Sabtu, 29 Disember 2012

Taman Syurga



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat, muslimin dan muslimat.

Teringat luahan hati seorang sahabat sebaik sahaja selesai ‘Resepi Cinta Usrah’.

“Asma’. Sebelum pergi usrah tadi terasa diri nie penuh dengan masalah, hati tak tenang. Tapi bila balik ke bilik, MasyaAllah tak tahu nak kata macam mana. Hati terasa lapang dan tenang sangat.”

Ana senyum. Hati ana juga merasakan hal yang serupa. Ana mula mengerti dan memahami apabila ustaz dan ustazah mengatakan, “taman ilmu adalah taman-taman syurga.”. 


Tenang. Indah. Bahagia.

Untuk wujudkan suasana bahagia, pastilah insan yang mencurahkan perkongsian dan berbicara itu mestilah insan yang juga bahagia. Bebas dari perasaan riak, ujub, bangga diri kerana hal sebegini boleh menyebabkan pengisian itu terasa kosong.

“Allah! Bergetar hati saya dengar bait kata yang kamu ucapkan”. kata seorang sahabat seusrah.

Matanya memandang ke lantai sambil hatinya berbisik. “ini kerana hatiku terlebih dulu merasakan getarannya apabila berbicara soal cinta kepada Allah s.w.t. dan rindu pada Rasulullah s.a.w.”. 

Sentuhan dari hati, pasti terkesan jua pada hati

Ada sesetengah insan, apabila dia berbicara tentang Rasulullah s.a.w., hatinya mudah menangis kerana terlalu rindu dan teringin untuk bertemu dengan Baginda s.a.w. hingga menyebabkan dia tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya apabila memberikan perkongsian ilmu. Kalian ada solusi supaya dia tetap mampu menghabiskan kata-katanya?

Bagi para pembaca yang sering membaca nukilan yang ana nukilkan, mungkin kalian pernah membaca bahawa ana pernah menulis, jika hati tidak tenang dan punya masalah, ana akan pergi ke Pusat Islam untuk bertemu dengan para ustaz dan ustazah. Balik sahaja dari Pusat Islam, pasti akan tersenyum lebar dengan hati yang puas.

Pusat Islam adalah sebuah taman syurga bagi ana. Subur dengan pelbagai majlis ilmu dan program tarbiyah untuk hati. Bahagia dapat berdamping dengan para ulama’ dan membaca kitab-kitab karangan ulama’ terdahulu.

Sejujurnya ana katakan. Tampil beraksi di medan dan menjadi tatapan umum buat para pelajar tidak semudah mata insan yang memandang. Bergelumang dengan pelbagai program, berdepan dengan pelbagai kerenah manusia yang kadangkala menyesakkan dada, difitnah dan dikutuk tanpa alasan yang munasabah membuatkan seseorang itu boleh berundur beribu batu jauh ke belakang jika tidak tabah!

Siapa yang sanggup mengorban cuti semester dan hujung minggu semata-mata mahu menguruskan dan menghadiri program? Siapa yang sanggup habiskan duit dan pinjaman kewangan untuk program? Siapa yang sanggup menghabiskan waktu rehatnya untuk menghadiri program? 

Tiada siapa yang sanggup melainkan seseorang itu mengerti bahawa ilmu dan pengalaman bukan setakat dalam buku dan dewan kuliah tetap turut ada dalam persatuan, kelab dan secretariat pelajar.

Hati yang terluka, Iman yang haus dengan tarbiyah, langkah yang mula lesu, pemikiran yang mula kosong, dan nafsu semakin ghairah dengn dunia mampu ditundukkan dan di didik semula melalui pengisian dan majlis Ilmu.

Ketika ini, ana rindukan sebuah tempat lagi selain Pusat Islam UUM iaitu pondok di Jitra, Kedah. Apabila dikenangkan semula, itulah ‘klinik hati’ ana kerana disitulah tempat ana cuci dan servis hati.

Saban minggu ana akan ke sana jika tidak bertembung dengan program yang di adakan di kampus. Tidak tahu bagaimana perjalanan hidup ana di kampus sekiranya tidak jumpa tempat tersebut dengan izin Allah. Masih teringat ketika mula-mula mencari tempat tersebut dengan sahabat baik.


Jika hatimu tidak tenang, jika hatimu terasa kosong. Carilah tempat di mana insan berbicara tentang kebesaran Allah s.w.t. dan keindahan peribadi Rasulullah s.a.w. Nescaya kalian akan temui ketenangan dan keindahan yang dicari. Cubalah…(^^,)

Buat sahabat-sahabat ana yang masih menuntut di Universiti Utara Malaysia dan juga di Institut pengajian yang lain, ana ucapkan selamat menduduki peperiksaan dan mendapat keberkatan dari Ilmu yang dicari. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI (^^,)

Rabu, 26 Disember 2012

Padanya Ada Hikmah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Untuk manusia,
Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia.

