“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Pagi itu, ana ke kuliah seperti biasa. Mata agak mengantuk, badan apatah lagi. Namun, terselit satu perasaan bahagia disebalik keletihan dan kepenatan yang ana alami. Ternyata ada yang memerhati dari jauh, lalu dia menyapa.
“Ukhty…ada program ke semalam? Nampak macam tak cukup rehat je?” sapa sahabat sekelas ana. Sememangnya dia tahu yang jadual aktiviti ana di kampus agak padat dengan pelbagai aktiviti.
Ana menjawab soalannya dengan menganggukkan kepala sambil mengukir senyuman dengan seikhlasnya.
“Moga ukhty istiqomah…..” dia pula melemparkan senyuman kepada ana.
“ameen…!” ana menyahut kata-katanya. Mata ana mula berkaca. Sebak!
Walaupun hanya itu sahaja yang keluar dari mulut sahabat-sahabat yang berada disekeliling ana. Itu sudah cukup memotivasikan diri ini untuk terus maju kehadapan dalam arena dakwah.
Fikiran ana mula melayang jauh, terbang merentas masa silam yang sudah berlalu bertahun-tahun lamanya.
-------------------------------
“Siapa suruh duduk sebelah aku?!” ana meninggikan suara kepada seorang pelajar lelaki yang tiba-tiba sahaja duduk di kerusi sebelah ana. Kelas yang riuh rendah ketika itu tiba-tiba sahaja menjadi sunyi sepi.
Kesemua mata memandang ke arah insan yang masih setia dengan imej tudung labuhnya untuk melihat apa yang berlaku. Perlahan-lahan pelajar lelaki tersebut bangun dari tempat duduknya dan beredar ke tempat lain.
Itulah aksi pelajar baru yang baru sahaja mendaftarkan diri ke sekolah menengah biasa. Dahulunya ana merupakan pelajar di Maahad dan para pelajar yang berlainan jantina diasingkan dari duduk sekelas. Perpustakaan, kantin, koperasi, bilik darjah, surau, malah bangunan kami juga diasingkan supaya benar-benar terjaga.
Atas permintaan abah tersayang yang mahu melihat anak keduanya ini berjaya dalam akademik, ana dipaksa rela untuk pindah ke sekolah yang pernah menobatkan abah sebagai pelajar cemerlang. Dia mahu anaknya ini menjadi sepertinya.
Masih terbayang-bayang lagi perbualan ana dengan umie pada suatu petang. Ketika itu umie menyampaikan hasrat abah untuk ana bertukar sekolah. Keputusan itu dibuat setelah melihat keputusan PMR dalam subjek bahasa arab ana yang agak teruk. Mungkin abah fikir ana tidak mampu untuk bawa subjek tersebut ketika SPM nanti.
“angah nie bodoh sangat ke umie sampai nak angah tukar sekolah?” keputusan itu ana balas dengan persoalan.
“Bukan macam tu la. Abah takut angah tak boleh bawa subjek bahasa Arab bila SPM nanti” jelas umie ana dengan nada pujukan.
Kerana hati yang masih terasa amarah dengan keputusan abah itu, ana pergi mendaftarkan diri ke sekolah baru seorang diri tanpa ada teman. Akibatnya, ana sesat dan tidak jumpa pejabat pengetua. Lucu pula bila ingat semula.
Setelah berurusan dengan pihak atasan, ana ditempatkan di kelas perakaunan dan bangunannya berada di belakang sekali. Ketika berjalanan masuk ke kelas tersebut, hati ini berdebar-debar sangat. Suasananya sungguh menyeramkan!
---------------------------
Peristiwa ana meninggikan suara kepada seorang pelajar lelaki dalam kelas tersebut membuatkan tidak ada seorang lelaki pun berani duduk di kerusi sebelah ana hinggalah ana tamat belajar di situ. Mungkin takut kena marah lagi agaknya..hehe
Itu cabaran ana yang pertama iaitu cuba menyesuaikan diri dengan keadaan disekolah baru yang benar-benar mengujikan!
Minggu orientasi pelajar baru untuk pelajar tingkatan empat berlangsung selama satu minggu dengan menerangkan subjek-subjek yang bakal diambil oleh pelajar aliran sains, perakaunan dan kemanusiaan.
Tiba disatu pagi ketika taklimat berkaitan kod etika pemakaian di sekolah berlangsung.
“Itulah sedikit sebanyak berkaitan etika pemakaian disekolah ini. Mungkin ada yang sudah tahu tetapi cikgu ulang sebagai peringatan sahaja supaya kalian tidak melakukan kesilapan yang sama.” kata cikgu displin sekolah tersebut.
“Dan satu lagi sebelum cikgu terlupa. Kat sekolah nie cikgu tak galakkan kalian pakai tudung labuh sebab nak selaraskan pemakaian untuk nampak seragam semuanya.”
“Allah…!” bagaikan ada mata pedang yang menusuk tajam ke dalam hati ana.
Ada mata yang memandang ana dengan pandangan yang cukup sinis seolah-olah mengejek ana. Masih tergiang-giang lagi ejekan beberapa orang pelajar kepada ana. “Eh…macam hantu bungkus la…hehe”.
Mata ana mula berkaca. “ujian apakah ini Ya Allah…? Hatta didenda sekalipun, tidak akan sekali-kali aku tanggalkan tudung labuh nie!” janji ana pada diri sendiri.
Sebaik sahaja minggu orientasi untuk pelajar tingkatan empat tamat. Sesi pembelajaran berjalan seperti biasa. Dengan membawa imej sebagai bekas pelajar sekolah agama dan Maahad, ana mulakan perjalanan dalam ‘dunia baru’ yang tidak pernah terlintas difikiran sebelum ini.
-----------------------------
Minat terhadap sukan tidak pernah padam. Apatah lagi ana sudah banyak kali menjadi wakil sekolah dalam sukan bola tampar dan bola jaring. Mungkin menurun bakat abah barangkali kerana abah tetap bersukan sehingga ke hari ini.
Kebetulan pula sekolah tersebut membuka sesi pemilihan untuk menyerap masuk pemain baru. Ana pergi ke padang sekolah hampir setiap hari untuk membuat sesi latihan dan benar-benar berharap akan terpilih untuk mewakili sekolah tersebut dalam bola jaring.
Ketika kali pertama datang ke sesi latihan, ada mata yang memandang. Mungkin melihat imej tudung labuh ana dan baju yang ana pakai. Barangkali hati mereka terdetik, “boleh ke dia nie main dengan pakai macam tu?”
Ana biarkan sahaja pandangan mata-mata itu dan berlalu untuk memanaskan badan dengan berlari-lari anak di sekitar padang sebelum membuat senaman ringan. Itulah pakaian yang sudah ditarbiyah oleh para guru, ustaz dan ustazah di Maahad. Ana dilatih untuk tetap bertudung labuh dan memakai t-shirt labuh serta berseluar track bottom ketika bersukan. Maka, semua itu tidak menjadi masalah buat ana.
Ana anggap ini semua dakwah dan mahu mereka lihat Islam itu tidak pernah menyekat umatnya untuk melakukan apa sahaja aktiviti selagi tidak melanggar batas-batas syariah. Dan juga mahu mereka mengerti, Islam bukan sahaja hanya pada solat, puasa, mengaji al-Quran dan sebagainya. Tetapi ianya meliputi seluruh ruang kehidupan kita dalam hidup. Bagaimana kamu ketika solat, itulah kamu diluar solat!
Hari demi hari berlalu dan tibalah hari pemilihan pemain untuk dijadikan satu team yang bakal mewakili pihak sekolah dalam acara bola jaring. Alhamdulillah nama ana terpilih untuk diserap masuk sebagai pemain tetap. Hanya Allah s.w.t. yang tahu betapa bersyukurnya ana ketika itu. Peluang itu tidak sekali-kali ana lepaskan kerana itu mungkin peluang ana untuk buka mata saudara seIslam untuk melihat keindahan agama yang mereka anuti.
