Jumaat, 4 Mei 2012

Klinik Hati


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ehsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Dalam tempoh satu minggu ini ada beberapa orang sahabat menghantar pesanan melalui facebook dan telefon mengatakan tentang sesuatu iaitu hati.

“akak, maafkan saya kalau saya mengecewakan akak. Saya betul-betul tengah down sikit. Tapi saya akan cuba bangkit.”

“Kak Asma’, saya tak tahu kenapa hati ini rasa keras sangat dan tidak mampu untuk mengalirkan air mata dihadapanNya. Tak sanggup rasanya untuk tanggung bebanan hati yang tidak mampu menangis.”

Itu adalah cebisan kata yang dihantar kepada ana. Dan ana rasa mungkin ada dalam kalangan pembaca juga punya rasa yang serupa. 

Teringat peristiwa pagi semalam. Aturan Allah s.w.t., semasa dalam perjalanan untuk membeli barang keperluan untuk program Nadwah Kepimpinan Islam, ana terpandang seorang insan yang berbakat besar. Sekadar tersenyum disebalik niqab yang dipakai.

Setelah urusannya selesai, dia menghampiri ana sambil menghulurkan kertas kerja berkaitan projek yang sedang cuba untuk direalisasikan dengan bajet kewangan mencecah hampir RM40,000. 

Seperti biasa, sekadar tersenyum mendengar penjelasan yang diberikan. Dengan ilmu yang cetek berkaitan bidangnya, ana hanya berpesan satu perkara sebelum berlalu pergi menyelesaikan niat yang asal.

“satu sahaja yang akak nak pesan. Hati tu, jaga betul-betul. Kalau hati tu ada masalah, semua kerja tidak akan menjadi. Tapi kalau hati tu sihat dan stabil, insyaAllah kamu boleh buat kerna tempat pertama yang dipandang oleh Allah s.w.t. adalah hati…”. 

Dia diam tanpa sebarang kata. Hanya menundukkan kepala memandang lantai. ‘Tembakanku kena pada sasaran!”. 

Hati yang merasai pasti lebih memahami.

Dan jika kamu baca tulisan akak, ini pesanan akak yang seterusnya. “kamu patut persiapkan ‘Khalifah hati’ kamu terlebih dahulu sebelum hati itu memimpin untuk kerja yang seterusnya…”

Mahu tahu kenapa? kerana kekuatan sebenar terletak pada hati.

Sebenarnya, Allah s.w.t. sudah menyediakan umat manusia ‘klinik hati’ buat insan yang mengerti. Mahu tahu apa dia?

“(iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram”
(Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Bagaimana hati mahu ingat Allah kalau assignment didahulukan dari solat? Bagaimana mahu ingat Allah kalau waktu solat teringat projek dan agenda mesyuarat? Bagaimana mahu ingat Allah kalau al-Quran tidak sempat untuk disentuh? Dan bagaimana mahu khusyuk dalam solat kalau masih tidak betul caranya?

Imam as-syafie pernah berkata, “apabila anak muda menjadi pemimpin, maka akan kontang dan keringlah ilmu”. Hal ini kerana mereka disibukkan dengan urusan kepimpinan. 

Apabila diajak ke majlis ilmu, “maaf ukhty, ana ada mesyuarat”. Apabila diajak untuk sertai usrah, “maaf ukhty, ada sahabat mahu bincang projek”.

Takziah ana ucapkan buat para pemimpin yang sudah berjaya dilalaikan oleh nafsu kesibukan dan syaitan sudah bertepuk tangan bersuka ria!

Tulisan ini bukan sekadar ana tujukan buat para pemimpin kampus mahupun organisasi semata-mata. Tetapi juga buat pemimpin untuk diri sendiri.

Bagaimana mahu khusyuk dalam solat sedangkan solatmu masih belum sempurna wuduk dan rukun-rukun solat? Bagaimana mahu merasai teguran dan kasih sayang Allah tatkala membaca al-Quran sedangkan huruf, tajwid dan tafsirnya belum lengkap?

Teringat sebuah peringatan daripada Imam Al-Ghazali yang berkata; "Bila Allah mahu menghalau seorang itu dari "PintuNya" maka Allah menjadikan mereka sentiasa berhalangan dari menghadiri Majlis Ilmu dan zikir, berhalangan daripada solat berjamaah di Masjid-masjid, berhalangan daripada menunaikan infaq, berhalangan daripada menghubungkan silaturrahim dan berhalangan daripada mengingati mati kerana disibukkan mereka dengan urusan dunia yang melalaikan mereka

Ingatlah juga pesan Umar al-Khatab ini, “dalamilah ilmu sebelum kamu memimpin”. 

Jaafar Sadiq mendefiniskan ilmu sebagai,“Terangnya hati sebagai roh ilmu, kejujuran adalah tujuannya, ilham adalah petunjuk, sedang akal adalah tempatnya dan Allah adalah pengarahnya”.

Lihatlah berapa ramai pimpinan kampus atau pimpinan dunia yang melaksanakan sesuatu atau membuat keputusan berdasarkan ilmu pengetahuan? Lihatlah betapa banyak pula kehancuran yang dilaksanakan oleh tangan-tangan manusia yang tidak berilmu?

“ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak akan duduk dalam hati yang gelap gelita”

Binalah ‘benteng pertahanan’ kalian terlebih dahulu sebelum melangkah gagah melakar sejarah hidup sendiri. Tiada cara lain untuk kamu pastikan ‘Khalifah hati’ memberi arahan yang tepat kepada ‘tentera anggota badan’ melainkan ilmu. 

“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. kebaikan, maka dia akan dipintarkan dalam agama dan diilham olehNya kepandaian dalam perkara itu”.
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

wallahua’lam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus