Ahad, 15 Jun 2014

14/6/2014 Tanah Merah, Kelantan.

"Dengan nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani"

Dua minggu sebelum 14 Jun 2014

“Asma’ buat lagi ke program bantuan macam baiki rumah semua tu macam yang dibuat sebelum tu?”, sapa seorang staf di situ.

“Ia kak, buat lagi. Cuma tak ‘update’ sangat dekat facebook sebab projek dalam proses perlaksanaan. Kenapa kak?”.

Dia pun menceritakan sesuatu yang buatkan saya terdiam seketika.

“Ada sebuah keluarga susah, hidup banyak mengharapkan bantuan orang ramai. Dulu keluarga nie sewa sebuah rumah tapi dah kena halau sebab tak mampu nak bayar duit sewa rumah. Lepas kena halau tu, sehari mereka menumpang di masjid sebelum orang ramai bantu carikan rumah sewa lain. Sekarang mereka berada di Tanah Merah, akak pun tak gi tengok lagi”. Jelas akak tu.

“Baik akak. Nanti kita cari dorang kat sana. Saya bagitahu bila nak gi dan akak bawa saya ke sana”.

Hari itu tiba…

Kami buatkan sedikit bihun goreng dan kek coklat sebagai buah tangan untuk mereka dan bertolak ke destinasi yang dituju pada awal pagi.

Hanya berbekalkan sedikit maklumat yang diberi oleh keluarga tersebut, kami mencari lokasi yang dimaksudkan. Terlepas sedikit dari jalan disebabkan tidak perasan kedudukan rumah mereka kerana terlalu kecil dan sempit dari pandangan luar.

Ibarat pondok buruk!



Namun itulah rumah yang mereka duduki sekarang setelah dihalau dari rumah yang disewa sebelum ini.

Ketika dihalau, tuan punya rumah atau pemberi sewa cakap, "mereka bukan ahli keluarga saya, kalau ahli keluarga saya mungkin saya bagi mereka tinggal lagi dekat sini. Saya tergamak untuk halau sebab dorang bukan ahli keluarga saya".

Rupanya masih ada yang belum faham apa yang Rasulullah s.a.w. sebut yang semua umat Islam itu bersaudara. Siapa yang tidak mengasihi, usah berharap untuk dikasihi!

Kami masuk ke rumah disambut oleh lima beranak. Dua orang dewasa (suami dan isteri) dan tiga orang remaja (seorang lelaki dan dua orang perempuan).



Si isteri atau ibu ini terus menerus mengalirkan air mata semasa menceritakan keadaan sebenar yang dialami oleh mereka. Sepasang suami isteri yang kedua-duanya mengidap penyakit kronik dan sentiasa perlukan rawatan dengan anak-anak yang perlukan bantuan untuk teruskan persekolahan. Saya diam tidak terkata.

Apa yang mereka makan sehari-hari, usah disebut lagi. Jika sewa rumah dan bil utility tidak mampu dibayar, kita sudah dapat bayangkan sendiri apa yang menjadi hidangan mereka sehari-hari. Nasi putih berlaukkan telur atau berlapar untuk hari itu.





Pelbagai jenis surat beliau tunjukkan kepada saya dari pelbagai jabatan agensi termasuk NGO sendiri untuk meminta bantuan. Janji mahu dibantu dan sediakan kemudahan yang mereka perlukan, tetapi hingga kini tiada apa yang menjadi realiti!

Beliau berkata sampai satu tahap mahu pergi ke Kuala Lumpur dan minta bantuan dengan orang di sana pula.

Tahu apa yang bermain di minda saya selepas mengetahui keadaan mereka sebenar?

Aset yang perlu dibina untuk ummah iaitu tiga orang anak yang berada di hadapan saya.

Katanya, ketiga-tiga orang anak ini walaupun susah dan serba kekurangan, keputusan peperiksaan anak-anaknya sangat cemerlang dan menjadi harapan pihak sekolah.

Itu menjadi ‘penambah perasa’ yang buatkan saya nekad untuk membantu mereka walaupun saya tahu ianya mengambil masa yang agak lama untuk jadikan impian mereka menjadi kenyataan.

Apa yang mereka impikan?

Mereka mahu bina sebuah rumah di tanah pusaka milik si ayah/suami. Mahu tinggal dirumah sendiri dan bina keluarga disitu.

Projek ini akan mengambil masa sekitar satu hingga dua tahun untuk ditunaikan dan saya perlukan masa untuk mencari dana kewangan sekitar RM30 hingga RM40 ribu.

Dari mana saya mahu dapatkan dan sebanyak itu? Saya sendiri masa fikirkan jalannya dan berharap Allah bukakan jalan untuk kami.

Setelah gambar diambil dari semua sudut dan keseluruhan rumah, saya minta izin untuk beransur pulang.

Si isteri atau mak ini bersuara, “surat-surat semua nie tak nak ke?”.

Saya senyum memandang ke arahnya.

“Saya tak perlukan surat nie sebab saya bukan dari mana-mana NGO atau agensi kerajaan dan kebajikan tetapi atas nama persendirian dan saya mewakili orang ramai di luar sana. Saya akan usahakan dan saya perlukan masa untuk buat semua ini. InsyaAllah..”.

Kenapa saya berkata begitu?

Kerana saya yakin masih ramai diluar sana yang punya hati seperti saya. Hati yang ingin membantu individu dan keluarga seperti mereka.

Saya yakin!

Bagi yang ingin menyumbang dana kewangan, kalian boleh salurkan terus pada Akaun rasmi Skuad Kebajikan Bidadari Solehah Enterprise.

Maybank:
5530-9200-3765
(Bidadari Solehah Enterprise)

bidadari.collection@yahoo.com
blog comments powered by Disqus