“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Selawat dan salam buat insan teragung yang membawa rahmat buat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak Lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah wa syukrillah kerana masih diberi kesempatan dan keizinan untuk menukilkan sesuatu walaupun terlalu sibuk dengan pelbagai kerja di Pusat Islam. Moga-moga diri ini terus istiqomah dalam menulis. Ameen ya rabb.
Pada hari Jumaat yang lepas, kelas tajwid muslimat berlangsung untuk minggu ketiga secara berturut-turut yang dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Wanita, khusus buat para Muslimat sahaja.
Ketika ana berada dikaunter pendaftaran untuk mengambil kedatangan para pelajar yang hadir, ana didatangi oleh beberapa orang sahabat dan memberitahu ada seorang pelajar yang begitu minat dengan Islam untuk sama-sama belajar Tajwid.
Allah…tidak terkata saat itu.
Kami sebagai pihak urusetia mengalu-alukan kedatangan beliau yang diiringi oleh sahabat-sahabat yang sudi membantunya. Ketika masuk ke kelas, ustaz yang mengajar begitu teruja kerana itulah kali pertama sepanjang umurnya, ada seorang pelajar bukan Islam datang untuk belajar dengannya.
Para pelajar yang turut serta dalam kelas tersebut juga teruja apabila mengetahui ada pelajar bukan Islam turut bersama mereka untuk sama-sama belajar tajwid. Boleh kalian bayangkan perasaan kami ketika itu? Allahurabbi…
Dua hari selepas itu, sahabat yang selalu bersama dengan pelajar bukan Islam ini tadi datang ke Pusat Islam bagi mencuba madu yang teman serumah ana selalu makan. Dari situlah bermula detik-detik pengIslamannya apabila dia bertanya tentang hidayah.
Teman serumah ana terus membawanya berjumpa dengan seorang ustaz di Pusat Islam dan ustaz tadi memberitahu berkaitan hidayah, keindahan dan kebenaran agama Islam. Setelah itu, ustaz bertanya kepada pelajar tersebut.
“apakah kamu berminat untuk masuk Islam?”
Pelajar tadi mengatakan beliau berminat untuk masuk Islam dengan rela hati. Ketika itu juga dia mengucap kalimah syahadah. Ana yang hanya mendengar dari jauh kalimah syahadah itu diajarkan kepadanya, terasa syahdu dan sebak seketika.
Teman serumah ana yang ada dengannya ketika itu memberitahu, “dia dah lama minat dengan Islam, sudah banyak buku-buku berkaitan Islam dia baca. Cuma hatinya makin tertarik dengan Islam saat dia membaca terjemahan daripada ayat al-Quran.”
Allah…Allah…Allah…
Ana dan sahabat yang menemaninya tadi masuk ke bilik sebaik sahaja ustaz keluar untuk menguruskan beberapa keperluan disamping memberitahu staf dan pegawai Pusat Islam yang lain tentang pengIslamannya.
“Alhamdulillah, kamu sudah masuk Islam. Kini, kita bersaudara…” ana katakan kepadanya. Terasa sebak dihati apabila melihat ada air mata yang bertakung dimatanya.
Setelah itu, beberapa orang pegawai Pusat Islam datang ke bilik tersebut dan berkenalan dengannya. Dia diberikan sedikit saguhati yang mengandungi kelengkapan solat iaitu telekung dan sejadah disamping zakat untuk muaalaf.
Ustaz memberitahu kami untuk membawanya ke Jabatan Agama Islam Negeri Perlis dan PERKIM untuk membuat pendaftaran dan mengesahkan bahawa dia sudah memeluk agama Islam.
Tengahari semalam, kami pergi ke sana dan itulah kali pertama ana melihat dia bertudung. Indah sekali perasaan ana saat itu, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Badan sememangnya terasa kepenatan dengan program sebelumnya, ditambah pula kurang tidur bagi menyiapkan tempahan dari Jordan, jiwa tetap bersemangat untuk teruskan misi tersebut…(^^,)
Sebaik sahaja sampai ke Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, kami masuk ke unit dakwah, ta’mir dan kairiah bagi mengisi borang pengesahan tentang pengislamannya. 2 salinan kad pengenalan dan 8 keping gambar passport bertudung diperlukan.
Alhamdulillah pegawai dari PERKIM turut serta dan ianya memudahkan urusan kami. Semasa borang diisi oleh staf di jabatan tersebut, beliau menceritakan pengalaman semasa bersama dengan saudara baru.
“Ada yang tertarik dengan Islam sebab dia melihat telekung yang orang Islam selalu pakai masa solat warna putih, nampak suci je dan dia masuk Islam. Ada seorang doktor masa program bersama dengan saudara baru, dia ceritakan pengalaman sendiri bersama dengan keluarga. Walaupun dia sudah masuk Islam, dia tetap bahagia dengan keluarganya. Ajak mak dia pergi shopping dan makan besar sewaktu Tahun Baru Cina. Sampai sekarang dia cuba untuk tarik mak dia masuk Islam”.
Benarlah apa yang dikatakan, “awak masuk Islam atas kerelaan hati, jadi awak lebih menghargai Islam berbanding mereka yang lahir sahaja sudah Islam. Jadi, kalau selepas ini diuji dengan pelbagai ujian, jangan sesekali mengalah mahupun menyesal. Anggaplah Allah s.w.t. mahu menguji setakat mana keikhlasan hati kita”.
Setelah semua borang, surat, pengesahan dan sebagainya selesai. Kami ke unit Baitulmal pula bagi mengambil zakat untuknya. Dia juga sedikit terkejut apabila zakat itu dihulurkan kepadanya. Ana minta sahabat yang ada dengannya untuk terangkan semua itu supaya dia mengerti.
Destinasi seterusnya adalah ke Balai Polis Kangar bagi membuat report bahawa dia masuk Islam dengan rela hati dan bukan paksaan mana-mana pihak sebab staf di jabatan tadi bagitahu ada satu kes pensyarah yang membawa seorang pelajar untuk mendaftarkan keIslamannya disaman atas sebab cubaan menghasut untuk masuk Islam.
Jadi, report ini sebagai bukti kukuh bahawa dia masuk Islam dengan rela hati dan mungkin berguna untuk masa depan jika diperlukan. Ana tersenyum sendiri melihat gelagatnya sepanjang proses ini berlangsung.
Dia meminta setiap daripada proses ini dirakam untuk tatapan ibu kandungnya. Syukurlah ibunya dapat menerima berita keIslamannya, cuma sedikit terkilan kerana tidak memberitahu sebelum membuat keputusan seperti itu. Ayah dan adik-adiknya yang lain belum tahu hal ini.
Sahabat-sahabat pembaca sekalian, kirimkan doa kalian buatnya ya! Moga-moga segala urusannya dipermudahkan. Diteguhkan hati dan dikuatkan iman untuk kekal istiqomah sebagai muslim.
“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)”