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya selayaknya buat Mu, Allah. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w.. Jua buat kaum muslimin & muslimat.

Alhamdulillah wa syukrillah, selesai membaca satu buah lagi buku. Buku ini ana selesai baca kira-kira satu bulan lebih yang lalu dan sangat bermanfaat kerana ianya hasil dari kisah hidup yang dilalui oleh insan yang sentiasa positif dalam hidupnya.

Muhasabah sendiri, “mahu lihat ‘rupa’ sebenar seorang manusia, lihatlah ketika dia memandu di atas jalan raya dan ketika dia berada di hospital.”

Buku ini diadaptasi dari kisah seorang doktor pakar bedah mata iaitu Prof. Dr. Muhaya yang ditulis oleh Tuan Bahruddin Bekri. Nipis sahaja bukunya, namun setiap penulisan dari setiap bab ibarat sedang mencuci Iman yang lompang.

Pembaca mungkin sudah biasa mendengar perkongsian ilmu dan pengalaman Prof. Dr. Muhaya dalam rancangan ‘Celik Mata, Reset Minda’ dalam Ikim.fm. dan ana yakin pasti kita akan koreksi diri apabila mendengar bait kata yang meniti di bibirnya.

Dalam buku ini banyak menceritakan berkaitan kehidupan Prof. Dr. Muhaya sebagai seorang doktor dan kisah yang dilalui oleh doktor pelatih, jururawat, tukang cuci, pesakit, penjaga keselamatan dan ramai lagi yang bekerja di hospital. Sangat bagus untuk koreksi diri.

Kulit depan buku (^^,)

Kadangkala hati menyangka, kisah yang terjadi kepada kita tidak ada kesenangan padanya. Kadangkala hati juga bertanya, mengapa Tuhan memberikan kisah yang tidak ada manisnya. Mungkin kita lupa, Tuhan itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Lalu pada setiap kisah yang diberikan kepada manusia, Dia menyisipkan kasih-Nya. Semua itu disembunyikan pada kata yang bernama hikmah.

Ana teringat semasa membaca isi penulisan di dalamnya. Ketika itu sedang menunggu Kelisa Dakwah selesai ‘dimandikan’. Sambil membaca, ana memasang telinga mendengar bait kata pemuda yang sedang membersihkan kereta ana.

Sejujurnya ana katakan, ana sangat kasihan melihat manusia yang lebih rela bekerja untuk menampung kehidupan seharian berbanding insan yang berusaha segigihnya mencari duit untuk menampung pengajian ilmu.

Kerana apa? Kerana duit akan habis dan tidak akan ada gantinya melainkan jika insan tersebut punya hati yang sangat pemurah. Harta yang kita dermakan itulah sebenarnya milik atau saham kita yang akan Allah ganti semula.

Ilmu pula, ianya akan sentiasa bertambah dan terus bertambah tanpa berkurang sedikit pun jika kita beramal dengan ilmu tersebut disamping berkongsi dengan orang lain. Insan yang berilmu, Allah akan angkat martabatnya.

Ketika itu, hati terdetik mahu berikan buku ini pada mereka untuk dibaca ketika pelanggan tidak ada. Entah bagaimana, ana tidak jadi untuk berikan buku ini saat itu dan berjanji pada diri untuk berikan pada waktu lain. Selalunya di situlah tempat yang akan ana ‘mandikan’ Kelisa Dakwah. Moga Allah izin.

Berdoa moga Allah sampaikan hasrat hati ana supaya mereka tidak berterusan begitu dan buat keputusan untuk menyambung pengajian, bukan setakat belajar di sekolah menengah sahaja.

Buat para pembaca sekalian, jadikanlah buku ini sebagai koleksi peribadi untuk tarbiyah hati untuk menjadi insan yang sentiasa positif dan bergantung harapan pada Allah s.w.t. 

Boleh juga dihadiahkan kepada orang lain. Apabila sudah membacanya, pasti hati sangat teringin untuk mengkhatamkan isi penulisan di dalamnya. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI (^^,)

Khamis, 20 Disember 2012

Hatiku Menangis



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Moga nafas ini sentiasa memuji dan menyebut nama Mu. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat kaum kerabat Baginda s.a.w., kaum muslimin dan muslimat.

