Jumaat, 15 Mac 2013

Kisah Wanita Berniqab



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah…Alhamdulillah…Allahuakbar. Puji-pujian hanya selayaknya buat Mu, Allah. Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat kekasih yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda s.a.w... Buat sahabat muslimin dan muslimat, moga sentiasa dalam jagaan Allah s.w.t.


Soalan yang masuk dalam peti pesanan dalam facebook kira-kira satu minggu yang lalu namun belum terjawab kerana ana mengatakan mahu menjawab soalan ini dalam blog. 

Sebenarnya soalan sebegini sudah kerap ditanya dan seingat ana, satu tahun yang lalu ana pernah mengatakan kepada beberapa muslimat yang bertanya untuk menjawabnya secara umum dan boleh dibaca serta dinilai oleh orang lain melalui blog.

Akhirnya masa itu tiba setelah diri yang lemah ini sudah mampu untuk melalui fasa-fasa permulaan dengan sehelai kain di wajah atas izin dan pertolongan Allah s.w.t.

Dulu, sewaktu ditanya akan soalan sebegini, ana hanya menjawab sekadar yang perlu dan memberi link artikel yang sudah ditulis kira-kira dua tahun yang lalu semasa berada di tahun akhir pengajian di UUM.

Ramai yang bertanya, “akak pakai niqab sebab apa ya?”.

Jawapan ana tetap satu dan moga tiada yang lain kerana itu sahaja yang ana harapkan, “kerana Allah s.w.t….”.

“Jika pakai kerana Allah, teguhlah juga kerana Allah…”.

Ana tidak berniat untuk menulis semula bagaimana hati terdetik dan boleh buat keputusan untuk memakai niqab secara istiqomah tanpa ‘on off’. Buat sahabat yang ingin mengetahui, boleh baca artikel ‘Fatwa Hati’ di sini ya.

Untuk pengetahuan umum, ana membuat persediaan dari sudut ilmu, membaiki akhlak peribadi, membaiki mutu kualiti ibadah kepada Allah s.w.t., kajian terhadap kesan apabila berniqab dan banyak lagi selama dua tahun iaitu ketika memakai niqab secara ‘on off’ atas sebab tertentu yang sudah ana nukilkan dalam artikel ‘Fatwa Hati’.

Kerana apa? Tiada yang lain, kerana ana mahukan istiqomah. Ana pernah katakan, semua perempuan mampu dan boleh memakai niqab tidak kira dia wanita muslim atau not yet muslim (mungkin mahu cuba-cuba) tetapi tidak semua mampu untuk istiqomah.

Untuk Istiqomah, ianya suatu hal yang sangat berat dan susah untuk dilakukan jika tidak mempunyai ilmu, kefahaman dan iltizam yang kuat kerana cabaran berada di zaman ‘fesyen muslimah’ sangat menggoda para wanita Islam.

Baiklah, berbalik semula kepada soalan yang ditanya. Bagaimana ana menghadapi insan sekeliling terutama orang terdekat (kaum keluarga dan sahabat handai) semasa awal permulaan berniqab?

Ana sering menangis dan mengadu kepada Allah s.w.t. apabila disindir dan diperlekehkan oleh kaum kerabat sendiri kerana sakit dilukai oleh insan terdekat tidak sama sakitnya dilukai oleh insan jauh yang tidak kenal siapa kita. Lukanya sangat dalam.

Apa yang mampu ana buat ketika itu untuk merawat kedukaan adalah bersabar dan terus bersabar serta katakan pada hati bahawa ini adalah latihan untuk kuatkan hati. Jarang ana ceritakan rasa di hati pada sahabat baik kerana ana tahu, ketenangan tetap ada pada Allah s.w.t.

Jadi, tiap kali selesai solat, ana mengadu dan merintih tentang apa yang terbuku dihati. Luah sehabisnya, tiada yang tinggal. Meminta dan terus meminta moga hati tetap teguh atas pilihan yang telah dibuat.

Saat ini, ana sudah mampu tersenyum kerana kesabaran itu membuahkan hasil apabila keluarga ana sendiri sudah mula mendukung dan menyokong salah seorang ahli keluarga mereka yang menghijabkan muka dari pandangan umum.

Jenis Pemakaian Niqab

Ini pula salah satu status yang pernah ana tulis sebelum ini dalam facebook. Jadi, ana ambil dan ‘tampal’ dalam blog sebagai saranan atau cadangan sahaja berdasarkan pengalaman yang telah dilalui.


Ana teringat dua peristiwa yang dilalui iaitu sewaktu ke Mydin di Kuala Terengganu. Kejadian ini baru sahaja berlaku kira-kira satu bulan yang lalu. 

Semasa ana dan beberapa orang sahabat muslimat selesai membeli barang dapur dan bahan program, kami semua beratur untuk membayar barang yang dibeli. 

Bersebelahan dengan kaunter bayaran yang kami beratur, ada seorang kanak-kanak yang usianya mungkin belum 2 tahun dan asyik memandang ke arah kami. Apabila ada seorang sahabat menyapanya, dia mula menangis teresak-esak.

Abahnya mula memujuk, “kalau takut, janganlah tengok”, sambil memalingkan pipi anaknya ke arah lain. Mungkin menyangka kami ini ‘hantu’ barangkali sebab masing-masing memakai niqab hitam dan hanya nampak mata sahaja. 

Untuk meredakan keadaan, sahabat ana yang menyapa kanak-kanak tadi segera mengambil air minuman dan berikan pada kanak-kanak tadi tetapi dia tidak mahu dan bapanya juga enggan pada mulanya. Namun, sahabat ana tetap letakkan air minuman tadi atas kaunter bayaran dan berlalu pergi.

Jika anda sebagai salah seorang penonton yang berada disitu, apa pandangan kalian agaknya terhadap kami? Dan jika anda berada di tempat kami dan melalui peristiwa ini, apakah yang kalian rasa?

Setelah selesai membuat bayaran, ana dan dua orang lagi sahabat muslimat menunggu di luar Mydin sambil makan makanan ringan sebagai alas perut. Tiba-tiba, lalu seorang kanak-kanak perempuan dalam linkungan umur 4 tahun dan senyum memandang kami.

Dia terus melambaikan tangan dan mengatakan ‘byeeee’ kepada kami dan terus berlalu pergi. Kami semua membalas dengan turut melambaikan tangan kepadanya. Allahu Allah. Dua peristiwa yang dilalui ini sangat memberi ibrah kepada hati ana sendiri. 

Jika ditanya kepada ana sendiri, niqab jenis mana yang ana lebih selesa pakai. sejujurnya ana katakan, ianya adalah niqab yang hanya nampak mata sahaja dan berwarna hitam. Lebih gemar memakai hitam semuanya dari atas sampai bawah.

Ada sahabat yang bercanda, “Asma’, awak nie dah la pakai semua hitam. Handbag, telefon dan wallet pun hitam juga. Satu set hitam. hehe…”.

Ana hanya senyum tanpa berkata apa-apa. Cuma, kadang-kala dan bila perlu sahaja baru pakai yang niqab falf dan berwarna seperti gambar status yang ana letakkan di atas.

Cara makan dengan niqab.

Ini gambar sahabat ana yang menunjukkan cara-cara untuk makan dan minum menggunakan niqab tanpa tanggalkan niqab.  


Bila makan, kedua-dua tangan memainkan peranan penting. Tangan kanan akan suapkan makanan ke dalam mulut dan tangan kiri pula akan selakkan sedikit kain dibawah. Tundukkan sedikit kepala dan boleh makan dengan selesa.

Selalunya para ‘niqabis’ akan menjadi perhatian apabila berada di tempat makan sebab ramai yang teringin dan teruja nak tahu bagaimana kami makan.

Mungin nampak agak susah buat yang baru memakai niqab, tetapi apabila sudah selalu dibuat, insyaAllah makanan tak tumpah dan niqab juga tidak kotor. 

Cadangan lain, boleh cari tempat yang agak sembunyi dari pandangan umum. Mungkin mengadap tiang atau mengadap dinding, buka niqab dan makan dengan aman. 

Indahnya berniqab

Ada sahabat muslimat bagitahu, “walaupun saya perempuan dan tidak berniqab, saya suka tengok wanita berniqab. Rasa tenang dan damai je…”.

Itu perasaan insan yang tidak berniqab dan hanya melihat sahaja. Perasaan tenang setelah berniqab sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, hanya insan yang merasai sahaja akan tahu bagaimana indahnya perasaan itu.

Adakalanya kita terasa kuat dan mahu istiqomah sampai mati. Namun, adakalanya kita terpaksa tanggalkan atas sebab-sebab tertentu.

Roda masa itu sentiasa berputar dalam kehidupan seharian kita. Jika berniqab itu adalah pilihan kita sendiri, usahlah merungut dan mengeluh. Tetapi mintalah kepada Allah s.w.t. agar diteguhkan hati untuk kekal istiqomah.

“Jika pakai kerana Allah, teguhlah juga kerana Allah…”.

Sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa. Indah dari dalam, angguh dari luar.
Allah lebih mengetahui :)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus