Khamis, 10 September 2015

Teringin

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Rutin harian saya, pasti saya akan buka facebook dan instagram. Gemar melihat gambar dan membaca status yang dikongsi oleh rakan yang lain. Seronok melihat kehidupan individu lain.

Ada yang dulunya gigih berjuang dalam bidang akademik, sudah pun mendapat PhD dan bergelar Prof. Madya.

Ada juga yang dulunya begitu susah hidupnya, tetapi gigih berusaha dalam perniagaan dan akhirnya berjaya menjadi jutawan muda.

Ada pula yang pernah putus tunang berkali-kali, tetapi selepas beberapa tahun, bertemu jua dengan cinta halalnya yang sangat setia dan bahagia senantiasa.

Apabila kita melihat dan membaca status mereka yang berkongsi untuk tatapan umum, akan timbul satu rasa keinginan. Hati mula bermonolog sendiri.

“Bestnya la kalau aku dapat jadi macam dia."
“Syoknya kalau aku dapat sambung belajar macam dia”.
“Untungnya dia dapat pasangan yang sweet dan caring macam tu”.

Diri mula terasa serba kekurangan.
Terasa serba tidak cukup dengan apa yang dimiliki.

Jika ada orang mempunyai rumah mewah dua tingkat, kita juga teringin memilikinya. Jika ada orang mempunyai kereta besar seperti BMW, Audi dan sebagainya, kita juga mahu memilikinya.

Itulah hati manusia, tidak pernah terasa puas. Mahukan lebih lagi, dan lebih lagi.

Dia kaya, tetapi sibuk dan tidak punya waktu yang banyak untuk sentiasa bersama dengan keluarga.

Dia dapat sambung belajar, tetapi kurang waktu untuk bersosial dan bermasyarakat dengan ramai orang.

Tidak perlu ‘seksa’ hidup kita dengan asyik memikirkan kekurangan diri dan apa yang kita tiada dengan melihat kelebihan orang lain. Tetapi latihlah hati supaya melihat kekurangan orang lain dengan sentiasa merasa syukur dan cukup dengan apa yang kita ada.

Ada orang, tidak mempunyai anggota tangan. Tetapi kreatif dalam melukis dengan menggunakan kaki.

Ada orang pula, tidak mempunyai kaki dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak tetapi mampu memotivasikan ribuan orang dengan semangatnya.




*******************

Benar. Dia kaya, berpelajaran, solehah, berkerjaya dan banyak lagi. Serba serbi lengkap dengan pelbagai pakej. Sedangkan kita pula sebaliknya, hanya biasa-biasa saja.

Pernah kita berfikir, sudah berapa banyak masa yang dia korbankan untuk berada tahap itu?
Sudah berapa banyak duit yang habis untuk berada pada tahap itu?
Sudah berapa banyak air mata, kesulitan dan kesusahan yang dia perlu tanggung untuk berada pada tahap itu?

Jika kita tahu untuk berada tahap itu perlu melalui penderitan, pengorbanan, tidur yang tak pernah cukup, cabaran dan ujian datang bertimpa-timpa, adakah kita sanggup bertukar tempat dengannya?

Saya rasa, pasti ramai yang akan berkata TIDAK!

Dia tahu dia perlu bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Dia tahu dia perlu mengorbankan banyak benda untuk mengapai impiannya, tetapi dia tetap mahu teruskan juga.

Mengapa? Kerana dia punya tujuan dan misi hidup.

Dia mahu menjadi kaya, kerana mahu membantu asnaf fakir miskin lain walaupun sebelum ini sudah banyak kali dia kerugian dan ditipu sebelum menjadi jutawan.

Dia mahu mendapatkan PhD, kerana dia mahu menjadi pensyarah dan mendidik lebih ramai lagi anak bangsa untuk kemajuan sesebuah Negara disamping menjadikan ilmu itu sebagai asset akhirat walaupun pengajian itu mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja ribuan tinggit.

Teringin itu biasa.
Setiap orang punya keinginan.
Tetapi pastikan keinginan itu punya tujuan hidup.

Kita mahu menjadi kaya sepertinya, tetapi pastikan punya tujuan iaitu mahu mengubah ekonomi keluarga dan membantu orang lain yang memerlukan.

Biarpun kita gagal untuk penuhi impian yang pernah kita lakar dulu, pastinya kita merasa puas hati apabila sudah pernah mencuba sekuat hati. Tetap ada bahagian bagi individu yang sentiasa berusaha.

“Man jadda, wa jadda”
(siapa berusaha, dia akan mendapat hasilnya)



Jika kita melihat ada orang soleh dan solehah, hafiz dan hafizah al-Quran, menguasai pelbagai cabang ilmu agama dan punya peribadi serta akhlak yang baik, adakah kita turut berkeinginan untuk mengikuti jejaknya?

Allah lebih tahu.

blog comments powered by Disqus