Selasa, 1 September 2015

Terlalu Muda

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

“Terlalu muda…”.

Ramai yang berkata sedemikian kepada saya apabila mereka tahu usia saya baru 26 tahun ketika ini.

Terlalu muda untuk mempunyai perniagaan sendiri iaitu Butik pakaian Muslimah (Bidadari Solehah Enterprise) dengan mengeluarkan reka bentuk sendiri.

Terlalu muda untuk mempunyai Skuad Kebajikan sendiri yang turun lapangan menjejaki golongan asnaf fakir miskin dan mengaturkan pelan terbaik untuk membantu mereka.

Terlalu muda untuk dijemput memberikan ceramah dan perkongsian kepada masyarakat. Mungkin sering digandingkan dengan ahli panel yang jauh lebih tua daripada saya.



Apabila mereka berkata sedemikian. Telinga saya seolah-olah masih jelas mendengar kata-kata dari murobbi saya yang menjadi salah satu asbab yang membuatkan saya istiqomah dengan kerja kebajikan dan dakwah sampai kini.

“Awak memang muda. Nampak matang dan berfikiran jauh berbanding orang lain yang sama usia dengan awak. Ustaz ada seorang sahabat seperti awak. Muda dari kami semua tetapi jasanya kepada dunia dakwah terlalu banyak berbanding kami yang lebih tua darinya”.

“Kat mana dia sekarang, ustaz?”, Tanya saya.

Ustaz senyum.

“Dia sudah meninggal dunia. Pun pada usia yang sangat muda. Sampai sekarang kami tak pernah lupa padanya. Mati memang tak kenal usia”.


********************

Ya. Orang kata saya terlalu muda untuk semua itu tetapi mereka tidak tahu apa yang sudah saya lalui untuk mendapatkan semua itu. Terlalu banyak ujian dan cabaran yang perlu saya hadapi dan ujian itu tidak setanding dengan usia saya yang terlalu muda.

Mungkin saya muda pada usia, tetapi ujian demi ujian membuatkan saya tua pada pengalaman yang ada berbanding individu yang seusia dengan saya.

Aturan Allah.

Saya sedar hidup ini hanya sementara, kita semua akan mati.
Saya sedar saya perlu menyumbang sesuatu kepada ummah sebelum saya mati.
Saya sedar ilmu dan amal itu sangat diperlukan dalam setiap langkah kehidupan.

Ketika saya menyedari semua ini, usia saya sudah mencecah 17 tahun. Pada pandangan saya, usia itu sudah terlewat untuk mengatur perjalanan hidup yang lebih baik. Sudah 17 tahun saya bazirkan masa dengan kehidupan yang bersenang lenang tanpa matlamat hidup yang jelas.

Apabila tersedar, saya tidak berpaling ke belakang lagi. Saya meneruskan kehidupan dengan membuat misi hidup dan cuba sedaya upaya berada pada landasan tersebut.

“Manusia yang punya matlamat hidup yang jelas, langkahnya akan terus terarah pada jalan tersebut”.

Hidup ini sentiasa ada pilihan. Samaada mahu terus menderita atau mencari jalan untuk bahagia. Samaada mahu berada di tempat sama atau berdepan dengan risiko untuk maju ke depan. Setiap pilihan yang dibuat, akan ada sesuatu yang menanti di hadapan.

Ujian demi ujian yang kita perolehi sepanjang perjalanan itulah sebenarnya mematangkan fikiran. Matang dari segi akal fikiran dan tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah, cabaran dan ujian yang ada.

Jika kita tidak berani untuk mengambil risiko untuk maju ke depan, bagaimana kita akan tahu setakat mana kemampuan diri?

Kita muda, tak bermakna kita tak mampu untuk membuat keputusan sendiri. Yakinlah dengan kemampuan diri dan keputusan yang di buat.

“walau sehebat mana pun kita nanti. Walau sejauh mana pun kita pergi. Jangan pernah jauh dari Allah. Kerana tanpa Dia, kita ini bukan siapa-siapa”.

Allah lebih tahu.

blog comments powered by Disqus