“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus beribadat kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda.
Semalam disapa seorang sahabat yang menghantar mesej dalam telefon, takkala itu sedang pegang Amirah Fasihah yang begitu sukar untuk “dilembutkan”, asyik minta di dukung.
Satu yang ana perasan, setiap kali alunan zikrullah meniti di bibir ana, seolah-olah Amirah Fasihah cuba mengikut apa yang ana kata dengan bahasanya tersendiri. Moga-moga dirimu menjadi sehebat namamu dik…ameen.
Baiklah, berbalik pada persoalan yang diajukan “Assalamualaikum ukhty, apa khabar? Akak nak tanya bagaimana pandangan seseorang yang bertudung labuh terhadap seseorang lain yang bertudung labuh? Adakah masing-masing merasakan mereka lebih baik daripada yang lain? Maaf mengganggu. Akak harapkan sedikit penjelasan supaya tak tersilap.”
Sebelum ana jawab, ingin ana katakan bahawa segala jawapan yang ana berikan ini adalah berdasarkan pengalaman sekeliling dan kefahaman ana terhadap ilmu yang dipelajari selama ini.
Ana sudah mengenakan tudung labuh seawal usia 12 tahun sehingga kini, pengalaman hampir 10 tahun ini pasti memberikan pelbagai reaksi takkala berdepan dengan mereka yang sama fikrah dengan ana atau berbeza kefahaman.
Dan pastinya empunya diri yang bertanya sekarang dilemma takkala melihat orang yang bertudung labuh sendiri tidak mampu mentarbiyah hatinya sedangkan kebanyakan masyarakat memandang si pemakai tudung labuh ibarat Malaikat yang kalis dosa.
Ana ceritakan sedikit pengalaman ana sendiri beberapa tahun memakai tudung labuh. Diawalnya ana begitu teruja untuk bertudung labuh kerna turut terpengaruh dengan umie dan mak saudara ana yang lain kerna mereka juga bertudung labuh. Juga kerna ana bakal memasuki sekolah menengah agama berasrama yang sememangnya mewajibkan pelajarnya bertudung labuh.
Ketika itu, hati memang ikhlas untuk menutup aurat dengan sempurna. Berada dalam suasana biah(persekitaran) solehah sememangnya adalah “syurga dunia” yang begitu indah…subhanallah…
Namun, setelah bertukar sekolah ke Kelantan. Keadaan jadi berubah, kami sekeluarga berpindah rumah dan persekitaran tempat tersebut memang teruk. Persekitaran tempat tersebut adalah sarang maksiat hingga ada seorang keluarga yang anaknya mengandung luar nikah…nauzubillah..
Dari situ, hati mula jadi kotor. Terasa bangga bertudung labuh dan memandang hina mereka yang bertudung singkat dan tidak menutup aurat, apatah lagi yang free hair. Kebetulan pula Maahad betul-betul berada di hadapan sekolah biasa.
Mata yang seringkali melihat pergaulan bebas mereka, terjerit-jerit dan pakaian yang tidak cukup kain terus mengutuk dalam hati dan kadang-kala mengumpat perbuatan mereka dengan sahabat yang lain. Moga Allah s.w.t. ampunkan kesilapan ku pada masa itu.
Pergaulan di Maahad memang terjaga kerna kami diasingkan dari bercampur dengan ikhwah(lelaki) dari segi kantin, koperasi, bilik kelas, perpustakaan dan banyak lagi. Namun, hati itu memang tidak dapat di duga.
Ada juga dalam kalangan kami yang dengki sesama sendiri, tidak senang duduk sekiranya ada yang lebih sikit dari orang lain, mengumpat orang lain dalam diam, apatah lagi sering bersangka buruk kepada orang lain yang akhirnya menjadi fitnah yang benar-benar menyakitkan.
Takkala ana berpindah dari Maahad ke sekolah biasa, barulah ana sedar tentang sesuatu. Tiap orang dari kita semua memang berbeza cara hidup, latar belakang diri dan keluarga. Kerna yang membezakan kita semua adalah taqwa disisi Allah s.w.t…
Di sekolah biasa itulah ana belajar dari kesilapan, ana bersyukur dimasukkan dalam sekolah tersebut walauapun ana memberontak pada mulanya kerna takut iman tipis. Walaupun ilmu yang ana dapat takkala belajar di sekolah agama dan Maahad kebanyakan hilang ditarik oleh Allah, tapi ana peroleh sesuatu yang teramat berharga iaitu pengalaman.
Pada tahun 2005 ketika berumur 16 tahun, ana mula sedar tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Dari situlah ana mula atur matlamat hidup dan perjalanan ana yang seterusnya. Dunia da’wah, kepimpinan, dan perniagaan semuanya bermula dari situ. Jika ana boleh sedar dan mengubah hidup ana, kenapa tidak kalian yang membacanya?
