Jumaat, 30 Mac 2012

Cemburu? ^^


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan. Selawat dan salam buat manusia agung, pembawa rahmat buat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian. 

Alhamdulillah wa syukrillah atas kesempatan dan keizinan untuk bertinta lagi. Hari-hari yang sentiasa padat dengan aktiviti. Moga ku menjadi petani akhirat yang berjaya memasarkan produk-produk dakwah yang berjaya, ameen! 

Ana tersenyum sendiri melihat gelagat sahabat-sahabat apabila ada saja poster atau program ilmu yang diletakkan dalam facebook. 

“aishh…jelesnya…”

“Jeles betul tengok, macam-macam pengisian ilmu ada. Huhu!”

Pusat Islam Universiti Utara Malaysia sememangnya adalah lubuk ilmu. Terlalu banyak program ilmu dan pengisian rohani dianjurkan samaada dilaksanakan sendiri atau bergabung dengan mana-mana kelab, persatuan mahupun kolej. 

Satu kekangan sebelum ini adalah kebanyakan pegawai dan staf Pusat Islam terlalu sibuk dengan kerja mereka. Kerana itu mereka perlukan aktivis atau sukarelawan dari para pelajar yang sudi memberi komitmen untuk membantu mereka bagi lebih dekat dengan warga kampus.

Jadi, apabila ada pelajar yang membuat praktikal disitu, banyak program yang dapat mereka laksanakan kerana ada bantuan tenaga lebih yang boleh membantu. Syukurlah Allah pilih dan izin ana untuk praktikal disitu. 

Ketika duduk mengadap laptop bagi menyiapkan poster untuk program seterusnya, tangan ana terhenti seketika. Fikiran mula terbang jauh merentas masa lalu, teringat saat-saat ilmu yang ku pelajari ditarik satu persatu.

Masih terasa kehangatan air mata kerana sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku. Masih terasa betapa tebalnya muka ini mengadap cikgu dan memohon maaf atas kelakuan sahabat sekelas yang berlaku biadap terhadapnya hingga pergi meninggalkan kelas.

Dahulu, ana merupakan pelajar sekolah agama dan Maahad. Ilmu yang ana pelajari ketika itu hanyalah semata-mata mahu lulus ujian. Hanya bermain dibibir, tapi tidak lekat dihati. Mungkin diri ini terlalu selesa berada dalam biah solehah dan menyangka selamat berada dalam kelompok yang punya fikrah Islam. 

Maka ana bermain tarik tali dengan ilmu yang dicurahkan oleh para ustaz dan ustazah yang ada tanpa mengambil serius dan belajar kerana Allah. Hinggalah tiba suatu hari yang tidak pernah terlintas difikiran.

Ana berpindah ke sekolah menengah biasa. Saat itu hanya Allah yang tahu betapa takut dan bimbangnya sekiranya Iman yang senipis bawang ini tidak mampu menepis segala maksiat yang sudah terbentang luas di depan mata. 

Hari-hari yang dilalui begitu menguji iman. Benarlah, ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan duduk dalam hati yang gelap. Ilmu yang sememangnya sikit itu, makin menghakis kerana mata dan hati sering melihat maksiat.

Tidak cukup dengan itu, para guru disekolah tersebut juga seperti sudah tidak sanggup untuk masuk mengajar di kelas ana. Percaya tak kalau ana bagitahu ada seorang cikgu lelaki hampir menumbuk muka kawan sekelas ana kerana sikapnya yang terlalu biadap?

Ana masih ingat perbualan beberapa orang cikgu ketika ana masuk untuk menghantar buku. “tak sanggup dah nak masuk mengajar kat kelas tu, budak-budak kurang ajar sangat. Langsung tak hormat”.

Kaki ana berhenti melangkah dan kelopak mata sudah bergenang dengan air mata. Setelah itu ana cepatkan langkah dan segera meletakkan buku diatas meja, lantas berlalu pergi sebelum air mata mengalir dipipi.

Dan masih ana ingat cikgu yang mengajar subjek perakaunan menamatkan kelas awal dan berlalu pergi saat ada pelajar yang menjawab dan melawan cakapnya. Ana bangun dari tempat duduk dan mahu mengejar cikgu berkenaan.

