Jumaat, 30 Mac 2012

Cemburu? ^^


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan. Selawat dan salam buat manusia agung, pembawa rahmat buat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian. 

Alhamdulillah wa syukrillah atas kesempatan dan keizinan untuk bertinta lagi. Hari-hari yang sentiasa padat dengan aktiviti. Moga ku menjadi petani akhirat yang berjaya memasarkan produk-produk dakwah yang berjaya, ameen! 

Ana tersenyum sendiri melihat gelagat sahabat-sahabat apabila ada saja poster atau program ilmu yang diletakkan dalam facebook. 

“aishh…jelesnya…”

“Jeles betul tengok, macam-macam pengisian ilmu ada. Huhu!”

Pusat Islam Universiti Utara Malaysia sememangnya adalah lubuk ilmu. Terlalu banyak program ilmu dan pengisian rohani dianjurkan samaada dilaksanakan sendiri atau bergabung dengan mana-mana kelab, persatuan mahupun kolej. 

Satu kekangan sebelum ini adalah kebanyakan pegawai dan staf Pusat Islam terlalu sibuk dengan kerja mereka. Kerana itu mereka perlukan aktivis atau sukarelawan dari para pelajar yang sudi memberi komitmen untuk membantu mereka bagi lebih dekat dengan warga kampus.

Jadi, apabila ada pelajar yang membuat praktikal disitu, banyak program yang dapat mereka laksanakan kerana ada bantuan tenaga lebih yang boleh membantu. Syukurlah Allah pilih dan izin ana untuk praktikal disitu. 

Ketika duduk mengadap laptop bagi menyiapkan poster untuk program seterusnya, tangan ana terhenti seketika. Fikiran mula terbang jauh merentas masa lalu, teringat saat-saat ilmu yang ku pelajari ditarik satu persatu.

Masih terasa kehangatan air mata kerana sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku. Masih terasa betapa tebalnya muka ini mengadap cikgu dan memohon maaf atas kelakuan sahabat sekelas yang berlaku biadap terhadapnya hingga pergi meninggalkan kelas.

Dahulu, ana merupakan pelajar sekolah agama dan Maahad. Ilmu yang ana pelajari ketika itu hanyalah semata-mata mahu lulus ujian. Hanya bermain dibibir, tapi tidak lekat dihati. Mungkin diri ini terlalu selesa berada dalam biah solehah dan menyangka selamat berada dalam kelompok yang punya fikrah Islam. 

Maka ana bermain tarik tali dengan ilmu yang dicurahkan oleh para ustaz dan ustazah yang ada tanpa mengambil serius dan belajar kerana Allah. Hinggalah tiba suatu hari yang tidak pernah terlintas difikiran.

Ana berpindah ke sekolah menengah biasa. Saat itu hanya Allah yang tahu betapa takut dan bimbangnya sekiranya Iman yang senipis bawang ini tidak mampu menepis segala maksiat yang sudah terbentang luas di depan mata. 

Hari-hari yang dilalui begitu menguji iman. Benarlah, ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan duduk dalam hati yang gelap. Ilmu yang sememangnya sikit itu, makin menghakis kerana mata dan hati sering melihat maksiat.

Tidak cukup dengan itu, para guru disekolah tersebut juga seperti sudah tidak sanggup untuk masuk mengajar di kelas ana. Percaya tak kalau ana bagitahu ada seorang cikgu lelaki hampir menumbuk muka kawan sekelas ana kerana sikapnya yang terlalu biadap?

Ana masih ingat perbualan beberapa orang cikgu ketika ana masuk untuk menghantar buku. “tak sanggup dah nak masuk mengajar kat kelas tu, budak-budak kurang ajar sangat. Langsung tak hormat”.

Kaki ana berhenti melangkah dan kelopak mata sudah bergenang dengan air mata. Setelah itu ana cepatkan langkah dan segera meletakkan buku diatas meja, lantas berlalu pergi sebelum air mata mengalir dipipi.

