“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas keizinanMu untuk hamba ini terus rukuk dan sujud kepadaMu, pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat Imam Umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah wa syukurillah atas keizinanNya untuk hamba ini bertinta lagi. Semoga nukilan ini memberi manfaat buat insan yang membacanya, insyaAllah.
Pada 20 Disember yang lalu, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan ‘Bengkel Dakwah Melalui Media’ yang telah menjemput penulis yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Zahiruddin Zabidi dengan penyertaan lebih daripada 30 orang. Alhamdulillah…
Bengkel ini bermula dengan perkongsian pengalaman yang dilalui oleh guru beliau dan pengalaman Ustaz Zahiruddin Zabidi sendiri. Bagi ana, ianya cukup memberi motivasi dan impak yang cukup besar dalam arena dakwah yang sedang ana lalui kini.
Hinggakan hati ini bermonolog sendiri sebaik sahaja ustaz selesai berkongsi pengalaman beliau, “Ya Allah…tidak ku sangka, rupa-rupanya hanya dengan sebuah artikel yang ditulis dan disalurkan melalui media, ianya memberi impak yang begitu berkuasa pada zaman ini”. Dan ana berazam untuk mengasah lagi bakat penulisan yang ada.
Ana teringat perkongsian seorang pembaca majalah solusi dalam kolum Respon iaitu surat dari pembaca, dia memberitahu “ibu mentarbiyah kami adik beradik dalam diam. Setiap bulan, ibu kami pasti membeli majalah ini dan akan membacanya hingga habis. Setelah itu, ibu akan meletakkan majalah ini diatas meja makan di ruang tamu dan berlalu ke dapur untuk menyiapkan kerja-kerjanya. Kami adik beradik ternampak majalah ini diatas meja, lantas mengambil dan membacanya secara bergilir. Subhanallah, begitu banyak sekali ilmu yang kami dapat dalam majalah tersebut. Banyak persoalan agama yang timbul dibenak difikiran kami terjawab dengan sendiri hanya dalam sebuah majalah tersebut. Bulan depan, pasti ibu akan beli dan membuat perkara yang sama tanpa meminta kami membacanya. Dan barulah saya sedar, ibu cuba mentarbiyah kami dalam diam melalui penulisan para ilmuan dalam majalah tersebut”.
MasyaAllah…ana berdoa moga diri ini berpeluang untuk berkarya seperti mereka. Jika insan lain berubah kearah kebaikan hasil dari keinsafan membaca karya-karya yang menyentuh soal-soal agama dan hijrah menuju keredhaan Allah, tidak terhitung betapa banyak saham pahala akhirat yang telah penulis tersebut dapat.
Tetapi awas. Jika penulis sebuah artikel, akhbar, majalah dan seangkatan dengannya menulis dan mengajak kearah lembah maksiat dan kehinaan. Saham dosa akhirat akan penulis tersebut dapat, free of charge!
Maka, ustaz berkongsi ilmu tentang lapan Maqasid Nuzul al-Quran dari Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qardhawi supaya kami berdisplin, menjaga dan menapis setiap penulisan yang ditulis agar selari dengan tuntutan dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Antaranya adalah tulisan yang berbentuk membetulkan akidah, perakuan kemuliaan manusia, keabdian kepada Allah, pembersihan jiwa, pembentukan keluarga, pembinaan sakhsiah, dakwah, dan toleransi kepada bukan muslim. Untuk mengetahui lebih lanjut, para pembaca boleh membuat rujukan dalam buku Anatomi Al-Quran, karya Dr. Ammar Fadzli.
Tidak cukup setakat itu, dalam bengkel ini juga Ustaz Zahiruddin Zabidi berkongsi ilmu dengan kami, bagaimana bentuk penulisan yang ada disamping membuat latihan penulisan diakhir program dengan menggabungkan model al-Quran dan Sunnah iaitu ilmu, pengalaman dan imaginasi untuk menghasilkan sebuah penulisan.
Apabila ustaz menyatakan, “sekiranya Saidina Uthman Bin Affan mendengar pendapat Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khatab untuk tidak mengumpul dan menulis ayat-ayat al-Quran yang dihafaz dan ditulis oleh para ulama’ diatas kulit binatang dan pokok-pokok, apakah kita dapat mengenali dan membaca al-Quran seperti yang kita ada hari ini?”
Diri ini merenung sejenak kata-kata beliau sambil teringat kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Tatkala burung Hud-hud datang mengadap Nabi Sulaiman dengan membawa berita tentang ada sebuah negeri bernama saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis yang menyembah selain Allah s.w.t. dalam al-Quran.
“sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahkan segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah. dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk”
(Surah an-Naml, ayat 23-24)
Maka berlakulah dialog antara Nabi Sulaiman dan burung Hud-hud hingga Nabi Sulaiman meminta burung hud-hud mengutuskan surat kepada Ratu Balqis.
“pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan. Berkatalah ia (Balqis): ‘Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya isinya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Bahawa janganlah kalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”
(Surah an-Naml, ayat 28 hingga 31)
Dan akhir kisah ini kita ketahui bahawa Ratu Balqis dan seluruh penduduk di negeri Saba’ menyembah Allah s.w.t.. Semua ini boleh dikaitkan dengan zaman kita dimana burung hud-hud itu sebagai media atau pemberita yang menyampaikan maklumat tanpa membawa penulis surat tersebut iaitu Nabi Sulaiman ke negeri Saba’.
Renunglah juga apabila surat itu diberikan kepada insan atau sasaran yang betul hingga memberi impak yang cukup besar kepada Islam. Hanya melalui seorang (Ratu Balqis) sahaja, ianya berjaya mengajak seluruh kerajaannya untuk menyembah Allah s.w.t.
Begitu juga seorang penulis yang menulis dalam blog, facebook, twitter, wordpress, buku, novel, majalah, surat khabar dan banyak lagi hingga mampu menyedarkan insan yang membaca tulisannya dan membawanya kembali kepada fitrah Islam yang sebenar.
Maka, ana menyeru diri ana sendiri dan pembaca sekalian untuk terus istiqomah dalam menulis. Bagi yang tidak pernah menulis, mulakan langkah pertama kalian hari ini dengan menghasilkan tulisan-tulisan pendek dan ringkas.
‘Tulisan itu tetap hidup merentasi zaman walaupun penulisnya sudah tiada’
Jutaan terima kasih kepada Pusat Islam UUM kerana sudi menganjurkan bengkel ini walaupun bertembung dengan banyak program lain dikampus. Kepada Ustaz Zahiruddin Zabidi, terima kasih atas segala ilmu, pendapat, perkongsian pengalaman dan kata-kata semangat yang telah dicurahkan kepada kami. Moga ada dalam kalangan kami yang akan meneruskan perjuangan pena penulis masakini. insyaAllah…ameen.
“Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam, menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam. Ianya merupakan satu jihad utama”
(Petikan daripada Kitab Fikhul Jihad karangan Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qardhawi)
‘Bersenjatakan’ Media, ‘Berpelurukan’ Penulisan
wallahua’lam….