“sekarang kamu puas! Berseronoklah kalau itu yang kamu mahukan!”

Ana berlari keluar dan memanggil cikgu tersebut, tidak tahu dimana mahu diletakkan muka. Ana juga sudah tidak ingat sudah berapa kali ana memohon maaf kepadanya,“cikgu, maafkan kawan saya. Tolong masuk balik cikgu, saya nak belajar…” Cikgu tersebut hanya tersenyum memandang ana dan berlalu pergi. 

Air mata ana terus mengalir sambil mata memandang cikgu pergi hingga hilang dari pandangan. Ana ke tandas dan menangis sepuasnya.

Allah menguji ana dengan semua itu. Ana tahu kesilapan sendiri kerana tidak pernah menghargai ilmu yang hadir saat menuntut di Maahad dulu walaupun ilmu itu datang sendiri kepada ana. Tetapi apabila berada di sekolah tersebut, betapa keras pun ana berusaha, ianya begitu sukar sekali untuk mendapatkannya.

Ketika dipenghujung semasa berada di tingkatan lima, ana jatuh sakit dan tidak dapat menghadiri ke sekolah. Sewaktu ada kelas tambahan, sahabat sekelas menelefon ana. 

Telefon itu dia buat loudspeaker dan ana dapat dengar semua suara. Cikgu yang mengajar ketika itu bertanya khabar ana, begitu juga sahabat ana yang lain. “Asma’, moga cepat sembuh ya. Kami semua rindukan awak. Cepat-cepat datang sekolah semula ya…”.

Allah…terharunya ana saat mereka berkata sedemikian. Rupanya ana tidak sendirian kerana masih ada sahabat yang benar-benar serius mahu terbang hingga ke puncak. Alhamdulillah ana mendapat keputusan yang baik semasa SPM dan ditawarkan untuk masuk ke Kolej Matrikulasi Perlis. 

“kalau mahu bermimpi, mimpilah sampai ke bintang. Jika tidak mampu, cukuplah sekadar menggapai langit…”

Jadi, buat para sahabat pembaca sekalian. Usahlah cemburu denganku, bahagian kalian tetap akan ada. Ilmu Allah itu luas dan ada dimana-mana sahaja. Perjalanan hidup yang ana lalui benar-benar membuatkan ana menghargai ilmu yang datang hingga ana membuat perjanjian.

“Ana boleh kongsi dan ajarkan, tapi dengan satu syarat”, kata ana kepada sahabat yang meminta ana kongsi sesuatu.

“Apa dia?”,

“Ajarkan ana ilmu yang belum ana pelajari….”, jawab ana sambil mengukir senyuman.

Buat sahabat-sahabat yang masih berada di institusi pengajian, carilah ilmu sebanyaknya sebagai bekalan untuk belayar dialam kerjaya nanti. Pelajarilah sesuatu yang amalnya tetap mengalir walaupun kita sudah mati kerana salah satu yang akan membantu kita semasa dialam barzah adalah ilmu. 

Terima kasih buat para guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat yang sanggup bersabar dan tetap setia mengajarkanku ilmu. Kalian telah berjaya melahirkan seorang da’ie berjiwa hamba. Allah…ku semakin jatuh cinta denganMu…

Wallahua’lam.

Ilmu adalah warisan para Nabi dan Rasul,
sedangkan harta adalah warisan Qarun dan Fir’aun.
Ilmu akan menjagamu,
sementara harta, engkau yang perlu menjaganya.
Ilmu tidak ada pencuri,
sedangkan harta banyak pencurinya.
(Saidina Ali bin Abi Thalib)


“JOM KITA MENCARI BEKALAN KE DESTINASI YANG PASTI…(^^,)”

Selasa, 20 Mac 2012

Kisah Semalam


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang”

Alhamdulillah Ya atas kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Tersenyum sendiri dihadapan laptop, ada rasa sedikit kekok tatkala jari jemari mula menari-nari mengikut rentak ilham yang mahu mencoretkan kata. Terasa seperti sudah lama tidak menulis. Moga ku tetap istiqomah, ameen!

