Isnin, 12 Mei 2014

Setelah 4 Tahun Berlalu

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

‘Selama mana kalian berada dalam pengajian ilmu, selama itulah kalian berhutang masa dengan ummah’.

Empat tahun berada dalam pengajian ijazah sarjana muda pentadbiran muamalat, saya masih ingat bagaimana saya boleh tahu tentang bidang ini.

Ianya bermula apabila seorang pensyarah matapelajaran perniagaan semasa masih berada di matrikulasi memberitahu bahawa bidang ini semakin berkembang dan memerlukan individu yang punya asas agama untuk berada di dalamnya.

Pensyarah tersebut menyatakan satu sistem yang berada dalam muamalat iaitu pinjaman al-Qard al-Hassan yang mana pinjaman ini langsung tidak di kenakan apa-apa faedah, yang ada hanyalah caj perkhidmatan yang sangat minimum upahnya.

Namun, kata pensyarah tadi, sistem ini semakin kurang dilaksanakan kerana peminjam tidak membayar semula wang yang dipinjam dan ada juga yang dikira sebagai ‘dihalalkan’ saja sebab kebanyakan yang membuat pinjaman adalah individu yang tergolong dalam golongan asnaf (yang layak terima zakat).

Sebaik sahaja saya mendapat tahu tentang kewujudan bidang ini, saya mencari maklumat lebih dan universiti mana yang tawarkan bidang ini. Salah satunya adalah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tanpa berlengah, saya mengisi borang UPU fasa pertama dengan meletakkan bidang pentadbiran muamalat di UUM sebagai pilihan pertama dan seterusnya barulah bidang perakaunan kerana ketika itu, niat saya mahu membantu lebih ramai individu yang memerlukan.

Itulah sedikit permulaan bagaimana saya boleh jatuh hati pada bidang ini walaupun pada hakikatnya saya langsung tidak dapat menjawab pertanyaan ahli keluarga dan kawan-kawan apabila mereka bertanya tentang muamalat.

Apa yang saya tahu ketika itu, muamalat adalah jual beli secara Islam. Itu saja.
Kini, saya sudah bergelar graduan setelah berjuang dalam bidang ini selama 4 tahun di UUM dan ianya bukan satu tempoh yang mudah bagi saya kerana saya bermula dengan kosong.



Sekolah terakhir saya sebelum saya menyambung pengajian ke matrikulasi adalah Sekolah Menengah Kebangsaan, Tumpat. Pasti ianya mencabar diri saya kerana asas bahasa arab tidak saya kuasai sepenuhnya walaupun merupakan bekas pelajar sekolah menengah agama (arab) dan maahad muhammadi.

Saya betul-betul bermula dengan kosong jika dibandingkan dengan sahabat lain yang kebanyakkan bekas pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang mana mereka sudah pelajari ilmu muamalat semasa STAM.

Saya masih ingat dan ianya akan sentiasa kekal dalam ingatan, InsyaAllah. Saya telefon ummi sambil menangis disebabkan saya tidak mampu menjawab satu pun soalan ujian pertengahan semester pertama subjek asas bahasa arab dalam muamalat.

Saya menangis bak anak kecil, langsung saya tidak peduli pandangan orang lain yang memandang saya ketika itu. Ianya tersangat susah bagi saya. Ketika itu terasa mahu menukar bidang yang diambil sebab ianya subjek yang paling lemah untuk saya kuasai sejak di sekolah menengah lagi.

Tetapi, apabila diingat semula bagaimana saya boleh jatuh hati dengan bidang ini dipermulaannya, saya teguhkan hati untuk teruskan juga.

Saya cari kakak senior yang boleh mengajar saya subjek ini. Kami sama-sama mengulangkaji pelajaran di Masjid. Beliau mengajar saya satu persatu dari mula sampai habis dengan penuh sabar. Maklumlah, saya memang langsung tidak tahu apa-apa dan tidak faham apa yang diajar semasa dalam kuliah.

Berkat usaha gigih dan doa dari kedua orang tua, saya lulus subjek ini dan bersedia untuk melangkah masuk ke semester seterusnya yang saya tahu ianya pasti mencabar buat individu yang tidak punya asas seperti saya.

Semakin naik semester, semakin saya jatuh cinta dengan bidang ini. Bukan setakat saya dapat cedok ilmu daripada pensyarah yang sangat dalam ilmunya, malah saya juga dapat belajar teknik-teknik perniagaan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

MasyaAllah. Terasa sangat-sangat bersyukur dipilih oleh Allah untuk berada dalam bidang ini.

Masih tergiang-giang pesanan pensyarah, “kalian belajar bidang ini bukan setakat mahu lulus peperiksaan, tetapi di bahu kalian terpikul amanah. Ilmu ini mesti disebarkan kepada masyarakat. Masyarakat mesti tahu cara untuk bermuamalat dengan betul dan benar”.

Aktiviti Persatuan dan Kelab.

“Ilmu, bukan setakat dalam dewan kuliah”

Ungkapan yang sering diucapkan oleh individu yang sangat aktif berpersatuan dan kelab dan saya membenarkan kata-kata ini.