Dan masih ana ingat cikgu yang mengajar subjek perakaunan menamatkan kelas awal dan berlalu pergi saat ada pelajar yang menjawab dan melawan cakapnya. Ana bangun dari tempat duduk dan mahu mengejar cikgu berkenaan.

“sekarang kamu puas! Berseronoklah kalau itu yang kamu mahukan!”

Ana berlari keluar dan memanggil cikgu tersebut, tidak tahu dimana mahu diletakkan muka. Ana juga sudah tidak ingat sudah berapa kali ana memohon maaf kepadanya,“cikgu, maafkan kawan saya. Tolong masuk balik cikgu, saya nak belajar…” Cikgu tersebut hanya tersenyum memandang ana dan berlalu pergi. 

Air mata ana terus mengalir sambil mata memandang cikgu pergi hingga hilang dari pandangan. Ana ke tandas dan menangis sepuasnya.

Allah menguji ana dengan semua itu. Ana tahu kesilapan sendiri kerana tidak pernah menghargai ilmu yang hadir saat menuntut di Maahad dulu walaupun ilmu itu datang sendiri kepada ana. Tetapi apabila berada di sekolah tersebut, betapa keras pun ana berusaha, ianya begitu sukar sekali untuk mendapatkannya.

Ketika dipenghujung semasa berada di tingkatan lima, ana jatuh sakit dan tidak dapat menghadiri ke sekolah. Sewaktu ada kelas tambahan, sahabat sekelas menelefon ana. 

Telefon itu dia buat loudspeaker dan ana dapat dengar semua suara. Cikgu yang mengajar ketika itu bertanya khabar ana, begitu juga sahabat ana yang lain. “Asma’, moga cepat sembuh ya. Kami semua rindukan awak. Cepat-cepat datang sekolah semula ya…”.

Allah…terharunya ana saat mereka berkata sedemikian. Rupanya ana tidak sendirian kerana masih ada sahabat yang benar-benar serius mahu terbang hingga ke puncak. Alhamdulillah ana mendapat keputusan yang baik semasa SPM dan ditawarkan untuk masuk ke Kolej Matrikulasi Perlis. 

“kalau mahu bermimpi, mimpilah sampai ke bintang. Jika tidak mampu, cukuplah sekadar menggapai langit…”

Jadi, buat para sahabat pembaca sekalian. Usahlah cemburu denganku, bahagian kalian tetap akan ada. Ilmu Allah itu luas dan ada dimana-mana sahaja. Perjalanan hidup yang ana lalui benar-benar membuatkan ana menghargai ilmu yang datang hingga ana membuat perjanjian.

“Ana boleh kongsi dan ajarkan, tapi dengan satu syarat”, kata ana kepada sahabat yang meminta ana kongsi sesuatu.

“Apa dia?”,

“Ajarkan ana ilmu yang belum ana pelajari….”, jawab ana sambil mengukir senyuman.

Buat sahabat-sahabat yang masih berada di institusi pengajian, carilah ilmu sebanyaknya sebagai bekalan untuk belayar dialam kerjaya nanti. Pelajarilah sesuatu yang amalnya tetap mengalir walaupun kita sudah mati kerana salah satu yang akan membantu kita semasa dialam barzah adalah ilmu. 

Terima kasih buat para guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat yang sanggup bersabar dan tetap setia mengajarkanku ilmu. Kalian telah berjaya melahirkan seorang da’ie berjiwa hamba. Allah…ku semakin jatuh cinta denganMu…

Wallahua’lam.

Ilmu adalah warisan para Nabi dan Rasul,
sedangkan harta adalah warisan Qarun dan Fir’aun.
Ilmu akan menjagamu,
sementara harta, engkau yang perlu menjaganya.
Ilmu tidak ada pencuri,
sedangkan harta banyak pencurinya.
(Saidina Ali bin Abi Thalib)


“JOM KITA MENCARI BEKALAN KE DESTINASI YANG PASTI…(^^,)”

blog comments powered by Disqus