“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, pemilik segala isi dunia dan akhirat, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat pembawa rahmat untuk seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah wa syukrillah atas keizinan untuk ‘pena’ maya ini bertinta lagi. Moga-moga punya manfaat untuk artikel kali ini. Syukur juga diberikan ilham dan idea untuk menulis.
Dalam sujud ku bercerita,
dalam sujud ku meminta,
dalam sujud ku luah segala,
dalam sujud ku tumpahkan air mata,
dalam sujud ku temui bahagia…
(Ayu Zamani)
Teringat satu kisah. “Sepanjang saya berkawan dengan dia, tidak pernah sekalipun dia ceritakan masalah hidupnya dalam sehari-hari. Jadi, kami semua fikir hidupnya pasti sentiasa secerah dan secantik pelangi. Namun, lama kelamaan baru kami perasan bahawa dia punya cara tersendiri untuk luahkan masalah tu. Setiap kali tahajud, pasti dia akan gerakkan kami semua. Bila dia sujud lama ketika solat, kami mengerti bahawa itu tandanya dia ada masalah…”
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Allah turun ke langit dunia pada sepertiga akhir di setiap malam. Dia berfirman,‘barang siapa berdoa kepadaKu, akan Ku perkenankan doanya. Barang siapa meminta kepadaKu, akan Ku beri kepadanya. Siapa yang meminta ampun, akan Ku ampuninya…”
(Sahih Bukhari)
Teringat juga kisah sepasang suami isteri yang sudah lama hidup bersama. Tidak pernah sekalipun sang isteri mendengar masalah daripada mulut sang suami. Jadi, dia menyangka hidup suami penuh dengan kebahagiaan dan berjalan lancar.
Satu malam, sang isteri tersedar dari tidur. Dia mendengar ada orang merintih dalam tangisan. Rupanya baru dia tahu, setiap masalah yang dihadapi oleh suaminya dalam hidup hanya diceritakan kepada Allah s.w.t.
Tapi bagaimana pula dengan kita ya? Apakah kita seperti dalam kisah yang diceritakan atau seperti ini?
Terbaca beberapa komen berkaitan hal ini. “entahlah, isu pasal rumah tangga sendiri pun nak cerita dekat orang. Diam-diam sudahlah…”
Ana pernah buat ‘test’ melalui facebook. Apabila ada sesuatu yang tidak puas hati, ana tulis di dinding facebook. Dan akhirnya bukan ada insan yang mengerti, sebaliknya semua itu terpalit semula kepada ana.
Apabila ada berita gembira yang mahu dikongsi bersama teman-teman, ana tulis di dinding facebook. Hasilnya, ramai yang mengucapkan tahniah dan kata-kata semangat untuk kekal istiqomah.
Begitu juga dengan kata-kata semangat, motivasi, tazkirah, muhasabah dan banyak lagi. ‘What you give, you take back’…right?
Apbila memperolehi keputusan daripada ‘ujikaji’ sendiri, maka ana cuba mengubah cara menulis dan penyampaian difacebook. Cuba untuk kurangkan menulis kata-kata yang tidak puas hati dan kemarahan diri walaupun apa yang dirasakan itu betul.
‘Rahsia diri’ itu perlu dijaga dan diluahkan kepada yang memahami. Siapa yang lebih memahami diri kita kalau bukan yang menciptakan kita?
“Apabila ada masalah, sujud dan berdoalah kepadanya moga dikuatkan iman dan diberikan solusi untuk menghadapinya. Apabila memperolehi sesuatu nikmat, sujud syukurlah tanda terima kasih kita kepadaNya…”
Ada satu lagi ‘test’ kalau ada yang mahu cuba. Ceritakan masalah kalian kepada umum, dan lihat hasilnya berapa orang yang respon dan benar-benar komited untuk membantu.
Dan cuba pula cerita dan mengadu kepada Allah s.w.t. dan lihat hasilnya setelah itu. Pasti akan memperoleh hasil yang berbeza kerana Dia yang berikan dugaan, maka solusinya juga ada padaNya…(^^,)
Ada seorang sahabat ana memberi mesej, “assalamualaikum ukhty, sibuk tak? nak bagitahu sesuatu boleh tak?”
Ana membalas mesej tersebut agak lambat kerana tidak perasan ada mesej masuk semasa membuat kerja. “walaikummussalam. Maaf baru respon. Ada apa ya ukhty?”
Dia membalas, “takde apa-apalah ukhty. Dah tenang lepas mengadu dekat Allah…(^^,)”
Ana senyum membaca mesej darinya. Itulah yang terbaik. Sejujurnya, ana juga perlukan teman untuk berbicara dan teman yang boleh sama-sama berikan pendapat serta solusi untuk masalah yang dihadapi. Itu ikhtiar kita.
Cuma yang lebih aula (utama), mengadulah kepadanya terlebih dahulu supaya semua urusan itu dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Maka, offlah facebook dan ‘bicaralah’ dengan Allah! wallahua’lam….
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)