“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau berikan, moga-moga hamba ini menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah, syukur pada Allah. Akhirnya dibukakan hati untuk menulis. Permulaan tahun 2012 yang agak mencabar dan agak lain dari kebiasaan kerana mungkin ini peperiksaan akhir ana sebelum bergelar graduan. Apatah lagi kertas pertama jatuh pada 1 Januari 2012.
Tidak sabar rasanya untuk menamatkan ijazah sarjana muda pada tahun ini, doakan moga ana berjaya tamatkannya dalam tempoh yang ditetapkan dan menyambung master pada tahun ini juga. ameen~
Mungkin ada dalam kalangan kalian begitu teruja untuk memasuki tahun baru Masehi iaitu 2012 dengan pelbagai azam yang diatur dan disusun untuk dilaksanakan dalam satu tahun tersebut walaupun pada hakikatnya umat Islam sudah pun menyambut tahun baru pada 1 Muharam 1433H yang lepas.
Dan kalau diikutkan dalam kalendar Islam, umur ana sudah pun mencecah 23 tahun pada 2 Safar 1433H yang lalu. Cuma dalam kalender masehi sahaja belum dan lambat lagi. Umur yang makin meningkat ini sebagai peringatan bahawa masa kita di dunia semakin berkurangan. Jadi, gunakan masa yang masih ada ini dengan sebaik-baiknya.
Jika ada yang gembira dan bersemangat untuk melalui permulaan tahun 2012 ini, ana pula sebaliknya. Permulaan tahun baru ini ditemani dengan air mata yang tidak dapat ana kenalpasti apa puncanya. Hati jadi begitu sedih sekali, apatah lagi sudah lama tidak balik bertemu keluarga atas amanah dan komitmen yang masih berbaki.
Seingat ana, sepanjang melalui jalan yang telah ana pilih sejak sedar diri ini punya tanggungjawab dan amanah untuk ummah ketika berada di tingkatan 5, inilah kali kedua ana menangis semahu-mahunya.
Pertama kali dulu 2 tahun yang lepas, ketika selesai solat semasa menadahkan tangan untuk berdoa. Air mata mengalir deras membasahi pipi hingga mengambil waktu yang lama untuk hentikannya. Ketika itu dada terasa sesak sekali, mungkin kerana ana memendam rasa kepahitan bertahun lamanya. Sukar sekali untuk diluahkan dengan kata-kata bagaimana rasa ketika itu.
Bukannya diri ini tidak pernah menangis ketika difitnah, dicaci, dihina dan tidak kurang juga disisihkan hanya kerana Islam yang mahu ku julang. Cuma ketika itu hati sudah tidak mampu menanggung keperitan itu bertahun-tahun hingga ianya diterjemahkan melalui air mata. Akibatnya, ana jatuh sakit.
Sebaik sahaja sembuh dari segi mental dan fizikal, urusan dakwah diteruskan. Kali ini lebih matang dan tenang. Ditekan, diherdik, dikritik, dan bermacam lagi. Namun masih mampu mengukir senyuman, mungkin kerana latihan tarbiyah yang ana lalui sepanjang tempoh perjalanan bergelar daie membuatkan diri ini sudah lali dengan semua itu.
Tetapi…setinggi dan sekuat mana pun semangat ‘besi’ yang ku ada. Aku tetap hamba yang lemah… Benar….hanya seorang hamba kepada Tuhan Yang Maha Agung. Permulaan tahun 2012 begitu mencabar dengan emosi yang tidak stabil, apatah lagi peperiksaan yang mungkin terakhir bagiku. Allah…beratnya…(T_T)
Mahu tahu insan yang hipokrik?
Pura-pura tabah, sedangkan hatinya berada dalam kesedihan.
Pura-pura kuat, sedangkan hatinya rapuh ketika itu.
Pura-pura cekal, sedangkan hatinya merintih.
Pura-pura senyum, sedangkan hatinya menangis?
Insan itu adalah aku………….
Benar, mataku cuba seikhlasnya senyum setelusnya dari hatiku. Namun disebalik wajah yang ditutupi sehelai kain, terselindung wajah suram ditemani air mata.
Pura-pura tabah, lama-lama kuat!
Kerana itulah blog ini diprivate untuk sementara waktu supaya hati ini tidak menulis dengan emosi. Mohon maaf ana pinta kepada pembaca yang mungkin kehairanan sejenak apabila tidak boleh masuk ke blog ana. Mohon maaf juga ana pinta kepada sahabat yang menunggu untuk membaca coretan ana lagi. Doakan ana terus kuat dengan semangat ‘besi’ yang terus menerus memberi manfaat buat ummah.
Dalam tempoh itu, ana membatalkan keputusan untuk pulang ke rumah dan pergi mengembara ke Penang disamping menziarahi kakak sulung ana di USM dengan membawa hati yang cuba dipujuk dan dibelai dengan membawa diri ke dunia asing serta meninggalkan apa yang terbentang di depan mata.
Alhamdulillah…sepanjang tempoh beruzlah itu, ana perolehi begitu banyak ibrah dan pengalaman. Terasa mahu pergi mengembara ke tempat lain pula untuk melihat hikmah disebalik sebuah kehidupan yang diciptakan oleh Allah s.w.t.
Tidak ada yang lebih memahami dan mengerti rasa hati ini melainkan pemilik yang menciptakannya….Makin jatuh cinta dengan Allah s.w.t… alhamdulillah…(^^,)
InsyaAllah jika Dia izin dengan ilham dan kelapangan waktu yang ada, ana akan kongsikan pengalaman ana ketika berada di Penang. Nantikan ye sahabat-sahabat. Masih berbaki 3 kertas peperiksaan lagi. Wallahua’lam.
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(^^,)