Khamis, 10 September 2015

Teringin

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Rutin harian saya, pasti saya akan buka facebook dan instagram. Gemar melihat gambar dan membaca status yang dikongsi oleh rakan yang lain. Seronok melihat kehidupan individu lain.

Ada yang dulunya gigih berjuang dalam bidang akademik, sudah pun mendapat PhD dan bergelar Prof. Madya.

Ada juga yang dulunya begitu susah hidupnya, tetapi gigih berusaha dalam perniagaan dan akhirnya berjaya menjadi jutawan muda.

Ada pula yang pernah putus tunang berkali-kali, tetapi selepas beberapa tahun, bertemu jua dengan cinta halalnya yang sangat setia dan bahagia senantiasa.

Apabila kita melihat dan membaca status mereka yang berkongsi untuk tatapan umum, akan timbul satu rasa keinginan. Hati mula bermonolog sendiri.

“Bestnya la kalau aku dapat jadi macam dia."
“Syoknya kalau aku dapat sambung belajar macam dia”.
“Untungnya dia dapat pasangan yang sweet dan caring macam tu”.

Diri mula terasa serba kekurangan.
Terasa serba tidak cukup dengan apa yang dimiliki.

Jika ada orang mempunyai rumah mewah dua tingkat, kita juga teringin memilikinya. Jika ada orang mempunyai kereta besar seperti BMW, Audi dan sebagainya, kita juga mahu memilikinya.

Itulah hati manusia, tidak pernah terasa puas. Mahukan lebih lagi, dan lebih lagi.

Dia kaya, tetapi sibuk dan tidak punya waktu yang banyak untuk sentiasa bersama dengan keluarga.

Dia dapat sambung belajar, tetapi kurang waktu untuk bersosial dan bermasyarakat dengan ramai orang.

Tidak perlu ‘seksa’ hidup kita dengan asyik memikirkan kekurangan diri dan apa yang kita tiada dengan melihat kelebihan orang lain. Tetapi latihlah hati supaya melihat kekurangan orang lain dengan sentiasa merasa syukur dan cukup dengan apa yang kita ada.

Ada orang, tidak mempunyai anggota tangan. Tetapi kreatif dalam melukis dengan menggunakan kaki.

Ada orang pula, tidak mempunyai kaki dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak tetapi mampu memotivasikan ribuan orang dengan semangatnya.




*******************

Benar. Dia kaya, berpelajaran, solehah, berkerjaya dan banyak lagi. Serba serbi lengkap dengan pelbagai pakej. Sedangkan kita pula sebaliknya, hanya biasa-biasa saja.

Pernah kita berfikir, sudah berapa banyak masa yang dia korbankan untuk berada tahap itu?
Sudah berapa banyak duit yang habis untuk berada pada tahap itu?
Sudah berapa banyak air mata, kesulitan dan kesusahan yang dia perlu tanggung untuk berada pada tahap itu?

Jika kita tahu untuk berada tahap itu perlu melalui penderitan, pengorbanan, tidur yang tak pernah cukup, cabaran dan ujian datang bertimpa-timpa, adakah kita sanggup bertukar tempat dengannya?

Saya rasa, pasti ramai yang akan berkata TIDAK!

Dia tahu dia perlu bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Dia tahu dia perlu mengorbankan banyak benda untuk mengapai impiannya, tetapi dia tetap mahu teruskan juga.

Mengapa? Kerana dia punya tujuan dan misi hidup.

Dia mahu menjadi kaya, kerana mahu membantu asnaf fakir miskin lain walaupun sebelum ini sudah banyak kali dia kerugian dan ditipu sebelum menjadi jutawan.

Dia mahu mendapatkan PhD, kerana dia mahu menjadi pensyarah dan mendidik lebih ramai lagi anak bangsa untuk kemajuan sesebuah Negara disamping menjadikan ilmu itu sebagai asset akhirat walaupun pengajian itu mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja ribuan tinggit.

Teringin itu biasa.
Setiap orang punya keinginan.
Tetapi pastikan keinginan itu punya tujuan hidup.

Kita mahu menjadi kaya sepertinya, tetapi pastikan punya tujuan iaitu mahu mengubah ekonomi keluarga dan membantu orang lain yang memerlukan.

Biarpun kita gagal untuk penuhi impian yang pernah kita lakar dulu, pastinya kita merasa puas hati apabila sudah pernah mencuba sekuat hati. Tetap ada bahagian bagi individu yang sentiasa berusaha.

“Man jadda, wa jadda”
(siapa berusaha, dia akan mendapat hasilnya)



Jika kita melihat ada orang soleh dan solehah, hafiz dan hafizah al-Quran, menguasai pelbagai cabang ilmu agama dan punya peribadi serta akhlak yang baik, adakah kita turut berkeinginan untuk mengikuti jejaknya?

Allah lebih tahu.

Selasa, 1 September 2015

Terlalu Muda

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Terlalu muda…”.

Ramai yang berkata sedemikian kepada saya apabila mereka tahu usia saya baru 26 tahun ketika ini.

Terlalu muda untuk mempunyai perniagaan sendiri iaitu Butik pakaian Muslimah (Bidadari Solehah Enterprise) dengan mengeluarkan reka bentuk sendiri.

Terlalu muda untuk mempunyai Skuad Kebajikan sendiri yang turun lapangan menjejaki golongan asnaf fakir miskin dan mengaturkan pelan terbaik untuk membantu mereka.

Terlalu muda untuk dijemput memberikan ceramah dan perkongsian kepada masyarakat. Mungkin sering digandingkan dengan ahli panel yang jauh lebih tua daripada saya.



Apabila mereka berkata sedemikian. Telinga saya seolah-olah masih jelas mendengar kata-kata dari murobbi saya yang menjadi salah satu asbab yang membuatkan saya istiqomah dengan kerja kebajikan dan dakwah sampai kini.

“Awak memang muda. Nampak matang dan berfikiran jauh berbanding orang lain yang sama usia dengan awak. Ustaz ada seorang sahabat seperti awak. Muda dari kami semua tetapi jasanya kepada dunia dakwah terlalu banyak berbanding kami yang lebih tua darinya”.

“Kat mana dia sekarang, ustaz?”, Tanya saya.

Ustaz senyum.

“Dia sudah meninggal dunia. Pun pada usia yang sangat muda. Sampai sekarang kami tak pernah lupa padanya. Mati memang tak kenal usia”.


********************

Ya. Orang kata saya terlalu muda untuk semua itu tetapi mereka tidak tahu apa yang sudah saya lalui untuk mendapatkan semua itu. Terlalu banyak ujian dan cabaran yang perlu saya hadapi dan ujian itu tidak setanding dengan usia saya yang terlalu muda.

Mungkin saya muda pada usia, tetapi ujian demi ujian membuatkan saya tua pada pengalaman yang ada berbanding individu yang seusia dengan saya.

Aturan Allah.

Saya sedar hidup ini hanya sementara, kita semua akan mati.
Saya sedar saya perlu menyumbang sesuatu kepada ummah sebelum saya mati.
Saya sedar ilmu dan amal itu sangat diperlukan dalam setiap langkah kehidupan.

Ketika saya menyedari semua ini, usia saya sudah mencecah 17 tahun. Pada pandangan saya, usia itu sudah terlewat untuk mengatur perjalanan hidup yang lebih baik. Sudah 17 tahun saya bazirkan masa dengan kehidupan yang bersenang lenang tanpa matlamat hidup yang jelas.

Apabila tersedar, saya tidak berpaling ke belakang lagi. Saya meneruskan kehidupan dengan membuat misi hidup dan cuba sedaya upaya berada pada landasan tersebut.

“Manusia yang punya matlamat hidup yang jelas, langkahnya akan terus terarah pada jalan tersebut”.

Hidup ini sentiasa ada pilihan. Samaada mahu terus menderita atau mencari jalan untuk bahagia. Samaada mahu berada di tempat sama atau berdepan dengan risiko untuk maju ke depan. Setiap pilihan yang dibuat, akan ada sesuatu yang menanti di hadapan.

Ujian demi ujian yang kita perolehi sepanjang perjalanan itulah sebenarnya mematangkan fikiran. Matang dari segi akal fikiran dan tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah, cabaran dan ujian yang ada.

Jika kita tidak berani untuk mengambil risiko untuk maju ke depan, bagaimana kita akan tahu setakat mana kemampuan diri?

Kita muda, tak bermakna kita tak mampu untuk membuat keputusan sendiri. Yakinlah dengan kemampuan diri dan keputusan yang di buat.

“walau sehebat mana pun kita nanti. Walau sejauh mana pun kita pergi. Jangan pernah jauh dari Allah. Kerana tanpa Dia, kita ini bukan siapa-siapa”.

Allah lebih tahu.

Khamis, 20 Ogos 2015

Kisah Wanita Berniqab 2

"Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani"

Ini saya.
Nama diberi adalah Asma'.
Asma' Suardi ^^
Gambar: Misi Bantuan Banjir 2014



Saya dah mula try pakai niqab waktu awal umur 20 tahun secara on off. Sebab? Ada kekangan dan tekanan yang sangat berat membuatkan saya tidak mampu istiqomah.

Tapi waktu nie, saya bukan bersedih, merungut dan kecewa dengan kekangan dan tekanan yang diterima. Sebaliknya saya gantikan rasa tu dengan terus menerus mencari gali ilmu berkaitan niqab. Pendapat dan khilaf antara ulama' serta pandangan dunia tentang pemakaian niqab.

