Ahad, 30 Oktober 2011

Kasih Sayang Allah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini, moga diri ini menjadi sebaik-baik hamba buatMu. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Hatinya terusik dengan ketenangan insan yang berada dihadapannya.
Hebatkan ukhty nie? tenang hatta dihujani pelbagai musibah.” kata Humairah sambil memandang temannya.

MasyaAllah, ketenangan itu dari Allah s.w.t. ukhty. Masakan berani mengaku hebat sedangkan udara yang kita sedut ini pun milikNya….” balas Fasihah dengan nada lembut.

Fasihah ditahan dalam wad untuk sementara waktu hingga badannya benar-benar pulih kerna kekurangan darah dan oksigen dalam badan. Dia pengsan ketika sedang membuat operasi lapangan da’wah. Badannya keletihan, namun jiwanya tidak pernah merasa lelah.

Sesekali Humairah terdengar nafas Fasihah yang turun naik. Hatinya turut merasa pedih melihat temannya itu menanggung kesakitan penyakit yang dia alami. Tidak pernah sekalipun dia melihat Fasihah mengeluh, apatah lagi menyalahkan takdir.

“kenapa orang baik-baik sentiasa ditimpa ujian ye?” Humairah bersuara memecah kesunyian.

“kerna Allah rindu dan kasih kepada kita……” senyum Fasihah.


XXXXXXXXXXXXX

Diceritakan suatu masa dulu, ada sebuah negara yang ditadbir oleh seorang raja yang teramat kejam dan zalim kepada rakyatnya. Hampir setiap orang dalam negara tersebut merasakan kekejaman raja mereka.

Suatu hari, raja tersebut jatuh sakit. Lalu dia mengeluarkan titah “perintahkan kepada kesemua tabib dan doktor yang handal untuk merawat beta. Jika mereka ingkar, bunuh sahaja mereka!”

Kerana takut dibunuh oleh raja tersebut, seorang demi seorang para tabib dan doktor cuba merawatnya. Akhirnya seorang doktor dalam kalangan mereka menemui penawarnya.

“Penyakit Tuanku hanya akan sembuh dengan memakan ikan jenis ini. Namun sayangnya ikan tersebut tidak mungkin dapat ditangkap oleh para nelayan kerna ikan tersebut hanya akan melalui perairan negara kita pada musim tertentu dan bukan pada musim ini” jelas doktor tersebut.

“Beta tidak peduli! Bendahara, arahkan kesemua nelayan untuk mendapatkan ikan tersebut. Sekiranya tidak dapat, pancung kesemua kepala mereka.” titah raja tersebut.

Anehnya, sebaik sahaja para nelayan turun ke laut. berpuluh-puluh ekor ikan yang dimaksudkan oleh doktor tersebut dapat ditangkap dengan mudah. Maka, raja tersebut sembuh dari penyakit ganjil yang dialaminya.

Di sebuah negeri yang lain pula, ada seorang Sultan yang begitu adil dan saksama dalam pemerintahannya turut jatuh sakit dan terkena penyakit ganjil yang jarang sekali dialami oleh orang lain.

Sebaik sahaja seorang tabib merawatnya, tabib tersebut berkata “tuanku usah khuatir, penyakit tuanku akan sembuh jika tuanku makan ikan jenis ini. Sekarang musim ikan tersebut melalui perairan negera kita.”

Maka, berduyun-duyunlah rakyatnya pergi ke laut untuk menangkap ikan tersebut supaya Sultan yang adil itu kembali sembuh. Namun, suatu peristiwa aneh telah berlaku. Sebaik sahaja rakyatnya turun ke laut, seekor ikan pun tidak dapat mereka tangkap.

Akhirnya ia berlarutan hingga berminggu-minggu. Sultan tersebut akhirnya mangkat kerna tidak berjaya menemui penawar penyakitnya. Rakyat begitu sedih dan berkabung kerna telah kehilangan Sultan yang begitu adil dan saksama.

Para Malaikat yang melihat peristiwa itu berasa pelik, lalu mereka bertanya kepada Allah s.w.t.. “wahai Tuhanku, kenapakah Engkau sembuhkan Raja yang zalim itu dengan mengizinkan ikan-ikan yang tidak berada dimusimnya itu ditemui. Sedangkan Engkau mengambil nyawa Sultan yang adil itu dengan menghilangkan ikan tersebut walaupun ianya berada di musimnya?”

Lalu Allah s.w.t. menjawab, “kerna suatu masa dahulu raja yang zalim itu pernah membuat kebaikan kepadaKu, maka Aku membalas kebaikannya di dunia dengan menyembuhkan penyakitnya supaya apabila dia menghadapKu nanti, tidak ada pahala yang tinggal keatasnya, maka Aku dapat mencampaknya terus ke dalam neraka tanpa hitungan.”

‘Manakala Sultan yang adil itu pernah membuat dosa kepadaKu. Maka Aku membalasnya di dunia dengan menghilangkan penawar penyakitnya dan akhirnya dia meninggal dunia. Supaya apabila tiba hari perhitungan, tiada lagi dosa keatas dirinya dan Aku dapat masukkannya ke dalam syurga tanpa hisab.”

XXXXXXXXXXXXX

“Don’t push God to grant what we want. Allah always has the best treats for us."
(Nur Qina)

Yakinlah…Allah punya aturan yang hebat buatmu…(^^,)

wallahhua’lam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)

Jumaat, 28 Oktober 2011

Seminar Islam Nusantara


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepada hamba ini, moga hamba ini sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah atas keizinan Mu Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus menulis. Dua hari lepas ketika melihat keindahan malam di De BARON Resort Langkawi, disapa satu mesej,

“akak, dah lama tak jenguk Kembara Sufi Di Bumi Tuhan ke? hehe”

Ana baca mesej sambil senyum sorang-sorang. Maksudnya, dah dapat ‘teguran’ untuk segera update blog. Sebelum bertolak ana sudah melakar sesuatu dalam diari maya namun dipadam semula kerna merasakan hati punya ‘masalah’…(^^,)

Makanya, ana mohon jutaan kemaafan kepada yang menanti coretan artikel ana yang seterusnya. Berdoa dan terus berdoa moga tidak diputuskan ilham dan masa serta hati suci untuk menulis. Masih ada 3 artikel yang perlu ana postkan untuk bulan nie, moga dapat istiqomah pada bulan nie. InsyaAllah.

Baiklah, untuk artikel kali ini. Ana ingin kongsikan ilmu dan pengalaman yang diperolehi ketika mengikuti Seminar Islam Nusantara: Pemikiran dan Cabaran Masa Kini  peringkat ASEAN selama 3 hari 2 malam bermula pada 25 hingga 27 Oktober 2011 di De BARON Resort, Langkawi.

Terlalu banyak ilmu yang diperolehi hasil daripada pembentangan kertas kerja dari pelbagai bidang dan negara. Terasa begitu bertuah berada di sana dengan ilmu dan bidang yang pelbagai dari setiap pembentang. Subhanallah.

Banyak sekali kertas kerja yang dibentangkan dan kesemuanya menarik hati ana untuk mendapatkan buku yang mengumpul segala kertas kerja yang dihasilkan berdasarkan kajian dari pembentang dan rakan-rakan. InsyaAllah berguna untuk hasil kajian dan tindakan susulan yang akan datang.

Ada beberapa kertas kerja yang menarik minat ana dan salah satunya adalah berkaitan dengan strategi untuk menyelamatkan masyarakat dari keruntuhan akhlak. Kajiannya berkait rapat dengan tulisan Imam al-Ghazali dalam kitab ihya’ Ulumuddin.

Masalah utama adalah nafsu, iman yang turun naik serta hati yang sering ‘diserang’ dengan sifat-sifat mazmumah. Kesemuanya merupakan faktor terbesar kenapa masalah gejala sosial semakin membimbangkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Kerna begitu berminat dengan kajian yang Dr. Muhammad Tahir lakukan, sebaik sahaja sesi pembentang kertas kerja berhenti rehat untuk seketika, ana terus bersoal jawab dengan beliau secara personel. Manalah tahu dapat mencipta beberapa modul untuk program nanti.

“Rupanya untuk penuhi apa yang Allah s.w.t. suruh lebih mudah berbanding untuk menjauhi larangan Allah s.w.t.”
(Dr. Muhammad Tahir, USM)

Ana tersentak dengan permulaan bicara dari soalan yang ana ajukan. Lantas minda berfikir, benarlah apa yang dikatakan kerna masih ada insan yang melakukan maksiat walaupun sudah melaksanakan solat, puasa, bersedekah, membaca al-Quran dan sebagainya.

Kata beliau lagi, rukun Iman dan Islam mesti dipenuhi tanpa kompromi. Jika fahami dan laksanakan apa yang terkandung didalamnya, pasti akan dapat menepis nafsu yang tidak jemu-jemu untuk menjatuhkan kita.

Dan mesti ada yang tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk mendidik nafsu? Dr. Muhammad Tahir menjelaskan ianya mesti dilakukan dengan konsep mujahadah iaitu latihan yang berterusan. Hati itu perlu terlebih dahulu mengosongkan sifat-sifat mazmumah dan masukkan sifat-sifat mahmudah.

Contohnya jika sebelum ini dia begitu kedekut dan tidak gemar untuk menderma, namun untuk berubah dia perlu memaksa diri untuk menyumbang bermula dengan angka atau nilai yang sedikit dan istiqomah melaksanakannya.

