diri dijemput ilahi.

Pertama, itu merupakan kertas terakhir ana setelah tiga tahun lebih (7 semester) berjihad dalam medan ilmu, dan ana berdoa moga-moga tidak ada kertas yang perlu ana ulang seperti sebelumnya. Berharap juga semoga langkahku tidak tersekat dimana-mana kertas kerana buka semester nanti ana bakal membuat praktikal dan menamatkan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda tahun ini. ameen ya Allah.
Ketika melangkah masuk ke dewan, hati berdebar-debar sangat. Tidak tahu bagaimana mahu diluahkan dengan kata-kata. Itulah penantian selama ini. Apabila sudah melangkah keluar dari dewan peperiksaan, hati menjerit sendiri sambil dada menahan sebak. “Allah…akhirnya tamat juga”.
Bermacam kisah suka dan duka ana lalui, juga kenangan yang melucukan untuk sampai ke saat itu. Sudah tidak sabar untuk menjalani praktikal dan segera menyambung pengajian di peringkat master. Walaupun begitu, hati masih terasa bimbang selagi keputusan peperiksaan tidak diumumkan. Bimbang sekiranya ada paper yang perlu diulang. Nauzubillah!
Setelah itu ana balik ke kolej dengan menaiki bas. Sepanjang perjalanan ana memandang ke luar tingkap. Melihat kawasan sekitar kampus dan hati bermonolog sendiri, “semua ini bakal menjadi kenangan nanti. Allah, permudahkan urusan hambaMu ini”.
Sebaik sahaja sampai ke destinasi yang ana tuju, terus sahaja ke café dan belanja diri sendiri makan Chicken Chop dan juga air batu campur (ABC) ais-krim sebagai ‘hadiah’ untuk diri sendiri kerana berjaya menamatkan hari itu. Hati mengucapkan syukur atas nikmat itu dan terus berjalan pulang ke kolej.
Ketika sedang makan, mendapat satu mesej dari seorang adik junior. “Mohon untuk dibuat solat hajat dan dibacakan yasin kepada Khairi Anas kerana doktor bagitahu peluang untuk hidup hanya 20 peratus sahaja.”

Masa berita nie sampai, ana tertanya-tanya juga siapa Khairi Anas. Terukkan? nama penuh sahabat sendiri tidak ingat dan tahu.

Setelah itu ana buka laptop dan tengok dalam facebook. Sudah ramai yang post dalam facebook berkaitan berita ini. Tetapi kebanyakkan menulis nama panggilannya iaitu Kerry. Jantung ana berdegup kencang, takkan dia?
Setelah membuka facebooknya, sudah ramai yang post status mendoakannya dan terpandang satu komen. “Al-fatihah buat Kerry junior yang baru sahaja kembali ke rahmatullah…”
“Allah…!” air mata meluncur laju tanpa dipinta. Peritnya menahan pedih dihati hanya Dia yang tahu.
Baru sahaja melihatnya di Dewan peperiksaan DTSO beberapa hari yang lalu. Ketika itu sedang melihatnya berbual dengan beberapa orang sahabat muslimin dan menyapa seorang pensyarah yang kebetulan lalu disitu. Terasa teringin yang amat-amat untuk menyapanya, tidak menyangka itulah kali terakhir melihatnya.
Ana segera membalas mesej tadi, “arwah ada dimana sekarang?”
“masih dihospital Jitra dan sekejap lagi akan dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan malam ini juga”.

Ana segera sedekahkan al-Fatihah sambil air mata meluncur laju mengalir dipipi. Hanya itu yang mampu ana lakukan kerana tidak mampu mengiringi jenazahnya untuk ke tanah perkuburan. Muka ana pucat sangat akibat keletihan yang teramat, ditambah pula dengan berita yang baru sahaja diterima.
Pagi keesokannya seorang adik junior datang bilik ana. Ana bertanya kepadanya, “tahu tak Kerry meninggal dunia?”.
“tahu kak, nie baru je balik dari rumah arwah.” Ana diam saja saat dia menceritakan detik-detik arwah dijemput ilahi. Sesekali ana tersenyum dan berkata, “subhanallah…”
Katanya, arwah dan teman sebiliknya dalam perjalanan ke Masjid. Ketika itu teman sebiliknya bagitahu, “Kerry, jomlah kita pergi solat asar dulu. Lagi 10 minit nak masuk waktu…” dan arwah menyahut, “jom….”. Sambil arwah membawa motor yang dipandunya ke sebuah masjid di Changloon.
Ketika itu ada sebuah kereta yang dipandu dengan laju telah melanggar motor yang mereka naiki saat cuba membelok ke Masjid. Dan sehingga ke hari itu, kami tidak tahu siapakah insan yang melanggar mereka dan adik junior tadi bagitahu yang ibu bapa arwah tidak sedikit pun mencari dan menyalahkan orang yang membawa kereta tersebut. Tetapi redha dengan ketetapan ilahi kerana itu merupakan asbab anaknya menemui ilahi.
Katanya lagi, doktor memberitahu yang arwah meninggal ditempat kejadian saat tidak sedarkan diri kerana kepalanya cedera teruk. Tetapi doktor cuba sedayanya untuk memberikan oksigen dan membuatkan jantungnya kembali berdenyut menggunakan ilmu yang ada. Namun, siapakah dapat menghalang sekiranya sudah tertulis ajalnya sudah tiba?
Ketika kereta yang membawa arwah dan sahabatnya ke hospital, hujan turun selebatnya seolah-olah mengerti apa yang berlaku. Tetapi sebaik sahaja arwah tiba di hospital. Hujan berhenti seketika. Disitulah jenazah arwah dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
Ketika kereta yang membawa jenazah arwah untuk dikebumikan di kampung kelahirannya, hujan turun lebat kembali. Dan sebaik sahaja jenazah arwah sampai dirumah dan mahu dikebumikan, hujan berhenti buat seketika. Dan selepas itu, hujan kembali turun membasahi bumi. Subhanallah…hujan rahmat turun ke bumi menandakan perginya seorang mujahid yang telah berjuang dijalan Allah.
Waktu balik, kami pulang ke kolej dengan seorang pensyarah. “patutlah anaknya baik, ibubapanya juga begitu.”. Sahabat ana cerita yang ibu bapanya tabah sekali dengan pemergian anak sulung lelaki dalam keluarganya.
Jujur ana bagitahu, ramai yang menangisi pemergiannya kerana kami semua kenal perangai dan sikapnya. Cukup menyenangkan hati sebab ana pernah bekerjasama dengan arwah dua tahun yang lalu. Ketika itu arwah meminta ana mengajarnya bagaimana untuk melaksanakan tugas yang telah diberikan kepadanya. Telatahnya membuatkan kami semua tersenyum sendiri.
Mohon sedekah pahala dari bacaan fatihah, serta doa keampunan dan rahmat ke atas Allahyarham Khairi Anas, murid saya. Wahai Ustadz Muda Khairi yang akan kekal muda dalam ingatan, kematianmu akan sentiasa menyegarkan ingatan gurumu ini terhadap kematian sendiri dan akan membantu mengekalkan motivasi persiapan untuk kehidupan yang sebenar di sana. Kehidupanmu sebagai contoh bahawa keberkatan umur itu bukan pada kuantiti hari, tetapi pada kualiti amal. Berapa kali solat yang anda imamkan, berapa ramai yang telah anda bimbing dan dakwah melalui sikap ceria yang sopan, saya pasti ia melebihi majoriti dari orang yang hidup jauh lagi lama darimu. Berapa ramaikah yang akan lebih menjaga agama mereka dengan pemergianmu yang dirancang Allah.

Ya Allah, Engkau telah menjemput awal insan yang kami sayangi. maka ampunilah segala dosanya, rahmatilah dia, dan Engkau tempatkan dia dalam kalangan hambamu yang Engkau redhai. Kami redha dengan takdirmu Ya Allah. Maka Kau jadikanlah kematian insan kesayangan kami ini sebagai asbab hidayah kepada semua yang mengenalinya.
(Status facebook pensyarah arwah, Dr. Nadiyah Elias)
dari petang semalam dapat berita kemalangan sahabat seperjuangan di dalam PERKIM terus bergegas ke hospital jitra...

kepada fiq : semoga tabah....sabar dan redha atas ketentuan Ilahi..

pelbagai ujian dan cabaran menghimpit kami (semalam 19hb) tapi alhamdulillah, sempat mengiringi jenazah arwah (khairi anas ) ke kuburan di kota sarang semut. arwah dikebumikan pada malam itu juga (dalam 2 pagi).. demi sahabat...sanggup kami hadapi..apa juga keadaan.