Pagi tadi, hati sebak setelah membalas mesej seorang adik junior. Membungkus barang yang pelanggan tempah dalam hati yang pilu. Malam ini, air mata mula mengalir setelah mendapat panggilan petang tadi.

Allahu Allah…

Semalam, ada seorang adik junior mesej dan dalam tulisan tersebut hatinya merintih dan mengatakan dia malu dengan dirinya sendiri atas dosa yang dia lakukan.

Apa yang buatkan hati ana terasa pedih dan pilu adalah kerana ketiga-tiga insan ini pernah merasai curahan tarbiyah yang pernah ana sampaikan semasa ana masih menuntut di kampus sebelum ini. 

Ketiga-tiga insan ini sering bertemu dengan ana dan bertanya berkaitan tarbiyah hati. Mereka juga pernah ikuti usrah yang ana buat. Boleh dikatakan, ana pegang mereka untuk sama-sama meneruskan dakwah di kampus. Tidak menyangka hati mereka makin menyimpang jauh.

Ana tidak salahkan mereka sepenuhnya. Mungkin tempias dosa yang ana lakukan terkena pada mereka. Teringat tazkirah daripada Ustazah Norhafizah Musa dalam Ikim.fm

"Kalau anak kita berbuat salah atau dosa,ibu bapa juga mesti solat taubat bukan anak itu sahaja. kalau isteri berbuat dosa suami lebih-lebih lagi perlu solat taubat kerana dalam dosa mereka itu ada dosa-dosa kita kerana anak-anak dan isteri itu adalah amanah yang perlu dijaga. kalau anak ibu bapa, kalau isteri suami,memang banyak cara untuk menyelesaikan masalah dalam rumahtangga tapi cara paling asas ialah kembali kepada ALLAH dengan meminta Ampun kepada ALLAH..."

Saat hati kecilku menangis, mula koreksi diri.

Ya Allah…ampunkan hamba jika hamba tidak ikhlas ketika menyampaikan ilmu kepada mereka.
Ya Allah…ampunkan hamba jika hamba riya’ ketika berkongsi rasa cinta untuk dekat kepada Mu.
Ya Allah…ampunkan hamba jika hamba angkuh tatkala memberi pendapat atau pandangan kepada mereka.

Maafkan hamba Ya Allah. Berikanlah hati ini taufiq dan hidayah untuk sentiasa ikhlas dalam menyampaikan rasa cinta untuk kembali dekat kepada Mu. Tautkanlah kembali hati mereka untuk merasai manisnya hidup bertuhankan Mu.

Insaf……………..

Ana duduk termenung. Lama. 

Entah kenapa hati terasa pilu yang teramat. Rasa hati ini sepertimana tatkala turun ke lapangan dakwah dan mata melihat remaja Islam yang hanyut dan jauh dari kehidupan Islam yang sebenar.

Mereka ini insan yang dalam proses tarbiyah, malah mereka ini merupakan insan yang mengajak dan menyeru orang lain untuk kembali pada Allah. Nampaknya, mereka juga perlu diseru untuk kembali mengIslahkan diri.

Hati ana terasa pilu kerana ana tahu betapa sepinya hidup tanpa redha Allah. Apabila hati tidak mampu menangis kerana Allah. Apabila hati tidak dapat melakukan sesuatu kerana Allah. Terasa sesat dalam cahaya.

Tidak sanggup untuk biarkan mereka berterusan sebegitu. Walaupun jasad ana jauh dengan mereka, namun hati tetap merasa dekat. Allah, ampunkan hamba. Ampunkan mereka.
Saat cuba ubati luka. Hati terdetik untuk membaca majalah solusi. Ana terus mengambilnya setelah tidak berkesempatan untuk membaca sebelum ini dan jumpa mutira tarbiyah ini.


Sahabat, jika kalian baca kalam bisu ini. Sedarlah…

Ana ini tetap manusia biasa yang bukan kalis dosa. Tetap seperti kalian yang masih berusaha untuk mujahadah mendidik hawa nafsu dan iman yang senipis kulit bawang ini.

Ana ini tetap manusia biasa yang tidak punya apa-apa kuasa yang dapat berikan ketenangan dan kebahagiaan hati kalian.

Ana ini hanya manusia yang cuba menjadi sebaik-baik hamba buat Allah s.w.t… Sebaik-baik umat untuk Nabi Muhammad s.a.w… Sebaik-baik anak untuk abah dan ummi. Sebaik-baik adik dan kakak untuk adik beradik ana. Sebaik-baik sahabat untuk manusia sekeliling ana.

Yang dapat menyembuhkan hati kalian. Yang dapat berikan ketenangan dan kebahagian hati kalian. Yang dapat jaga dan berikan kalian yang terbaik hanyalah Allah s.w.t… Tiada yang lain.

Berjanjilah dalam hati bahawa kalian tetap akan cuba mencari ilmu sebanyaknya dan beramal dengannya. Berjanjilah dalam hati bahawa kalian tetap akan berusaha mendidik nafsu agar tunduk pada iman. berjanjilah dalam hati bahawa kalian tetap akan cuba untuk mujahadah walau sukar sekalipun.

Kejar Ilmu, Ijazah turut serta.
Kejar Akhirat, dunia turu serta.
kerjar redha Allah, bahagia dunia akhirat.

“Tiada kekuatan, tiada upaya melainkan pertolongan dari Allah s.w.t.”.

Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Selasa, 18 Disember 2012

Tukang Jahit?



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukrillah atas nafas ini, moga masa yang masih berbaki memberi peluang dan ruang untuk bertaubat kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. s.a.w… Tidak lupa jua buat kaum muslimin dan muslimat.

Ana tersenyum sendiri apabila teringat satu mesej yang masuk dalam pesanan di telefon bimbit. Pesanan yang dihantar oleh seorang muslimat yang sudah membeli dan memakai tudung yang ana jahit. Syukur Ya Allah.


Indahnya aturan Allah s.w.t… Tidak menyangka niat diawalnya teringin membantu dan melihat para wanita Islam mengenakan pakaian paling ‘selamat’ (tudung labuh) akhirnya membawa kepada penubuhan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tidak menyangka juga ianya menjadi sumber pendapatan yang utama kepada ana saat ini. Tambahan pula pinjaman untuk "Kelisa Dakwah” dibayar penuh setiap bulan hasil daripada untung jualan dari Bidadari Solehah Enterprise. Allahu Allah.

Beberapa hari lalu, ana buka inbox di facebook. Entah macam mana boleh tertekan satu link ‘lain-lain’ dan amat terkejut apabila melihat ada pesanan yang tidak ana balas berbulan-bulan. Terus ana respon sambil meminta maaf kerana langsung tidak tahu, mereka yang tidak tersenarai sebagai ‘friendlist’, pesanannya akan masuk disitu.

Aturan Allah, rupanya ada satu pesanan dari seorang muslimat kelahiran Mesir yang mengikuti suaminya sambung belajar di USM. Beliau mesej dan bertanya adakah ana jual tudung labuh. Ana respon pesanan tersebut dalam bahasa Melayu dan dia berkata beliau tidak fasih berbahasa Melayu. Maka, kami berbual dalam bahasa Inggeris walaupun ana sendiri masih merangka menulisnya…:p

Dalam ayatnya beliau mengatakan bahawa beliau tidak lama lagi berada di Malaysia dan akan pulang semula ke Mesir pada pertengahan bulan Januari. Beliau mendapat tahu ana menjual tudung labuh apabila ada seorang pelajar khabarkan padanya. 

Katanya, tudung labuh amat popular di Mesir dalam kalangan penduduk di sana. Ana tersenyum sendiri kerana tudung Mesir juga popular di Malaysia, begitu juga dengan jubah dan Abaya dari sana…(^^,)

Kata-kata yang amat terkesan dihati ana adalah apabila beliau mengatakan, “kalau saudari tidak dapat jahitkan tudung untuk saya pun tidak mengapa, tetapi kita masih boleh jalinkan silaturrahim kerana kita saudara seIslam”. Allahu Allah. Benarlah, kita memang bersaudara.

Ana membalas mesejnya dengan berkata bahawa ana sudi jahitkan tudung buatnya dan itu sebagai hadiah untuknya. Beliau begitu teruja dan berulang kali dia mengatakan bahawa beliau tidak mahu menyusahkan ana.

Beliau menyambung lagi, “satu penghormatan buat saya jika saudari sudi untuk saya jadi pelanggan saudari. Jadi, saya tetap mahu beli satu helai tudung dengan Saudari”. Bahasanya sungguh puitis dan ana dapat rasa itu lahir dari hatinya. Indah sungguh ukhuwah kerana Allah.

Akhirnya ana setuju dan beliau memilih warna yang dimahukan. Beliau mahu cari tudung yang tidak menarik perhatian dan pudar saja tanpa menyerlah. Katanya mahu mencari tudung yang padan dengan abaya purple gelap yang beliau ada.

Berulang kali beliau tanya apakah kain yang ana gunakan untuk buat tudung labuh itu bukan jenis Lycra. Ana katakan tidak dan beliau terus berkata, “I HATE THAT” dengan huruf besar semuanya. Kali ini ana bukan setakat senyum tetapi terus ketawa depan laptop. hehe.