Latihan rohani (mujahadah) ini mesti dilakukan secara berterusan dan selalunya individu tersebut mesti memaksa hatinya untuk melakukan ibadat dan ianya pasti akan berakhir dengan kemanisan iman serta akan merasa bersalah kepada hati jika tidak melaksanakan rutin harian seperti solat sunat dhuha, membaca al-quran dan sebagainya melainkan individu tersebut sudah mengalah di awalnya.

Dr. Muhammad Tahir juga ada menjelaskan tentang keajaiban hati. Latihan rohani yang berterusan akan membentuk hati yang untuh dan mampu mematahkan serangan nafsu. Jika terpesong dari jalan mujahadah, individu tersebut wajib untuk bertaubat supaya hati itu kembali suci dan bersih.

"kebanyakkan dari kita sudah menanam dan membajai masyarakat dengan ilmu dan tarbiyah, namun sayangnya terlupa untuk menyirami tanaman tersebut saban waktu. Kerna itu tanaman tersebut mati ketika membesar"

"Ibarat seperti seorang petani menanam tanaman dan berikan baja. Tetapi tidak menyirami tanaman tersebut dengan air dan berikan cahaya kepada tanaman tersebut hingga ia benar-benar menghasilkan tanaman yang sudah boleh dipetik menyebabkan tanaman tersebut layu dan rosak...."

(Prof. Zakaria Bin Stapa, UKM)

Benar juga apa yang dikatakan oleh Prof. Zakaria dan ianya berlaku di kampus ana sendiri. Sudah berapa banyak program kerohanian dilaksanakan namun kenapa masih banyak gejala sosial berlaku?

Hal ini kerna para da’ie disini lupa untuk ‘menyiram’ hati yang sudah ditanam dengan pengisian rohani yang berterusan atau memantau peserta-peserta yang mengikuti program yang dilaksanakan. Makanya, cadangan ana, satu modul perlu direka dengan memasukkan konsep mujahadah & istiqomah dalam setiap program supaya produk yang dilahirkan mampu menyumbang sesuatu untuk ummah.

Ana tertarik juga dengan ucaptama yang disampaikan oleh Prof Zakaria Stapa ketika majlis perasmian. Kata beliau, “kita selalu marah dan kritik astro, nak mudahkan cerita, beli sahaja astro tu. Tak suka AirAsia yang tak cukup kain, dedah sana, dedah sini, ada duit beli je AirAsia tu. Kita nie reti kutuk dan kritik je, tapi tanya kat diri sendiri apa pula yang kita lakukan untuk ummah?”

Pendapat ana setelah mendengar ucaptama beliau, isu ekonomi menjadi isu kedua terbesar setelah isu akidah. Jika dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam, kebanyakan negara Islam ‘tunduk’ kepada negara Yahudi kerna ekonomi negara mereka masih mundur dan negara Yahudi sengaja menghulurkan bantuan kewangan dengan muslihat yang terselindung.

Lihatlah…..dunia ini masih perlukan lebih ramai aktivis dan sukarelawan dari segenap bidang. Apakah kamu masih mahu berpeluk tubuh dan bergoyang kaki sahaja???

Tidak mampu berikan idea dan pandangan, boleh hulurkan kewangan atau sumbangan. Jika tidak mampu hulurkan sumbangan, hulurkanlah kudrat dan tenaga yang ada. Jika tidak mampu juga, doakan insan-insan yang berjuang pada jalan Allah s.w.t. supaya sentiasa istiqomah dan diteguhkan hati untuk ummah. wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Rabu, 19 Oktober 2011

Hidup Penuh Keajaiban


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala nikmat yang diberikan, puji-pujian hanya layak buat Mu. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, syukurku kepada Mu Ya Allah atas keizinan Mu untuk hamba ini terus menukilkan sesuatu dalam diari nie. Moga-moga memberi manfaat buat yang membacanya, insyaAllah.

Beberapa hari yang lepas, ada seorang adik junior yang memanggil nama ana dari luar bilik. Bila pintu dibuka, ana melihat timbunan kain dalam tangannya. 

“akak, nie kain baju akak kan? saya tolong angkat sebab air menitis dari tingkat atas, nanti basah semula baju yang dah kering nie.”

Dalam hati ana, “Ya Allah…permudahkan urusannya jua…”. Hanya doa yang mampu ana berikan sebagai balasan atas kebaikannya yang sudi mengangkat kain baju ana yang ada kat ampaian. Sebaik sahaja dia balik ke biliknya, ana tersenyum sendiri…(^^,)

Nak tau kenapa ana senyum? Sebab terbukti di depan mata kata-kata Allah s.w.t. dalam al-Quran.