sehari sebelum kejadian..sempat bertemu arwah di pekan changlun, terasa dia memandang ku dengan pandangan yang begitu lain..(dalam hati...tertanya-tanya)...juga...sempat bercakap dan bergurau dengan arwah...arwah seorang yang sangat baik..pemergianmu di hari yang baik...sangat beruntung...di malam jumaat.semoga tenang di sana...

maaf...sebab tidak sempat untuk berkata bahawa kaulah sahabat sempurna yang hadir dalam hidup kami.
(Status facebook sahabat seperjuangannya dalam PERKIM, Anis sakinah)
kalimah "Inna Lillahi Wa Inna Ilahi Raaji'oon" sebenarnya bukanlah ditujukan kepada seorang arwah semata-mata tetapi maknanya lebih ditujukan bagi yang masih hidup.mengingatkan kita bahawa mati itu pasti.akhirnya setiap manusia akan kembali padaNya...

p/s: kepada saudara Khairi Anas, saya cemburu dengan anda. pemergianmu di hari yang baik(malam jumaat). bumi menangis atas peninggalanmu. semoga ditempatkan bersama orang-orang beriman. insyaAllah :)
(Status facebook seseorang yang mengenali arwah, Firdaus Othmarani)
Dan ini pula gambar arwah ketika melaksanakan amanah yang telah diberikan sebagai pengerusi majlis untuk program ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ pada 2 April 2010 anjuran Rakan Masjid Sultan Badlishah, Pusat Islam UUM.

Jika arwah pernah berhutang dengan kalian,
Mohon untuk dihalalkan.
Jika arwah pernah menyakiti hati kalian,
Mohon untuk dimaafkan.
Sedekahkanlah doa dan al-Fatihah buatnya.
[Allahyarham Khairi Anas, (1989-2012)]
 

Rabu, 18 Januari 2012

Detik Permulaan Langkahku

 “Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Pagi itu, ana ke kuliah seperti biasa. Mata agak mengantuk, badan apatah lagi. Namun, terselit satu perasaan bahagia disebalik keletihan dan kepenatan yang ana alami. Ternyata ada yang memerhati dari jauh, lalu dia menyapa.

“Ukhty…ada program ke semalam? Nampak macam tak cukup rehat je?” sapa sahabat sekelas ana. Sememangnya dia tahu yang jadual aktiviti ana di kampus agak padat dengan pelbagai aktiviti.

Ana menjawab soalannya dengan menganggukkan kepala sambil mengukir senyuman dengan seikhlasnya. 

“Moga ukhty istiqomah…..” dia pula melemparkan senyuman kepada ana.

“ameen…!” ana menyahut kata-katanya. Mata ana mula berkaca. Sebak! 

Walaupun hanya itu sahaja yang keluar dari mulut sahabat-sahabat yang berada disekeliling ana. Itu sudah cukup memotivasikan diri ini untuk terus maju kehadapan dalam arena dakwah.

Fikiran ana mula melayang jauh, terbang merentas masa silam yang sudah berlalu bertahun-tahun lamanya.

-------------------------------

“Siapa suruh duduk sebelah aku?!” ana meninggikan suara kepada seorang pelajar lelaki yang tiba-tiba sahaja duduk di kerusi sebelah ana. Kelas yang riuh rendah ketika itu tiba-tiba sahaja menjadi sunyi sepi.

Kesemua mata memandang ke arah insan yang masih setia dengan imej tudung labuhnya untuk melihat apa yang berlaku. Perlahan-lahan pelajar lelaki tersebut bangun dari tempat duduknya dan beredar ke tempat lain. 

Itulah aksi pelajar baru yang baru sahaja mendaftarkan diri ke sekolah menengah biasa. Dahulunya ana merupakan pelajar di Maahad dan para pelajar yang berlainan jantina diasingkan dari duduk sekelas. Perpustakaan, kantin, koperasi, bilik darjah, surau, malah bangunan kami juga diasingkan supaya benar-benar terjaga.

Atas permintaan abah tersayang yang mahu melihat anak keduanya ini berjaya dalam akademik, ana dipaksa rela untuk pindah ke sekolah yang pernah menobatkan abah sebagai pelajar cemerlang. Dia mahu anaknya ini menjadi sepertinya.

Masih terbayang-bayang lagi perbualan ana dengan umie pada suatu petang. Ketika itu umie menyampaikan hasrat abah untuk ana bertukar sekolah. Keputusan itu dibuat setelah melihat keputusan PMR dalam subjek bahasa arab ana yang agak teruk. Mungkin abah fikir ana tidak mampu untuk bawa subjek tersebut ketika SPM nanti.

“angah nie bodoh sangat ke umie sampai nak angah tukar sekolah?” keputusan itu ana balas dengan persoalan.

“Bukan macam tu la. Abah takut angah tak boleh bawa subjek bahasa Arab bila SPM nanti” jelas umie ana dengan nada pujukan.

Kerana hati yang masih terasa amarah dengan keputusan abah itu, ana pergi mendaftarkan diri ke sekolah baru seorang diri tanpa ada teman. Akibatnya, ana sesat dan tidak jumpa pejabat pengetua. Lucu pula bila ingat semula.

Setelah berurusan dengan pihak atasan, ana ditempatkan di kelas perakaunan dan bangunannya berada di belakang sekali. Ketika berjalanan masuk ke kelas tersebut, hati ini berdebar-debar sangat. Suasananya sungguh menyeramkan!

---------------------------

Peristiwa ana meninggikan suara kepada seorang pelajar lelaki dalam kelas tersebut membuatkan tidak ada seorang lelaki pun berani duduk di kerusi sebelah ana hinggalah ana tamat belajar di situ. Mungkin takut kena marah lagi agaknya..hehe

Itu cabaran ana yang pertama iaitu cuba menyesuaikan diri dengan keadaan disekolah baru yang benar-benar mengujikan!

Minggu orientasi pelajar baru untuk pelajar tingkatan empat berlangsung selama satu minggu dengan menerangkan subjek-subjek yang bakal diambil oleh pelajar aliran sains, perakaunan dan kemanusiaan.

Tiba disatu pagi ketika taklimat berkaitan kod etika pemakaian di sekolah berlangsung.
“Itulah sedikit sebanyak berkaitan etika pemakaian disekolah ini. Mungkin ada yang sudah tahu tetapi cikgu ulang sebagai peringatan sahaja supaya kalian tidak melakukan kesilapan yang sama.” kata cikgu displin sekolah tersebut.

“Dan satu lagi sebelum cikgu terlupa. Kat sekolah nie cikgu tak galakkan kalian pakai tudung labuh sebab nak selaraskan pemakaian untuk nampak seragam semuanya.”

“Allah…!” bagaikan ada mata pedang yang menusuk tajam ke dalam hati ana.

Ada mata yang memandang ana dengan pandangan yang cukup sinis seolah-olah mengejek ana. Masih tergiang-giang lagi ejekan beberapa orang pelajar kepada ana. “Eh…macam hantu bungkus la…hehe”.

Mata ana mula berkaca. “ujian apakah ini Ya Allah…? Hatta didenda sekalipun, tidak akan sekali-kali aku tanggalkan tudung labuh nie!” janji ana pada diri sendiri.

Sebaik sahaja minggu orientasi untuk pelajar tingkatan empat tamat. Sesi pembelajaran berjalan seperti biasa. Dengan membawa imej sebagai bekas pelajar sekolah agama dan Maahad, ana mulakan perjalanan dalam ‘dunia baru’ yang tidak pernah terlintas difikiran sebelum ini.
-----------------------------

Minat terhadap sukan tidak pernah padam. Apatah lagi ana sudah banyak kali menjadi wakil sekolah dalam sukan bola tampar dan bola jaring. Mungkin menurun bakat abah barangkali kerana abah tetap bersukan sehingga ke hari ini.

Kebetulan pula sekolah tersebut membuka sesi pemilihan untuk menyerap masuk pemain baru. Ana pergi ke padang sekolah hampir setiap hari untuk membuat sesi latihan dan benar-benar berharap akan terpilih untuk mewakili sekolah tersebut dalam bola jaring.

Ketika kali pertama datang ke sesi latihan, ada mata yang memandang. Mungkin melihat imej tudung labuh ana dan baju yang ana pakai. Barangkali hati mereka terdetik, “boleh ke dia nie main dengan pakai macam tu?”
 
