Sabtu, 31 Disember 2011

Praktikal Dakwah Lapangan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah, puji-pujian hanya layak buat Mu. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Apa khabar Iman kalian semua? Semoga ianya terus mumtaz dan mampu mendidik nafsu untuk tunduk kepada Iman. InsyaAllah…ameen…(^^,)

Alhamdulillah atas keizinan dan kekuatan dari Allah untuk ana berkongsi ilmu dan pengalaman yang diperolehi semasa membuat praktikal dakwah lapangan pada 23 Disember 2011 yang lalu di Sungai Petani, Kedah dengan membawa turun para aktivis UNGGAS UUM seramai 9 orang muslimin dan 26 orang muslimat.

Langkah kami bermula dimasjid dengan memberikan sedikit taklimat berkaitan program yang bakal dilaksanakan nanti. Setelah doa selamat dibacakan, kami mula bergerak ke destinasi dengan berkonvoi sebanyak 5 buah kereta dan sebuah motosikal.

Kami selamat tiba di Masjid Muzaffar Shah, bersebelahan dengan Taman Jubli Emas untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua unit Jaringan & Latihan, Pertubuhan UNGGAS Malaysia iaitu Ustaz Kamaruddin Kassim. Sesi bermula dengan ta’ruf sesama kami dan seterusnya penerangan sedikit berkaitan kaedah atau teknik hemoi yang bakal digunakan nanti ketika berhadapan dengan mad’u (sasaran).

Ustaz Kamaruddin sedang memberi taklimat

Setelah itu Ustaz Kamaruddin juga berkongsi pengalaman yang beliau perolehi sepanjang bergelar aktivis dakwah disamping membekalkan kepada kami sedikit ilmu dan nasihat agar terus mempertingkatkan diri dengan kemahiran, pengetahuan dan kepekaan terhadap isu semasa.

Mula bergerak ke lokasi sasaran

Sebaik sahaja sesi taklimat selesai, kami mula bergerak ke kedai untuk sarapan pagi sebelum turun ke lokasi yang telah ditetapkan iaitu Taman Jubli Emas yang menjadi tempat pasangan kekasih bermadu kasih. Ketika turun ke taman tersebut, ana mencari mad’u untuk memulakan sesi praktikal dakwah lapangan. 

Ana dan dua orang adik junior muslimat terus bergerak ke arah pasangan couple dan memulakan teknik hemoi yang telah dipelajari dengan mengulurkan tangan sambil memberikan salam disamping senyuman yang terukir. Walaupun ada kain yang menutup wajah ini, ana yakin mad’u tersebut melihat ‘senyuman’ ana…(^^,)

Kami bertiga cuba berukhuwah dan bermesra dengan pasangan tersebut dengan memperkenalkan diri dan bertanya soalan asas seperti tinggal dimana? masih belajar atau sudah bekerja? umur berapa? dan soalan berkaitan keadaan tempat tersebut.

Setelah itu, barulah selitkan nasihat dan pesanan dalam nada yang agak sempoi tetapi ‘tembakan’ tersebut mengena pada hati sasaran yang ‘ditembak’. Dan alhamdulillah dia boleh terima sambil meminta nombor telefon ana. 

Tidak ana sangka, ketika kami bergerak ke lokasi seterusnya, ana terserempak dengan dia lagi dan ketika itu dia yang menyapa ana terlebih dahulu. Jadi, daripada situ ana membuat kesimpulan bahawa kaedah dan teknik hemoi yang kami gunakan benar-benar lembut dan mesra.

Sekitar pukul 12.30 tengahari, para muslimat bergerak ke lokasi seterusnya sementara menunggu para muslimin selesai menunaikan solat Jumaat. Kami bergerak ke deretan kedai di perhentian bas Sungai Petani dan naik ke tingkat atas. Disitu, ana terangkan kepada para aktivis muslimat yang baru pertama kali turun ke tempat seperti itu dan mengambil gambar serta mencatat bahan yang dijumpai untuk dibuat kajian dan laporan.

Antara sisa tinggalan yang ditemui

Setelah itu, para aktivis muslimat bergerak ke Masjid Jamek  untuk solat jamak secara berjemaah. Alhamdulillah ketika selesai solat dan menunggu para aktivis muslimin sampai ke Masjid Jamek, kami semua langkah kanan kerana dijemput oleh komuniti masyarakat untuk menjamu selera makan tengahari. 