Pada hujung tahun sewaktu umur 22 tahun. Saya nekad untuk istiqomah berniqab. Wah! ujian yang diterima bertubi-tubi datang menyerang sehingga saya dipanggil oleh Pengetua Kolej Penginapan Pelajar semasa dikampus. Penerimaan sahabat sekeliling juga ada yang positif dan juga negatif.

Adakah saya mengalah?
Adakah saya berundur?
Adakah saya tanggal semula niqab yang dipakai?

Jawapannya, TIDAK!
Sebab apa? Sebab saya tahu saya pakai niqab kerana apa. Sebab saya tahu untuk berhujah balas dengan mereka yang tidak memahami. Sebab saya tahu bagaimana untuk meraikan pendapat orang sekeliling yang tidak suka dengan wanita berniqab.

Pakai niqab perlukan ilmu.
Bukan atas dasar suka-suka.
Bukan atas dasar mahu cuba-cuba.

Niqab boleh buatkan orang yang dulu free hair, rasa aman dan damai dengan memakai pakaian menutup aurat berserta niqab.

Niqab juga boleh buatkan orang yang dulu free hair terasa riak dan ujub dengan pakaian menutup aurat dan niqab yang dipakai.

Niqab juga boleh buatkan orang makin jauh dan lalai dari mengingati Allah kerana terlalu mahu orang mengaguminya dan digelar solehah hanya dengan niqab.

Jika dulu dia pakai niqab tetapi tidak lagi.
Jika dulu dia hanya pakai pakaian menutup aurat, tetapi kini sudah berniqab.

Tidak perlu kata apa-apa.
senyum dan doakan saja.
Moga semuanya baik-baik belaka.

Semuanya berkaitan dengan hati dan niat.
Kalian pakai kerana siapa?
Pakai dengan tujuan apa?

Jika pakai kerana Allah,
maka teguhlah juga kerana Allah.

Umur saya sudah 26 tahun sekarang. Pengalaman 4 tahun ini banyak melihat jatuh bangun seorang niqabis. Dan masih jauh perjalanan saya. Moga Allah izin untuk saya terus istiqomah dengan niqab.

Allah lebih tahu ^^

Selasa, 18 Ogos 2015

Hajat & Janji

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Hari nie pergi ziarah sebuah rumah. Hantar bekalan makanan keperluan asas. Beliau pernah kami bantu kira-kira dua tahun lalu dengan membaiki sebelah rumah beliau (jadi rumahnya separuh batu & separuh kayu).

Sekarang masih dalam proses untuk membaiki sebelah lagi yang kayu disebabkan sudah teruk dimakan anai-anai dan reput. Dana sudah dapat kelulusan daripada pihak MAIK.

Saya ke sana dengan ditemani suami. Saya pergi bukan setakat menyampaikan bantuan makanan asas tetapi juga tunaikan hajat dan satu janji yang pernah saya katakan dulu sebelum berkahwin lagi.
Hajat saya, mahu solat di rumah beliau. Selalunya setiap kali saya ke sana. Memang tidak sempat untuk duduk lama, apatah lagi mahu tumpang untuk solat. Setakat bertanya khabar dan menghantar bekalan makanan saja. Tetapi hari ini, hajat itu tertunai apabila saya dan suami solat zohor disini. Merasai sendiri suasana rumah beliau. Alhamdulillah semakin selesa, tetapi masih ada yang perlu dibaiki.

Janji saya mahu bawa beliau makan di Restoran Spilla, Wakaf Bharu, Kelantan. Beliau pernah cerita yang mana anak lelakinya bekerja disitu dulu sebagai pelayan Restoran. Makannya enak, layannya mesra dan tempatnya selesa. Katanya, bawa pergi minum air saja pun sudah cukup. Cuma mahu singgah tempat anaknya bekerja. Mahu pergi sendiri, tiada duit.

Beliau masih berjuang untuk hidup. Dengan gaji yang hanya RM650 sebulan di zaman sesak ini, belum cukup untuk menyara keluarga kerana beliau 'ibu berdikari'. Kadang kala, bil air dan api pun tidak mampu dibayar. Makan pun ala kadar saja.

Alhamdulillah, syukur atas izin Allah untuk rezeki ini. Berkongsi apa yang kami ada dengan orang lain. Melihat beliau tersenyum, itu sudah lebih dari cukup (^^,). InsyaAllah esok ada lagi sebuah rumah yang akan saya singgah untuk hantar bekalan makanan.

Jadi, bagi yang ingin menyumbang dana kewangan / bersedekah. Bolehlah salurkan ke akaun berikut:

Maybank
5530-9200-3765
Bidadari Solehah Enterprise
Emel: bidadari.collection@yahoo.com.



Moga Allah redha ^^,