Selasa, 24 April 2012

Kempen Menutup Aurat


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam, pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah wa syukrillah atas keizinan dariNya untuk terus bertinta lagi. Kali ini, ada sedikit perkongsian dari secebis pengalaman dan ilmu yang dilalui tatkala mengembara di bumi Allah.

Pada 21 April 2012 yang lalu, ana dan ramai lagi sahabat-sahabat dari warga kampus Sintok, Universiti Utara Malaysia telah berjaya melaksanakan Kempen Menutup Aurat dengan jayanya. 

Hanya lafaz syukur yang mampu terucap atas keizinanNya. Pelbagai masalah dan kesulitan yang dihadapi semasa dalam proses persiapan untuk pelaksanaan kempen. Atas komitmen dan kerahan tenaga dari urusetia program, ianya berjaya juga dilaksanakan pada hari yang ditetapkan.

Kempen ini mempunya tiga slot. Dua slot diisi dengan perkongsian ilmu dan pengalaman dari dua orang penceramah jemputan berkaitan aurat. Satu slot lagi diisi dengan kaedah, tips dan teknik untuk berkempen semasa turun ke lapangan kampus.

Ketiga-tiga slot ini merupakan ‘pakej’ lengkap iaitu teori dan praktikal atau ilmu dan amal kerana ianya bermula dengan penyucian hati para da’ie disamping diisi dengan ilmu dan pengetahuan berkaitan aurat sebelum turun ke lapangan dakwah. 

Ianya juga persiapan sekiranya mad’u bertanya lebih mendalam berkaitan aurat dan para da’ie sudah ada jawapan yang berilmu untuk menjawabnya. Tidak kurang dengan itu, kesemua urusetia dan peserta turut diberikan tips dan kaedah semasa berada di lapangan nanti.
Peserta dan urusetia dibahagikan kepada empat kumpulan dan satu kumpulan mempunyai ahli sekitar 8 hingga 10 orang dan masing-masing mempunyai peranan sendiri seperti memegang banner, pamplet, flyers, kain rentang, jurucakap, jurugambar dan pelakon. Masing-masing teruja dengan tugas sendiri. 
Setelah doa dialunkan, kami mulakan langkah menuju ke Varsity Mall. Sebelum ini, pihak urusetia mahu mengagihkan peserta dan urusetia di beberapa kawasan lain berdasarkan pemetaan sosial yang dibuat. Namun setelah melihat kuantiti yang tidak ramai dan mahu menjimatkan masa, kami hanya turun disatu kawasan sahaja yang sememangnya menjadi tumpuan mahasiswa/siswi kampus.
Ini adalah kali pertama acara seperti ini dilaksanakan dan berani untuk membuat secara terbuka. Walaupun pada mulanya ada yang malu dan segan untuk beraksi seperti ini, lama kelamaan mereka terasa seronok dan teruja untuk teruskan selepas melihat ramai yang memberi respon sebagai tanda sokongan. Tahniah buat kalian semua! ^^

“Fun and fight!” kata-kata semangat yang diberikan oleh Kak Asti Binti Toba kepada semua sebelum turun lapangan. Kita gembira dengan kerja dakwah yang dilakukan dan cuba membuatnya begitu lembut, berhikmah, santai dan kreatif disamping betul-betul beriltizam untuk membuatnya bersungguh-sungguh.

Kami turun berkempen sekitar 30 minit sebelum azan asar dilaungkan. Ketika itu ana bertanya kepada para peserta dan urusetia untuk mendapat persetujuan ramai, “saya nak tanya, kita nak solat di dataran atau di surau mall?”.

“Dekat dataran…” sahut beberapa orang peserta.

“bagus, kita akan solat di dataran Mall dan urusetia akan cuba cari kompas solat dan tikar untuk kita solat berjemaah. Selamat merasai pengalaman baru bagi yang belum pernah merasai”, kata ana sambil mengukir senyuman disebalik niqab.

Maaf ana hulurkan kerana tidak ada seorang pun ambil gambar semasa kami solat di dataran sebab masing-masing solat. Tapi ana rasa, ada orang lain yang lalu lalang ambil gambar ‘curi’..hehe…;p

Jujur ana bagitahu, ianya satu pengalaman yang menyeronokkan dan hebat! Mahu tahu kenapa?

“erm..akak, betul ke nie kita nak solat kat sini?”, tanya seorang peserta lelaki sambil menghamparkan tikar.

“Yup! betul la nie. Buat je…” jawab ana sambil senyum.

Dalam hati, ana risau juga. Mahunya tiba-tiba beberapa kumpulan bangsa cina yang sedang membuat latihan gendang untuk tarian dan kumpulan bangsa melayu sedang berlatih karaoke tak berhenti dari ‘berpesta’, habislah…:p Pasti ramai yang tak khusyuk nanti..hehe!

Ana tawakal dan teruskan sahaja disamping mahu masyarakat tahu yang Islam ini fleksibel dan tidak menyusahkan umatnya dan boleh solat dimana-mana dengan pakaian yang dipakai jika betul-betul yakin menutup aurat dan suci dari najis.

Sebaik sahaja ada seorang muslimin dalam kalangan kami melaungkan azan, suasana terus jadi sunyi tanpa apa-apa bunyi. Masing-masing diam mendengar azan dan kami solat dengan tenang sambil merasai bayu lembut yang cukup mendamaikan. subhanallah!

Setelah selesai tanggungjawab sebagai hamba Allah, kami menyambung berkempen. Ingat! Allah tetap nombor satu dan jangan pernah belakangkan Dia.
Allah! Makin bersemangat dan teruja untuk teruskan kempen apabila ada segerombolan pelajar dari dua Institut Pengajian Tinggi (IPT) singgah di Varsity Mall dan mereka juga menyokong usaha kami. 

Paling tidak dapat dilupakan apabila ada seorang pensyarah UUM menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada kami. “teruskan usaha dakwah kalian. Kurangkan artis dan perbanyakkan Hijab”. 
Kami mengumpul tandatangan warga kampus dan masyarakat yang datang diatas kain retang disamping meminta mereka menulis kata-kata sebagai tanda sokongan terhadap kempen seperti ini. 

Dan ini bukti yang mungkin akan kami bawa untuk berjumpa dengan pihak pentadbiran universiti. Impian kami adalah untuk melihat ada poster atau banner digantungkan sekitar kampus berkaitan aurat dengan sempurna. ameen!
Sekitar jam 5.45 petang, kami bergerak pulang ke Pusat Islam untuk membuat post-moterm disamping berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang menyertai kempen menutup aurat. Terlalu banyak yang diperolehi, apatah lagi ianya kali pertama dilaksanakan.

Kami, pelajar dari Universiti Utara Malaysia sudah mula berkempen. Anda bila lagi? Ayuh sebarkan disekitar kampus kita…^^,

Wallahua’lam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus