“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah atas keizinan dan peluang kehidupan yang telah Allah s.w.t. kurniakan, moga masa yang masih ada ini digunakan sebaiknya. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
19 Januari 2012 adalah suatu tarikh yang mungkin tidak mampu ana lupakan kerana ada sesuatu disebaliknya. Detik-detik hari tu berlalu dengan penuh debaran.
Manusia hidup atas izinNya,
Bernafas juga atas kasihNya,
Melalui umur dan masa yang ada,
lakarkan kisah hidup sebaiknya.
Siapa sangka,
mungkin hari esok tiada lagi,
menamatkan segala cerita,
saat diri dijemput ilahi.
Pertama, itu merupakan kertas terakhir ana setelah tiga tahun lebih (7 semester) berjihad dalam medan ilmu, dan ana berdoa moga-moga tidak ada kertas yang perlu ana ulang seperti sebelumnya. Berharap juga semoga langkahku tidak tersekat dimana-mana kertas kerana buka semester nanti ana bakal membuat praktikal dan menamatkan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda tahun ini. ameen ya Allah.
Ketika melangkah masuk ke dewan, hati berdebar-debar sangat. Tidak tahu bagaimana mahu diluahkan dengan kata-kata. Itulah penantian selama ini. Apabila sudah melangkah keluar dari dewan peperiksaan, hati menjerit sendiri sambil dada menahan sebak. “Allah…akhirnya tamat juga”.
Bermacam kisah suka dan duka ana lalui, juga kenangan yang melucukan untuk sampai ke saat itu. Sudah tidak sabar untuk menjalani praktikal dan segera menyambung pengajian di peringkat master. Walaupun begitu, hati masih terasa bimbang selagi keputusan peperiksaan tidak diumumkan. Bimbang sekiranya ada paper yang perlu diulang. Nauzubillah!
Setelah itu ana balik ke kolej dengan menaiki bas. Sepanjang perjalanan ana memandang ke luar tingkap. Melihat kawasan sekitar kampus dan hati bermonolog sendiri, “semua ini bakal menjadi kenangan nanti. Allah, permudahkan urusan hambaMu ini”.
Sebaik sahaja sampai ke destinasi yang ana tuju, terus sahaja ke café dan belanja diri sendiri makan Chicken Chop dan juga air batu campur (ABC) ais-krim sebagai ‘hadiah’ untuk diri sendiri kerana berjaya menamatkan hari itu. Hati mengucapkan syukur atas nikmat itu dan terus berjalan pulang ke kolej.
Ketika sedang makan, mendapat satu mesej dari seorang adik junior. “Mohon untuk dibuat solat hajat dan dibacakan yasin kepada Khairi Anas kerana doktor bagitahu peluang untuk hidup hanya 20 peratus sahaja.”
Masa berita nie sampai, ana tertanya-tanya juga siapa Khairi Anas. Terukkan? nama penuh sahabat sendiri tidak ingat dan tahu.
Setelah itu ana buka laptop dan tengok dalam facebook. Sudah ramai yang post dalam facebook berkaitan berita ini. Tetapi kebanyakkan menulis nama panggilannya iaitu Kerry. Jantung ana berdegup kencang, takkan dia?
Setelah membuka facebooknya, sudah ramai yang post status mendoakannya dan terpandang satu komen. “Al-fatihah buat Kerry junior yang baru sahaja kembali ke rahmatullah…”
“Allah…!” air mata meluncur laju tanpa dipinta. Peritnya menahan pedih dihati hanya Dia yang tahu.
Baru sahaja melihatnya di Dewan peperiksaan DTSO beberapa hari yang lalu. Ketika itu sedang melihatnya berbual dengan beberapa orang sahabat muslimin dan menyapa seorang pensyarah yang kebetulan lalu disitu. Terasa teringin yang amat-amat untuk menyapanya, tidak menyangka itulah kali terakhir melihatnya.
Ana segera membalas mesej tadi, “arwah ada dimana sekarang?”
“masih dihospital Jitra dan sekejap lagi akan dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan malam ini juga”.
Ana segera sedekahkan al-Fatihah sambil air mata meluncur laju mengalir dipipi. Hanya itu yang mampu ana lakukan kerana tidak mampu mengiringi jenazahnya untuk ke tanah perkuburan. Muka ana pucat sangat akibat keletihan yang teramat, ditambah pula dengan berita yang baru sahaja diterima.
Pagi keesokannya seorang adik junior datang bilik ana. Ana bertanya kepadanya, “tahu tak Kerry meninggal dunia?”.
“tahu kak, nie baru je balik dari rumah arwah.” Ana diam saja saat dia menceritakan detik-detik arwah dijemput ilahi. Sesekali ana tersenyum dan berkata, “subhanallah…”
Katanya, arwah dan teman sebiliknya dalam perjalanan ke Masjid. Ketika itu teman sebiliknya bagitahu, “Kerry, jomlah kita pergi solat asar dulu. Lagi 10 minit nak masuk waktu…” dan arwah menyahut, “jom….”. Sambil arwah membawa motor yang dipandunya ke sebuah masjid di Changloon.
Ketika itu ada sebuah kereta yang dipandu dengan laju telah melanggar motor yang mereka naiki saat cuba membelok ke Masjid. Dan sehingga ke hari itu, kami tidak tahu siapakah insan yang melanggar mereka dan adik junior tadi bagitahu yang ibu bapa arwah tidak sedikit pun mencari dan menyalahkan orang yang membawa kereta tersebut. Tetapi redha dengan ketetapan ilahi kerana itu merupakan asbab anaknya menemui ilahi.
Katanya lagi, doktor memberitahu yang arwah meninggal ditempat kejadian saat tidak sedarkan diri kerana kepalanya cedera teruk. Tetapi doktor cuba sedayanya untuk memberikan oksigen dan membuatkan jantungnya kembali berdenyut menggunakan ilmu yang ada. Namun, siapakah dapat menghalang sekiranya sudah tertulis ajalnya sudah tiba?
Ketika kereta yang membawa arwah dan sahabatnya ke hospital, hujan turun selebatnya seolah-olah mengerti apa yang berlaku. Tetapi sebaik sahaja arwah tiba di hospital. Hujan berhenti seketika. Disitulah jenazah arwah dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
Ketika kereta yang membawa jenazah arwah untuk dikebumikan di kampung kelahirannya, hujan turun lebat kembali. Dan sebaik sahaja jenazah arwah sampai dirumah dan mahu dikebumikan, hujan berhenti buat seketika. Dan selepas itu, hujan kembali turun membasahi bumi. Subhanallah…hujan rahmat turun ke bumi menandakan perginya seorang mujahid yang telah berjuang dijalan Allah.
Waktu balik, kami pulang ke kolej dengan seorang pensyarah. “patutlah anaknya baik, ibubapanya juga begitu.”. Sahabat ana cerita yang ibu bapanya tabah sekali dengan pemergian anak sulung lelaki dalam keluarganya.
Jujur ana bagitahu, ramai yang menangisi pemergiannya kerana kami semua kenal perangai dan sikapnya. Cukup menyenangkan hati sebab ana pernah bekerjasama dengan arwah dua tahun yang lalu. Ketika itu arwah meminta ana mengajarnya bagaimana untuk melaksanakan tugas yang telah diberikan kepadanya. Telatahnya membuatkan kami semua tersenyum sendiri.