Sabtu, 31 Disember 2011

Praktikal Dakwah Lapangan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah, puji-pujian hanya layak buat Mu. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Apa khabar Iman kalian semua? Semoga ianya terus mumtaz dan mampu mendidik nafsu untuk tunduk kepada Iman. InsyaAllah…ameen…(^^,)

Alhamdulillah atas keizinan dan kekuatan dari Allah untuk ana berkongsi ilmu dan pengalaman yang diperolehi semasa membuat praktikal dakwah lapangan pada 23 Disember 2011 yang lalu di Sungai Petani, Kedah dengan membawa turun para aktivis UNGGAS UUM seramai 9 orang muslimin dan 26 orang muslimat.

Langkah kami bermula dimasjid dengan memberikan sedikit taklimat berkaitan program yang bakal dilaksanakan nanti. Setelah doa selamat dibacakan, kami mula bergerak ke destinasi dengan berkonvoi sebanyak 5 buah kereta dan sebuah motosikal.

Kami selamat tiba di Masjid Muzaffar Shah, bersebelahan dengan Taman Jubli Emas untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua unit Jaringan & Latihan, Pertubuhan UNGGAS Malaysia iaitu Ustaz Kamaruddin Kassim. Sesi bermula dengan ta’ruf sesama kami dan seterusnya penerangan sedikit berkaitan kaedah atau teknik hemoi yang bakal digunakan nanti ketika berhadapan dengan mad’u (sasaran).

Ustaz Kamaruddin sedang memberi taklimat

Setelah itu Ustaz Kamaruddin juga berkongsi pengalaman yang beliau perolehi sepanjang bergelar aktivis dakwah disamping membekalkan kepada kami sedikit ilmu dan nasihat agar terus mempertingkatkan diri dengan kemahiran, pengetahuan dan kepekaan terhadap isu semasa.

Mula bergerak ke lokasi sasaran

Sebaik sahaja sesi taklimat selesai, kami mula bergerak ke kedai untuk sarapan pagi sebelum turun ke lokasi yang telah ditetapkan iaitu Taman Jubli Emas yang menjadi tempat pasangan kekasih bermadu kasih. Ketika turun ke taman tersebut, ana mencari mad’u untuk memulakan sesi praktikal dakwah lapangan. 

Ana dan dua orang adik junior muslimat terus bergerak ke arah pasangan couple dan memulakan teknik hemoi yang telah dipelajari dengan mengulurkan tangan sambil memberikan salam disamping senyuman yang terukir. Walaupun ada kain yang menutup wajah ini, ana yakin mad’u tersebut melihat ‘senyuman’ ana…(^^,)

Kami bertiga cuba berukhuwah dan bermesra dengan pasangan tersebut dengan memperkenalkan diri dan bertanya soalan asas seperti tinggal dimana? masih belajar atau sudah bekerja? umur berapa? dan soalan berkaitan keadaan tempat tersebut.

Setelah itu, barulah selitkan nasihat dan pesanan dalam nada yang agak sempoi tetapi ‘tembakan’ tersebut mengena pada hati sasaran yang ‘ditembak’. Dan alhamdulillah dia boleh terima sambil meminta nombor telefon ana. 

Tidak ana sangka, ketika kami bergerak ke lokasi seterusnya, ana terserempak dengan dia lagi dan ketika itu dia yang menyapa ana terlebih dahulu. Jadi, daripada situ ana membuat kesimpulan bahawa kaedah dan teknik hemoi yang kami gunakan benar-benar lembut dan mesra.

Sekitar pukul 12.30 tengahari, para muslimat bergerak ke lokasi seterusnya sementara menunggu para muslimin selesai menunaikan solat Jumaat. Kami bergerak ke deretan kedai di perhentian bas Sungai Petani dan naik ke tingkat atas. Disitu, ana terangkan kepada para aktivis muslimat yang baru pertama kali turun ke tempat seperti itu dan mengambil gambar serta mencatat bahan yang dijumpai untuk dibuat kajian dan laporan.

Antara sisa tinggalan yang ditemui

Setelah itu, para aktivis muslimat bergerak ke Masjid Jamek  untuk solat jamak secara berjemaah. Alhamdulillah ketika selesai solat dan menunggu para aktivis muslimin sampai ke Masjid Jamek, kami semua langkah kanan kerana dijemput oleh komuniti masyarakat untuk menjamu selera makan tengahari. 

Bersyukur dalam hati kerana Allah s.w.t. menghantar mereka untuk menjimatkan duit poket kami yang masing-masing menggunakan duit sendiri untuk turun praktikal dakwah lapangan…(^^,)

Lunch time! alhamdulillah...(^^,)

Ketika ini juga Ustaz Kamaruddin berpesan kepada kami untuk mengasah teknik hemoi dengan komuniti setempat. Alhamdulillah dengan mudah kami dapat masuk dengan mereka. Setelah selesai mengisi perut dan bersalam dengan mereka serta mengucapkan terima kasih atas kebaikan mereka menjemput kami makan, kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu ‘persinggahan’ penghisap gam dan peminum arak. 

Tin gam yang sering digunakan oleh penghisap gam

 Ketika kami sampai, ada dua orang lelaki berbangsa India sibuk mencari dua orang lelaki dan perempuan melayu yang dikatakan penagih tegar disitu. Banyak sisa tinggalan mereka seperti tin gam, putung rokok dan botol arak. Seperti biasa, kami mengambil gambar dan mencatat apa yang perlu dan bergerak ke lokasi seterusnya iaitu pusat membeli belah.

Ketika berada dipusat membeli belah, kami diberi peringatan oleh Ustaz Kamaruddin supaya berjaga-jaga ketika mengambil gambar kerana lokasi tersebut tidak dibenarkan mengambil gambar. Kami menuju ke tingkat 4 dimana terdapat bilik karaoke yang sering menjadi tumpuan pasangan couple.

Maka, kami mendekati mereka dengan tujuan untuk memberi pesanan, nasihat dan peringatan dan bukan untuk menghukum mereka walaupun mereka sememangnya bersalah kerana telah melanggar ‘undang-undang Allah’. 

Sebaik sahaja kami mahu keluar dari tempat karaoke tersebut, ada remeja punk lalu dihadapan kami. Ternyata Ustaz Kamaruddin lebih pengalaman ‘menundukkan’ mad’unya dan disitu ana melihat betapa berhikmahnya kaedah yang beliau gunakan. 

Sempat juga beliau berkongsi ilmu tentang kaedah yang digunakan oleh As-syahid Hassan Al-Banna ketika as-syahid ini berdakwah dipusat hiburan hinggakan as-syahid ini diminta untuk menyambung ucapannya yang pada mulanya hanya diberi masa selama 5 minit sahaja.

Kami bergerak ke tempat hiburan (mesin permainan, karaoke jamban, pawagam, dan tempat bermain bowling) tingkat atas yang lebih ramai mad’u untuk didekati. Di sini ana nampak ada peningkatan dari segi kaedah pendekatan yang digunakan oleh para aktivis walaupun pada mulanya ada rasa takut, gementar dan ‘gerun’ untuk dekati mad’u.

Lokasi terakhir kami sebelum kembali semula ke titik permulaan kami iaitu di Masjid adalah kawasan perumahan yang dijadikan sarang penagih dadah dan penghisap gam. Kami mengambil gambar dan mencatat segala bahan yang ditemui untuk dimasukkan dalam kajian dan laporan.

Bergerak ke kawasan perumahan

Setelah itu, kami bergerak ke Masjid Jamek dan membuat post-moterm tentang apa yang diperolehi sepanjang praktikal dakwah lapangan ini. Alhamdulillah ianya satu perkembangan yang positif disamping memberi ibrah (pengajaran) kepada para aktivis yang turun.

Ini hanya usaha kecil…benar, hanya kecil sekali jika dibandingkan dengan apa yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam yang terdahulu. Kami ini hanya penerus perjuangan yang telah ditinggalkan. Masih ramai insan diluar sana menunggu ada orang yang sudi menghulurkan tangan untuk membantu mereka keluar dari dunia yang penuh kegelapan. 

Apakah kalian hanya mahu berpeluk tubuh dan memandang dari jauh sahaja sambil mengutuk dan mencaci mereka tanpa ada sedikit cebisan belas kasihan dan tanggungjawab untuk membantu mereka mencari roh Islam yang sebenar? Fikirkanlah.

Jika hati itu masih punya rasa tanggungjawab untuk ummah, ayuh sertai kami dengan menghadirkan diri ke program Himpunan Sayangi Belia, Sempena Malam Tahun Baru di Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang bagi penduduk yang berada di sekitar bahagian Utara. Wallahua’lam…

Sila tekan digambar untuk imej yang lebih besar

.::Berbakti Selagi Mampu, Untuk Ummah::.

Ahad, 25 Disember 2011

‘Bersenjatakan’ Media, ‘Berpelurukan’ Penulisan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinanMu untuk hamba ini terus rukuk dan sujud kepadaMu, pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat Imam Umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah wa syukurillah atas keizinanNya untuk hamba ini bertinta lagi. Semoga nukilan ini memberi manfaat buat insan yang membacanya, insyaAllah.

Pada 20 Disember yang lalu, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan ‘Bengkel Dakwah Melalui Media’ yang telah menjemput penulis yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Zahiruddin Zabidi dengan penyertaan lebih daripada 30 orang. Alhamdulillah…


Bengkel ini bermula dengan perkongsian pengalaman yang dilalui oleh guru beliau dan pengalaman Ustaz Zahiruddin Zabidi  sendiri. Bagi ana, ianya cukup memberi motivasi dan impak yang cukup besar dalam arena dakwah yang sedang ana lalui kini. 

Hinggakan hati ini bermonolog sendiri sebaik sahaja ustaz selesai berkongsi pengalaman beliau, “Ya Allah…tidak ku sangka, rupa-rupanya hanya dengan sebuah artikel yang ditulis dan disalurkan melalui media, ianya memberi impak yang begitu berkuasa pada zaman ini”. Dan ana berazam untuk mengasah lagi bakat penulisan yang ada. 

Ana teringat perkongsian seorang pembaca majalah solusi dalam kolum Respon iaitu surat dari pembaca, dia memberitahu “ibu mentarbiyah kami adik beradik dalam diam. Setiap bulan, ibu kami pasti membeli majalah ini  dan akan membacanya hingga habis. Setelah itu, ibu akan meletakkan majalah ini diatas meja makan di ruang tamu dan berlalu ke dapur untuk menyiapkan kerja-kerjanya. Kami adik beradik ternampak majalah ini diatas meja, lantas mengambil dan membacanya secara bergilir. Subhanallah, begitu banyak sekali ilmu yang kami dapat dalam majalah tersebut. Banyak persoalan agama yang timbul dibenak difikiran kami terjawab dengan sendiri hanya dalam sebuah majalah tersebut. Bulan depan, pasti ibu akan beli dan membuat perkara yang sama tanpa meminta kami membacanya. Dan barulah saya sedar, ibu cuba mentarbiyah kami dalam diam melalui penulisan para ilmuan dalam majalah tersebut”.

MasyaAllah…ana berdoa moga diri ini berpeluang untuk berkarya seperti mereka. Jika insan lain berubah kearah kebaikan hasil dari keinsafan membaca karya-karya yang menyentuh soal-soal agama dan hijrah menuju keredhaan Allah, tidak terhitung betapa banyak saham pahala akhirat yang telah penulis tersebut dapat.

Tetapi awas. Jika penulis sebuah artikel, akhbar, majalah dan seangkatan dengannya menulis dan mengajak kearah lembah maksiat dan kehinaan. Saham dosa akhirat akan penulis tersebut dapat, free of charge!

Maka, ustaz berkongsi ilmu tentang lapan Maqasid Nuzul al-Quran dari Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qardhawi supaya kami berdisplin, menjaga dan menapis setiap penulisan yang ditulis agar selari dengan tuntutan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Antaranya adalah tulisan yang berbentuk membetulkan akidah, perakuan kemuliaan manusia, keabdian kepada Allah, pembersihan jiwa, pembentukan keluarga, pembinaan sakhsiah, dakwah, dan toleransi kepada bukan muslim. Untuk mengetahui lebih lanjut, para pembaca boleh membuat rujukan dalam buku Anatomi Al-Quran, karya Dr. Ammar Fadzli.

Tidak cukup setakat itu, dalam bengkel ini juga Ustaz Zahiruddin Zabidi berkongsi ilmu dengan kami, bagaimana bentuk penulisan yang ada disamping membuat latihan penulisan diakhir program dengan menggabungkan model al-Quran dan Sunnah iaitu ilmu, pengalaman dan imaginasi untuk menghasilkan sebuah penulisan.

Apabila ustaz menyatakan, “sekiranya Saidina Uthman Bin Affan mendengar pendapat Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khatab untuk tidak mengumpul dan menulis ayat-ayat al-Quran yang dihafaz dan ditulis oleh para ulama’ diatas kulit binatang dan pokok-pokok, apakah kita dapat mengenali dan membaca al-Quran seperti yang kita ada hari ini?”

Diri ini merenung sejenak kata-kata beliau sambil teringat kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Tatkala burung Hud-hud datang mengadap Nabi Sulaiman dengan membawa berita tentang ada sebuah negeri bernama saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis yang menyembah selain Allah s.w.t. dalam al-Quran.

“sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahkan segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah. dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk”  
(Surah an-Naml, ayat 23-24)

Maka berlakulah dialog antara Nabi Sulaiman dan burung Hud-hud hingga Nabi Sulaiman meminta burung hud-hud mengutuskan surat kepada Ratu Balqis.

“pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan. Berkatalah ia (Balqis): ‘Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya isinya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Bahawa janganlah kalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”
(Surah an-Naml, ayat 28 hingga 31)

Dan akhir kisah ini kita ketahui bahawa Ratu Balqis dan seluruh penduduk di negeri Saba’ menyembah Allah s.w.t.. Semua ini boleh dikaitkan dengan zaman kita dimana burung hud-hud itu sebagai media atau pemberita yang menyampaikan maklumat tanpa membawa penulis surat tersebut iaitu Nabi Sulaiman ke negeri Saba’.

Renunglah juga apabila surat itu diberikan kepada insan atau sasaran yang betul hingga memberi impak yang cukup besar kepada Islam. Hanya melalui seorang (Ratu Balqis) sahaja, ianya berjaya mengajak seluruh kerajaannya untuk menyembah Allah s.w.t.

Begitu juga seorang penulis yang menulis dalam blog, facebook, twitter, wordpress, buku, novel, majalah, surat khabar dan banyak lagi hingga mampu menyedarkan insan yang membaca tulisannya dan membawanya kembali kepada fitrah Islam yang sebenar.

Maka, ana menyeru diri ana sendiri dan pembaca sekalian untuk terus istiqomah dalam menulis. Bagi yang tidak pernah menulis, mulakan langkah pertama kalian hari ini dengan menghasilkan tulisan-tulisan pendek dan ringkas. 

‘Tulisan itu tetap hidup merentasi zaman walaupun penulisnya sudah tiada’

                                        
Jutaan terima kasih kepada Pusat Islam UUM kerana sudi menganjurkan bengkel ini walaupun bertembung dengan banyak program lain dikampus. Kepada Ustaz Zahiruddin Zabidi, terima kasih atas segala ilmu, pendapat, perkongsian pengalaman dan kata-kata semangat yang telah dicurahkan kepada kami. Moga ada dalam kalangan kami yang akan meneruskan perjuangan pena penulis masakini. insyaAllah…ameen.
 
“Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam, menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam. Ianya merupakan satu jihad utama”
(Petikan daripada Kitab Fikhul Jihad karangan Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qardhawi)

‘Bersenjatakan’ Media, ‘Berpelurukan’ Penulisan

wallahua’lam….
 

