Selasa, 10 Mei 2016

Nikmat Cinta Allah

Catatan Kuliah Usrati (IKIM)
Oleh: Ustazah Norhafizah Musa


“sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
Surah as-syam (ayat 9 & 10)

“…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”
Surah al-Baqarah (ayat 222)

Kenapa perlu bersihkan hati?
Kerana ianya menjadi wadah (jalan) untuk mendapatkan nikmat cinta. Apabila hati bersih, hidayah Allah mudah masuk, fikiran pun jadi jernih, hidup jadi tenang dan ucapan juga penuh dengan hikmah.

Apabila hati bersih, kita mengundang para Malaikat bersama kita, firasat jadi tajam, doa kita mustajab sehingga sampai satu tahap yang disebut oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Anfal ayat 2,

“Orang-orang yang beriman itu adalah orang-orang yang apabila disebutkan nama Allah maka bergetarlah hati mereka. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya maka bertambahlah keimanan mereka. Dan mereka hanya bertawakal kepada Rabb mereka.”

Syeikh Muhammad bin Shalih al Munajjid pernah menyebut dalam kitab beliau yang mana ada seorang sahabatnya, ketika mana tentera Rusia masuk ke dalam rumah untuk bunuh semua orang Islam. Dia panik untuk sembunyikan diri dan apabila dia terlihat lubang kecil disebalik almari, dia terus bersembunyi di dalam lubang tersebut.

Ketika itu, dia mendengar betapa kerasnya tentera rusia tersebut membunuh orang Islam dengan bunyi tembakan dan hayunan pedang. Dia terasa sangat takut sehinggalah ada salah seorang tentera Rusia tu berkata, “cuba alihkan almari tu dan tengok jika ada lagi orang Islam bersembunyi dibelakang almari”.

Apabila dia mendengar tentera Rusia berkata sedemikian pastilah dia berasa sangat takut. Jika almari dialihkan, pastilah akan nampak dia bersembunyi di dalam lubang tersebut. Ketika itu dia terus teringat sejarah yang telah berlaku pada Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Rasulullah s.a.w.. Dia teringat nikmat tawakal dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. ketika itu.

Dalam keadaan mata dipejam, dia terdengar bunyi tapak kaki menuju ke arahnya. apabila dia buka mata, ternampak kasut tentera Rusia didepan matanya. Dia dan tentera Rusia saling berpandangan. Ketika itu, dia terus membaca surah Al-Anfal ayat 2 sampai habis. Lalu tentera Rusia itu berkata, “tiada orang disini, tuan. Lubang ini kosong”.

Sebaik sahaja tentera Rusia itu pergi, dia terus sujud syukur kerana tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan nikmat yang telah dia perolehi. Nikmat yang masuk ke dalam hatinya, bergetar jiwanya, bertambah keimanan dan keyakinannya kepada Allah s.w.t.

Cinta Allah, ia adalah kehidupan.
Siapa yang hilangkannya, maka ia termasuk orang yang mati.

Cinta Allah adalah cahaya,
Siapa yang hilangkan sinarnya, maka ia berada dalam kegelapan samudera.

Cinta Allah adalah ubat.
Siapa yang tidak menelannya, maka hatinya akan tertimpa dengan pelbagai ragam penyakit.

Cinta Allah adalah kenikmatan yang luar biasa.
Siapa yang tidak memperolehinya, maka seluruh kehidupannya adalah kegelisahan dan derita.

Cinta Allah adalah rohnya Iman.
Cinta Allah adalah rohnya Aman.
Cinta Allah adalah rohnya Perilaku.
Ketika kita terlepas dari cintanya, maka jasad kita tanpa jiwa dan nyawa.



Allah Jua Maha Tahu (^^,)

blog comments powered by Disqus