Kisah semalam, masih segar diingatan. Ada seorang sahabat membawa temannya ke Pusat Islam atas beberapa urusan, dan kami dalam proses untuk membantunya bagi bangkit semula dari takdir yang langsung tidak mampu dihentikan.

Masih tergiang-giang kata-kata seorang pegawai Pusat Islam, “beriman kepada qada’ dan qadar adalah suatu tingkat keimanan yang tinggi, kalau tak takkanlah Allah letakkan dalam salah satu senarai rukun Iman. Mereka yang pasrah dan redha dengan aturan Allah s.w.t. adalah mukmin yang sebenar”.

“Insan yang mampu bangkit dan terus melangkah ke hadapan sebenarnya adalah insan yang kuat. Cuba bayangkan kalau Rasulullah s.a.w. berundur dari dunia dakwah dan ‘meletak jawatan’ yang diamanahkan oleh Allah setelah kematian Isteri tersayang dan bapa saudaranya pada tahun yang sama hingga tahun tersebut dinamakan tahun kesedihan? Pasti Umat Islam kini tidak seramai ini.”

“Tetapi aturan Allah tetap yang terbaik. Allah menguji para kekasihnya supaya menjadi insan hebat. Hasil daripada peristiwa itu, perintah untuk berhijrah turun. Dan bermulalah lembaran baru buat umat Islam selepas tertubuhnya negara Islam Madinah. Lihatlah hari ini, Islam tersebar ke serata dunia.”

Ana tersenyum sendiri mendengar bait-bait kata yang terucap dan kadang-kala menganggukkan kepala sebagai tanda mengiakan apa yang dikata. 

Itu yang berlaku pada sebelah pagi. Dan ini pula yang berlaku pada sebelah petang. Motor pancit selang beberapa minit selepas ana dan sahabat naiki. Seorang demi seorang staf dan pegawai Pusat Islam pulang, kami tetap masih ditempat yang sama.

Menunggu mekanik yang tidak kunjung tiba. Langit sudah mula mengumpulkan awan hitam menandakan bila-bila masa sahaja hujan bakal turun. Benar-benar menguji kesabaran kerana badan sudah keletihan yang amat.

Setelah hampir satu jam, tayar motor siap ditukar dan terus memecut laju diatas jalan raya memandangkan keadaan semakin gelap walaupun ketika itu lagi 30minit mahu pukul 7 petang.

Sebaik sahaja tiba dirumah dan ana siap bersihkan diri, hujan turun selebat-lebatnya. Badan sempat direbahkan diatas tilam untuk seketika sebelum misi menyelamatkan rumah berlangsung!

Ini kali kedua rumah sewa kami bocor dan kali ini paling teruk. Barang-barang dibilik teman serumah ana segera dikeluarkan, memandangkan air semakin melimpah keluar. Ana segera ke dapur untuk mengambil mop dan baldi bagi menahan air dari mengalir ke tempat lain. Hasilnya, empat baldi penuh dengan air! 

Hujan semakin lebat. Ruang tamu yang hanya bocor sedikit pada mulanya semakin teruk. Ana terpaksa berhenti seketika ‘membuang’ air dalam bilik teman serumah apabila dia menjerit memanggil ana untuk mengalihkan pula barang-barang yang berada di ruang tamu.

Perasaan cemas dan bimbang mula menyelubungi kami setelah melihat air yang mengalir di dinding turut terkena suis utama. Bimbang sekiranya berlaku litar pintas. Apabila azan maghrib berkumandang, hujan mula reda sedikit demi sedikit dan kami solat secara bergilir-gilir sebagai langkah berjaga-jaga.

Hanya Allah yang tahu betapa penat dan letihnya badan nie. Tenaga sudah dikerah sehabisnya. Namun, dalam keadaan seperti itu. Kami sempat muhasabah sendiri.

“ini baru hujan, belum lagi tsunami macam dalam cerita hafalan solat delisa”, kata teman serumah ana.

“Tahu takpe. Syukurlah, itu tandanya kita masih punya rumah berbanding orang lain”, ana menyahut sambil mengukir senyuman.

Hati terus memujuk untuk yakin bahawa aturan Allah tetap yang terbaik, pasti ada sesuatu yang mahu Dia tunjukkan dan setiap musibah yang menimpa pasti akan hadir hikmah bersamanya.