Ana biarkan sahaja pandangan mata-mata itu dan berlalu untuk memanaskan badan dengan berlari-lari anak di sekitar padang sebelum membuat senaman ringan. Itulah pakaian yang sudah ditarbiyah oleh para guru, ustaz dan ustazah di Maahad. Ana dilatih untuk tetap bertudung labuh dan memakai t-shirt labuh serta berseluar track bottom ketika bersukan. Maka, semua itu tidak menjadi masalah buat ana.

Ana anggap ini semua dakwah dan mahu mereka lihat Islam itu tidak pernah menyekat umatnya untuk melakukan apa sahaja aktiviti selagi tidak melanggar batas-batas syariah. Dan juga mahu mereka mengerti, Islam bukan sahaja hanya pada solat, puasa, mengaji al-Quran dan sebagainya. Tetapi ianya meliputi seluruh ruang kehidupan kita dalam hidup. Bagaimana kamu ketika solat, itulah kamu diluar solat!

Hari demi hari berlalu dan tibalah hari pemilihan pemain untuk dijadikan satu team yang bakal mewakili pihak sekolah dalam acara bola jaring. Alhamdulillah nama ana terpilih untuk diserap masuk sebagai pemain tetap. Hanya Allah s.w.t. yang tahu betapa bersyukurnya ana ketika itu. Peluang itu tidak sekali-kali ana lepaskan kerana itu mungkin peluang ana untuk buka mata saudara seIslam untuk melihat keindahan agama yang mereka anuti.

Latihan diteruskan. Ana diletakkan di posisi Goal Shotter (GS) atau penyumbat goal. Kemahiran dan teknik mengagak ketepatan untuk bola masuk ke lubang tidak ramai yang mampu kuasai. Kelebihan ana adalah menyumbat bola dari jarak jauh dan kelemahan ana adalah menyumbat bola dari jarak dekat. Pelik kan? Itulah unik ciptaan Allah s.w.t.

Ketika bola berada ditangan, mata memandang gelung yang berada ditiang dan ana mengagak setakat mana jarak dan kekuatan balingan yang perlu dibuat untuk bola tersebut masuk. Lafaz basmalah ana ucapkan setiap kali sebelum balingan dan lafaz alhamdulillah mengakhiri balingan ketika bola masuk tepat dalam gelung. Syukur ke hadrat ilahi kerana pemain-pemain yang lain terikut-ikut cara ana. Berdakwah melalui sukan!

Ketika mereka menyinsing baju lengan dan lebih senang memakai baju lengan pendek, ana berusaha untuk mengekalkan baju lengan panjang yang labuh dan longgar. Ketika mereka menyilang kain tudung dan mengikatnya dibelakang, ana berusaha untuk mengekalkan imej dengan bertudung labuh. Ketika ada yang menanggalkan tudung selepas penat berlatih untuk hilangkan kepanasan, ana hanya mampu tersenyum.

Detik yang tidak mungkin ana lupakanlah adalah tatkala ketika sekolah ana mendapat tempat kedua kategori umur 13 hingga 15 tahun dan tempat keempat bagi kategori umur 16 hingga 18 tahun. Waktu itu kami dalam perjalanan pulang ke sekolah setelah kepenatan bersaing dengan banyak sekolah.

“pak cik, kuatkan suara radio. Kami mahu berkaraoke!” jerit sahabat ana dari arah belakang bas.  Pemandu bas tersebut hanya menuruti permintaannya lalu menguatkan volume radio dengan lebih kuat. Mereka menyanyi dengan kuat diatas bas sambil membuat aksi yang betul-betul memuakkan ana! 

Ana jadi tergamam dengan aksi mereka, hilang keayuan dan kesopanan sebagai wanita Islam. Ana mengalihkan pandangan ke luar tingkap dengan mata berkaca sambil hati berbisik “ini bukan caranya untuk meraikan kemenangan. Moga Allah berikan kalian hidayah”. 

Ana melihat ada juga sahabat yang tidak suka dengan keadaan itu, mungkin bimbang bala Allah melanda dengan kemalangan jalan raya. Nauzubillah!

Ketika perhimpunan pada setiap pagi Isnin, ana diberitahu ada acara penyampaian hadiah untuk pemain yang telah mengharumkan nama sekolah. Kesemua pemain duduk dibarisan tepi untuk melancarkan sesi penyampaian hadiah. 