“(Maka barangsiapa yang mengerjakan seberat zarah) atau seberat semut yang paling kecil (kebaikan, nescaya dia akan melihatnya) melihat pahalanya. (Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihatnya pula) ertinya dia pasti akan merasakan balasannya”
(Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8)

Mungkin sudah ada yang mengerti maksud ana, tetapi bagi yang belum faham apa yang ingin ana sampaikan. Meh baca apa yang mahu ana kongsikan…(^^,)

Dua tahun yang lepas, ana duduk bilik yang sama dengan adik junior yang tolong angkat kain baju ana. Dan tindakan ana sama sepertinya tatkala air dari kain yang masih basah di tingkat atas menitis ke bawah. Pasti ana akan angkat kain tu dan letakkan atas katil walaupun tidak tahu siapa empunya kain.

Dan bila nampak seperti ada yang tercari-cari sesuatu di ampaian depan bilik ana, pasti ana akan bertanya samaada kain yang ada atas katil ana miliknya. Begitulah yang berlaku hari demi hari hinggalah ana berpindah bilik yang lain tetapi masih di blok yang sama. Makanya, ana dapat simpulkan disini.

“what you give, you take back”

Ana yakin sudah ramai yang pernah dengar kata-kata nie. Apa yang kamu lakukan, berikan, sumbangkan…pasti kamu akan dapat semula semua itu. Seperti juga dalam konsep sedekah atau zakat. Ramai yang tidak mahu memberi kerna merasakan duitnya berkurang dan takut jatuh fakir atau muflis sedangkan Allah s.w.t. sudah sebut dalam al-Quran,

“Barang siapa melaksanakan amal kebajikan (termasuk berzakat) maka akan diganjarkan oleh Allah sepuluh kali lipat”
(Surah Al-an’am, ayat 160)

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melioat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaa-Nya) lagi Maha Mengetahui”
(Surah Al-Baqarah, ayat 261)

Mungkin juga akan ada berkata, “macam mana plak kalau kita buat baik kat orang tu, tapi dia buat jahat kat kita…?”.

Maka ana akan jawab, “Islam sudah mengajar kita, dendam terbaik diatas kejahatan yang orang lain lakukan kepada kita adalah dengan kita berbuat baik kepadanya”. Masih tak puas hati dengan jawapan ana? Meh baca pula kisah yang penuh keajaiban ini…(^^,)

Pada suatu hari, sepasang suami isteri sedang makan di rumah mereka. Tiba-tiba pintu rumah diketuk oleh seorang pengemis. Melihat keadaan pengemis yang daif itu, si isteri berasa terharu dan mahu memberi makanan kepadanya. Tetapi sebagai isteri yang taat dan patuh pada suaminya, dia meminta izin terlebih dahulu. “bolehkah saya memberi makanan kepada pengemis itu?”.

Rupa-rupanya sikap si suami berbeza dengan sikap si isteri. Dengan suara lantang dan kasar, dia menjawab, “tidak payah. Halau sahaja dia dan tutup pintu!”.

Wanita berhati mulia itu terpaksa menurut perintah suaminya dan tidak memberikan makanan kepada pengemis.

Tidak lama selepas itu, perniagaan si suami mengalami kemerosotan dan akhirnya dia bankrap. Dia terpaksa menanggung banyak hutang. Selain itu, disebabkan oleh sifat dan tabiat suami isteri yang berbeza, rumah tangga mereka menjadi huru-hara dan akhirnya mereka bercerai.

Tidak lama selepas tempoh idahnya tamat, wanita itu berkahwin semula. Kali ini dia berkahwin dengan seorang ahli perniagaan di kota dan hidup bahagia. Pada suatu hari, semasa wanita itu sedang makan dengan suami barunya, pintu rumah mereka diketuk orang.

Apabila pintu dibuka, ternyata tetamu yang tidak diundang itu adalah seorang pengemis. Wanita itu berasa sedih melihat keadaan pengemis yang daif. Lantas dia berkata kepada suaminya, “bolehkah saya memberi makanan kepada pengemis ini?”.

“Ya, berilah makanan kepada pengemis itu.”

Selepas memberi pengemis itu makanan, si isteri masuk ke dalam rumah sambil menangis. Dengan perasaan hairan, si suami bertanya, “mengapa kamu menangis? adakah kerna saya menyuruh kamu memberi daging ayam kepada pengemis itu?”

Si isteri menggelengkan kepalanya, lalu berkata dengan sedih “saya sedih dengan perjalanan takdir yang menakjubkan. Kamu tahukah siapa pengemis yang ada di luar tadi? Dia adalah bekas suamiku”.