Setelah selesai solat isya’ dan mop lantai bagi menghilangkan kotoran yang melekat, badan terus direbahkan untuk dicaj kembali tenaga yang telah dikeluarkan kerana hari ini sudah ada dua program yang bakal menanti untuk dilaksanakan. Wallahua’lam…

Kisah semalam, mengajar erti sebuah kehidupan.
Dalam suka, terselit duka.
Dan begitulah sebaliknya…
Da’ie yang hebat
dia tetap tersenyum walau diuji…(^^,)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(^^,)

Rabu, 14 Mac 2012

“Kini, Kita Bersaudara…”

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Selawat dan salam buat insan teragung yang membawa rahmat buat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak Lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah wa syukrillah kerana masih diberi kesempatan dan keizinan untuk menukilkan sesuatu walaupun terlalu sibuk dengan pelbagai kerja di Pusat Islam. Moga-moga diri ini terus istiqomah dalam menulis. Ameen ya rabb.

Pada hari Jumaat yang lepas, kelas tajwid muslimat berlangsung untuk minggu ketiga secara berturut-turut yang dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Wanita, khusus buat para Muslimat sahaja. 

Ketika ana berada dikaunter pendaftaran untuk mengambil kedatangan para pelajar yang hadir, ana didatangi oleh beberapa orang sahabat dan memberitahu ada seorang pelajar yang begitu minat dengan Islam untuk sama-sama belajar Tajwid. 

Allah…tidak terkata saat itu.

Kami sebagai pihak urusetia mengalu-alukan kedatangan beliau yang diiringi oleh sahabat-sahabat yang sudi membantunya. Ketika masuk ke kelas, ustaz yang mengajar begitu teruja kerana itulah kali pertama sepanjang umurnya, ada seorang pelajar bukan Islam datang untuk belajar dengannya. 

Para pelajar yang turut serta dalam kelas tersebut juga teruja apabila mengetahui ada pelajar bukan Islam turut bersama mereka untuk sama-sama belajar tajwid. Boleh kalian bayangkan perasaan kami ketika itu? Allahurabbi…

Dua hari selepas itu, sahabat yang selalu bersama dengan pelajar bukan Islam ini tadi datang ke Pusat Islam bagi mencuba madu yang teman serumah ana selalu makan. Dari situlah bermula detik-detik pengIslamannya apabila dia bertanya tentang hidayah.

Teman serumah ana terus membawanya berjumpa dengan seorang ustaz di Pusat Islam dan ustaz tadi memberitahu berkaitan hidayah, keindahan dan kebenaran agama Islam. Setelah itu, ustaz bertanya kepada pelajar tersebut.

“apakah kamu berminat untuk masuk Islam?”

Pelajar tadi mengatakan beliau berminat untuk masuk Islam dengan rela hati. Ketika itu juga dia mengucap kalimah syahadah. Ana yang hanya mendengar dari jauh kalimah syahadah itu diajarkan kepadanya, terasa syahdu dan sebak seketika.

Teman serumah ana yang ada dengannya ketika itu memberitahu, “dia dah lama minat dengan Islam, sudah banyak buku-buku berkaitan Islam dia baca. Cuma hatinya makin tertarik dengan Islam saat dia membaca terjemahan daripada ayat al-Quran.”

Allah…Allah…Allah…

Ana dan sahabat yang menemaninya tadi masuk ke bilik sebaik sahaja ustaz keluar untuk menguruskan beberapa keperluan disamping memberitahu staf dan pegawai Pusat Islam yang lain tentang pengIslamannya. 

“Alhamdulillah, kamu sudah masuk Islam. Kini, kita bersaudara…” ana katakan kepadanya. Terasa sebak dihati apabila melihat ada air mata yang bertakung dimatanya. 

Setelah itu, beberapa orang pegawai Pusat Islam datang ke bilik tersebut dan berkenalan dengannya. Dia diberikan sedikit saguhati yang mengandungi kelengkapan solat iaitu telekung dan sejadah disamping zakat untuk muaalaf. 

Ustaz memberitahu kami untuk membawanya ke Jabatan Agama Islam Negeri Perlis dan PERKIM untuk membuat pendaftaran dan mengesahkan bahawa dia sudah memeluk agama Islam. 

Tengahari semalam, kami pergi ke sana dan itulah kali pertama ana melihat dia bertudung. Indah sekali perasaan ana saat itu, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Badan sememangnya terasa kepenatan dengan program sebelumnya, ditambah pula kurang tidur bagi menyiapkan tempahan dari Jordan, jiwa tetap bersemangat untuk teruskan misi tersebut…(^^,)


Sebaik sahaja sampai ke Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, kami masuk ke unit dakwah, ta’mir dan kairiah bagi mengisi borang pengesahan tentang pengislamannya. 2 salinan kad pengenalan dan 8 keping gambar passport bertudung diperlukan.


Alhamdulillah pegawai dari PERKIM turut serta dan ianya memudahkan urusan kami. Semasa borang diisi oleh staf di jabatan tersebut, beliau menceritakan pengalaman semasa bersama dengan saudara baru.

“Ada yang tertarik dengan Islam sebab dia melihat telekung yang orang Islam selalu pakai masa solat warna putih, nampak suci je dan dia masuk Islam. Ada seorang doktor masa program bersama dengan saudara baru, dia ceritakan pengalaman sendiri bersama dengan keluarga. Walaupun dia sudah masuk Islam, dia tetap bahagia dengan keluarganya. Ajak mak dia pergi shopping dan makan besar sewaktu Tahun Baru Cina. Sampai sekarang dia cuba untuk tarik mak dia masuk Islam”.

Benarlah apa yang dikatakan, “awak masuk Islam atas kerelaan hati, jadi awak lebih menghargai Islam berbanding mereka yang lahir sahaja sudah Islam. Jadi, kalau selepas ini diuji dengan pelbagai ujian, jangan sesekali mengalah mahupun menyesal. Anggaplah Allah s.w.t. mahu menguji setakat mana keikhlasan hati kita”.

Setelah semua borang, surat, pengesahan dan sebagainya selesai. Kami ke unit Baitulmal pula bagi mengambil zakat untuknya. Dia juga sedikit terkejut apabila zakat itu dihulurkan kepadanya. Ana minta sahabat yang ada dengannya untuk terangkan semua itu supaya dia mengerti.

Destinasi seterusnya adalah ke Balai Polis Kangar bagi membuat report bahawa dia masuk Islam dengan rela hati dan bukan paksaan mana-mana pihak sebab staf di jabatan tadi bagitahu ada satu kes pensyarah yang membawa seorang pelajar untuk mendaftarkan keIslamannya disaman atas sebab cubaan menghasut untuk masuk Islam.


Jadi, report ini sebagai bukti kukuh bahawa dia masuk Islam dengan rela hati dan mungkin berguna untuk masa depan jika diperlukan. Ana tersenyum sendiri melihat gelagatnya sepanjang proses ini berlangsung.

Dia meminta setiap daripada proses ini dirakam untuk tatapan ibu kandungnya. Syukurlah ibunya dapat menerima berita keIslamannya, cuma sedikit terkilan kerana tidak memberitahu sebelum membuat keputusan seperti itu. Ayah dan adik-adiknya yang lain belum tahu hal ini.

Sahabat-sahabat pembaca sekalian, kirimkan doa kalian buatnya ya! Moga-moga segala urusannya dipermudahkan. Diteguhkan hati dan dikuatkan iman untuk kekal istiqomah sebagai muslim. 


“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)”

Selasa, 6 Mac 2012

Bahtera Kembaraku


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan dan ilham yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Moga diri ini terus istiqomah untuk menulis sesuatu yang bermanfaat. ameen ya robb~

Pagi tadi, ketika berhenti seketika daripada membuat segala kerja yang masih berlambak diatas meja, hari-hari yang begitu sibuk dengan pelbagai program dakwah hinggakan apabila pulang ke rumah, badan pasti direbahkan dulu untuk kembalikan tenaga yang sudah dikerah sehabisnya. Tapi ku bahagia…:)

Duduk muhasabah sendiri di meja pejabat, memikirkan langkah yang bakal ku ambil nanti bersama dengan usaha yang sedang ku lakukan kini. Ada beberapa yang perlu diberi perhatian, bimbang juga sekiranya ada yang terlepas pandang dan tidak mampu untuk seimbangkan semuanya.