Ada cikgu yang memandang ana, barangkali tidak percaya insan bertudung labuh seperti ana mampu bermain sebaris dengan pemain yang lain. Lalu dia bertanya ana, “main netball ke? berada di posisi mana?”

“Ia cikgu. Saya main bola jaring di posisi GS” jawab ana sambil mengukir senyuman. 

Seorang demi seorang pemain naik ke pentas untuk mengambil medal dari pengetua sekolah. Ana naik dengan penuh debaran kerana hanya ana seorang bertudung labuh dalam kalangan mereka. Terasa bangga dengan imej Islam yang ana bawa, dan ianya berjaya membuka mata insan yang memandangnya dari jauh.

Sebaik sahaja masuk ke kelas untuk menyambung sesi pembelajaran. Ada sahabat lelaki yang menyapa, “tengok medal boleh?”. Lalu ana berikan kepadanya. Dan dia berkata, “tidak saya sangka, insan yang bertudung labuh seperti kamu juga hebat. Tahniah!”

Allahuakbar!

Sabtu, 14 Januari 2012

Sebuah Perjalanan (1)

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Seperti yang dinyatakan dalam artikel yang lepas, jika punya kelapangan waktu, ana akan menulis kisah pengembaraan ana ke Penang pada minggu lepas. Walaupun kalian tidak turut serta dalam pengembaraan ana, harap-harap dapat merasai melalui coretan ana nie.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, macam mana ana boleh terdetik untuk ke Penang dan bukan ke tempat lain. Kalau mahu tahu, silalah tabah membacanya sampai habis ye…(^^,)

Sebelum exam finale tiba, ana sudah berkira-kira untuk pulang ke rumah pabila dapat tahu yang ada sahabat yang turut pulang ke rumah kerana jarak masa untuk satu paper yang lain agak jauh. Dan tiba-tiba telefon berbunyi ketika ana sedang ulangkaji pelajaran.

“Makluman kepada semua, Pertubuhan UNGGAS Malaysia akan mengadakan perjumpaan pada 6 Januari 2012 pada pukul 6 petang. Kepada UNGGAS UUM, sila hantar wakil…” lebih kurang macam itulah isi mesej tersebut. 

Maka ana tersenyum sendiri sambil hati berbisik, “nampaknya batal lagilah plan nak balik rumah kali nie….”. Dan setelah habis paper yang ketiga pada 4 Januari 2012, ana terus mesej sahabat seperjuangan untuk membincangkan bagaimana untuk ke Penang dan kami pergi satu kereta sahaja.

Ketika itu emosi ana masih tidak stabil sepertimana yang dinyatakan dalam artikel lepas hinggakan tangan ana terkejar-ketar ketika menjawab exam dan mata cukup terkesan dengan air mata hingga jadi bengkak, namun ana kuatkan semangat dan memujuk hati, “demi ummah. Asma’, bertahanlah…”.

Ketika ana dalam perjalanan ke Penang, ana mesej kakak sulung untuk memberitahunya yang ana mahu bermalam dibiliknya. Kebetulan pula ketika itu dia kurang sihat, jadi berlakulah sedikit ‘perdebatan’ kat situ sebab sudah dua kali ana batalkan rancangan untuk ke Penang atas keperluan dan amanah yang masih ada dikampus…hehe.

Ketika dalam kereta, menuju ke Penang.

Setelah itu, kami tiba di ‘Serambi Dakwah’ iaitu pusat gerakan Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS) sekitar pukul 5 lebih. Meting kami bermula pada pukul 6 lebih dan berhenti rehat untuk solat jama’ dan bersambung semula hingga tamat pada pukul 10 lebih.

Rasa tepu kepala otak sebab meting terlalu lama kerana banyak dasar dan isu yang dibincangkan berserta dengan solusi dan tindakannya. Tambahan pula kami belum makan lagi ketika itu. Setelah itu, kami ke gerai makan yang pemiliknya adalah orang Melayu sebab sahabat ana bagitahu agak susah untuk mencari pemiliknya, orang Melayu di Penang.

Nyum-nyum...sedap! hehe..

Sebaik sahaja selesai makan, kami semua bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ke USM untuk hantar ana ke sana disamping singgah sebentar di rumah sahabat kerana dia mahu menghantar beg yang berisi barang. Ketika melalui jambatan Pulau Pinang, hati terasa teruja sangat, apatah lagi itulah kali pertama ana melalui jambatan tersebut walaupun sudah banyak kali ke Penang sebelum ini atas urusan dakwah kerana ana pergi dengan menaiki feri…(^^,)

Atas Jambatan Pulau Pinang...(^^,)

Kami berhenti sebentar di tepi jalan. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata bagaimana perasaan ana ketika itu. Angin bayu yang bertiup lembut disamping pemandangan laut diwaktu malam yang cukup mendamaikan. Itu sudah cukup membuatkan ana merasai betapa Allah s.w.t. dekat dengan ana dan seolah-olah Dia ‘berbicara’ dengan ana supaya kuat. Allahuakbar!

Kami tiba di depan bangunan International House USM sekitar jam 11 malam dan sahabat-sahabat ana yang lain bertolak pulang setelah ana bersalam dengan mereka kerana ada sahabat yang ada exam pada keesokkan harinya. Ana mengikuti kakak ke biliknya di tingkat lima.

Mula-mula masuk tu tengok macam hotel pun ada sebab bangunan dia ada lif, apatah lagi satu bilik hanya seorang sahaja yang duduk disamping ada bilik yang punya air-cond, tandas dan balkoni sendiri. Cuma sewa dia tinggi sikitlah kena bayar, tapi bilik kakak ana istimewa sikit sebab ada air-cond semula jadi..hehe.

Dari Balkoni International House, USM  (7 Januari 2012, 7.08 pagi)

Pemandangan diwaktu pagi dari tingkat 5, tenangkan rasa…? (^^,). Terpaku seketika melihat keindahan alam ciptaan Allah s.w.t., apatah lagi angin bayu bertiup lembut. Terasa tenang dan nyaman sangat hati nie. Hanyut dalam zikrullah dikala ini………

Sebelum datang ke USM, ana sudah bagitahu kakak sulung ana dengan pelbagai permintaan darinya. “kak…nanti bawa aku pergi Masjid yang mu selalu turun lapangan tu,. Lepas tu bawa aku pergi kedai buku yang selalu mu pergi tu. Dan bawalah pi mana-mana yang mu rasa nak bawa. Cuma, kalau takde apa-apa aktiviti yang bermanfaat, pagi esok juga aku balik UUM”. (ada unsur-unsur ungutan tak? ;p)

Dan kakak mengkhabarkan kepada ana bahawa ada sahabat yang sudi untuk menjadi ‘pemandu pelancong’ untuk kami pada hari itu. Ana tersenyum sendiri bila ingat semula ‘perdebatan’ kami..hehe. 

Well…biasalah. Ana memang macam tu……;p

Pagi itu, ana bangun dalam keadaan bersemangat dan tidak sabar untuk melaksanakan misi kerna ana tahu, ana bakal mendapat ilmu dan pengalaman baru pada hari itu.

“Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat... Melihat dunia dari jendela akhirat”
(Kalam puncak)

Bersambung >>>>>

Selasa, 10 Januari 2012

Permulaan Tahun 2012

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau berikan, moga-moga hamba ini menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, syukur pada Allah. Akhirnya dibukakan hati untuk menulis. Permulaan tahun 2012 yang agak mencabar dan agak lain dari kebiasaan kerana mungkin ini peperiksaan akhir ana sebelum bergelar graduan. Apatah lagi kertas pertama jatuh pada 1 Januari 2012.

Tidak sabar rasanya untuk menamatkan ijazah sarjana muda pada tahun ini, doakan moga ana berjaya tamatkannya dalam tempoh yang ditetapkan dan menyambung master pada tahun ini juga. ameen~

Mungkin ada dalam kalangan kalian begitu teruja untuk memasuki tahun baru Masehi iaitu 2012 dengan pelbagai azam yang diatur dan disusun untuk dilaksanakan dalam satu tahun tersebut walaupun pada hakikatnya umat Islam sudah pun menyambut tahun baru pada 1 Muharam 1433H yang lepas.

Dan kalau diikutkan dalam kalendar Islam, umur ana sudah pun mencecah 23 tahun pada 2 Safar 1433H yang lalu. Cuma dalam kalender masehi sahaja belum dan lambat lagi. Umur yang makin meningkat ini sebagai peringatan bahawa masa kita di dunia semakin berkurangan. Jadi, gunakan masa yang masih ada ini dengan sebaik-baiknya.

Jika ada yang gembira dan bersemangat untuk melalui permulaan tahun 2012 ini, ana pula sebaliknya. Permulaan tahun baru ini ditemani dengan air mata yang tidak dapat ana kenalpasti apa puncanya. Hati jadi begitu sedih sekali, apatah lagi sudah lama tidak balik bertemu keluarga atas amanah dan komitmen yang masih berbaki.

Seingat ana, sepanjang melalui jalan yang telah ana pilih sejak sedar diri ini punya tanggungjawab dan amanah untuk ummah ketika berada di tingkatan 5, inilah kali kedua ana menangis semahu-mahunya. 

Pertama kali dulu 2 tahun yang lepas, ketika selesai solat semasa menadahkan tangan untuk berdoa. Air mata mengalir deras membasahi pipi hingga mengambil waktu yang lama untuk hentikannya. Ketika itu dada terasa sesak sekali, mungkin kerana ana memendam rasa kepahitan bertahun lamanya. Sukar sekali untuk diluahkan dengan kata-kata bagaimana rasa ketika itu.

Bukannya diri ini tidak pernah menangis ketika difitnah, dicaci, dihina dan tidak kurang juga disisihkan hanya kerana Islam yang mahu ku julang. Cuma ketika itu hati sudah tidak mampu menanggung keperitan itu bertahun-tahun hingga ianya diterjemahkan melalui air mata. Akibatnya, ana jatuh sakit.

Sebaik sahaja sembuh dari segi mental dan fizikal, urusan dakwah diteruskan. Kali ini lebih matang dan tenang. Ditekan, diherdik, dikritik, dan bermacam lagi. Namun masih mampu mengukir senyuman, mungkin kerana latihan tarbiyah yang ana lalui sepanjang tempoh perjalanan bergelar daie membuatkan diri ini sudah lali dengan semua itu.

Tetapi…setinggi dan sekuat mana pun semangat ‘besi’ yang ku ada. Aku tetap hamba yang lemah… Benar….hanya seorang hamba kepada Tuhan Yang Maha Agung. Permulaan tahun 2012 begitu mencabar dengan emosi yang tidak stabil, apatah lagi peperiksaan yang mungkin terakhir bagiku. Allah…beratnya…(T_T)

Mahu tahu insan yang hipokrik?
Pura-pura tabah, sedangkan hatinya berada dalam kesedihan.
Pura-pura kuat, sedangkan hatinya rapuh ketika itu.
Pura-pura cekal, sedangkan hatinya merintih.
Pura-pura senyum, sedangkan hatinya menangis?
Insan itu adalah aku………….

 Benar, mataku cuba seikhlasnya senyum setelusnya dari hatiku. Namun disebalik wajah yang ditutupi sehelai kain, terselindung wajah suram ditemani air mata.

Pura-pura tabah, lama-lama kuat!

Kerana itulah blog ini diprivate untuk sementara waktu supaya hati ini tidak menulis dengan emosi. Mohon maaf ana pinta kepada pembaca yang mungkin kehairanan sejenak apabila tidak boleh masuk ke blog ana. Mohon maaf juga ana pinta kepada sahabat yang menunggu untuk membaca coretan ana lagi. Doakan ana terus kuat dengan semangat ‘besi’ yang terus menerus memberi manfaat buat ummah.

Dalam tempoh itu, ana membatalkan keputusan untuk pulang ke rumah dan pergi mengembara ke Penang disamping menziarahi kakak sulung ana di USM dengan membawa hati yang cuba dipujuk dan dibelai dengan membawa diri ke dunia asing serta meninggalkan apa yang terbentang di depan mata.

Alhamdulillah…sepanjang tempoh beruzlah itu, ana perolehi begitu banyak ibrah dan pengalaman. Terasa mahu pergi mengembara ke tempat lain pula untuk melihat hikmah disebalik sebuah kehidupan yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

Tidak ada yang lebih memahami dan mengerti rasa hati ini melainkan pemilik yang menciptakannya….Makin jatuh cinta dengan Allah s.w.t… alhamdulillah…(^^,)

InsyaAllah jika Dia izin dengan ilham dan kelapangan waktu yang ada, ana akan kongsikan pengalaman ana ketika berada di Penang. Nantikan ye sahabat-sahabat. Masih berbaki 3 kertas peperiksaan lagi. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(^^,)