Rabu, 12 Disember 2012

Ibrah Melaluinya



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Syukur Ya Allah atas nafas yang masih berbaki ini, moga hari ini lebih baik dari semalam. Selawat dan salam buat manusia Agung, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w. serta kaum muslimin dan muslimat sekalian.

Sudah lama punya hasrat dihati untuk menulis tentang kisah kembara ana dengan seorang teman yang sering ana bawa ketika keluar dari rumah apabila punya urusan di luar. Ana mula bawa dia teman ana sejak sebulan lalu jika tidak silap.

Ya. Mulanya agak mencabar kerana dia tidak seperti insan lain yang normal. Tidak dapat berkomunikasi dengan baik, kelakuannya sering mengikut kata hati, gemar menyapa insan yang tidak dia kenali dan banyak lagi. Namun, mampu membuatkan hati ini terasa dekat dengan Allah...(^^,)

Dialah teman yang ana katakan tadi. Adik ana, Anis Syakirin.

Anis Syakirin
Sewaktu kali pertama ana bawanya keluar ke pejabat pos dan tempat ana pergi borong kain, ramai yang tidak perasan dia merupakan kanak-kanak istimewa kerana dari luarannya seperti kanak-kanak normal yang lain.

Tetapi, setelah banyak kali ana bawa ke tempat yang sama hampir setiap minggu, pekerja yang bekerja di situ mula mengenalinya dan sering menyapanya, Anis pula makin seronok apabila ada yang menyapanya. Alhamdulillah.

Ana teringat beberapa kisah semasa membawanya keluar. Seperti biasa, apabila tempahan tudung makin banyak dan stok kain sudah kehabisan, ana akan keluar ke Bandar Kota Bharu untuk borong kain yang tiada dalam stok. 

Beberapa hari lalu, ana bawa Anis Syakirin teman ana pergi beli stok barang yang pelanggan tempah. Banyak sangat tempat yang ana pergi. Pengurus kedai yang selalu ana borong kain berikan Anis duit RM10 sebagai hadiah. Terharu plak ana bila lihat layanan pekerja dan pengurus kedai tersebut terhadap Anis...(^^,)

Ana lihat jam dalam kereta, beberapa minit saja lagi bakal masuk waktu Zohor. Maka, ambil keputusan untuk solat dulu di Masjid Maahad Muhammadi. Sempat jemaah tetapi terpaksa masbuk kerana 'masuk' pada rakaat keempat.

Kisahnya kerana ada beberapa orang yang tidak selesa dengan Anis apabila Anis pegangnya. Anis masih dalam bilik air untuk ambil wuduk dan tinggalkan Anis di luar. Ana nampak muka Anis berubah dan hampir saja mahu menangis sebab kena marah.


Ana tarik tangan Anis duduk dekat dengan Ana dan segera bersiap sebab bimbang tertinggal jemaah. Mulanya bimbang juga sebab dia dah menangis waktu tu. Ana doa, "Ya Allah, jagakan dia untukku. Aku mahu mengadap Mu sebentar".

Ana solat. Seusai saja ana selesai solat dan berpaling ke arahnya, dia terus menangis teresak-esak sambil memeluk ana. Allah, tak tahan air mata lihat dia macam tu. Waktu tu, terasa tak mahu bawa dia keluar lagi pun ada sebab tak mahu ada orang sakitkan hati dia lagi.

Ana pujuknya dan segera bawa dia keluar dari Masjid. Semasa keluar, ada seorang kakak menyapa Anis. Alhamdulillah Anis senyum dan melambai tangan ke arah kakak tersebut. Dalam hati, "Allah, teruskan buat kakak itu tersenyum kerana Engkau telah gerakkan hatinya untuk buatkan Anis tersenyum semula".

Ana ke kedai terakhir. Selesai beli barang, ana masuk satu kedai untuk belikan Anis air. Ada seorang pak cik yang kutip derma untuk tabung pertubuhan Orang Bisu. Ana hanya tahu pak cik itu bisu apabila ana masukkan duit dalam tabung dan Anis menegurnya dengan bahasanya sendiri dan pak cik tersebut teruja dengan sapaan Anis. Mungkin menyangka Anis sepertinya.

Alhamdulillah, punya banyak sangat Ibrah pada hari itu melalui Anis Syakirin. Akhirnya ana katakan pada diri sendiri, "mesti ajar dia untuk berdikari dan kuat untuk hadapi dunia. Aku akan buat orang sekeliling faham dan terima keadaannnya"...(^^,)

Ada pula kisah di mana ada seorang pak cik yang menyapa Anis Syakirin ketika ana sedang berurusan di kaunter pejabat pos bagi proses penghantaran barang kepada pelanggan, “Nama apa nie? Darjah berapa dah nie?”.

Anis ketawa dan terus menyorok belakang ana. Malu agaknya apabila ada yang menyapa, selalunya tanpa segan silu dia menyapa orang lain walaupun tidak kenal. Riuh sekejap dalam pejabat pos. Lega apabila orang lain yang perhatikan gelagat kami turut tersenyum dengan keletah Anis. Allahu Allah, tak tergambar rasa hati apabila ada orang yang memahami keadaan Anis. Teringat kata hati yang pernah diluahkan, “Aku akan buatkan orang lain faham”.

Satu perubahan yang ana sedar walaupun sikit. Pekerja yang sering ana kunjungi untuk beli stok barang darinya mula menjaga aurat sikit demi sedikit. Mungkin terkesan melihat keindahan Anis dengan pakaiannya.

Setiap kali ana keluar dengannya, ana akan minta dia tukar baju labuh yang longgar dan berlengan panjang jika ketika itu Anis memakai baju yang berlengan pendek. Ana juga minta dia ambilkan tudung. Bila sudah dirasakan dirinya mampu mengelakkan panahan mata liar lelaki, baru ana lega untuk bawanya keluar.

Bagi ana sendiri, walaupun kewajipan menutup aurat tidak tertanggung atas diri Anis kerana dia istimewa dan akalnya tidak seperti manusia normal, ada hal lain yang perlu dititikberatkan iaitu dia perempuan.

Apabila dikatakan perempuan, pastilah dia akan menarik perhatian mata lelaki yang liar jika ada anggota badan yang sepatutnya di tutup tetapi di dedahkan. Hal itu yang perlu ana jaga iaitu menjaga pandangan mata lelaki supaya nafsu mereka tidak terusik.

Ana kasihan melihat adik lelaki yang terpaksa mengalihkan pandangan apabila melihat para wanita yang berpakaian ‘seksa’, itu merupakan satu bentuk kezaliman terhadap batin lelaki. Jadi, jangan salahkan para lelaki sepenuhnya apabila ada yang ambil kesempatan terhadap kamu kerana kamu sendiri yang membuka ruang tersebut kepada umum.

Hasil dari itu, ummi dan abah mula belikan t-shirt labuh buatnya kerana ana kerap bawa dia keluar apabila punya urusan di luar. Dua hari lepas, ana belikan dia dua helai tudung labuh yang berlainan warna apabila kolekasi tudungnya tidak sama warna dengan baju. Biasalah, perempuan kan. Mestilah semuanya nak sama satu set…:p

Ana suka bawa Anis Syakirin teman ana walaupun ada kalanya ana terpaksa tinggalkan dia di rumah apabila kesuntukan masa dan perlu cepat. Sewaktu mula-mula bawa dia keluar, memang menguji kesabaran dengan sikapnya yang proaktif. Ditambah pula apabila dia berkenan dengan sesuatu barang yang dijual di kedai. Ana perlu bijak tangani situasi tu supaya kedai tu tidak kecoh dengan ‘suaranya’. Teruklah tiap kali ke kedai nak beli barang yang sama…:p

Ummi selalu cakap, “asyik duduk dengan kak ngah je. Suka la tu sebab kak ngah selalu bawa dia keluar”. Entah bagaimana pula nanti bila ana duduk berjauhan dan sambung belajar ya?

Moga Allah selalu melindunginya dan menjaganya kerana tiada sebaik-baik penjaga melainkan Allah. Wallahua’lam.


“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI YANG PASTI”.
blog comments powered by Disqus