Bersyukur dalam hati kerana Allah s.w.t. menghantar mereka untuk menjimatkan duit poket kami yang masing-masing menggunakan duit sendiri untuk turun praktikal dakwah lapangan…(^^,)

Lunch time! alhamdulillah...(^^,)

Ketika ini juga Ustaz Kamaruddin berpesan kepada kami untuk mengasah teknik hemoi dengan komuniti setempat. Alhamdulillah dengan mudah kami dapat masuk dengan mereka. Setelah selesai mengisi perut dan bersalam dengan mereka serta mengucapkan terima kasih atas kebaikan mereka menjemput kami makan, kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu ‘persinggahan’ penghisap gam dan peminum arak. 

Tin gam yang sering digunakan oleh penghisap gam

 Ketika kami sampai, ada dua orang lelaki berbangsa India sibuk mencari dua orang lelaki dan perempuan melayu yang dikatakan penagih tegar disitu. Banyak sisa tinggalan mereka seperti tin gam, putung rokok dan botol arak. Seperti biasa, kami mengambil gambar dan mencatat apa yang perlu dan bergerak ke lokasi seterusnya iaitu pusat membeli belah.

Ketika berada dipusat membeli belah, kami diberi peringatan oleh Ustaz Kamaruddin supaya berjaga-jaga ketika mengambil gambar kerana lokasi tersebut tidak dibenarkan mengambil gambar. Kami menuju ke tingkat 4 dimana terdapat bilik karaoke yang sering menjadi tumpuan pasangan couple.

Maka, kami mendekati mereka dengan tujuan untuk memberi pesanan, nasihat dan peringatan dan bukan untuk menghukum mereka walaupun mereka sememangnya bersalah kerana telah melanggar ‘undang-undang Allah’. 

Sebaik sahaja kami mahu keluar dari tempat karaoke tersebut, ada remeja punk lalu dihadapan kami. Ternyata Ustaz Kamaruddin lebih pengalaman ‘menundukkan’ mad’unya dan disitu ana melihat betapa berhikmahnya kaedah yang beliau gunakan. 

Sempat juga beliau berkongsi ilmu tentang kaedah yang digunakan oleh As-syahid Hassan Al-Banna ketika as-syahid ini berdakwah dipusat hiburan hinggakan as-syahid ini diminta untuk menyambung ucapannya yang pada mulanya hanya diberi masa selama 5 minit sahaja.

Kami bergerak ke tempat hiburan (mesin permainan, karaoke jamban, pawagam, dan tempat bermain bowling) tingkat atas yang lebih ramai mad’u untuk didekati. Di sini ana nampak ada peningkatan dari segi kaedah pendekatan yang digunakan oleh para aktivis walaupun pada mulanya ada rasa takut, gementar dan ‘gerun’ untuk dekati mad’u.

Lokasi terakhir kami sebelum kembali semula ke titik permulaan kami iaitu di Masjid adalah kawasan perumahan yang dijadikan sarang penagih dadah dan penghisap gam. Kami mengambil gambar dan mencatat segala bahan yang ditemui untuk dimasukkan dalam kajian dan laporan.

Bergerak ke kawasan perumahan

Setelah itu, kami bergerak ke Masjid Jamek dan membuat post-moterm tentang apa yang diperolehi sepanjang praktikal dakwah lapangan ini. Alhamdulillah ianya satu perkembangan yang positif disamping memberi ibrah (pengajaran) kepada para aktivis yang turun.

Ini hanya usaha kecil…benar, hanya kecil sekali jika dibandingkan dengan apa yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam yang terdahulu. Kami ini hanya penerus perjuangan yang telah ditinggalkan. Masih ramai insan diluar sana menunggu ada orang yang sudi menghulurkan tangan untuk membantu mereka keluar dari dunia yang penuh kegelapan. 

Apakah kalian hanya mahu berpeluk tubuh dan memandang dari jauh sahaja sambil mengutuk dan mencaci mereka tanpa ada sedikit cebisan belas kasihan dan tanggungjawab untuk membantu mereka mencari roh Islam yang sebenar? Fikirkanlah.

Jika hati itu masih punya rasa tanggungjawab untuk ummah, ayuh sertai kami dengan menghadirkan diri ke program Himpunan Sayangi Belia, Sempena Malam Tahun Baru di Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang bagi penduduk yang berada di sekitar bahagian Utara. Wallahua’lam…

Sila tekan digambar untuk imej yang lebih besar

.::Berbakti Selagi Mampu, Untuk Ummah::.
blog comments powered by Disqus