Mendengar penjelasan isterinya, si suami berasa terkejut, tetapi dia bertanya lagi, “tahukah kamu siapa saya yang kini menjadi suami kamu? Saya adalah pengemis yang dahulu dihalaunya!”

Allahuakbar…Siapa yang mengatur semua peristiwa ini? Tentulah zat yang pastinya Maha Berkuasa ke atas semua ciptaannya. Kita dan semua peristiwa yang berlaku dalamnya tunduk pada ketentuan Tuhan.
 
[Di petik dari buku Diari Hidup Rasulullah s.a.w.]

Lihat, masih mahu katakan dunia ini tidak adil? Masih mahu menyalahkan takdir jika kamu tidak dapat apa yang kamu mahukan? Sedangkan Dia sudah mengatur semua itu dengan sebaik-baiknya.

Hidup ini penuh keajaiban, penuh keistimewaan dan penuh dengan kejutan dariNya…Siapa yang kenal dirinya, pasti dia akan kenal Tuhannya…wallahua’lam.

ツ Disaat kita diberikan rezeki yang melimpah ruah, pasti Allah s.w.t. akan menghadirkan insan2 yang mempunyai masalah kewangan dan memohon bantuan daripada kita.

ツ Disaat kita diberikan kelapangan waktu dan masa yang cukup untuk bersenang lenang, pasti Allah s.w.t. akan menghadirkan insan2 yang memerlukan khidmat & pertolongan daripada kita.

ツ Disaat hidup kita tenang tanpa sebarang kesulitan, pasti Allah s.w.t. akan menghadirkan insan2 yang hidupnya penuh dengan pelbagai musibah.

---> untuk apa semua hikmah kehadiran mereka2 ini dalam hidup kita? Untuk melihat setakat mana kita ikhlas, teruja dan sanggup untuk memberi bantuan kepada mereka.

♥♥♥....apabila hati teragak-agak atau takut mahu memberi, berusahalah untuk yakin bahawa rahmat kebaikanNya sentiasa setia menanti pada yang memberi....♥♥♥

Makna Hidup Untuk Memberi


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Ahad, 16 Oktober 2011

Hikmah Disebalik Sesuatu


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan Mu untuk hamba ini terus beribadat dan bertaubat kepada Mu. Selawat dan salam buat insan teragung yang membawa rahmat buat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, hati terasa tenang dan lapang sekali setelah agak sibuk dengan pelbagai urusan. Syukur kerna masih diberi keizinan untuk mencoret sesuatu dalam diari kesayangan ana nie.

“kisah semalam, memberi pengajaran untuk mengukir perjalanan kisah hari ini dan yang akan datang…”

Semalam diberi peluang dan keizinan untuk berusrah dengan adik-adik walaupun badan masih terasa tidak selesa dan kepenatan dek kerna diminta untuk membantu dua program serentak dalam satu hari. Namun kerna sudah beberapa minggu tidak bersua muka dengan mereka, ditahan juga rasa letih walaupun ‘syahid’ lepas tu…hee~

Sudah ku agak, pasti akan berlaku sesuatu dalam tempoh tersebut. Perasaan bersalah terbit dalam hatiku kerna sudah lama tidak berusrah dan bertanya khabar adik-adikku. Maafkan akak dik, memang silap akak. Sibuk untuk mentarbiyah insan yang jauh sedangkan yang ada di depan mata masih tercari-cari cahaya hidayah.

Setelah solat maghrib berjemaah, kami duduk dalam halaqah dengan lutut dilagakan satu sama lain. Bacaan al-fatihah dimulakan untuk memperoleh keberkatan, lalu ku lafazkan pujian buat Allah s.w.t. dan selawat keatas Baginda s.a.w. serta istighfar supaya kata-kata yang keluar dari mulutku hadir dari hati yang ikhlas.

Seperti biasa, akan ku tanya khabar diri masing-masing. Seperti biasa juga, pasti masing-masing akan mendiamkan diri. Setelah beberapa ketika, ada salah seorang dari mereka bersuara, “kak ingat lagi tak buku pasal hati yang saya cerita kat akak sem lepas?”.

Ana mengangguk tanda masih ingat, “saya dah jumpa buku tu, sekarang dah ada kat bilik. Suka sangat rasa sebab dah lama cari, alhamdulillah…”katanya sambil bibirnya mengukir senyuman.

Dia pernah cerita yang dia berniat nak beli buku tu masa pesta buku tapi ditangguhkan dulu niat tersebut dan nak beli pada keesokan harinya. Namun sebaik sahaja dia pergi keesokan harinya, dia sudah tidak jumpa lagi buku tu. Kerna itu dia terasa gembira sangat bila dah dapat beli buku yang dah lama dia cari.

Lantas ana bertanya kepadanya, “tahu apa hikmah disebalik kisah awak nie?”. Dia diam, mungkin berfikir barangkali.

Ana senyum seraya berkata, “hikmahnya…jangan tangguh bila nak buat baik kerna bimbang kita sudah tidak diberi peluang kedua untuk melaksanakannya…”.

Kita rasa benda tu simple je kan? namun jika direnung sedalamnya, Allah s.w.t. mahu mentarbiyah hati kita. Kerna itu Dia ‘menghilangkan’ buku tersebut dari pandangan matanya dan setelah beberapa ketika barulah adik tu jumpa semula buku yang dia cari selama ini.

Lantas ana berpesan, “sekiranya Allah s.w.t. sudah mengetuk hati kita untuk lakukan kebaikan, laksanakan dengan segera dan jangan tangguh. Bimbang sekiranya Allah s.w.t. sudah tidak mengetuk hati kita buat kali yang kedua atau untuk selama-lamanya…”

Kemudian, seorang lagi adik usrah ana menceritakan pengalaman yang dilaluinya dalam tempoh ana tidak berusrah dengan mereka. Dia diuji dengan pelbagai musibah, ujian dan dugaan. Sebaik sahaja ujian tersebut selesai, diuji pula dengan ujian kedua, setelah selesai ujian kedua, diuji pula ujian yang ketiga dan seterusnya.

Alhamdulillah dia sedar dan berkata pada dirinya, “Ya Allah…apa yang aku buat hingga Engkau uji aku seperti ini…?” ana yang mendengar ceritanya hampir-hampir sahaja mahu mengalirkan air mata kerna turut rasa bersalah sebab tiada disisinya tatkala semua itu berlaku.

Dan ana berkata kepadanya, “nasihat akak…bangun malam dan solat sunat taubat. Mesti ada benda yang tak kena hingga awak diuji sehebat ini. Akak pernah pesan sebelum nie, jangan sampai Allah s.w.t tegur. Kalau sahabat kita sendiri yang tegur takpe lagi, setakat terasa hati je. Tapi kalau Allah s.w.t. sendiri yang tegur, sakit seluruh hiduplah jawabnya…”

Dan dia mengaku yang dia ada buat satu kesilapan, dan dia sedar semua tu. Kami semua koreksi diri termasuk diri ana sendiri. Lalu ana bertanya sesuatu kepadanya, “masa awak duduk dengan roommate lama, pernah tak diuji sehebat ini?”

Dia menggelengkan kepala, “takde kak, kalau ada pun tak sehebat nie…” Dan ana berkata, “tengok…Allah s.w.t langsung tidak kejam kepada hambaNya, Dia anugerahkan roommate yang boleh ajar kamu ilmu agama, mengaji Quran dan kamu selesa dengannya. Tapi Allah uji dengan hal yang lain pula….”

Sebelum nie dia diuji dengan punya masalah dengan teman sebiliknya dan dia bersyukur sangat-sangat semester nie kerna diberikan teman sebilik yang cukup baik dan memahami dirinya. Ana menghabiskan ayat, “itulah hikmahnya, cuma kita yang tidak pernah untuk mengerti tiap aturan Dia…”.

Terima kasih kepada adik-adik usrah akak kerna sanggup bersabar dengan kakak usrah mu ini yang begitu sibuk dan akak benar-benar mohon maaf kerna selalu tidak ada buat kamu. Lepas nie kita sama-sama jaga satu sama lain ye…insyaAllah…(^^,)

Akhirnya lepas usrah, kami sama-sama senyum seperti ini… (^____________^).

Ana minta dia laksanakan solat sunat taubat kerna ana juga pernah diuji sepertinya. Jatuh, terus jatuh dan dijatuhkan lagi. Terasa ada sesuatu yang ana lakukan hingga menimbulkan kemurkaan Allah s.w.t.

Hanya air mata sahaja yang mampu dilakukan untuk menghilangkan rasa pedih dihati. Namun, sebaik sahaja selesai melaksanakan solat sunat taubat. Hanya Allah s.w.t. yang tahu betapa lapangnya hati ini dan keesokan harinya, bermulalah sinar baru dan masalah diselesaikan satu persatu.

“jika kamu tidak selesai dengan Allah s.w.t….rasakanlah hidupmu sentiasa diselubungi dengan masalah, dadamu terasa sempit sekali dan hidupmu tiada rahmat dan kebahagiaan…”

Maka….kisah lalu dijadikan pengajaran dan hikmah untuk sentiasa berhati-hati dengan mainan dunia dalam mengukir kisah pada hari ini dan yang akan datang. Bagi mereka yang masih tidak sedar dan buat-buat tidak sedar dengan ‘teguran’ dari alam, masyarakat sekeliling dan kaum kerabat terdekat, cepat-cepatlah sedar.

