“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas segala kurniaan nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepada hamba ini, moga hamba ini sentiasa bersyukur kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah atas keizinan Mu Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus menulis. Dua hari lepas ketika melihat keindahan malam di De BARON Resort Langkawi, disapa satu mesej,
“akak, dah lama tak jenguk Kembara Sufi Di Bumi Tuhan ke? hehe”
Ana baca mesej sambil senyum sorang-sorang. Maksudnya, dah dapat ‘teguran’ untuk segera update blog. Sebelum bertolak ana sudah melakar sesuatu dalam diari maya namun dipadam semula kerna merasakan hati punya ‘masalah’…(^^,)
Makanya, ana mohon jutaan kemaafan kepada yang menanti coretan artikel ana yang seterusnya. Berdoa dan terus berdoa moga tidak diputuskan ilham dan masa serta hati suci untuk menulis. Masih ada 3 artikel yang perlu ana postkan untuk bulan nie, moga dapat istiqomah pada bulan nie. InsyaAllah.
Baiklah, untuk artikel kali ini. Ana ingin kongsikan ilmu dan pengalaman yang diperolehi ketika mengikuti Seminar Islam Nusantara: Pemikiran dan Cabaran Masa Kini peringkat ASEAN selama 3 hari 2 malam bermula pada 25 hingga 27 Oktober 2011 di De BARON Resort, Langkawi.
Terlalu banyak ilmu yang diperolehi hasil daripada pembentangan kertas kerja dari pelbagai bidang dan negara. Terasa begitu bertuah berada di sana dengan ilmu dan bidang yang pelbagai dari setiap pembentang. Subhanallah.
Banyak sekali kertas kerja yang dibentangkan dan kesemuanya menarik hati ana untuk mendapatkan buku yang mengumpul segala kertas kerja yang dihasilkan berdasarkan kajian dari pembentang dan rakan-rakan. InsyaAllah berguna untuk hasil kajian dan tindakan susulan yang akan datang.
Ada beberapa kertas kerja yang menarik minat ana dan salah satunya adalah berkaitan dengan strategi untuk menyelamatkan masyarakat dari keruntuhan akhlak. Kajiannya berkait rapat dengan tulisan Imam al-Ghazali dalam kitab ihya’ Ulumuddin.
Masalah utama adalah nafsu, iman yang turun naik serta hati yang sering ‘diserang’ dengan sifat-sifat mazmumah. Kesemuanya merupakan faktor terbesar kenapa masalah gejala sosial semakin membimbangkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
Kerna begitu berminat dengan kajian yang Dr. Muhammad Tahir lakukan, sebaik sahaja sesi pembentang kertas kerja berhenti rehat untuk seketika, ana terus bersoal jawab dengan beliau secara personel. Manalah tahu dapat mencipta beberapa modul untuk program nanti.
“Rupanya untuk penuhi apa yang Allah s.w.t. suruh lebih mudah berbanding untuk menjauhi larangan Allah s.w.t.”
(Dr. Muhammad Tahir, USM)
Ana tersentak dengan permulaan bicara dari soalan yang ana ajukan. Lantas minda berfikir, benarlah apa yang dikatakan kerna masih ada insan yang melakukan maksiat walaupun sudah melaksanakan solat, puasa, bersedekah, membaca al-Quran dan sebagainya.
Kata beliau lagi, rukun Iman dan Islam mesti dipenuhi tanpa kompromi. Jika fahami dan laksanakan apa yang terkandung didalamnya, pasti akan dapat menepis nafsu yang tidak jemu-jemu untuk menjatuhkan kita.
Dan mesti ada yang tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk mendidik nafsu? Dr. Muhammad Tahir menjelaskan ianya mesti dilakukan dengan konsep mujahadah iaitu latihan yang berterusan. Hati itu perlu terlebih dahulu mengosongkan sifat-sifat mazmumah dan masukkan sifat-sifat mahmudah.
Contohnya jika sebelum ini dia begitu kedekut dan tidak gemar untuk menderma, namun untuk berubah dia perlu memaksa diri untuk menyumbang bermula dengan angka atau nilai yang sedikit dan istiqomah melaksanakannya.
Latihan rohani (mujahadah) ini mesti dilakukan secara berterusan dan selalunya individu tersebut mesti memaksa hatinya untuk melakukan ibadat dan ianya pasti akan berakhir dengan kemanisan iman serta akan merasa bersalah kepada hati jika tidak melaksanakan rutin harian seperti solat sunat dhuha, membaca al-quran dan sebagainya melainkan individu tersebut sudah mengalah di awalnya.
Dr. Muhammad Tahir juga ada menjelaskan tentang keajaiban hati. Latihan rohani yang berterusan akan membentuk hati yang untuh dan mampu mematahkan serangan nafsu. Jika terpesong dari jalan mujahadah, individu tersebut wajib untuk bertaubat supaya hati itu kembali suci dan bersih.
"kebanyakkan dari kita sudah menanam dan membajai masyarakat dengan ilmu dan tarbiyah, namun sayangnya terlupa untuk menyirami tanaman tersebut saban waktu. Kerna itu tanaman tersebut mati ketika membesar"
"Ibarat seperti seorang petani menanam tanaman dan berikan baja. Tetapi tidak menyirami tanaman tersebut dengan air dan berikan cahaya kepada tanaman tersebut hingga ia benar-benar menghasilkan tanaman yang sudah boleh dipetik menyebabkan tanaman tersebut layu dan rosak...."
(Prof. Zakaria Bin Stapa, UKM)
Benar juga apa yang dikatakan oleh Prof. Zakaria dan ianya berlaku di kampus ana sendiri. Sudah berapa banyak program kerohanian dilaksanakan namun kenapa masih banyak gejala sosial berlaku?
Hal ini kerna para da’ie disini lupa untuk ‘menyiram’ hati yang sudah ditanam dengan pengisian rohani yang berterusan atau memantau peserta-peserta yang mengikuti program yang dilaksanakan. Makanya, cadangan ana, satu modul perlu direka dengan memasukkan konsep mujahadah & istiqomah dalam setiap program supaya produk yang dilahirkan mampu menyumbang sesuatu untuk ummah.
Ana tertarik juga dengan ucaptama yang disampaikan oleh Prof Zakaria Stapa ketika majlis perasmian. Kata beliau, “kita selalu marah dan kritik astro, nak mudahkan cerita, beli sahaja astro tu. Tak suka AirAsia yang tak cukup kain, dedah sana, dedah sini, ada duit beli je AirAsia tu. Kita nie reti kutuk dan kritik je, tapi tanya kat diri sendiri apa pula yang kita lakukan untuk ummah?”
Pendapat ana setelah mendengar ucaptama beliau, isu ekonomi menjadi isu kedua terbesar setelah isu akidah. Jika dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam, kebanyakan negara Islam ‘tunduk’ kepada negara Yahudi kerna ekonomi negara mereka masih mundur dan negara Yahudi sengaja menghulurkan bantuan kewangan dengan muslihat yang terselindung.
Lihatlah…..dunia ini masih perlukan lebih ramai aktivis dan sukarelawan dari segenap bidang. Apakah kamu masih mahu berpeluk tubuh dan bergoyang kaki sahaja???
Tidak mampu berikan idea dan pandangan, boleh hulurkan kewangan atau sumbangan. Jika tidak mampu hulurkan sumbangan, hulurkanlah kudrat dan tenaga yang ada. Jika tidak mampu juga, doakan insan-insan yang berjuang pada jalan Allah s.w.t. supaya sentiasa istiqomah dan diteguhkan hati untuk ummah. wallahua’lam.