Dan ana pernah berkata kepada seorang sahabat, ana lebih hargai belajar di sekolah biasa berbanding di Maahad kerna kebanyakan orang di sekolah biasa yang tamat belajar di sekolah lebih MENJADI berbanding yang belajar di Maahad. Lihatlah sekeliling kalian sekiranya tidak percaya dengan kata-kata ana.
Tidaklah ana katakan bahawa belajar di Maahad itu teruk, tidak sama sekali. Sekiranya yang habis belajar di Maahad istiqomah dengan jalannya, InsyaAllah…mereka-mereka itulah yang bakal mewarisi ulama’ masakini. itu doa ana buat kalian…ameen.. istiqomahlah.
***************************
Baiklah, berbalik pada soalan yang diajukan tadi, “Akak nak tanya bagaimana pandangan seseorang yang bertudung labuh terhadap seseorang lain yang bertudung labuh? Adakah masing-masing merasakan mereka lebih baik daripada yang lain?”
Jika ditanya pada seseorang bertudung labuh yang gelap hatinya, pasti dia akan berkata, “menyampah sungguh tengok, buat amal ibadat sebab nak tunjuk dekat orang la tu. Macam mana la dia boleh terpilih sertai barisan kepimpinan kampus, dah la berlagak, sombong plak tu…”
Jika ditanya pula pada seseorang bertudung labuh yang suci hatinya, pasti dia akan berkata, “Subhanallah…sukar sekali mencari muslimat sepertinya. Sudah la solehah, amal ibadatnya mantap, gerak kerjanya juga hebat. Ya Allah…berilah aku peluang untuk mengikut jejak langkahnya dan jika tidak, makbulkan doaku ini supaya dia terus istiqomah..ameen…”
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu”
(Riwayat Muslim)
Jadi patutkah kita merasakan kita ini lebih baik dari orang lain? Sedangkan Allah s.w.t. hanya memandang pada hati dan amalan kita. Apakah amalan kita itu akan diterima sekiranya setiap dari amalan itu disusuli dengan rasa riak? Nauzubillah…
Maka, hati dan pandangan bagaimana yang mahu kita pilih? Hati yang penuh dengan prasangka buruk atau hati yang penuh dengan baik sangka? Sedangkan Allah s.w.t. melarang kita untuk bersangka buruk dengan orang lain.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengaj kami mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah menerima taubat, lagi Maha Mengasihani”
(Al-Hujurat, ayat 12)
Seorang Islam yang beriman seharusnya tidak menzahirkan sebarang anggapan buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan Rasullah s.a.w. dari Abu Hurairah “Allah s.w.t. tidak akan melihat niat buruk seseorang itu sehingga dia menyuarakan atau melakukannya”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Umar al-khattab berkata, “Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga”
Ayata ini juga diakhiri dengan larangan ghibah (mengumpat) yang lahir dari perasaan syak wasangka, Perbuatan ghibah ini adalah faktor utama yang meruntuhkan ukhuwah sesama Islam.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya, “wahai Rasulullah, apa sebenarnya ghibah itu?”. Rasulullah s.w. menjawab, “iaitu berkata sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka”, ditanya lagi ‘Bagaimana kalau ianya benar?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “sekiranya apa yang kau katakana itu benar, engkau telah melakukan ghibah dan sekiranya tidak engkau telah melakukan fitnah”
Lihatlah betapa besarnya akibat dari perbuatan yang terhasut dihati kita. Tidak kira seseorang itu berniqob, bertudung labuh atau bertudung singat. Berserban, berkopiah atau bersongkok. Tiap dari kita semenangnya kena sentiasa perbetulkan niat dan bersangka baik sesama kita.
Berikut adalah tips dari Syeikh Abdul Kadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.
1. Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".
2. Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..
3. Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."
4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."
5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."
6. Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.
******************************
Akhie wa ukhty…sudah la para daie itu sikit sekali, yang masih teguh dan istiqomah pada jalan da’wah juga teramat sikit, sekiranya masih ada antara kita yang punya hasad dengki dan buruk sangka sesama kita, teramat sedikit lagilah jumlah kita.
Alangkah baik dan hebatnya suatu gerak kerja da’wah sekiranya kita sanggup tundukkan nafsu dan ego, pangkat dan jawatan yang ada semata-mata demi tegakkan agama Allah s.w.t. ini.
Semoga pandangan dan jawapan yang ana berikan ini menjawab persoalan yang diajukan oleh empunya diri yang bertanya. wallahua’lam.
JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)
p/s: Rujukan layari laman web nie Tafsir Surah Al-Hujurat