Rabu, 26 Disember 2012

Padanya Ada Hikmah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Untuk manusia,
Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia.

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya selayaknya buat Mu, Allah. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w.. Jua buat kaum muslimin & muslimat.

Alhamdulillah wa syukrillah, selesai membaca satu buah lagi buku. Buku ini ana selesai baca kira-kira satu bulan lebih yang lalu dan sangat bermanfaat kerana ianya hasil dari kisah hidup yang dilalui oleh insan yang sentiasa positif dalam hidupnya.

Muhasabah sendiri, “mahu lihat ‘rupa’ sebenar seorang manusia, lihatlah ketika dia memandu di atas jalan raya dan ketika dia berada di hospital.”

Buku ini diadaptasi dari kisah seorang doktor pakar bedah mata iaitu Prof. Dr. Muhaya yang ditulis oleh Tuan Bahruddin Bekri. Nipis sahaja bukunya, namun setiap penulisan dari setiap bab ibarat sedang mencuci Iman yang lompang.

Pembaca mungkin sudah biasa mendengar perkongsian ilmu dan pengalaman Prof. Dr. Muhaya dalam rancangan ‘Celik Mata, Reset Minda’ dalam Ikim.fm. dan ana yakin pasti kita akan koreksi diri apabila mendengar bait kata yang meniti di bibirnya.

Dalam buku ini banyak menceritakan berkaitan kehidupan Prof. Dr. Muhaya sebagai seorang doktor dan kisah yang dilalui oleh doktor pelatih, jururawat, tukang cuci, pesakit, penjaga keselamatan dan ramai lagi yang bekerja di hospital. Sangat bagus untuk koreksi diri.

Kulit depan buku (^^,)

Kadangkala hati menyangka, kisah yang terjadi kepada kita tidak ada kesenangan padanya. Kadangkala hati juga bertanya, mengapa Tuhan memberikan kisah yang tidak ada manisnya. Mungkin kita lupa, Tuhan itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Lalu pada setiap kisah yang diberikan kepada manusia, Dia menyisipkan kasih-Nya. Semua itu disembunyikan pada kata yang bernama hikmah.

Ana teringat semasa membaca isi penulisan di dalamnya. Ketika itu sedang menunggu Kelisa Dakwah selesai ‘dimandikan’. Sambil membaca, ana memasang telinga mendengar bait kata pemuda yang sedang membersihkan kereta ana.

Sejujurnya ana katakan, ana sangat kasihan melihat manusia yang lebih rela bekerja untuk menampung kehidupan seharian berbanding insan yang berusaha segigihnya mencari duit untuk menampung pengajian ilmu.

Kerana apa? Kerana duit akan habis dan tidak akan ada gantinya melainkan jika insan tersebut punya hati yang sangat pemurah. Harta yang kita dermakan itulah sebenarnya milik atau saham kita yang akan Allah ganti semula.

Ilmu pula, ianya akan sentiasa bertambah dan terus bertambah tanpa berkurang sedikit pun jika kita beramal dengan ilmu tersebut disamping berkongsi dengan orang lain. Insan yang berilmu, Allah akan angkat martabatnya.

Ketika itu, hati terdetik mahu berikan buku ini pada mereka untuk dibaca ketika pelanggan tidak ada. Entah bagaimana, ana tidak jadi untuk berikan buku ini saat itu dan berjanji pada diri untuk berikan pada waktu lain. Selalunya di situlah tempat yang akan ana ‘mandikan’ Kelisa Dakwah. Moga Allah izin.

Berdoa moga Allah sampaikan hasrat hati ana supaya mereka tidak berterusan begitu dan buat keputusan untuk menyambung pengajian, bukan setakat belajar di sekolah menengah sahaja.

Buat para pembaca sekalian, jadikanlah buku ini sebagai koleksi peribadi untuk tarbiyah hati untuk menjadi insan yang sentiasa positif dan bergantung harapan pada Allah s.w.t. 

Boleh juga dihadiahkan kepada orang lain. Apabila sudah membacanya, pasti hati sangat teringin untuk mengkhatamkan isi penulisan di dalamnya. Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI (^^,)
blog comments powered by Disqus