Khamis, 24 Mei 2012

Penjara Pokok Sena


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah atas keizinan untuk hamba ini bertinta lagi. Mahu berkongsi sesuatu bersama pembaca sekalian. Moga peroleh manfaatnya…(^^,)

Beberapa minggu yang lepas, Ustazah Faridah daripada Jabatan Mufti hadir bagi berkongsi ilmu semasa Kelas Tafsir Wanita dan beliau ada menyebut supaya staf dan pegawai Pusat Islam UUM mengadakan satu program ziarah ke Penjara.

Hasil daripada cadangan tersebut, maka tercetuslah idea untuk mengadakan program Ziarah Ukhuwah ke Penjara Pokok Sena yang disertai oleh 12 orang pegawai dan staf Pusat Islam termasuk ana sendiri. 
  

 “Ustazah, saya nak pergi juga Penjara Pokok Sena. Ustazah buatlah program tu sebelum saya habis. Saya nak pergi juga macam mana sekalipun. Huhu!”, ana suarakan hasrat hati kepada seorang pegawai yang uruskan program tersebut.

Allahu Allah…

Tidak menyangka Allah izin untuk ana turut serta walaupun sudah berada di minggu terakhir praktikal. 


Ini gambar cawan yang ana ambil semasa sarapan pagi bersama pegawai penjara. Apabila beliau khabarkan kepada kami bahawa tidak dibenarkan bawa masuk kamera, telefon, beg, dan peralatan lain ketika masuk ke penjara, ana cari sesuatu yang boleh dijadikan kenangan. Cawan pun cawanlah…hehe! :p

Sebaik sahaja selesai sarapan pagi. Kami diberikan taklimat berkaitan latar belakang dan penubuhan Penjara Pokok Sena disamping prosedur kemasukan banduan ke dalam penjara tersebut.

Pegawai tersebut menceritakan pengalaman beliau kepada kami semua, “sebelum nie saya bekerja di Jabatan Zakat. Lepas tu saya minta untuk bekerja kat sini. Hari pertama masuk sekadar diberi taklimat dan sesi perkenalan dengan anggota yang berada disini.”

“Hari kedua saya masuk ke penjara. Hari tu juga ada banduan lelaki bergaduh sesama mereka sampai salah seorang daripada mereka tu cedera dikepala. Kayu tertusuk dibelakang kepala dan tembus dibahagian muka. Ngeri saya tengok. Masa tu juga rasa menyesal minta kerja kat sini. Hehe!”.

Muka masing-masing yang mendengar turut terasa ngeri seolah-olah merasai apa yang beliau rasakan.

“Tapi, lama kelamaan. Saya rasa bahagia kerja dekat sini. Kalau tak silap saya, dalam 6 orang yang sudah masuk agama Islam. Saya pegang banduan non-muslim seorang setahun pun jadi dah, bekalan akhirat untuk saya disana. alhamdulillah…” luahnya lagi.

Setelah selesai taklimat, kami semua bergerak masuk ke dalam penjara. Masing-masing berbisik antara satu sama lain. Ada perasaan takut dan berdebar-debar muncul dalam hati. Ana? Tetap teruja nak masuk. hehe!

Kami diasingkan mengikut jantina sebab penjara lelaki dan wanita diasingkan. Ketika berjalan masuk, kami diiringi oleh pegawai penjara. Tembok tinggi, dawai dan pagar besi penuh dikiri dan kanan kami. Semuanya kukuh, tinggi dan berkunci supaya tidak ada banduan yang terlepas.

Saat kami masuk, masing-masing memuji kekreativiti para banduan yang mencipta taman-taman bunga yang ada dikiri kanan sepanjang kami masuk. Seolah-olah tidak berada dipenjara walaupun hampir segenap ruang mempunyai pagar besi yang memisahkan ruang yang lain.

Ketika dalam perjalanan, sempat juga kami bertanya kepada pegawai penjara. Rupanya Penjara Pokok Sena mempunyai ramai banduan yang terlibat dengan dadah samaada sebagai rakan subahat, pengedar, penjual, dan penghisap.

