Jumaat, 30 Mei 2014

Hak Allah

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

“Untuk manusia, Allah tidak beri kisah yang sia-sia”

Pagi itu, kami bersiap-siap untuk pulang semula ke rumah masing-masing setelah tiga hari berada di negeri orang. Turut merasai kehidupan yang agak sibuk di kota raya.

“Akak, ada orang ‘block’ kereta kita la. Saya naik balik nak bagitahu sebab risau orang tu minta alihkan kereta, saya tak pandai. Hehe…”.

Saya pandang seorang lagi sahabat yang bergilir bawa kereta dengan saya.

“Dah siapkan? Awak turun la dulu alihkan kereta. Nanti akak turun, sikit je lagi barang nie nak kemas”.

Dia pun bersiap dan ambil barang yang dibawanya turun sekali.

Selang beberapa minit, dia naik semula ke bilik.

“Tak bolehlah akak, kereta tu betul-betul ‘block’ depan kereta kita. Tunggu juga kot ada pemilik kereta tu tapi tiada. Akak cubalah gi tengok plak”.

Saya segera bersiap dan bawa sedikit barang turun sekali untuk diletakkan dalam bonet kereta.

Bila tengok sendiri depan mata, fahamlah apa yang mereka katakan. Kereta tu betul-betul ‘block’ depan kereta kami. Langsung tiada ruang untuk menyelit keluar.

Semua barang sudah dimasukkan dalam kereta dan kami memang sudah siap untuk bertolak balik. Tetapi keadaan ini melambatkan pergerakan kami.

Saya ajak sahabat lain pergi sarapan dulu sementara menunggu pemilik kereta tu mengalihkan keretanya. Mungkin.

Ada sahabat yang cuba cari solusi iaitu dengan mencari siapa pemilik kereta tersebut dengan bantuan sahabatnya sendiri yang tinggal disitu. Maklumlah, kami ini hanya menyewa bilik tersebut untuk tumpang berteduh.

Ada staf disitu maklum, mungkin kami salah letak kereta kerana tempat itu disediakan untuk bos mereka. Jika benar, memang silap kami kerana menyangka pemiliknya tidak hadir disebabkan hari itu cuti umum.

Setelah hampir satu jam menunggu, datang seorang lelaki lalu menghidupkan enjin kereta yang berada di hadapan kami.

Saya keluar dari kereta dan pergi kearahnya untuk minta maaf sebab sudah ambil tempatnya.

Beliau bertanya kami dari mana dan terus menegur perbuatan kami yang ambil haknya. Ayat itu beliau ulang beberapa kali.

Saya hanya diamkan diri dan mendengar saja tegurannya sebab memang salah kami walaupun ketika itu mahu jelaskan keadaan sebenar bagaimana kami boleh terfikir untuk letak kereta disitu.

“Kamu sudah ambil tempat saya, kalau ada ‘parking’ kosong takpa, tapi takda, itu sebab saya terpaksa ‘block’ kereta kamu sebab kamu sudah ambil hak saya.”

“Betul, tindakan yang tuan buat itu betul dan saya minta maaf dengan apa yang berlaku.”

Setelah itu, beliau undurkan kereta untuk beri laluan supaya kami dapat keluar. Saya angkat tangan sebagai tanda maaf dan terima kasih sebelum berlalu dan beliau hanya balas dengan menganggukkan kepala sambil tersenyum.

Sahabat disebelah bersuara, “memang patutlah dia marah sebab kita dah ambil hak dia..”.

Bila sahabat cakap macam tu, air mata saya sudah bertakung dalam kelopak mata. Bukan sebab kena tegur tetapi terasa bersalah dengan Allah!

Hati saya bermonolog sendiri, “ini baru manusia yang marah sebab ambil hak dia, bagaimana pula kalau Allah murka bila haknya tidak penuhi? Tak solat, tak tutup aurat, tak puasa, tak keluarkan zakat, buat maksiat. Allahu Allah. ”.

“Memang patut pun Allah uji dengan pelbagai musibah dalam hidup sebab kita sering lalai dalam penuhi kewajipan sebagai hamba Allah. Solat, tapi hati dan fikiran berada di tempat lain. Pakai tudung, tapi aurat masih terdedah sana sini”.

Hmm…

Apa yang dilalui hari itu betul-betul membekas dalam hati. Betul-betul muhasabah diri. Allah tarbiyah terus melalui peristiwa tu.

Jangan nak merungut jika duit tidak pernah cukup kalau diri tidak pernah bersedekah dan keluarkan zakat.

Jangan nak merungut kalau masalah datang bertimpa-timpa kalau diri tidak pernah sujud kepada Allah.

Jangan nak merungut kalau hati tidak pernah tenang kalau diri tidak pernah ingat Allah masa susah dan senang.


Kita jaga hak Allah, Allah akan jaga hak kita.


Sekian. Allah lebih tahu.
blog comments powered by Disqus