Ahad, 11 Ogos 2013

Ziarah Mahabbah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah wa syukurillah, semalam Allah izin untuk ana berkunjung ke sebuah rumah. Kunjungan kali ini terasa lain yang teramat sangat. Sukar untuk ditafsir rasa hati ini. Hanya Allah yang dapat memahaminya.

Ana mohon maaf kepada para dermawan dan pengunjung blog ini yang mungkin ternanti-nanti perkembangan selanjutnya berkaitan perjalanan hidup keluarga ini.

Mungkin ada yang masih ingat akan nukilan yang pernah ana paparkan dalam ‘diari maya’ ini. Bagi yang belum berkesempatan untuk membacanya, boleh tekan link nie ya Skuad Kebajikan Bidadari Solehah Enterprise.

Syukur pada Allah atas semua ini. Rumah mereka sekeluarga sudah dibaiki hampir 65% dan masih memerlukan dana kewangan bagi membaiki bahagian rumah yang lain. 



Fasa pertama projek baik pulih ini iaitu membaiki sebahagian rumah yang mana kayunya sudah hampir reput akibat sudah berusia dan dimakan anai-anai hampir siap sekitar 90%. Tingkap dan pintu sudah disiap dipasang, lampu dan kipas sahaja belum kerana dana tidak mencukupi.
 
Semasa melangkah masuk ke rumah ini, hati ana sudah sebak apabila melihat sebahagian rumah ini sudah siap dicat diluarnya walaupun belum siap sepenuhnya. Allahu Allah.

Masih segar dalam ingatan, ana meminta Kak Yah mencari tukang kayu yang boleh membaiki rumahnya. Wajahnya nampak begitu bercahaya. Mungkin tidak menyangka penantian dan kesabarannya selama ini berbalas jua. Allahu Allah.

Ketika ana pergi jumpa tukang kayu yang Kak Yah cari, dalam tangan ana hanya ada RM500 sahaja. Duit itu adalah hasil keuntungan dari perniagaan pakaian muslimah yang ana usahakan sendiri dan bayaran penceramah yang ana hadiri. Hanya itu saja yang tinggal. Tiada lagi duit lain.

Kak Yah bawa tukang kayu masuk ke rumahnya dan ana tanya tukang kayu tersebut berapa anggaran kasar untuk membaiki rumah yang sudah hampir roboh. Apabila dikira semuanya, anggaran kasar adalah RM5,000 dan mungkin lebih lagi.

Ana diam seketika. 

Dari jauh ana pandang wajah Kak Yah dan ahli keluarganya yang lain. Wajah mereka penuh dengan cahaya kegembiraan. Hati ana mula membisikkan doa.

“Allah, hamba teringin benar untuk membantu mereka. Hamba tidak sanggup lagi melihat mereka duduk di rumah yang serba daif dan hampir roboh ini. Hamba sendirian Ya Allah. Hamba tidak punya duit sebanyak itu Ya Allah. Bantulah mereka melalui hamba Ya Allah. Hamba sanggup”.

Sebaik saja selesai membuat pengiraan kasar dan berbincang sedikit dengan tukang kayu, ana pergi dekat Kak Yah dan bagitahu “Kak Yah, saya tak janji dapat baiki rumah nie tapi saya janji akan usaha untuk membaikinya sebaik yang mungkin. Saya ini hanya pengantara, semuanya atas bantuan Allah. Tolong doa untuk saya moga Allah izinkan semua ini berhasil”.

Akhirnya ana buat keputusan untuk umumkan dalam facebook dengan memaparkan kisah hidup mereka dan membuka peluang kepada mana-mana sahabat yang mahu menjadi sebahagian dari kami dengan menyumbangkan dari segi tenaga, kewangan mahupun menyebarkan kepada orang lain.

Dan semalam, hampir bergenang air mata ana apabila ana masuk ke bilik ini dan duduk bersimpuh atas lantai. Ana minta sahabat ambil gambar ana dengan Kak Yah. Allah, sebak tak terkata rasa hati nie.


Selepas berbincang sedikit untuk baiki bahagian dapur, Kak Yah ajak ana dan sahabat menjamu sedikit juadah yang beliau masak sendiri.

Kak Yah bagitahu, ada kawannya datang singgah dan tengok bahagian rumah yang sudah hampir 90% siap. Masing-masing berkata kepada Kak Yah, “syukurlah ada yang sudi bantu mu Yah, aku nie tak tahu nak minta dengan siapa lagi”.

Ana sudah tunduk ke bawah sambil tangan menyuap mee goreng ke dalam mulut.

‘Part’ yang buatkan ana menangis dalam diam bila Kak Yah cerita, ada seorang YB kampung tersebut datang jumpa dengannya. 

YB tersebut bertanya kepada Kak Yah, “Yah, rumah baiki dah ke?”.

“tengah baiki”, jawab Kak Yah.

“Siapa yang baiki?”, tanya YB tu lagi.

“Budak yang datang baiki. Budak yang ada hati dan perasaan. Budak yang masih faham erti perikemanusiaan,” jawab Kak Yah.

Sungguh, ana menangis dalam diam disebalik niqab. Ana bukan menangis gembira, tapi menangis disebabkan manusia yang ‘kaya raya’ dengan harta tapi ‘miskin’ hati budi. 

Entah bagaimana jawapan kalian apabila mengadap Allah nanti. Sudah bertahun-tahun mengetahui ada jiran tetangga daif dan miskin tetapi sedikit pun tidak dibantu.

Untuk pengetahuan umum, Projek Baik Pulih Rumah ini akan diteruskan selagimana yang melakukan masih punya Iman dalam hati. Pihak kami masih memerlukan dana kewangan bagi membaiki bahagian rumah yang belum selesai. 


Pihak kami bukan setakat membaiki rumah ini saja, masih ada rumah lain yang akan dibaiki dan lokasi seterusnya adalah di Machang, Kelantan. Sebaik saja pihak kami merasakan rumah yang keluarga ini sudah selesa untuk didiami berbanding sebelumnya, barulah kami akan mula berbaiki rumah yang seterusnya.

Bagi yang mahu menyumbang, boleh mesej ana di ‘inbox facebook’ atau emelkan kepada ana di bidadari.collection@yahoo.com.

Moga usaha kecil ini mendapat redha dan rahmat dari Allah s.w.t… 

Sesungguhya, Allah s.w.t. lebih mengetahui.
blog comments powered by Disqus