Kami tiba disatu bilik yang dijadikan tempat untuk para banduan memperoleh pengisian rohani iaitu bahagian modal insan. Disini mereka diajar berkaitan akidah, ibadat, akhlak, syariat dan sebagainya. 

Slot pertama dimulakan dengan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh seorang pegawai Pusat Islam berkaitan taubat. Ana dan beberapa rakan yang lain duduk ditepi disamping mata memandang ke sekeliling memperhatikan kertas dan tulisan yang tertampal di dinding bilik.

“Erm..Puan, nak tanya. Pegawai penjara lelaki masuk sini ke tak ek?”. sapa ana. 

“Tak masuk sebab sini hanya untuk wanita sahaja”, jawabnya.

Ana senyum. Perlahan-lahan ana tanggalkan niqab tanpa dipinta. Bila ana tanggalkan niqab, ada staf yang menyapa.

“Eh, asma’. Pegawai tu suruh tanggal ke?”.

Ana senyum. “Taklah kak, saya sendiri yang nak tanggal. Kalau saya turun lapangan dan buat kauseling jalanan, saya tanggal juga niqab nie supaya dorang rasa selesa dengan saya…”,

“Tertutup tidak jumud, terbuka tidak hanyut”

Sewaktu perkongsian ilmu masih berlansung ada staf yang bagitahu ana, “asma’, nanti akak nak satu group dengan awak ya. Hehe!…”

“Erk! taknaklah, sapa yang nak satu group dengan akak. Huhu! Bukannya ramai pun dorang nie, buatlah lima group, seorang handle satu group”, ana sengaja bercanda. 

Ana tahu dia sedikit berdebar dan segan untuk berhadapan dengan banduan. Tambahan pula ana dah biasa berhadapan dengan insan-insan seperti mereka apabila turun ke lapangan sewaktu buat operasi dan rumah akhlak wanita.

Setelah dibahagikan kumpulan, ana masuk satu group dan kami berta’ruf antara satu sama lain. Hampir semua yang berada dalam group ana berumur dalam 30 tahun keatas. Hanya 3 orang sahaja yang muda dari ana.

--------------------------------------------------------------------------
Erm...ustazah, ustazah tak takut ke masuk sini?", sapa salah seorang antara mereka ketika sesi LDK diadakan.

"Taklah, malah saya teruja dan tak sabar mahu bertemu kalian. Bila saya dengar perbincangan pegawai Pusat Islam mahu buat program disini, saya bagitahu saya mahu ke sini tidak kira macam mana sekalipun", ana senyum sambil menampakkan barisan gigi.

"Teruja? Tapi kebanyakan orang takut nak masuk sini ustazah. Yelahkan, kat sini tempat orang jahat-jahat. Takde sapa yang nak masuk sini.", sambungnya lagi.

"Ia ke? Bagi saya sendiri, tak semua yang masuk penjara nie orang jahat. Ada juga Ulama' yang dimasukkan dalam penjara. Dan ada juga Ulama' yang menulis kitab ketika dalam penjara...", mereka seolah-olah terkejut mendengar bait-bait kata yang saya luahkan.

"kakak-kakak dan adik-adik mahu tahu yang kita ini punya kuasa ajaib?", tanya ana pula.

"Kuasa ajaib? Macam mana tu ustazah?", sekali lagi mereka terkejut.

Ana senyum. "iaitu doa...", jawab ana ringkas.

"Saya tahu ada dalam kalangan kakak-kakak dan adik-adik masuk ke sini sebab teranaiya dan difitnah oleh orang lain tanpa disedari". saya menyambung bait-bait kata. (ana bercakap sedemikian kerana kebanyakan dalam kalangan mereka masih dalam reman dan menunggu perbicaraan seterusnya dengan mahkamah).

Ada dalam kalangan mereka mula menangis.

"Ustazah, ada yang kata tempat nie neraka dunia?".

Sekali lagi ana senyum.

"Tapi saya kata, DUNIA ini adalah penjara bagi orang Mukmin...:) ".

--------------------------------------------------------------------------------------------
"Dekat sini ada tak ustazah yang ajar bab solat dan cara-cara macam mana nak solat?", tanya ana selepas semak bacaan al-fatihah setiap orang.

"Ada, selalu ja ustazah datang dan ajar berkaitan solat",

"Oh...kalau gitu saya tak nak teruskanlah bab yang seterusnya. Kita buat sesi dari hati ke hati nak?. Niat saya datang sini bukan nak ajar bab solat tapi ada benda lain?"

"Macam mana perasaan Kak Ina bila masuk sini ek?", tanya ana direct setelah mereka selesa untuk berbicara dengan ana.

"Mula-mula tu rasa sedih dan kecewa sangat. Terasa masa depan ni gelap gelita. dua tiga hari masa masuk sini asyik menangis je. Akak ada anak 4 orang, asyik fikir pasal anak jelah..." jawabnya jujur. Matanya mula berair.

"Yang lain-lain plak macam mana ya?", ana cuba korek sehabisnya untuk dibuat kajian dan dijadikan modul program sekiranya ana berpeluang masuk ke sini lagi.

Seorang demi seorang menceritakan hukuman dan bagaimana boleh masuk ke penjara disamping meluahkan apa yang terbuka dihati.

Ana senyum.

"Apa pula kenangan manis kak kat sini ek?", dia senyum dan ketawa dengan soalan ana.

"kenangan manis tu takdelah. Tapi pengalaman berharga tu ada la. Bila masuk ke sini akak rasa dekat sangat dengan Allah. Sebelum nie tak fikir pun pasal akhirat sebab sibuk dengan kerja dan anak-anak. Kadang-kadang solat pun tak pernah cukup. Tapi bila masuk sini ada kawan yang saling memahami dan dapat tambah ilmu berkaitan Islam", jelasnya.

"Sebab kita lupa Allah, maka Allah pun lupakan kita. Itu sebab Allah nak kita masuk sini supaya kita ingat Dia...", ana berkata. Ada yang tersentak.

"Cuba fikir kalau kita tak masuk sini dan tak kenal Islam. Agak-agak bila mati dalam keadaan kita yang asyik fikir dunia nie, kita duduk dekat tingkat mana bila kat akhirat nanti ek? Kita semua menuju ke perkampungan akhirat, itu matlamat kita di hidupkan di dunia."

"Siapa kata doktor yang merawat kalian, dia tidak pernah sakit? Siapa kata pegawai penjara kat sini tidak pernah buat silap? Dan siapa kata manusia tidak pernah buat dosa. Dan siapa kata yang masuk rumah akhlak, pusat serenti dan penjara tidak punya harapan dan masa depan? :) ", saya mula berikan 'ubat kuat'.

"Cuba rasa denyut nadi kakak-kakak dan adik-adik sekalian. Masih berdenyut kan? :) ".

Mereka semua mengangguk.

"Maka, selagi itulah kita masih punya harapan dan masa depan. Masih berpeluang untuk minta ampun dan taubat dengan Allah. Dan masih berpeluang untuk kembali ke pangkuan keluarga. Cuma satu, jangan pernah mengalah dengan ujian. Apabila keluar nanti, khabarkan kepada masyarakat bahawa takutnya saat hati berjauhan dengan Allah. Dan jangan jadi seperti AKU...", sambung saya lagi.

-----------------------------------------------------------------------------------
Itulah sedikit sebanyak yang mampu ana kongsi bersama dengan pembaca sekalian walaupun sebenarnya banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang hampir 4 jam berada disana. Detik-detik yang berlalu sepanjang berada dengan mereka benar-benar ana hargai.

Cuba sedayanya untuk berikan mereka motivasi hidup bahawa mereka masih punya harapan dan masa depan sekiranya tidak berputus asa dengan ujian dan cubaan hidup yang sedang menguji mereka.

Jom sahabat-sahabat, kita doakan semoga umat Islam diseluruh dunia diberikan taufiq dan hidayah untuk kembali dan berada dalam fitrah Islam yang sebenar-benar. Wallahua’lam.

Sesi penyampaian cenderahati.

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
blog comments powered by Disqus