Untuk pengetahuan umum dan kaum adam. Kain lycra adalah sejenis kain yang cukup  selesa, tebal dan sejuk ketika memakainya. Namun kelemahan utamanya adalah ianya melekat ditubuh. Ibarat memakai baju ketat, nampak segala susuk badan.

Bagi pereka pakaian yang menitik beratkan soal ini, dia akan mengubah design tudung tersebut menjadi dua lapis dengan kain jenis lain supaya tidak menampakkan susuk badan. Maka, kain yang paling sesuai untuk buat tudung labuh adalah kain jenis koshibo, chiffon dan satin. Cuma perlu hati-hati supaya ianya tidak nipis.

Ana minta beliau berikan tinggi dan beratnya. Tepat tekaan ana bahawa susuk tubuhnya sedikit besar dari penduduk Malaysia, maka ana minta jurujual kain lebihkan sikit kain tersebut dari biasa supaya ianya tidak singkat dan tetap labuh apabila memakainya. Moga beliau selesa ketika memakainya nanti.

Jenis jahitan tengah yang ana buat (^^,)

Apabila cuti sekolah seperti ini, ana baru dapat selesaikan kerja-kerja menjahit, bungkus barang dan pos seawal 9 pagi setelah selesai bantu ummi di dapur. Agak lewat dari biasa, itulah salah satu cabaran jika bekerja di rumah. Jika adik-adik tidak bermacam ragam, lagi mudahkan kerja ana.

Ada seorang sahabat mesej ana dalam inbox. Katanya teringin kerja macam ana yang bebas tanpa terikat dengan waktu dan urusan di pejabat. Bebas untuk memilih persekitaran yang bagaimana dimahukan. Juga terjaga dari ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan).

Ana setuju dengannya. Masa agak fleksibel apabila kerja sendiri dan kesemuanya dibuat atas keputusan sendiri tanpa campur tangan dari orang lain. Cuma ianya tidak mudah yang disangka kerana risiko untuk menjadi seorang usahawan sangatlah besar berbanding makan gaji.


Ana sukakan cabaran. Suka cabar kemampuan diri. Mahu lihat setakat mana diri ini mampu pergi lebih jauh. Mahu memberi sebanyaknya dan bukan menerima sebanyaknya.

Satu lagi cabaran sebagai tukang jahit adalah ini…(^^,)

Tercucuk jarum :p

Sudah ada beberapa parut di jari ana akibat tercucuk jarum. Sakitnya akan hilang dalam 3 hingga 4 hari. Tidaklah seteruk mana, cuma akan terasa pedih sedikit apabila jarum ditarik keluar dari jari. Kecil je tapi ‘berbisa’. 

Pernah sekali tercucuk jarum, darah tak berhenti keluar dan jari mula membengkak. Ketika itu masih banyak kain yang perlu dijahit. Terpaksa balut dengan kain dan teruskan menjahit walaupun pergerakan menjadi perlahan sambil menahan pedih. Sangat bahaya apabila guna jarum yang berkarat, kuman akan masuk dalam badan. Jadi, hati-hati ya para tukang jahit…:p

Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan luka-luka para penduduk Palestin, Syira, Rohingya, Selatan Thai dan penduduk Islam yang lain. Moga kesakitan yang dirasakan ini menjadi bukti dan saksi betapa hati ini teringin untuk melihat para wanita Islam menutup aurat dengan sempurna.

Sangat kesian melihat para wanita Islam yang menjadi ‘mangsa’ fesyen dan kosmetik. Langsung tidak sedar diri itu sedang ‘dimurahkan’ oleh media massa dan arus kemodenan. Nauzubillah. Moga Allah berikan hati ini hidayah dan wanita lain untuk sentiasa dalam fitrah Islam sebenar.

Ketika ini masih membantu beberapa muslimat yang masih cuba membina empayar perniagaan sendiri. Sangat suka apabila dapat berkongsi pendapatan dengan para pengedar yang berada di bawah Bidadari Solehah Enterprise. Masih berharap, berdoa dan berusaha semoga ana mampu untuk membuka lagi peluang pekerjaan kepada orang lain untuk jana pendapatan sendiri. Allahuma ameen.

Jika sebelum ini sekadar menyalurkan dana kewangan kepada badan pertubuhan Islam yang mahu membuat program, ana mula menjinakkan diri dengan turut memberikan pakaian yang Bidadari Solehah Enterprise keluarkan kepada mereka yang membuat program dakwah. Teringin juga mahu turun padang dan lakukan sendiri. Moga Allah izin suatu hari nanti.

Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI  MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI (^^,)