Selasa, 20 Disember 2011

UNGGAS UUM


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi keizinan dan peluang untuk hamba ini rukuk & sujud kepada Mu. Selawat dan salam junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan Mu untuk hamba ini bertinta lagi. Moga-moga artikel dan coretan yang terpapar dalam ‘diari maya’ ku ini memberi manfaat kepada insan yang membacanya, insyaAllah. ameen~

Mungkin ada yang bertanya, apa itu UNGGAS? Ianya merupakan suatu Pertubuhan Menangani Gelaja Sosial Malaysia dan juga merupakan badan NGO yang tidak mendatangkan keuntungan yang baru sahaja didaftarkan pada tahun ini walaupun sudah bergerak hampir 5 tahun yang lalu. Dan ‘trademark’ mereka adalah ‘Demi Kesejahteraan Masyarakat’.

Logo Pertubuhan UNGGAS Malaysia

Dan kami? Kami adalah aktivis atau sukarelawan yang bernaung dibawah UNGGAS. Masih ana ingat kata-kata yang diluahkan oleh Timbalan Yang DiPertua (TYDP) UNGGAS, “moga-moga, kerisauan dan kebimbangan tiga orang ini memberi makna yang cukup besar untuk ummah”. 

Benar…ketika kami merancang untuk menubuhkan UNGGAS di kampus, perbincangan ini hanyalah dihadiri oleh tiga orang sahaja. Hal itu berlalu minggu demi minggu, dan hari demi hari. Namun, tidak ada petanda-petanda perancangan itu bakal terlaksana kerna ketiga-tiga orang ini begitu sibuk dengan haluan dan kerja masing-masing.

Hinggalah satu hari ketika mengikuti Seminar Islam Nusantara di Langkawi, Timbalan Naib Canselor  (TNC) menyatakan kebimbangan beliau berkaitan masalah sosial dan isu murtad dalam kalangan masyarakat. Dari situ, kami berjumpa secara personal dengan beliau untuk menggerakkan UNGGAS di UUM. 

Kami begitu bersyukur kerna cadangan kami itu disambut dengan baik oleh TNC, malah memberikan cadangan dan sokongan kepada kami untuk bergerak di dalam dan luar kampus. Alhamdulillah…

Kami mula mengatur langkah dan strategi untuk mengumpul pemuda & pemudi yang punya kesedaran akan tanggungjawab mereka terhadap ummah. Maka, pertemuan pertama bersama dengan beberapa orang pelajar berlangsung dengan dihadiri hampir dalam 15 orang sahaja dengan membincangkan langkah-langkah seterusnya.


Kami terus melangkah dan bergerak kehadapan dan telah menghantar 11 orang ke tempat gerakan UNGGAS Malaysia pada 16 Disember 2011 untuk menerima kursus dan teori berkaitan gerak kerja da’wah, latihan dan praktikal, program-program dibawahnya, kajian dan penyelidikan, dan kami juga berpeluang untuk melihat bilik operasi UNGGAS Malaysia.

Cukup sederhana bilik operasi mereka iaitu bangunan surau yang tidak digunakan oleh penduduk setempat kerna kebanyakan dari penduduk disitu adalah berbangsa cina. Dan bilik itu diubah suai dengan mempunyai mini library, beberapa meja pejabat, computer dan printer, meja dan kerusi untuk mesyuarat dan kanak-kanak yang datang untuk mendapatkan tuesyen percuma, dapur mini di belakang yang dilengkapi dengan bilik air dan tempat wuduk.

Diskusi ilmiah

Walaupun hanya mempunyai dua orang aktivis yang bekerja sepenuh masa dan bilik  operasi yang sederhana, namun mereka punya jiwa yang utuh untuk terus bergerak untuk ummah. Terasa begitu kerdil diri ini berbanding mereka yang sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.

Tempat UNGGAS Malaysia dinamakan sebagai ‘Serambi Da’wah’ kerna bercita-cita mahu menjadikan tempat itu sebagai pusat da’wah di penang dan jugak pusat di seluruh Malaysia satu masa nanti. Untuk menggerakkan pertubuhan ini bukanlah mudah kerna mereka kekurangan tenaga sukarelawan dan kakitangan.

Ust. Kamaruddin Kassim
 
Namun mereka mempunyai beberapa jurulatih yang cukup berpengalaman dan telah berada dalam medan ini sejak dari tahun 90-an lagi. Salah sorangnya adalah Ustaz Kamaruddin Kassim. 

Kata-katanya masih segar diingatan ana, “umur saya bakal mencecah 57 tahun minggu depan, dan saya berharap dengan pertambahan umur itu, saya makin muda untuk melakukan gerak kerja da’wah ini. Saya lakukan amanah ini tanpa henti dan terus maju kehadapan. bagaimana pula dengan kalian wahai anak muda?” Terasa ada panahan kilat yang memancar dihati ana.

Dalam diam hati ini berdoa, “Ya Allah…pilihlah aku untuk terus berada dalam dunia da’wah ini…”. Ana sudah mengikuti latihan-latihan yang ada dibawah UNGGAS sejak dua tahun yang lalu tetapi tidak istiqomah kerna kekangan masa dan kewangan. 

Perkara yang sering bermain di minda ana adalah, “apakah ada insan yang mahu menyambung perjuangan yang bakal ku tinggalkan nanti?” sayang sekali sekiranya ilmu dan skill yang ada tidak dicurahkan kepada ‘orang baru’ dan pengganti ku nanti.

Walaupun berada di penghujung semester dan finale exam bakal tiba dalam 2 minggu lagi. Ana berdoa moga ianya tidak terlambat untuk menggerakkannya. Di bawah ini ada sedikit gambar ketika kami berada di ‘Serambi Da’wah’. Ukhuwah dan da’wah tetap dipupuk sesama kami.

satu akidah
Ukhuwah fillah

Satu isu hangat yang turut dibincangkan adalah berkaitan ‘norma’ masyarakat. Iaitu bilamana gejala sosial yang melanda masyarakat lama kelamaan sudah menjadi kebiasaan dan masyarakat sudah lali serta tidak ambil peduli lagi tentangnya. Ianya cukup bahaya kerna sikap tidak peduli itulah juga merupakan punca kenapa gejala sosial makin melanda.

Dan lebih terkilan dihati apabila Pertubuhan UNGGAS Malaysia ini dihentam atau dikritik oleh masyarakat setempat yang dikatakan seolah-olah ‘cuba menjaga tepi kain orang’ sedangkan banyak lagi isu besar seperti rasuah, perpaduan kaum, misi kemanusiaan dan lain-lain yang boleh diambil peduli.

Pelan gerak kerja..

Hasil kajian dan penyelidikan aktivis ini, gejala sosial yang melanda masyarakat sekarang ini adalah berpunca daripada serangan pemikiran musuh Islam bilamana mereka cuba ‘membuang’ Tuhan secara halus dalam setiap diri individu muslim dengan menerapkan pemikiran hedonism, pluralism, freethinker, secular, liberal dan banyak lagi.

Pemikiran seperti inilah sebenarnya punca utama merebaknya penyakit gejala sosial yang akhirnya mengakibatkan tanda-tanda atau hasil itu muncul seperti gejala pergaulan bebas, buang bayi, merempit, budaya couple, hidu gam, hisap dadah dan seangkatan dengannya.

Maka, hal inilah yang cuba kami cegah dan ubati walaupun ianya mungkin mengambil masa berpuluh-puluh tahun dan mungkin juga diganti dan disambung oleh berpuluh-puluh aktivis dan sukarelawan. Dan kami masing-masing berdoa moga-moga usaha ini memberi makna untuk ummah. insyaAllah…

Team pertama fasa 1

Usaha ini akan diteruskan dengan membawa turun team yang kedua dengan melatih para sukarelawan melalui latihan praktikal da’wah yang bakal dilaksanakan pada hari Jumaat ini (23/12/2011) di Sungai Petani, Kedah. Yang akan dilatih sendiri oleh ketua jurulatih UNGGAS Malaysia. 

Jadi, kepada para mahasiswa/siswi atau penduduk setempat yang ingin sertai team kami, bolehlah hubungi melalui facebook ana atau menghantar email ke bidadaribesi09@yahoo.com.

~Berbakti Selagi Mampu, Untuk Ummah~

Wallahua’lam…