Jika ilmu sangat diperlukan untuk memandu akal dalam membezakan antara yang haq dan batil, pengalaman pula sangat diperlukan untuk menjadikan diri sebagai aset terpenting kepada sesebuah organisasi . keduanya adalah guru terbaik dalam mengajar kita erti sebuah kehidupan.

Melalui sendiri kehidupan yang sangat sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti kampus, ianya menjadikan diri semakin yakin melangkah ke hadapan. Belajar menguruskan sesebuah program, seolah-olah sedang melatih diri menguruskan hidup sendiri.

Teringat kata-kata Ustaz Syaari Ab. Rahman dalam ceramah beliau, “sebelum saya terlibat dengan persatuan dan kelab, saya seorang yang sukar untuk membuat keputusan dengan cepat. Ambil masa dalam dua hingga tiga hari untuk membuat satu keputusan yang tepat. Melalui proses dalam aktiviti persatuan dan kelab membuatkan saya dapat menilai dan membuat keputusan pada masa itu juga”.

Saya juga membenarkan kata-kata beliau. Sangat betul. Proses yang dilalui dalam aktiviti berpersatuan sangat penting. Kita perlu belajar bagaimana untuk membuat kertas kerja, mengendalikan mesyuarat, menguruskan program, berurusan dengan pihak atasan, berhadapan dengan peserta program, cara berkomunikasi dengan orang ramai dan banyak lagi.

Semua ini tidak akan dapat hanya sekadar dalam buku dan dewan kuliah. Ianya hanya akan diperolehi ketika kita menjadi ahli jawatankuasa dalam sebuah program atau aktiviti. Kampus pengajian adalah tempat yang sesuai untuk kita dapat semua ini.



Aktiviti berpersatuan bukan setakat mengajar kita untuk menguruskan program, malah turut mengajar kita untuk menguruskan masa dengan baik. Seimbang antara akademik dan kokurikulum.

Tamat Pengajian Empat Tahun.

Semasa masih dalam pengajian, saya sering berharap dapat menjadi aset yang diperlukan oleh ummah. Disebabkan itu saya berusaha semampunya untuk pelajari sebanyak mungkin ilmu, pengalaman dan kemahiran sepanjang berada dalam tempoh pengajian.

Tatkala itu saya sering katakan, mahu kembali segera ke tanah kelahiran sendiri dan berjuang di tempat sendiri. Allah izinkan apa yang saya hajatkan dan itulah yang sedang saya lalui sekarang setelah empat tahun berlalu.

Saya membuat keputusan untuk bekerja sendiri supaya masa dapat diseimbangkan dengan masyarakat. Bermula dari bawah dengan perniagaan yang diusahakan sendiri di rumah dan secara online, kini perniagaan berkembang dengan mempunyai beberapa orang staf dan butik sendiri. Alhamdulillah.



Bidadari Solehah Enterprise (BSE) telah didaftarkan secara rasmi pada bulan September dua tahun lepas. Dibawah BSE ditubuhkan pula satu skuad kebajikan yang cuba menyalurkan bantuan dengan kadar segera melalui keuntungan dari perniagaan BSE dan juga sumbangan orang ramai.



BSE juga membuat usrah secara online iaitu Resepi Cinta Usrah yang mana usrah ini khusus untuk wanita sahaja dan dilaksanakan sekali dalam satu minggu dengan mengupas isu berkaitan wanita dan semasa.

Hampir keseluruhan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang dipelajari dalam tempoh pengajian dicurahkan atas apa yang saya lakukan kini dengan izin Allah s.w.t. dan inilah hasil yang boleh dilihat depan mata atas apa yang saya usahakan selama dalam tempoh pengajian.

Ada yang pernah bertanya kepada saya, “Untuk apa ijazah dan sijil kokurikulum yang diperolehi jika hanya disimpan dalam fail?”.

Saya senyum sambil berkata. “Ijazah dan sijil kokurikulum yang saya ada sudah saya terjemahkan melalui Bidadari Solehah Enterprise, Skuad Kebajikan dan Resepi Cinta Usrah”.

Sepanjang tempoh empat tahun, masa dan tidur saya selalu tidak cukup. Terlalu banyak air mata yang mengalir untuk tamatkan apa yang telah dimulakan. Sudah pelbagai rasa yang dialami untuk berada pada keadaan sekarang.

Jika kalian terasa lelah dan letih dengan apa yang bakal dihadapi sepanjang tempoh pengajian ilmu di pusat pengajian, hasil ‘kelelahan’ itulah yang akan dihadapi selepas tamat pengajian.

Apa yang kita usahakan, itulah yang akan kita akan dapat. Tidak akan pernah rugi manusia yang berusaha. Usaha tanpa doa, tempang. Doa tanpa usaha, lompang.

Jadi, jangan pernah terfikir untuk mengalah dan berhenti dengan apa yang dilalui kini. Setiap daripada kita ada peranan dan tanggungjawab untuk ummah.

Jangan berhenti ketika berputus asa,
Tetapi berhentilah ketika semuanya sudah selesai.
Jadilah aset terpenting untuk ummah,
Supaya ummah terasa ketiadaanmu nanti.


Allah Lebih Tahu :)
blog comments powered by Disqus