Latihan diteruskan. Ana diletakkan di posisi Goal Shotter (GS) atau penyumbat goal. Kemahiran dan teknik mengagak ketepatan untuk bola masuk ke lubang tidak ramai yang mampu kuasai. Kelebihan ana adalah menyumbat bola dari jarak jauh dan kelemahan ana adalah menyumbat bola dari jarak dekat. Pelik kan? Itulah unik ciptaan Allah s.w.t.
Ketika bola berada ditangan, mata memandang gelung yang berada ditiang dan ana mengagak setakat mana jarak dan kekuatan balingan yang perlu dibuat untuk bola tersebut masuk. Lafaz basmalah ana ucapkan setiap kali sebelum balingan dan lafaz alhamdulillah mengakhiri balingan ketika bola masuk tepat dalam gelung. Syukur ke hadrat ilahi kerana pemain-pemain yang lain terikut-ikut cara ana. Berdakwah melalui sukan!
Ketika mereka menyinsing baju lengan dan lebih senang memakai baju lengan pendek, ana berusaha untuk mengekalkan baju lengan panjang yang labuh dan longgar. Ketika mereka menyilang kain tudung dan mengikatnya dibelakang, ana berusaha untuk mengekalkan imej dengan bertudung labuh. Ketika ada yang menanggalkan tudung selepas penat berlatih untuk hilangkan kepanasan, ana hanya mampu tersenyum.
Detik yang tidak mungkin ana lupakanlah adalah tatkala ketika sekolah ana mendapat tempat kedua kategori umur 13 hingga 15 tahun dan tempat keempat bagi kategori umur 16 hingga 18 tahun. Waktu itu kami dalam perjalanan pulang ke sekolah setelah kepenatan bersaing dengan banyak sekolah.
“pak cik, kuatkan suara radio. Kami mahu berkaraoke!” jerit sahabat ana dari arah belakang bas. Pemandu bas tersebut hanya menuruti permintaannya lalu menguatkan volume radio dengan lebih kuat. Mereka menyanyi dengan kuat diatas bas sambil membuat aksi yang betul-betul memuakkan ana!
Ana jadi tergamam dengan aksi mereka, hilang keayuan dan kesopanan sebagai wanita Islam. Ana mengalihkan pandangan ke luar tingkap dengan mata berkaca sambil hati berbisik “ini bukan caranya untuk meraikan kemenangan. Moga Allah berikan kalian hidayah”.
Ana melihat ada juga sahabat yang tidak suka dengan keadaan itu, mungkin bimbang bala Allah melanda dengan kemalangan jalan raya. Nauzubillah!
Ketika perhimpunan pada setiap pagi Isnin, ana diberitahu ada acara penyampaian hadiah untuk pemain yang telah mengharumkan nama sekolah. Kesemua pemain duduk dibarisan tepi untuk melancarkan sesi penyampaian hadiah.
Ada cikgu yang memandang ana, barangkali tidak percaya insan bertudung labuh seperti ana mampu bermain sebaris dengan pemain yang lain. Lalu dia bertanya ana, “main netball ke? berada di posisi mana?”
“Ia cikgu. Saya main bola jaring di posisi GS” jawab ana sambil mengukir senyuman.
Seorang demi seorang pemain naik ke pentas untuk mengambil medal dari pengetua sekolah. Ana naik dengan penuh debaran kerana hanya ana seorang bertudung labuh dalam kalangan mereka. Terasa bangga dengan imej Islam yang ana bawa, dan ianya berjaya membuka mata insan yang memandangnya dari jauh.
Sebaik sahaja masuk ke kelas untuk menyambung sesi pembelajaran. Ada sahabat lelaki yang menyapa, “tengok medal boleh?”. Lalu ana berikan kepadanya. Dan dia berkata, “tidak saya sangka, insan yang bertudung labuh seperti kamu juga hebat. Tahniah!”
-----------------------------
Alhamdulillah minat dan kegilaan ana terhadap nombor dan angka benar-benar membantu ana menyelesaikan soalan-soalan subjek perakaunan. Tidak kurang juga memudahkan dan menyenangkan hati ana tatkala mengadap soalan-soalan matematik tambahan yang selalu menjadi subjek ‘ngeri’ bagi sesetengah pelajar.