“bimbang sekiranya Allah s.w.t. sendiri yang tegur….”

Wallahu’alam


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Jumaat, 14 Oktober 2011

Takpe, Allah ada…(^^,)


“Dengan Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini, moga hamba ini sentiasa bersyukur kepadaMu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi keizinan kepada hamba ini untuk menulis sesuatu dalam diari nie. Kesibukan yang tidak pernah surut, agak risau jika tetap tidak mampu istiqomah menulis dalam bulan nie…huu~ ‘curi’ masa sikit untuk berkongsi sesuatu.

Ada sahabat seperjuangan ana disini yang confius, keliru dan tertanya-tanya. “macam mana ukhty bahagikan masa ye? Da’wah lagi, bisnes lagi, study lagi?”

Jawapan ana hanya ringkas, “Allah kan ada, yakin dengan Dia..insyaAllah ada jalannya…(^^,)”

Sememangnya ana akui, masa yang ada teramat-amat terhad. Terasa seperti masa 24 jam yang diberikan dalam satu hari tidak cukup. Jika ana lalai dan ‘melanggar’ jadual aktiviti yang sudah tertulis, maka tunggulah ‘akibatnya’..

Ana merenung sejenak perjalanan kehidupan manusia agung, Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat Baginda. Cukup unik dan hebat, lantas tercetuslah idea untuk menukilkan kata-kata ini

Terlalu sibuk? Tak sempat nak solat berjemaah? tak sempat nak baca al-Quran? Tak sempat nak hadiri majlis ilmu? wah2....sibuk sungguh ye....:p

Meh ana bagitahu satu 'rahsia'...(^^,)
Rasulullah s.a.w. jauh lebih sibuk sebagai Rasul, panglima perang, pentadbir Negara Islam Madinah, Imam, pemimpin rumah tangga dan banyak lagi. Namun Baginda s.a.w. tetap punya waktu untuk melaksanakan ibadah wajib & sunat.

Yuk contohi Rasulullah s.a.w…(^^,)
Ada sahabat ana yang bercanda, “ukhty nie dah patut ambik PA, sibuk yang amat…hehe”.
Ana tersenyum saat membaca mesejnya. Mungkin ada juga yang ingin tahu bagaimana ana menguruskan masa dalam sehari-hari. Tapi sebelum tu, jom baca kisah benar yang ana lalui sendiri…(^^,)

Sewaktu mengemas bilik di awal kemasukan semester baru, ana begitu sibuk kerna diminta untuk membantu Pusat Islam menguruskan program serta kemasukan adik-adik baru di bawah jurusan ana sendiri iaitu Pentadbiran Muamalat. Memang terasa kepenatannya.

Ana dan teman sebilik sudah mencari barang kesayangan ana (kitab dan buku) di bilik stor yang sahabat ana tolong balut pada semester lepas tapi tak jumpa-jumpa. Jadi, ana tangguhkan dulu ‘lawatan hormat’ buat kali yang keberapa entah…hehe dan uruskan yang lebih utama walaupun dalam hati agak risau sebab ana sayangkan kitab dan buku-buku ana.

Sahabat ana tu pun risau sebab kitab dan buku yang dia balut agak banyak. Tapi hati ana yakin denganNya lalu pujuk hati ‘Allah….jika Engkau izin kitab dan buku tu menjadi milikku, maka Engkau pertemukanlah…jika tidak, redhakan hatiku melepaskannya…’

Ketika itu ana sedang mengadap laptop di bilik selepas ada aktiviti gotong royong di kolej. Tidak lama lepas tu, ada seorang adik junior datang bilik ana dan tanya “akak…ada kotak yang tertulis nama akak, akak nak lagi ke kotak tu? kalu tak nak, saya nak buang…”

Ana tersentak lepas habis dia cakap dan mulut automatic cakap “buku…!”. Lepas tu tangan terus ambil tudung dan pakai. Laju je jalan pergi bilik stor sambil hati berdoa…hehe…

Alhamdulillah, setelah selongkar sedikit demi sedikit, ana jumpa kitab dan buku yang sahabat ana balut. Masa tu hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati ini, mahu sahaja sujud syukur kat situ (tapi tak buat sebab bilik stor kotor..huhu).

Then, ana bagitahu sahabat ana tu “see laila, aku cakap dah. Kalu kitab dan buku nie sudah tertulis ianya milikku, tetap akan jumpa..hehe”.

Kesimpulannya? Usaha, yakin dan tawakal. Allah s..w.t. hantar adik junior ana tu sebagai pengantaraan dan buku tu yang ‘cari’ ana…hehe Dan hati semakin yakin, “jika kamu bantu agama Allah…Allah akan bantu kamu…”…(^^,)

Kisah yang lain pula. Masa tu sedang hantar mesej kepada adik-adik yang bagi nama untuk sertai Kursus Pengurusan Jenazah. Sambil-sambil tu semak baki kredit dalam telefon, baki makin kurang dan agak risau terlupa nak top up.

Lepas tu tanya teman sebilik ada tak kawan-kawan kat blok ana yang jual top up telefon. Dia pun bagitahu la seorang kawan ana nie. Sedang berkira-kira untuk pergi cari dia kat bilik, kawan ana yang jual top up nie masuk bilik ana untuk bagi pendrive kat roomate. Hati terus cakap, “subhanallah….terima kasih Allah…”. Lepas tu terus masuk top up dan sambung send mesej kat adik-adik.

Ada juga kisah lain, sedang kalut ke hulu ke hilir dan tak sempat nak makan apa-apa dari pagi. Tetiba ada orang ajak makan, siap belanja lagi. Alhamdulillah…hanya pujian layak buatNya dan ucapan terima kasih kepada yang membantu tanpa dia sedar.

Mungkin ada yang berkata, “ala…..kebetulan je semua tu…”. Terpulang pada tanggapan individu itu sendiri, namun bagi ana sendiri, tidak ada sesuatu pun yang berlaku tanpa pengetahuan dan izin dari Allah hatta sehelai daun yang jatuh ke tanah sekalipun.

Namun, ada juga sesetengah peristiwa yang ana rasa begitu rumit sekali dan kadang-kala terasa lemah semangat bila ada sesuatu yang ana mahu urusan tersebut selesai dengan cepat tetapi berlaku sebaliknya. Dan hati terus memujuk,

“kalau dapat apa yang kau nak, engkau bersyukur dan gembira. Tapi bila tak dapat apa yang kau nak, merungut pulak…! bersabarlah dan yakin ada hikmahnya…”

Jika direnung dan diperhalusi dari apa yang ana ceritakan, apa yang bermain dalam minda para pembaca sekarang? 

Bagi ana yang melaluinya sendiri dalam kehidupan sehari-hari, apa yang dapat ana simpulkan adalah…bantuan Allah s.w.t. akan hadir buat mereka yang membantu agamaNya.

“wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu”
(Surah Muhammad, ayat 7)

Cuma kalian kena yakin dan merasai kemudahan yang diberikan itu adalah dari Allah s.w.t. Kita selalu berterima kasih kepada manusia membantu kita, namun selalu lupa berterima kasih kepada yang mengerakkan hatinya untuk membantu kita.

Ada seorang kakak junior yang bertanya kepada ana, “Dik…dari mana awak dapat kekuatan untuk istiqomah berniqob ye?”

Jawapan ana cuma ringkas dipermulaanya, “dari Dia kak. Hati itu mesti ditarbiyah dan diikat supaya sentiasa denganNya. Kalau yang nie selesai, insyaAllah tiada masalah…(^^,)”

Yang membuatkan ana terkejut adalah, “betul dik, formulanya adalah sentiasa dengan Allah…”

Nak tahu kenapa ana terkejut? sebab jarang jumpa insan yang punya hati sepertinya. Sudah ramai yang bertanya dan ana berikan jawapan seperti itu, pasti mereka mahukan jawapan atau solusi yang lain. Seolah-olah mereka tidak yakin akan bantuan dari Allah s.w.t.

Jika ditanya kepada ana, “saat bilakah ukhty lemah?” dan ana akan menjawab dengan penuh rasa terkilan dihati, “saat tiada rasa rindu kepada Allah s.w.t…(T_T)”

Kesibukan yang melanda diri, pasti akan membuatkan hati kita leka dengan tugasan-tugasan program dan projek, serta seangkatan dengannya yang kadang-kala kita tidak sedar syaitan cuba menjauhkan kita dariNya melalui kesibukan yang melanda diri.

Jika punya rasa seperti itu, berhentilah seketika dan merenung kebelakang untuk menampal apa yang lompang. Setelah itu, teruskanlah perjalanan kalian.

Tatkala terasa dihimpit dengan pelbagai masalah,
yakinkanlah hati dengan berkata,”takpe, Allah ada…(^^,)”.

Tatkala diri difitnah dan dikianati,
yakinkanlah hati dengan berkata, “takpe, Allah ada…(^^,)”

Tatkala terasa lemah dan sendirian,
yakinkanlah hati dengan berkata, “takpe, Allah ada…(^^,)”

Hati yang sentiasa merasai kehadiran Allah s.w.t. dalam tiap gerak gerinya tidak akan pernah gentar dengan apa pun halangan dalam hidupnya. Sebaliknya dia yakin bahawa bantuan Allah s.w.t. akan hadir buat mereka yang yakin dengan Allah s.w.t.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)