“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ehsan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Tiada ayat yang mampu dinukilkan melainkan alhamdulillah sebagai tanda syukur atas kesempatan dan ilham untuk menulis. Rasa rindu untuk menulis semakin menebal. Kali ini cuba sedanya untuk mencoret sesuatu dalam ‘diari maya’ nie.
Saban hari, masa ana menjadi semakin terhad untuk diri sendiri. Banyak masa digunakan untuk menguruskan program-program dakwah untuk warga kampus. Walaupun sekali-sekala terasa kepenatan dan tertekan dengan kerenah orang sekeliling, terselit juga rasa bahagia dan bersyukur berada di ‘lubuk ilmu’.
Antara saat yang paling indah adalah ketika bersama dengan insan-insan yang mahu berubah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Sebelum ini, ada sahabat yang turut serta dengan ana ketika mengadakan halaqah dengan adik-adik Pusat Islam KMP meminta untuk ana membuat usrah di kampus.
Pada mulanya ana tidak yakin dan berdalih dengan pelbagai alasan. Mungkin terfikir masa yang agak terhad dengan pelbagai kekangan. Satu hari, ana termenung panjang dan koreksi diri. Lantas ana cuba ‘test’ dan membuat pengumuman di laman sesawang, facebook untuk melihat berapa ramai yang sudi hadir ke usrah.
Subhanallah… rupanya masih begitu ramai yang tercari-cari dan berminat untuk sertai usrah. Ana cuba mengatur waktu dan menunggu masa yang sesuai bagi melaksanakannya.
Namun, atas kelalaian sendiri. Ana terlupa. Hari demi hari berlalu, hinggalah tiba satu hari ada yang menyapa di facebook.
“Ukhty.. kalau nak buat usrah, jangan lupa ajak ana ya..”.
Ana tersentak membacanya dan tersedar. Hati mula berkata-kata, “tidak patut aku jadikan kesibukan dengan program-program dakwah sebagai alasan untuk menolak tepi insan-insan yang cuba berhijrah ke arah yang lebih baik”.
Lantas ana mengatur masa, tempat dan hari untuk mengadakan usrah. Walaupun hari itu begitu penat hingga bateri telefon juga hampir kehabisan bateri dan terlupa untuk makan, cuba sedayanya untuk bertahan hingga akhir.
Maka, wujudlah satu lagi group usrah…^^
Kebanyakan dari individu yang hadir tidak pernah sekalipun sertai mana-mana usrah sebelum ini. Maka, ana terangkan dari mula bagaimana usrah boleh wujud dan siapa yang mengasaskannya serta menjelaskan rukun-rukun yang terdapat dalam usrah.
Melihat mereka teruja berta’ruf antara satu sama lain, masing-masing berkongsi kisah dan perjalanan hidup sebelum ini, ana tersenyum. Hilang segala kepenatan setelah seharian sibuk di pejabat.
Ana tidak mampu untuk buat mereka berubah, juga tidak mampu untuk membuat mereka istiqomah. Yang ana mampu hanyalah menjadi pengantara supaya ana dan mereka dekat dengan Allah s.w.t., pemilik segala isi dunia dan akhirat.
Ana takut untuk berkata-kata dan mengadakan usrah sebelum ini kerana terasa diri ini begitu kerdil dan kekurangan ilmu. Tetapi, atas nasihat sahabat seperjuangan yang melihat sendiri ana mengendalikan beberapa halaqah dan usrah sebelum ini, ana cuba melangkah lebih jauh.
Seringkali berpesan pada diri, “hanya hati suci mampu menyedarkan hati yang kotor”.
Dan hati ana muhasabah sendiri apabila ada ahli usrah berkata, “ana dah pernah sertai beberapa usrah sebelum ini dan dapat rasa samaada orang tu bercakap dalam nada iklhas atau sebaliknya…”
Benar…apabila seorang penceramah berkata-kata dengan nada ikhlas, hati kita tersentuh dan serentak dengan itu hati kita terdetik untuk berubah disamping untuk terus mendengar butir bicara yang disampaikan.
Sebaliknya, apabila kita mendengar penceramah berkata dengan nada riak, hati kita terasa jauh dan mendengar sambil lewa. Habis sahaja hadiri majlis ilmu tersebut, kita pulang tanpa mendapat apa-apa.
Itulah besarnya peranan seorang da’ie atau pendakwah. Ianya boleh mengajak kalian untuk melangkah setapak mendekati Allah s.w.t. atau tetap berada di tempat yang sama.
Seringkali hati ini berkata-kata, “Allah s.w.t. hanya akan pilih insan yang benar-benar ikhlas sahaja berada dijalanNya, dan selebihnya pula akan dibiarkan futur dan berundur dari jalan dakwah”.
Moga Allah s.w.t. redha dengan usaha kecil ini. Mari menjadi hamba...^^
wallahua’lam…
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)