“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang”
Alhamdulillah Ya atas kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Tersenyum sendiri dihadapan laptop, ada rasa sedikit kekok tatkala jari jemari mula menari-nari mengikut rentak ilham yang mahu mencoretkan kata. Terasa seperti sudah lama tidak menulis. Moga ku tetap istiqomah, ameen!
Kisah semalam, masih segar diingatan. Ada seorang sahabat membawa temannya ke Pusat Islam atas beberapa urusan, dan kami dalam proses untuk membantunya bagi bangkit semula dari takdir yang langsung tidak mampu dihentikan.
Masih tergiang-giang kata-kata seorang pegawai Pusat Islam, “beriman kepada qada’ dan qadar adalah suatu tingkat keimanan yang tinggi, kalau tak takkanlah Allah letakkan dalam salah satu senarai rukun Iman. Mereka yang pasrah dan redha dengan aturan Allah s.w.t. adalah mukmin yang sebenar”.
“Insan yang mampu bangkit dan terus melangkah ke hadapan sebenarnya adalah insan yang kuat. Cuba bayangkan kalau Rasulullah s.a.w. berundur dari dunia dakwah dan ‘meletak jawatan’ yang diamanahkan oleh Allah setelah kematian Isteri tersayang dan bapa saudaranya pada tahun yang sama hingga tahun tersebut dinamakan tahun kesedihan? Pasti Umat Islam kini tidak seramai ini.”
“Tetapi aturan Allah tetap yang terbaik. Allah menguji para kekasihnya supaya menjadi insan hebat. Hasil daripada peristiwa itu, perintah untuk berhijrah turun. Dan bermulalah lembaran baru buat umat Islam selepas tertubuhnya negara Islam Madinah. Lihatlah hari ini, Islam tersebar ke serata dunia.”
Ana tersenyum sendiri mendengar bait-bait kata yang terucap dan kadang-kala menganggukkan kepala sebagai tanda mengiakan apa yang dikata.
Itu yang berlaku pada sebelah pagi. Dan ini pula yang berlaku pada sebelah petang. Motor pancit selang beberapa minit selepas ana dan sahabat naiki. Seorang demi seorang staf dan pegawai Pusat Islam pulang, kami tetap masih ditempat yang sama.
Menunggu mekanik yang tidak kunjung tiba. Langit sudah mula mengumpulkan awan hitam menandakan bila-bila masa sahaja hujan bakal turun. Benar-benar menguji kesabaran kerana badan sudah keletihan yang amat.
Setelah hampir satu jam, tayar motor siap ditukar dan terus memecut laju diatas jalan raya memandangkan keadaan semakin gelap walaupun ketika itu lagi 30minit mahu pukul 7 petang.
Sebaik sahaja tiba dirumah dan ana siap bersihkan diri, hujan turun selebat-lebatnya. Badan sempat direbahkan diatas tilam untuk seketika sebelum misi menyelamatkan rumah berlangsung!
Ini kali kedua rumah sewa kami bocor dan kali ini paling teruk. Barang-barang dibilik teman serumah ana segera dikeluarkan, memandangkan air semakin melimpah keluar. Ana segera ke dapur untuk mengambil mop dan baldi bagi menahan air dari mengalir ke tempat lain. Hasilnya, empat baldi penuh dengan air!
Hujan semakin lebat. Ruang tamu yang hanya bocor sedikit pada mulanya semakin teruk. Ana terpaksa berhenti seketika ‘membuang’ air dalam bilik teman serumah apabila dia menjerit memanggil ana untuk mengalihkan pula barang-barang yang berada di ruang tamu.
Perasaan cemas dan bimbang mula menyelubungi kami setelah melihat air yang mengalir di dinding turut terkena suis utama. Bimbang sekiranya berlaku litar pintas. Apabila azan maghrib berkumandang, hujan mula reda sedikit demi sedikit dan kami solat secara bergilir-gilir sebagai langkah berjaga-jaga.
Hanya Allah yang tahu betapa penat dan letihnya badan nie. Tenaga sudah dikerah sehabisnya. Namun, dalam keadaan seperti itu. Kami sempat muhasabah sendiri.
“ini baru hujan, belum lagi tsunami macam dalam cerita hafalan solat delisa”, kata teman serumah ana.
“Tahu takpe. Syukurlah, itu tandanya kita masih punya rumah berbanding orang lain”, ana menyahut sambil mengukir senyuman.
Hati terus memujuk untuk yakin bahawa aturan Allah tetap yang terbaik, pasti ada sesuatu yang mahu Dia tunjukkan dan setiap musibah yang menimpa pasti akan hadir hikmah bersamanya.
Setelah selesai solat isya’ dan mop lantai bagi menghilangkan kotoran yang melekat, badan terus direbahkan untuk dicaj kembali tenaga yang telah dikeluarkan kerana hari ini sudah ada dua program yang bakal menanti untuk dilaksanakan. Wallahua’lam…
Kisah semalam, mengajar erti sebuah kehidupan.
Dalam suka, terselit duka.
Dan begitulah sebaliknya…
Da’ie yang hebat
dia tetap tersenyum walau diuji…(^^,)
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI...(^^,)