“Haaa…asma’, selesaikan soalan nie.” arah cikgu matematik tambahan ana sambil tangannya menunjukkan ke arah papan hitam.
Sudahlah penat ketika bertugas sebagai jurujual di koperasi sekolah tidak hilang lagi. Masuk sahaja dalam kelas, sudah ada ‘kejutan’ yang menanti. Ana cuba mengelak, “ala cikgu, minta orang lain buatkan boleh tak? saya baru je nak masuk kelas..hehe”.
“Takde orang lain, saya nak suruh awak buat juga”.
Ana berlalu ke meja untuk mengambil kalkulator dan terus berlalu ke depan kelas untuk menyelesaikan soalan matematik secara spontan di atas papan hitam. Berdebar juga sekiranya jawapan salah dan tidak jumpa solusi. Namun, tidak semudah itu ana mengalah sebelum mencuba.
Setelah berlalu beberapa minit, “okey cikgu, dah siap…” kata ana sambil memandang cikgu yang memerhatikan ana menjawab soalan tersebut dari mejanya.
“Baik…pergilah duduk sambil minum air dan hilangkan penat tu..hehe” katanya pula.
Ana berlalu ke meja dan duduk. Sahabat yang berada disebelah ana bersuara, “bagus, betul dah jawapan awak tu…” ternampak jalan pengiraan yang dia buat diatas kertas.
“alhamdulillah”, kata ana sambil meneguk air minuman yang dibawa dari rumah. Ana melihat cikgu menyemak jawapan yang ana tulis.
Sesekali terdengar dia berkata, “yang nie betul. Yang nie pun betul…” sambil tangannya membuat tanda betul di tepi jawapan yang ana tulis.
“alhamdulillah jawapan yang asma’ buat betul. Tengok, walaupun dia tak tahu apa yang kita bincangkan sebab masuk lambat dalam kelas, jawapan yang dia buat betul sekiranya tahu teknik dan kaedah untuk selesaikannya” terang cikgu dengan panjang lebar.
Hikmah yang ana perolehi hasil daripada peristiwa itu, ada beberapa orang sahabat yang mula meminta ana bantu mereka untuk selesaikan soalan yang tidak jumpa solusinya. Lalu ana tunjukkan jalan kiranya satu persatu dan berkata kepada sahabat ana.
“matematik nie kena buat latih tubi tiap-tiap hari, barulah dapat kuasai tekniknya. Cuma, sebelum mulakannya kenalah selalu baca doa penerang hati supaya apa yang kita belajar tu mudah masuk. Lepas tu kenalah jaga diri kita dari buat apa-apa maksiat. Ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak akan duduk dalam hati yang gelap gelita”. mereka terdiam mendengar butir bicara ana.
Itulah pesanan yang telah diberikan kepada ana ketika belajar di Maahad dulu dan ana sampaikan pula kepada mereka. Berdakwah melalui pelajaran!
---------------------------
Hari demi hari berlalu. Berada disekolah tersebut dan bergaul dengan macam-macam jenis manusia yang tidak pernah ana jumpa sebelum ini benar-benar menguji kesabaran!
“Eh…aku rasa, aku nampak kau kat shopping complex la. Dah la pakai baju seksi gila, rambut siap warna lagi. Aku tegur pun tak layan dah” katanya sambil memandang ke arah ana.
Sahabat sekelas ana yang lain tergamam seketika, mungkin terkejut dengan tomahan yang dibuat ke atas ana. Ketika itu ana baru sahaja masuk ke kelas selepas bertugas di koperasi sekolah masa rehat. Ana berlalu ke meja sambil berkata “alfitnatu asyaddu minal qatlu”.
Dia tergamam! Mungkin tidak tahu apa yang ana katakan barangkali. Terdengar suara lelaki dari belakang kelas, “fitnah itu lebih besar dari membunuh. Terbaiklah! Mati kutu kau, berani sangat nak kacau dia. hahaha…”.
Ana dah masak dengan perangai budak tu. Sengaja nak buat ana marah sebab ana selalu bagi amaran kat dia supaya jangan kacau pelajar perempuan dalam kelas nie. Pernah terjadi ada pelajar perempuan dalam kelas tu mengadu dekat ana yang budak tu cuba untuk buat benda tak senonoh dekat dia masa dalam makmal. Tangan yang suka merayap mencari mangsa untuk melunaskan nafsu serakah!
Percaya tak kalau ana cakap yang ana hampir mahu menumbuk mukanya? Muka ana merah padam, tangan ana menggeletar ketika itu. Saat itu ada pelajar yang pergi ke arah ana dan membisikkan sesuatu ke telinga ana, “asma’, tolong saya. Dia cuba nak raba saya.”
Budak tu cuba dekat dengan dia, tetapi ana bangun dari tempat duduk dan berkata “sekali lagi kau buat, nahas aku kerjakan!”. Itulah aksi spontan yang selalu terjadi dalam kelas tersebut. Pelajar lelaki dalam kelas tersebut pun tak berani nak lawan dia sebab mereka bagitahu budak tu ada geng samseng diluar sekolah.
Namun, apalah sangat kudrat yang ana ada. Hanya kekuatan jiwa dan kebergantungan kepada Allah s.w.t. sahaja yang ana miliki. Cuma budak tu tak berani nak buat hal kat sekolah dengan ana sebab ramai kawan-kawan abah jadi cikgu kat sekolah tu. Dia pernah ugut ana tetapi ana tak kisah pun, asalkan maruah sahabat ana terjaga!
Hidup kami akan jadi aman apabila budak tu tidak hadir ke sekolah. Itu lebih baik buat pelajar yang ada dalam kelas tersebut yang benar-benar mahu mengejar cita-cita hingga ke puncak. Bukannya sekali dua dia kena gantung sekolah. Sudah berkali-kali, rekod displinnya sepanjang bersekolah disitu begitu buruk. Hampir sahaja dia dibuang sekolah.
Apabila ana selidik dari teman-teman rapatnya, mereka bagitahu yang dia ada masalah keluarga. Dia merupakan anak orang kaya tetapi sayang, ibu bapanya bercerai. Hidupnya jadi terumbang ambing tanpa arah tujuan. Wang saku sentiasa penuh dalam poket, namun kering kontang dengan kasih sayang!
Ana tidak salahkan dia 100 peratus atas kelakuan buruknya yang memang menyakitkan hati dan menguji kesabaran ana, kerana ana tahu ibu bapanya juga bersalah dalam soal ini.
Setiap insan yang berada dalam kelas tersebut punya kisah hidupnya sendiri termasuk diri ana. Jika ibu bapanya memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang, anaknya pula yang buat hal. Jika anaknya cuba untuk jadi anak yang terbaik buat kedua ibu bapanya, ibu bapanya pula yang buat hal. Dan dia, kedua-kedua ‘pakej’ tadi ada padanya!
Jadi, tugas siapa untuk merawat masalah sosial dan keruntuhan institusi kekeluargaan seperti ini yang semakin parah menyerang masyarakat komuniti? Usah diletakkan amanah dan tanggungjawab sosial seperti ini dibahu para ustaz dan ustazah semata-mata. Tetapi sematkan dalam jiwa dari setiap kamu, “aku mahu membantu ummah”.
---------------------------
Ketika berada di penghujung untuk menduduki peperiksaan SPM. Ana dikejutkan berita bahawa ada seorang sahabat ana sudah berhenti sekolah sebab dia berkahwin. Agak terkejut sebenarnya dengan berita tersebut. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja sudah menikah.
Hati ana tidak tenang dengan berita yang diterima. Setelah diselidik dan memaksa sahabat rapatnya bagitahu hal yang sebenar, hati ana jadi sayu. Masih tergiang-giang kata-kata teman rapatnya, “dia hamil diluar nikah, lepas tu keluarga dia paksa kahwin dengan lelaki yang buat tu”.