Lantas ana teringat perkongsian yang ana curahkan sewaktu bersama dengan adik-adik Pusat Islam Kolej Matrikulasi Perlis dua minggu yang lalu.  Sebelum itu ada seorang adik mesej, katanya mahu datang ke kampus untuk berjumpa dengan ana. 

Daripada mereka yang ramai datang berjumpa dengan ana seorang, baik ana yang seorang ini pergi kesana untuk memudahkan urusan. Aturan Allah, ada seorang sahabat ana yang mahu turut serta dan sudi untuk memandu kereta ke sana. Terima kasih ukhty! (^^,)

Dalam halaqah, ana berikan mereka beberapa helai kertas warna dan meminta mereka menulis nama, jawatan yang dipegang dan kata-kata nasihat pada kertas tersebut. 

Setelah itu ana ambil dan lipat kertas tersebut menjadi sebuah kapal, ana namakan dia sebagai bahtera. Lalu ana katakan kepada mereka, “Baiklah, akak satukan semua kertas ini dan jadikan dia bahtera. Dan siapa dalam kalangan kalian berani kata yang ini adalah dia punya?”, ana angkat bahtera tersebut dan memandang satu persatu wajah yang berada di hadapan.

Tiada siapa pun yang menyahut. Ana senyum. 

Mereka mengerti bahawa bahtera itu terwujud dan terhasil daripada kertas yang punya nama, jawatan dan kata-kata nasihat mereka semua. Jadi, bahtera itu adalah kami punya dan bukannya berkata, “bahtera ini, aku yang punya!”.

“organisasi ini diibaratkan seperti bahtera ini. Setiap orang punya peranan dan kepentingan masing-masing. Kalian semua memandu bahtera ini dengan diketuai oleh ketua kapal. 

Pandangan, cadangan, pemikiran mesti bersatu. Jika ada masalah, solusi itu mesti dicari dan bukan cari salah siapa. Jika ada yang jatuh atau hampir tergelincir dari bahtera ini, kalian semua bertanggungjawab untuk selamatkannya…”.

Tersenyum sendiri apabila teringat semula apa yang kami lakukan semasa halaqah. Tiba-tiba muncul satu ilham, lantas tangan terus mengambil kertas warna. Kertas sama yang ana gunakan untuk membuat bahtera kepada adik-adik Pusat Islam KMP. 

“Aku juga mesti punya bahtera….” bisik hati ana.

Ana lakarkan satu persatu usaha yang sedang ana buat dan perancangan yang mahu ana lakukan dalam masa yang singkat. Iman akan turun naik, ana tahu itu. Begitu juga dengan semangat, ada pasang surutnya. 


Ana suka buat sesuatu yang dapat naikkan semula motivasi diri untuk kekal bersemangat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah. Dan ini salah satunya. Selalunya buat bagi memotivasi dan mengingatkan orang lain. Kadang-kala ingatkan diri sendiri dengan buat macam nie pun seronok juga. hehe!

Tidak mudah untuk ana seimbangkan semua ini memandangkan kemampuan ana agak terbatas. Badan yang mudah terasa letih dan kepenatan membuatkan pergerakkan agak perlahan berbanding sebelum ini. Moga-moga Allah permudahkan.


Ana lipat dan jadilah seperti yang dilihat. Kertas nie ana letak atas meja pejabat untuk ingatkan ana bahawa bahtera ini perlu dilayarkan walau sesukar mana sekalipun halangan yang berada dihadapan. Ana tidak tahu apa yang bakal berlaku dihadapan, apa yang ana tahu, ana tetap akan cuba untuk kekal istiqomah. insyaAllah…

Erm…kalau lepas nie ada bahtera seperti ini kat atas meje sapa-sapa, ana tak bertanggungjawab ya…hehe! melawak ja…..;p

“hati yang ingatkan mati akan sentiasa hidup”, bak kata Ustaz Zahazan.

Bahtera ini ku layarkan dilautan dunia,
ombak dan ribut seringkali menyapa,
menguji keutuhan iman disetiap pelayaran,
Mencari bekalan untuk bertemu dengan Tuhan Yang Maha Satu….
wallahua’lam…


“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)”