Tidak terluah soalan yang mahu ana tanya seterusnya, tidak sanggup untuk mendengar cerita dia dengan lebih lanjut. Hati begitu pedih dan sakit! Tidak reda dengan kisah itu, muncul pula masalah yang lain.
“ish…menyampah betul la tengok!” bentak sahabat sekelas ana. Terpelanting kerusi plastik disepaknya.
Setelah itu kelihatan seorang lelaki meluru masuk ke kelas ana dan pergi ke arahnya seolah-olah mahu memujuknya. Budaya couple dekat sekolah nie sudah menjadi trend. Siapa yang ada couple dianggap hebat dan bagi yang tiada dianggap kolot. Jadi, ana nie kolot la ye sebab hanya menyimpan cinta untuk suami yang sah?
Hati terasa pedih dan malu sangat-sangat sebab yang buat adegan perdana tu adalah bekas pelajar sekolah agama. Patutlah ada yang pernah cakap dekat ana, “ala…pakai tudung labuh sekejap je tu, aku nak tengok berapa lama kau boleh bertahan”.
Ana rasa pelik dengan mereka berdua, rapatnya lain macam sedikit. Mengagak, “mungkinkah mereka sudah…….” ana tidak mampu untuk menghabiskan ayat tersebut kerana berharap ianya tidak berlaku seperti yang ana fikir.
Ana dapat tahu yang dia sudah tidur bersama dengan teman lelakinya. Katanya, “dia nak saya buktikan cinta dan kasih sayang saya kat dia. Mula-mula tu saya tak nak juga, tetapi bila dia asyik pujuk. Akhirnya saya serahkan semuanya kepada dia…”.
Air mata ana mengalir deras tatkala membaca mesej yang dihantar olehnya. Tiada kata yang mampu ana tulis untuk membalas mesej tersebut. Terkedu dan tergamam seketika. Hati bermonolog sendiri, “semudah itu engkau serahkan mahkota kepada lelaki yang tidak halal buatmu”.
Ana tahu kisahnya yang sebenar sewaktu sedang belajar di Kolej Matrikulasi Perlis. Ketika itu ana memaksanya untuk menceritakan hal yang sebenar. Ana menangis teresak-esak bagaikan ana kecil di tepi jendela kerana tidak menyangka sahabat ana tergamak lakukan semua itu tanpa memikirkan azab yang bakal dia terima di mahkamah Allah nanti.
Hati berkata-kata, “maafkan aku wahai teman kerana tidak mampu untuk menjadi sahabat yang terbaik buatmu. Jika aku dapat putarkan waktu, pasti aku akan sentiasa berada disisimu untuk engkau merasai kasih dan cinta seorang sahabat pasti lebih berharga dari cinta lelaki yang tidak halal buatmu. Maafkan aku wahai sahabat….”.
-----------------------------------
Bergaul dengan mereka yang telah hanyut dan juga insan yang cuba mencari cahaya hidayah benar-benar membuatkan ana tersedar bahawa dibahu ini terpikul satu amanah dan tanggungjawab sosial untuk membantu dan menghulurkan tangan untuk sama-sama memimpin tangan menggapai redha Allah s.w.t. dalam segenap ruang kehidupan. ‘Dunia baru’ yang telah ku lalui ketika itu telah banyak membuka mata dan minda ini bahawa ummah semakin tenat!
Kadang-kala kepenatan dan keletihan datang menyapa. Ketika terasa lemah dengan ujian dan halangan yang terbentang luas dihadapan. Pasti memori ketika berada di ‘dunia baru’ datang menerpa diminda, sekaligus menaikkan semula semangat ana untuk terus berada dalam arena dakwah.
Mampukah ana untuk laluinya sekali lagi untuk berhadapan dengan masyarakat yang pastinya cabaran itu lebih besar dan hebat ketika tamat Ijazah Sarjana Muda nanti?
Ana juga tidak punya jawapan akan persoalan itu. Apa yang ana tahu, “demi ummah, akan ku teruskan langkah…”. Wallahua’lam.
Asma’ Binti Suardi